MACHANG 13 April - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan kepada para perwakilan muktamar parti itu Jun ini untuk menentukan barisan kepimpinan Pas termasuk bagi jawatan presiden.
Katanya, barisan kepimpinan parti sedia ada tidak semestinya kekal, dan jika para perwakilan inginkan perubahan maka ia wajar dilakukan ketika berlangsungnya muktamar parti itu kelak.
"Kalau ada yang perlu diubah, ubahlah. Ia bergantung kepada ahli-ahli di peringkat cawangan dan perwakilan yang dipilih untuk mengundi nanti.
"Malah kalau ada sesiapa rasa berkemampuan bertanding, tidak salah untuk tawarkan diri kerana mereka mempunyai hak," katanya ketika ditanya mengenai proses pemilihan dalam parti itu yang akan dijalankan Jun ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Loji Rawatan Air Merbau Chondong dan Sambutan Hari Air Sedunia 2009 di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz mengulas kemungkinan berlaku perubahan barisan kepimpinan parti itu untuk disesuaikan dengan tuntutan keadaan.
No comments:
Post a Comment