Friday, April 16, 2010

Sidang Keselamatan Nuklear - Pengamatan Tok Guru Nik Aziz


Semasa dalam ibadat umrah di Madinah-Mekah, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz tetap peka dengan segala perkembangan isu-isu besar dunia. Itulah dia sensitiviti seorang pemimpin besar yang bernama-mesra Tok Guru Nik Aziz, salah seorang pemimpin dalam kelompok berpengaruh di dunia Islam yang tersenarai di ranking 42.

Realiti itu memungkinkan Tok Guru Nik Aziz bersikap mesra-jari selalu menghubungi melalui telefon dengan setiausaha-setiausahanya di Pejabat Menteri Besar, meskipun berjauhan merentasi benua dan lautan.

Terbaru, Tok Guru Nik Aziz telah mengubungi saya selaku setiausaha politiknya agar merakamkan pandangan dan telahannya berhubung kehadiran Malaysia menyertai Sidang Keselamatan Nuklear di Washington, Amerika Syarikat.

Sebagaimana maklumat, Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear anjuran Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama telah diadakan pada 12 dan 13 April 2010 di Washington. Ia turut dihadiri 47 ketua-ketua Negara termasuk Malaysia. Juga merupakan sidang nuklear yang terbesar pernah dianjurkan presiden Amerika Syarikat sejak 65 tahun lalu.

Tujuan Barrack Obama mengadakan sidang kemuncak itu ialah untuk mendapatkan sokongan dunia bagi memupuk kerjasama sejagat dalam memerangi keganasan nuklear dan mengawal senjata nuklear daripada jatuh ke tangan pengganas.

Berdasarkan tujuan sidang yang dikendalikan Obama itu, maka dilihat tujuan pengawalan itu kononnya untuk mengawal keganasan oleh pihak lain yang dianggap ganas. Justeru itu ada pihak yang manganggap sidang tersebut sebagai sidang perdagangan nuklear dan sidang keselamatan Obama.

Namun, apa yang utama diambil perhatian antara lain ialah kesungguhan Obama menjayakan visi untuk dunia tanpa senjata nuklear pada masa hadapan. Visi itu telah disokong oleh semua negara pada sidang kemuncak itu. Meskipun perlaksanaannya mungkin mengambil masa yang lama, namun langkah pertama yang diambil ialah memeterai perjanjian antara Amerika Syarikat dan Russia minggu lalu bagi mengurangkan stok penimbal senjata nuklear masing-masing.

Bagi pihak Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak turut menyampaikan ucapan. Dalam ucapannya Mohd Najib menggesa semua negara melakukan sepenuhnya amalan telus dalam program nuklear masing-masing dan mematuhi peruntukan-peruntukan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Triti Pengawalan Nuklear (NPT). Apapun, ucapan Najib itu adalah sekadar memenuhi protokol seperti mana ketua/wakil Negara lain yang turut menyertai sidang itu.

Pandangan dan telahan Tok Guru Nik Aziz

Berikut adalah pandangan dan telahan Tok Guru Nik Aziz:

Ekoran sidang nuklear itu jelaslah kekerasan tidak boleh menyelamatkan manusia. Amerika Syarikat (Amerika) pernah guna bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki bagi menundukkan Jepun ketika Perang Dunia ke-2.

Begitu juga, kuasa besar itu (Amerika) pernah guna ugutan dan kekerasan ke atas Negara-negara kecil lain (di dunia), tahu-tahu dia pula terpaksa anjurkan persidangan nuklear.

Oleh itu, adalah benar dan tepat keputusan Nabi Muhammad SAW mengadakan perjanjian Madinah (Sahifah Madinah) yang melibatkan pihak Yahudi. Kerana Nabi SAW sedar, untuk mencari kebaikan dan keamanan, ia tak boleh gunakan kekerasan. Allah SWT sendiri amat melarang untuk kita gunakan kekerasan dalam diplomasi atau berhubung dengan orang lain. Sebab itulah, selagi kekerasan dijadikan pendekatan oleh pihak berkuasa Malaysia dalam melayani hubungan politik antara PAS-Umno atau Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional, maka selagi itulah tidak akan berlaku keamanan dan keharmonian dalam politik Negara.

Apa yang dapat diperhatikan di Madinah dan Mekah, misalnya sekarang di Mekah orang datang puluhan ribu, bertukar ganti (bertali-arus), tidak ada yang paksa pun untuk datang, tetapi punca semua orang itu datang ialah kerana mereka ingatkan Padang Mahsyar. Di sana kelak mereka dihidupkan semula, mereka akan hadapi mahkamah Allah dan mereka akan berdepan dengan Syurga atau Neraka. Maka, inilah daya tarikan sebenar umat Islam untuk datang sangat ke tanah suci.

Berpandukan kesedaran itu, perlulah kita semua mengambil pengajaran betapa cara kekerasan, ugutan hatta diskriminasi seperti mana dilakukan oleh pihak Pusat terhadap Kelantan tidak akan menyelesaikan masalah dan jauh sekali menemui keamanan serta keharmonian.

Pengalaman kita di Kelantan, akibat diskriminasi pernah berlaku sekumpulan petani di Pasir Puteh tak boleh buat padi (tanam padi) akibat berlaku protes dan sekatan baja subsidi kepada satu pihak, menyebabkan satu pihak itu (mangsa diskriminasi) bertindak menyekat laluan jentera pembajak masuk ke bendang satu pihak lagi yang menerima baja. Hasilnya semua pihak (mangsa diskriminasi) dan pihak yang terima baja (penyokong diskriminasi) sama-sama rugi (tak dapat tanam padi). Oleh itu, cara diskriminasi (seperti juga kekerasan) ia tidak akan jadi tarikan ke arah menyelesaikan masalah umat.

Berbalik kepada sidang nuklear tadi, hasil penyertaan 47 negara tadi, keputusannya Yahudi sendiri (Amerika dan sekutunya) mula nak berunding dengan Israel. Sehingga capai keputusan untuk berunding sama dengan Republik Islam Iran yang merupakan musuh ketat mereka.

Maknanya, Amerika dah mula inginkan hubungan baik dibuat dengan Iran dan jelas mereka dah tak nak lagi kepada cara kekerasan. Hal ini membuktikan cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW itu awal-awal lagi melalui Perjanjian Madinah adalah betul dan benar.

Oleh sebab itu, kita kena ingat bila (seseorang) manusia itu kuat sangat diugut, manusia itu akan bangkit dan sedar, bahawa mereka tidak lemah dan mereka boleh bangkit untuk melawan pihak yang mengugut.

Jika demikian dunia kini, dan Amerika sendiri dah semacam mengiktiraf sejarah diplomasi yang diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW adalah betul, tinggal lagi Umno di Negara kita ini tidak mahu mengubah cara mereka dalam menerima hakikat kebenaran Islam.

Misalnya dalam isu hak Kelantan menerima royalti minyak, mereka tidak guna diplomasi. Perjanjian diketepikan, apa mereka pakai ialah kuasa, walaupun Umno tahu cara mereka guna kuasa itu salah dari segi hukum diplomasi. Maka, kita kena ingat rakyat itu yang memberi mandat kuasa dan pemilik kuasa ialah Allah SWT. Jangan diskriminasikan rakyat Kelantan.

Dicatat oleh,

Wan Nik Wan Yussof
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Jangan Sokong UMNO. nak tahu kenapa?


1. Islam Tidak Menjadi Dasar – Sejak awal lagi penubuhan Umno ialah untuk melawan Malayan Union sahaja. Bukan untuk mempertahankan Islam. Islam hanya alat, bukan sebagai satu asas dalam perjuangan. Kalau Islam sudah menjadi asas perjuangan, tentu mereka akan merujuk kepada Islam dalam semua hal.

2. Dasar Umno yang pragmatis (ikut suasana) – Kita pun tidak tahu apa dasar Umno yang pakai sekarang, Islamkah, Melayukah, mempertahan tanah airkah. Cuma seperti yang pernah disebut oleh YB Dr Fuad Zarkashi sewaktu menjadi Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Johor, perjuangan Umno hanya untuk perut sahaja.

3. Islam hanya kuda tunggangan Umno – Ia bukan menjadikan Islam sebagai pedoman. Peralatkan Islam untuk kepentingan politik. Mereka akan menggunakan program agama sekiranya suatu kawasan kuat agama contohnya di Pantai Timur, Kedah dan Perlis .Sehingga Tan Sri Muhyiddin mengatakan undi BN juga masuk syurga ketika kempen di Manik Urai.

4. Akhlak yang tidak senonoh dengan skandal perempuan seperti yang berlaku kepada bekas ahli parlimen Gombak, ahli Parlimen Ampang Jaya dan Ketua Wanita Umno Kelang. Kebetulan mereka ini tidak bernasib baik kerana media dapat tahu..

5. Matlamat masuk Umno ialah untuk mengumpul kekayaan sebanyak mungkin. Sikap kebendaan yang sudah berakar umbi dalam Umno sukar untuk diubah. Memegang jawatan sebagai tiket untuk kaut keuntungan. Pemimpin makan isi pengikut makan tulang.

6. Umno Tidak Membela Agama. Kita boleh melihat apa yang Umno sudah lakukan untuk membela agama. Orang murtad Umno diam membisu

7. Orang Agama (ulama’) Umno hanya subang tembaga. Peranan golongan agama hanya untuk menjadi peluru melawan Pas sahaja dan tidak lebih daripada itu. Peranan mereka hanya untuk tukang baca doa, tahlil dan marhaban. Mereka bukan dijadikan rujukan untuk mengemudi negara. Sebaliknya sijahil yang menjadi kepala, manakala si alim menjadi pengikut. Apabila ini terjadi banyak dasar yang bertentangan dengan Islam telah berlaku.

8. Dasar Umno putera bukan bumiputera. Menindas sesama bangsa hanya kerana berlainan ideologi, akhirnya telah menempatkan bangsa merempat di bumi sendiri. Sebab itu DEB gagal mencapai matlamat pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30%. Kenapa gagal walaupun ¾ jamaah menteri Melayu Islam, Pegawai melayu. Jawabnya kerana dasar Umno putera.

9. Diskriminasi terhadap kerajaan yang sebangsa dan seagama di Kelantan sebagai satu contoh yang ketara. Apakah layak Umno hendak mendakwa mereka sebagai tulang belakang orang Melayu. Apakah slogan kalau kuat Umno maka Melayu akan kuat menjadi realiti?

10. Khianat bahasa sendiri. Umno sudah membunuh bahasa sendiri sebagai bahasa ilmu. Sudah berbilion wang negara hangus untuk projek Methematik dan Sains dalam bahasa Inggeris pada tahun 2003. Berjuta anak Melayu dan rakyat pendalaman menjadi mangsa.

11. Politik khianat bangsa. Yang penting ialah kuasa, samaada mengorbankan kepentingan agama dan bangsa lain bicara. Persempadanan semula dalam pilihanraya 2004, bagaimana Umno telah mengkhianat orang Melayu-Islam semata-mata untuk melawan Pas.

12. Umno mengajar rakyat rasuah dalam berpolitik. Mereka yang dipilih bukan berdasarkan kewibawaan masing-masing dalam mempertahankan bangsa dan agama. Mereka bukan menjadi pemimpin orang Umno tetapi menjadi boneka kepada tauke-tauke yang memberi wang kepada mereka akhirnya inilah yang memusnahkan bangsa dan agama.

13. Tun Musa Hitam mengatakan Umno dilanda penyakit “Ketuaan” ertinya Umno sudah sampai umur nyayuk yang sikit masa lagi sudah tidak kenal antara air milo dengan air longkang.

14. Tun Dr Mahathir mengatakan umno sudah busuk sampai ke usus.

15. Kewujudan PERKASA menunjukkan umno gagal membela melayu.

Di mana Palanivel?

Kegagalan Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel untuk hadir di majlis pengumuman calon BN P Kamalanathan mencetuskan persoalan sama ada beliau kecewa kerana tidak terpilih mewakili BN.

Ketika Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Kamalanathan sebagai calon BN Hulu Selangor, tidak kelihatan langsung kelibat Palanivel yang sebelum ini disebut-sebut akan dipilih.

Seorang lagi pemimpin MIC yang turut dispekulasikan V Mugilan bagaimanapun hadir dan bersalaman dengan Kamalanathan.

Ditanya berhubung perkara itu, Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi BN mengakui bahawa Palanivel mungkin “sedikit kecewa”.

“Mungkin beliau ada tugas lain atau sedikit kecewa. Kalau kita sendiri pun, mungkin ada perasaan sebegitu,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan pilihan BN di hadapan kira-kira 2,000 penyokong di Bukit Beruntung.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin bagaimanapun berkata, beliau mahu Palanivel terus membantu bagi memastikan kemenangan BN di kawasan Parlimen tersebut.

"Saya nak sebutkan dalam rekod di atas pentas ini, saya ucapkan terima kasih berbanyak-banyak kepada Datuk G Palanivel," katanya.

Katanya, Palanivel telah berjasa selama empat penggal bagi kawasan tersebut.

"Apa saja yang orang kata, dia sudah ada jasa. Kita perlu letakkan penghargaan itu di tempatnya," katanya lagi.

'Buka mata, nampak samy Vellu'

Katanya lagi, keputusan itu juga diambil dengan mengambil saranan daripada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahukan kerusi parlimen tersebut kekal dengan MIC.

Jelasnya, beliau maklum dengan saranan daripada sesetengah golongan yang mahu kerusi itu diserahkan kepada Umno memandangkan majoriti penduduk di situ adalah kaum Melayu.

"Walaupun kita tahu MIC mewakili masyarakat kecil tapi mereka tetap perlu dibela, diberi tempat di parlimen atau DUN... kita tidak tamak," katanya.

Tambahnya, berdasarkan maklum balas, pengundi-pengundi di situ juga mahukan wakil daripada golongan muda.

"Banyak yang mahukan perubahan. Mereka mahu nafas baru untuk Hulu Selangor," katanya.

Jelasnya lagi, beliau telah mengadakan perbincangan yang panjang dengan pemimpin BN, khususnya dengan Datuk Seri S. Samy Vellu selaku Presiden MIC.

Dengan berseloroh, beliau berkata perbincangan demi perbincangan itu menyebabkan beliau tidak cukup tidur.

"Apabila saya buka mata saja saya nampak Datuk Samy Vellu," katanya yang disambut gelak ketawa para hadirin.

"Saya sangat gembira melihat beliau tersenyum hari ini... Kalau beliau senyum, semua orang akan senyum," tambahnya.

Thursday, April 15, 2010

Zaid Pilihan Tepat, Mampu Tarik Pengundi Muda

Pensyarah Kanan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbollah menyifatkan pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Pakatan Rakyat yang akan bertanding di Hulu Selangor sebagai tepat.

Beliau menganggap Zaid sebagai tokoh yang berani dan berintelektual yang pastinya akan memenangi hati semua lapisan pengundi termasuk kelas menengah dan juga golongan muda.

"Zaid Ibrahim merupakan anak Melayu yang liberal. Beliau akan menghadapi cabaran dalam memenangi hati pengundi," kata Dr Abu Hassan.

Beliau menambah, wujud dua golongan iaitu golongan muda dan golongan lama yang berfikiran konservatif. Zaid Ibrahim berkemungkinan besar akan disokong golongan muda dan pada sama akan menghadapi tentangan golongan lama.

"Zaid Ibrahim mesti bijak mengambil hati kedua-dua golongan ini," katanya.

Ketika ditanya berkenaan cabaran dan peluang yang akan digalas Zaid, beliau yakin bekas Menteri Undang-undang tersebut mampu menangani semua isu yang dibangkitkan pihak lawan serta menyakinkan pengundi untuk menyokong beliau.

Berdasarkan pandangannya Dr Abu Hassan yang terkenal sebagai pengasas pusat kajian terkemuka Zentrum Future Studies menyakini bahawa Zaid sebagai simbol politik baru mampu membawa dimensi baru dalam politik alaf baru yang memerlukan perubahan.

APABILA UMNO TERTEKAN, PEMIMPIN PUN CAKAP MERAPU

SEPERTI jangkaan banyak pihak, Dato' Zaid Ibrahim telah dipilih untuk mewakili PR di dalam PRK Hulu Selangor nanti. Bukan mudah pimpinan untuk membuat keputusan ini kerana di dalam PKR khususnya terlalu ramai pemimpin yang berterampilan dan teruji semangat mereka. Sebagai contoh, Us Dr Badrul Amin yang mendapat banyak sokongan daripada blog-blog pro PR adalah seorang yang komited terhadap perjuangan dan beliau merupakan seorang Pendakwah terkenal juga seorang reformis. Ketua AMK Pusat, Sdr Shamsul Iskandar usah diceritakan lagi kehebatannya kerana kelantangan beliau sering membuat pemimpin muda di dalam Umno resah gelisah. Dan, banyak lagi pemimpin yang mempunyai kebolehan untuk menandingi mana-mana calon dari Bn yang akan diumumkan petang nanti.

Saya terbaca ulasan Noh Omar, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor di dalam sebuah akhbar di sini. Beliau cuba mengulas tentang pemilihan Dato' Zaid sebagai calon dari PR. Kelihatannya Noh Omar ketinggalan bas dan beliau mungkin merasa masih berada di era 70-80an lagi. Beliau mempertikaikan Dato' Zaid sebagai bukan anak tempatan meskipun hakikatnya lebih kurang 30 tahun Zaid tinggal di Selangor. Benar, Dato' Zahid anak Kelantan tetapi apa masalahnya jika beliau sanggup berjuang di Selangor asalkan rakyat Selangor sudi menerimanya? Di dalam PR,terdapat ramai Wakil-Wakil Rakyat mereka yang mewakili kawasan yang bukan tempat kelahirannya tetapi terbukti mampu mengubah nasib rakyat yang diwakilinya. Di dalam Umno/Bn, jika ramai Wakil Rakyat mereka adalah anak jati sekali pun, banyak di kalangan mereka `makan darah daging orang sekampung'nya sendiri. Jadi, mana lebih baik?

Heboh diperkatakan V. Mugilan dari MIC akan dicalonkan oleh Bn untuk bertanding di Hulu Selangor. Di dalam sidang akhbar siang tadi, hampir separuh cawangan MIC di Hulu Selangor menolak keras pencalonan V.Mugilan. Bahkan, mereka turut mengugut akan menutup bilik operasi MIC jika Bn tetap memilih V.Mugilan sebagai calon. Di dalam sidang akhbar itu juga, dikatakan bahawa V. Mugilan juga bukan anak tempatan. Jadi, atas dasar apa jika Bn masih ingin memilih beliau? MIC Selangor mahukan Palanivel, Umno Hulu Selangor mahukan tokoh lain dan mereka menyebut nama V. Mugilan. Jadi, suara siapa yang akan didengar oleh Najib dan Muhyiddin? Suara Umno atau suara MIC?

Berbalik kepada Dato' Zaid, kenyataan paling melucukan dan nampak tidak cerdik datangnya dari Muhyiddin selaku TPM. Munasabahkah Muhyiddin menyebut bahawa pemilihan Dato' Zaid adalah kerana Dato' Zaid kaya dan banyak duit, bukan kerana ketokohan dan kepimpinannya. Beliau menyebut bahawa maklumat itu beliau tahu dari media dan akhbar dan mungkin juga suara dari warung-warung kopi. Inikah standard seorang TPM yang mendapat maklumat semurah itu? Adakah ini bermakna beberapa tahun dahulu ketika Dato' Zaid bersama Umno, beliau dipilih menjadi Wakil Rakyat seterusnya menjadi seorang Menteri adalah kerana Dato' Zaid itu kaya? Amat malang sekali negara kita mempunyai seorang TPM yang level otaknya sedemikian. Dahulu, ketika PRK di Manek Urai PAS meletakkan calonnya dari seorang penjaja atau pemborong ikan, calon PAS tersebut diperlekehkan. Kini, PKR mencalonkan Dato' Zaid, Muhyiddin tiada hujah lagi dan membuat alasan bodoh sedemikian.

Hakikatnya Bn terutamanya Umno mulai merasa panas dan tertekan untuk memilih calon mereka. Sudah menjadi kebiasaan di dalam Bn untuk berebut-rebut jawatan. Rakyat kini melihat sandiwara Bn lebih-lebih lagi Umno yang tidak lagi menghormati pemimpin dari parti komponen mereka sendiri. Umno tetap dengan ego mereka untuk membuli parti-parti yang mereka mereka anggap lemah. Petang nanti kita akan menyaksikan kehebatan Umno untuk menentukan wakil dari parti MIC ini. Untuk pemimpin MIC, terima sahajalah kerana kamu sanggup bersekongkol dengan Umno

YBK : Tanah orang Miskin digadai mereka..

Lihatlah.. inilah contoh perangai pemimpin-pemimpin UMNO, Apa saja yang mereka kuasai pasti akan digunakan bagi menjana kekayaan tanpa mempedulikan siapa miliknya..

Tiada Halal mahupun Haram.. yang diburu hanya Kekayaan..

Laporan audit ke atas tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mendapati badan itu membangunkan projek komersil atas tanah untuk orang miskin, serta mencagarkan tanah-tanah lain kepada pihak ketiga serta tidak membayar cukai tanah.

Laporan itu juga mendapati bekas Adun Batang Kali, Datuk Zainal Abidin Sakom menjadi Pengerusi YBK sejak badan itu ditubuhkan pada 1990. Isteri beliau menjadi pemegang amanah YBK.

Zainal turut menjadi ahli Lembaga Pengarah Permodalan YBK Sdn Bhd selain mempunyai kepentingan dalam syarikat yang berurusan dengan YBK.

Lebih mengejutkan laporan itu mendedahkan juru audit kerajaan negeri tidak dapat menyiasat status projek tertentu di Hulu Selangor kerana fail-fail berkaitan sudah diambil terlebih dahulu oleh Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Semakan audit turut mendapati :-

~ 16 lot tanah YBK digadaikan kepada individu dan syarikat untuk berjuta-juta ringgit. PYBK terlibat dalam lima cagaran itu, membabitkan RM102 juta.

~ Cagaran itu menyebabkan tanah yang sepatutnya dibangunkan untuk membantu orang miskin beralih ke tangan pihak ketiga.

~ YBK dan anak syarikatnya diberikan hampir 2,000 ekar tanah namun tidak membayar tunggakan cukai tanah RM7.36 juta kepada kerajaan negeri.

Dalam pada itu sumber-sumber memberitahu YBK menjalin kerjasama dengan tujuh syarikat termasuk empat anak syarikat – PYBK Usahasama, PYBK Resort and Spa, Servecare dan Serendah Heights yang ditubuhkan dengan modal berbayar RM2 dan RM3.

~ Zainal mempunyai saham dalam syarikat PYBK Usahasama, Prihatin Ehsan,PYBK Usahasama, Servecare dan Serendah Sdn Bhd yang menjalankan projek-projek YBK.

~ Tanah untuk aktiviti membasmi kemiskinan disalah guna untuk projek komersil. Contohnya di Gombak, “Projek Penempatan Rakyat Termiskin” dibatalkan dan tanah hampir sembilan ekar dibangunkan untuk tujuan komersil.

~ Apabila pasukan audit dalaman cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai aset YBK di pejabat tanah hulu selangor, mereka diberitahu fail berkaitan sudah tiada lagi dalam simpan.

Pegawai pejabat berkenaan melaporkan bahawa fail-fail berhubung urusan tanah YBK telah diambil oleh pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikatakan juga sedang menyiasat kes yang sama.

Dalam pada itu sumber-sumber kerajaan negeri memberitahu Akaun YBK tidak telus dan tersasar daripada pelembagaan badan itu.

~ Contohnya, undang-undang tubuh YBK mensyaratkan badan itu harus membelanjakan 70 peratus pendapatan untuk melaksanakan projek membantu orang miskin, tetapi ini tidak dilakukan.

~ Pada 1996, hanya 15 peratus daripada pendapatan RM23juta dibelanjakan untuk projek.

~ Pada tahun 2007, YBK mempunyai aset atau harta bernilai RM20 juta. Ini juga tidak dimanfaatkan mengikut garis panduan YBK untuk membantu golongan miskin.

Laporan audit juga mendapati Penyata Kewangan 2008 yang disiarkan dalam laman YBK tidak telus, tidak mempunyai pecahan atau nota terperinci sebagaimana seharusnya.

Kerajaan negeri Selangor mengarahkan siasatan audit ini diadakan selepas YBK enggan bersikap telus dan menolak keperluan Menteri Besar dan barisan exco mengambil peranan langsung dalam menguruskan YBK.

Ini untuk memastikan segala sumbangan kerajaan negeri di manfaatkan sepenuhnya untuk golongan miskin dan tidak dibolot oleh pemimpin tertentu.

Khalid berkata kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji laporan audit berkenaan dan mengatur langkah untuk memastikan tidak ada lagi penyelewengan atas tanah-tanah yang disumbangkan kepada yayasan tertentu untuk tujuan amal.

RM76 Juta Bayar Kepada APCO, Pakej Menemukan Najib-Obama

Sumber MerdekaReview

Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz mengakui bahawa kos perkhidmatan yang dibayar kepada APCO Worldwide berjumlah RM76.82 juta setahun, malah memuji sumbangan APCO dalam usaha memperbaiki hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat.Sambil menuding jari kepada dua orang bekas Perdana Menteri yang ''menjejaskan hubungan antara Kuala Lumpur-Washington'', Nazri mendakwa bahawa hubungan dua hala yang terjejas dalam tempoh 28 tahun ini hanya boleh diperbaiki dengan membelanjakan wang

Nazri Aziz tidak menafikan bahawa kerajaan Malaysia menggunakan perkhidmatan APCO Worldwide untuk memperbaiki hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat, "APCO Worldwide bertanggungjawab untuk membina imej negara kita di Amerika Syarikat, agar hubungan kita dengan Amerika Syarikat lebih erat. Apakah anda menganggap syarikat tempatan Malaysia boleh mengeratkan hubungan antara kita dengan Amerika Syarikat?"

Hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat dianggap "kurang erat" semasa zaman pemerintahan PM keempat dan kelima, iaitu Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi, jadi Nazri (gambar kiri) tidak melihat wujudnya masalah untuk memperbaiki hubungan dengan Amerika Syarikat atas nama diplomatik dan ekonomi.

"Sekiranya kita tidak berbaik dengan Amerika Syarikat, Amerika Syarikat langsung tidak akan mempedulikan kita. Kita perlu memperbaiki hubungan yang terjejas semasa zaman pemerintahan 22 tahun oleh Mahathir Mohamad dan enam tahun oleh Abdullah Ahmad Badawi. Anda ingat kita boleh meredakannya tanpa berbelanja?" tanya Nazri ketika ditemuramah media di parlimen, semalam.

Malah, Nazri menambah bahawa kerja melobi adalah sesuatu yang lumrah di Amerika Syarikat. "Anda perlu lobi (barulah kerja diselesaikan dengan baik), dan pelobi terbesar di Amerika Syarikat ialah pelobi Israel."

Memuji Najib

Setelah mempersalahkan Mahathir dan Abdullah, berikutan hubungan kurang erat dengan Amerika Syarikat yang memberi kesan kepada pembangunan ekonomi, Nazri seterusnya memuji PM sekarang, Najib Razak, "Najib bukan untuk dirinya, beliau melakukan ini demi negara. Apa salahnya berbaik dengan Amerika Syarikat? Ia hanya akan memanfaat ekonomi kita."

Najib mengambil contoh pertemuan antara Najib dengan Obama (gambar kanan), sebagai bukti untuk menunjukkan APCO Worldwide menjalankan tugasnya dengan baik. "Apa yang kita belanjakan amat berbaloi, kita mendapat pulangannya."

"Prestasi APCO Worldwide cukup baik. Setakat ini Obama hanya meluangkan masa untuk berjumpa dengan Najib dan Hu Jintao (Presiden China). China tu China (pengaruh besar), tapi Obama berjanji untuk bertemu dengan Najib," jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim ketika membahaskan Titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dalam persidangan Dewan Rakyat penggal ini mencungkil kontroversi apabila mengkritik kerajaan kerana menggunakan perkhidmatan syarikat Israel, APCO Worldwide, yang juga digunakan oleh diktator negara lain. 【Baca: APCO dan 1Malaysia】

"...Diktator yang kaya akan menggunakan (syarikat) yang terbaik. Jadi, mengapa mereka menggunakan APCO Worldwide? Ini kerana APCO Worldwide terlalu baik (perkhidmatannya). Kalaulah mereka nak membina imej yang baik di Amerika Syarikat, mereka perlu menggunakan APCO Worldwide," ulas Nazri.

Mengambil contoh Karpal dan Anwar

Bahkan, Nazri mengambil contoh peguam terkemuka, Karpal Singh yang juga Pengerusi DAP, "Tahukah anda siapa yang akan mengupah Karpal Singh dalam kes mahkamah? Pembunuh, penyeludup... Kerana mereka nak bebaskan diri daripada hukuman. Mereka perlu mendapatkan peguam yang terbaik. Ada yang berkata Karpal Singh adalah yang terbaik. Jadi mereka mengambil Karpal Singh..."

"Tapi, bolehkah anda berkata Anwar Ibrahim adalah pembunuh kerana beliau menggunakan Karpal Singh (gambar kiri) sebagai peguam belanya?" tanya Nazri.

Karpal Singh kini adalah peguam bela Anwar Ibrahim dalam kes liwat.

Oleh itu, Najib menganggap pembangkang tidak harus meringkaskan isu ini, menyamakan penggunaan APCO Worldwide dengan isu lain sewenang-wenangnya. Malah, beliau mendakwa bahawa beliau pernah menyemak senarai nama Zionis, dan akhirnya beliau mendapati lebih separuh daripadanya adalah kawan Anwar.

"Jadi, beliau (Anwar) boleh berkawan dengan orang ini, dan kami tak boleh," sindirnya.

Tian mempertikaikan Nazri

Sebelum ini, ahli parlimen Batu-PKR Tian Chua mengadakan sidang media di koridor parlimen, mempertikaikan kejujuran Nazri dengan menunjukkan jawapan bertulis daripada Jabatan Perdana Menteri. JPM memberi jawapan bahawa kontrak perkhidmatan APCO Worldwide bernilai RM76,820,563 setahun, jauh berbeza dengan jawapan yang diberikan Nazri sebelumnya ketika ditemuramah media, iaitu RM28 juta.

Namun, Nazri mendakwa bahawa kedua-dua pihak sebenarnya tidak pasti dengan angka RM28 juta itu, tetapi beliau berjanji kepada Tian Chua (gambar kanan) secara peribadi, bahawa beliau akan mengemukakan jawapan yang terperinci seandainya Tian Chua menulis secara rasmi kepada JPM.

"Jadi, inilah jawapan tepatnya," Nazri menegaskan bahawa beliau tidak menolak untuk memberi jawapan, "Anda boleh menyemak minit mesyuarat. Saya (pada ketika itu) berkata saya tidak mempunyai maklumat yang terperinci. Dan saya juga kata, seandainya saya ada maklumat terperinci, maka saya boleh mendedah kepada semua orang."

Dalam satu wawancara bersama Malaysian Insider pada 7 April 2010, Nazri memberi reaksinya terhadap tindakan ahli parlimen Pokok Sena-PAS, Mahfuz Omar yang melaungkan "UMNO-APCO" dalam dewan. Nazri berkata, "'UMNO-APCO' adalah tuduhan yang serius. Parti komponen Barisan Nasional, UMNO menggunakan RM28 juta untuk mengupah APCO. Tetapi, mengatakan UMNO itu APCO dan APCO itu UMNO, membawa makna bahawa kami memasukkan wang kerajaan dalam saku UMNO. Kenyataan sedemikian membawa maksud bahawa kerajaan jelas menyedari bahawa APCO dimiliki UMNO, dan kemudian membayar RM28 juta kepada APCO. Tuduhan ini serius sekali."

Muhyiddin Pun Tumpang Semangkuk

Malang sungguh bagi rakyat Malaysia apabila mempunyai pimpinan yang pemikirannya sama seperti JKKK Umno di kampung-kampung. Sangkaan saya hanya menteri-menteri sahaja yang standard pemikiran mereka di tahap tersebut tetapi semalam terbongkar lagi satu rahasia di mana Timbalan Perdana Menteri pun dua kali lima sahaja.

Semalam Muhyiddin Yassin berkata (saya petik dari media pengampu Umno), jika pengundi Hulu Selangor memilih Zaid sebagai wakil rakyat mereka, maka harapan penduduk untuk melihat pembangunan di kawasan tersebut tidak akan tercapai.

Sekali lagi politik pembangunan dan fizikal dijadikan hujah oleh pemimpin 'JKKK' nombor 2 Umno ini.

Apakah Muhyiddin tidak perasan bahawa apa yang Umno/BN buat setelah 50 tahun lebih memerintah Selangor, baru sekarang perasan Hulu Selangor tiada pembangunan. Apa yang Palanivel buat selama dua tiga penggal jadi Ahli Parlimen Hulu Selangor.

Selain itu benarkan Hulu Selangor tiada pembangunan langsung. Berapa ramai rakyat yang masih menggunakan pelita dan air perigi untuk keperluan harian mereka.

Berapa ramai yang masih memakai cawat dan bertelanjang bulat?
Berapa ramai yang tiada rumah langsung?

Saya hairan mengapa begitu cetek pemikiran pemimpin Umno yang hanya memandang pembangunan sebagai satu-satunya keperluan rakyat. Sedangkan rakyat amat memerlukan pembangunan spiritual, insan dan lain-lain. Malah lebih mendesak rakyat mahu keluar dari penderitaan dan keperitan hidup akibat kadar jenayah yang membimbangkan, maksiat berleluasa, gejala buang anak, ekonomi yang tidak menentu, harga barangan yang sangat membebankan, hak asasi manusia yang dinafikan, rasuah yang kronik dan lain-lain.

Muhyiddin seperti juga JKKK Umno di kampung masih mengamalkan cara politik lama tahun 50-an, 60-an di zaman elektrik tiada, air tiada, jalan tanah merah, TV tiada dan lain-lain.

Bila agaknya pemimpin Umno dan ahli-ahli bawahannya hendak berubah? Dah tahun 2010 mereka masih bermimpin hidup di zaman awal-awal merdeka.

Nampaknya pertarungan sebenar Pilihanraya Kecil ini bukannya antara PKR dan BN tetapi antara Umno dan MIC.

Sejak kerusi ini kosong Umno dan MIC berebut untuk meletakkan calon masing-masing. Pada awalnya Umno mahu meletakkan bekas Naib Presiden Umno, Mat 'Tyson' Taib tetapi ditolak mentah-mentah oleh MIC yang siang-siang lagi menegaskan kerusi itu milik tradisi MIC. Presiden MIC, Samy Vellu sejak dari mula lagi menamakan Timbalannya, G Palanivel sebagai calon yang dicadangkan oleh MIC.

Selepas Umno mengalah dan memberikan laluan kepada MIC timbul pula satu cadangan baru dari Umno. Mereka mencadangkan anak tempatan, Mugilan yang juga Timbalan Ketua Pemuda MIC Pusat untuk menjadi calon. Namun ianya ditolak dengan tegas oleh Samy Vellu.

Malah maklumat dari sumber dalaman parti yang menyatakan bahawa jika Mugilan dipilih oleh Pengerusi BN sebagai calon, kepemimpinan MIC akan memecat Mugilan kerana melobi bagi kerusi itu dan juga mensabotaj aktiviti parti serta mencemarkan nama Palanivel.

Menurut beliau lagi, ketika mesyuarat baru-baru ini di Parlimen, presiden MIC,Samy Vellu dilaporkan bertikam lidah dengan Muhyiddin berhubung pemilihan calon BN itu.

Sumber itu berkata Muhyiddin berkata Mugilan adalah pilihan pemimpin BN tetapi pemimpin MIC yang hadir kurang menyenangi keputusan itu.

Terbukti kem BN benar-benar dalam dilema sekarang. Bagi Umno jika Mugilan dipilih maka peluang untuk BN menang adalah cerah, namun andaikata Palanivel yang dijadikan ayam sabung Umno berpendapat kemenangan BN mungkin hanya sekadar dalam mimpi sahaja.

Jelaslah sekarang ini bahawa pertarungan sebenar di Hulu Selangor telah bermula iaitu pertentangan antara Umno dan MIC. Nampaknya gayanya mereka sekarang berada dalam keadaan ditelan mati mak diluah mati bapak.

Apakah Umno akan membuli MIC, atau MIC akan memperkudakan Umno. Kita tunggu dan lihat. Andai Palanivel dipilih maka terbukti Umno diperkuda oleh MIC, manakala jika Mugilan dipilih, lambat laun MIC akan ditendang oleh Umno dari BN dan digantikan dengan MAKKAL SAKHTI.

Wednesday, April 14, 2010

Dua Tahun Memerintah, PR Berjaya Siapkan 20 Projek Terbengkalai

Dari Mac 2008 hingga Januari 2010, jumlah projek terbengkalai yang berjaya disiapkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor sepenuhnya serta pemilik telah mendapat kunci kediaman adalah 20 projek atau 7,779 unit.

Statistik itu diberikan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Dewan Negeri Selangor Meru, Dr Abdul Rani Osman pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Negeri Selangor kali ke-12 di sini semalam.

Menurut Iskandar, syarikat yang bekerjasama dengan Task Force yang ditubuhkan sedang atau telah mengkaji 103 projek terbengkalai melibatkan 44,480 unit.

Dari jumlah itu katanya, 25 projek atau 9,298 unit sama ada di bawah pemaju atau kontraktor yang baru atau projek telah dihidupkan semula.

Setakat ini 396 unit dari tiga projek telah siap iaitu Saujana Putra, Ukay Bistari dan Puncak Jalil.

"Untuk tahun ini, 2,400 unit dijangka akan disiapkan tahun ini," ujar ADUN Cempaka itu lagi.

Menjawab soalan Dr Abdul Rani berkenaan langkah yang diambil kerajaan negeri untuk mengatasi masalah pembeli rumah terbengkalai di Taman Desa Kencana di DUN Meru, Iskandar berkata terdapat tiga kaedah yang digunakan bagi menyelesaikan projek berkenaan.

Ia adalah menerusi pemantauan rapi, Task Force projek perumahan terbengkalai serta pengambilalihan atau rampasan tanah seperti di Bukit Botak dan Alam Perdana.

Katanya, kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor boleh mengeluarkan surat mengesahkan projek perumahan terbengkalai supaya pembeli boleh menstrukturkan semula pinjaman mereka.

"Jika terdapat pembeli yang telah disenarai hitam oleh bank kerana berhenti membayar ansuran pinjaman, satu cara adalah bagi pemaju penyelamat membeli balik rumah mereka supaya pembeli terkeluar dari senarai hitam.

"Bagi yang tidak mendapat pinjaman bank, kerajaan negeri telah mengenalpasti bank tertentu yang boleh menguruskan pinjaman bagi mereka yang tidak mempunyai slip gaji seperti penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri," katanya.

Tambah beliau, pinjaman di bawah skim ini boleh juga dilanjutkan sehingga 65 tahun. Sementara bagi yang umurnya telah lanjut pinjaman dua generasi boleh juga ditawarkan.

Menurut Iskandar, projek Desa Kencana yang terbengkalai ini dan projek-projek terbengkalai lain memerlukan lebih RM5 bilion untuk memulihkannya.

"Buat masa ini, pemulihan adalah secara 'self-financing' yang dibiayai oleh sektor swasta.

"Kerajaan negeri belum lagi membiayai secara langsung pemulihan projek-projek terbengkalai. Tetapi anak syarikat negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sedang terlibat di dalam memulihkan projek terbengkalai Selayang Mutiara atau Bukit Botak," katanya.

PENGUNDI HULU SELANGOR DIMINTA AMBIL IKTIBAR JANJI PALSU UMNO-BN DI BAGAN PINANG

Setiap kali pilihanraya umum atau kecil, pemimpin Umno-BN akan menjadi makhluk yang paling pemurah, tawadhuk dan baik hati dalam dunia. Mana-mana yang perlukan bantuan sepantas kilat akan dibantu. Pada masa pilihanraya raya adalah ketika kita akan bertemu pemimpin Umno-BN berkain batik dan berkain pelikat mengayuh basikal memasuki setiap lorong dan ceruk kampung.

Dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang lalu, pelbagai bantuan dan janji ditabur. Keputusan diumumkan Umno-BN menang besar dengan majoriti lebih sekali ganda berbanding pilihanraya umum sebelumnya.

Antara janji Umno-BN ketika itu akan menyelesaikan masalah naik taraf jalaraya dari Telok Kemang ke Pasir Panjang. Apa yang berlaku? Sehingga hari ini walaupun pilihanraya kecil Bagan Pinang sudah lama berlalu, penduduk setempat terus bergelumang dengan masalah debu dan banjir akibat pembinaan jalan yang terbengkalai itu.

Penduduk kaum India di estet Bagan Pinang yang dijanjikan pembinaan kuaters baru di kawasan estet mereka terus melopong dan kempunan menunggu janji-janji pemimpin Umno-BN
yang dItabur dalam pilihanraya kecil lalu.

Kini, pilihanraya kecil Hulu Selangor pula , Umno-BN cukup mengharapkan undian dan sokongan pengundi India di situ. Apakah pengundi India di situ akan termakan umpan seperti di Bagan Pinang? Jika begitu keadaannya maka benarlah pengundi India hanyalah alat Umno-BN untuk memenangi pilihanraya dan bukannya untuk membela dan menjaga kebajikan mereka. Pengundi India perlu perlu berubah dan berani mengajar pemimpin Umno-BN agar mereka tidak dilabelkan sebagai rakyat kelas tiga di negara ini.

Tuesday, April 13, 2010

P094 : Dato Zaid Ibrahim calon dari PKR/PR.

Datuk Zahid Ibrahim hari ini dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Menurut sumber, pemilihan Zaid itu dibuat oleh biro politik PKR yang bermesyuarat di rumah ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.

“Keputusan memilih Zaid buat sebulat suara,” kata sumber itu lagi.

Zaid yang juga bekas menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal perundangan ketika dalam barisan kabinet bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum berpaling tadah ke PKR.

Beliau dijangka akan diperkenalkan secara rasmi sebagai calon Pakatan Rakyat di sebuah ceramah di Serendah, malam ini.

Zahid dikatakan sebagai calon terbaik bagi PKR untuk mempertahankan kerusi itu kerana pengalamannya yang luas.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lepas akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR itu menewaskan calon Barisan Nasional Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding pada pilihan raya kecil yang akan diadakan 25 April ini.

BN dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April, iaitu dua hari sebelum penamaan calon, dan desas-desus mengatakan Palanivel akan diberi peluang kedua untuk merampas kembali kerusi yang pernah disandangnya sebanyak tiga penggal itu.

Report card' merah untuk Najib

PERDANA Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menyambut ulangtahun pertamanya pemerintahannya 4 April lepas, dalam keadaan yang getir dan penuh dilema.

Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpinnya, berada dalam keadaan terumbang-ambing dan masih hilang arah akibat cabaran getir dari kelompok pembangkang yang berkredibiliti seperti Pakatan Rakyat.

Najib berada dalam keadaan dilema kerana dalam tempoh setahun pemerintahannya, sarat dengan skandal dan isu-isu panas terbongkar satu demi satu tanpa sempat dikambus, ditambah dengan baggage dari pemerintahan PM yang lalu.

"Saya fikir tiada banyak beza antara Najib dengan Abdullah, cuma Abdullah nampak lebih slow, Najib lebih cergas, tetapi cara keduanya menguruskan politik dan ekonomi, sama-sama teruk," kata Tony Pua, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

"Masalah kepada Najib ialah kerana, beliau mewarisi stail 'flip flop' Abdullah dan tidak konsisten, dalam hal tertentu saya fikir Abdullah lebih tegas dan berpendirian daripada Najib," kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Ternyata, usaha untuk memulihkan imej beliau dan imej Umno-BN yang tercalar teruk semasa kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi masih gagal dipulihkan sehingga kini.

APCO jejaskan Najib


Usaha memulihkan imej peribadinya terus gagal dan dimusnahkan dengan ledakan isu syarikat Israel, APCO Worldwide yang dilantik secara rasmi dengan perjanjian bertulis oleh kerajaan, sebagaimana pendedahan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Bombshell yang dilepaskan Anwar begitu memeranjatkan, sehingga sewaktu ucapan khas beliau di Parlimen, seluruh anggota Kabinet tidak mampu duduk dalam dewan, macam 'cacing kepanasan' walaupun penyaman udara di Parlimen begitu dingin membeku.

Dengan terbongkarnya hubungan erat berbayar kerajaan Umno-BN dengan APCO, baru rakyat tahu bahawa inilah puncanya, selepas mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Abdullah pada 4 April 2009, Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia, yang diteraskan dengan slogan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Juga ditubuhkan Yayasan 1Malaysia.

Sebelum ini, rakyat tidak mengetahui apa sebenarnya atau dari sumber mana atau siapa yang menasihati Najib memperkenalkan konsep baru ini. Dalam tempoh setahun ini, minda seluruh rakyat Malaysia seolah-olah 'dipaku' dengan 1Malaysia

Seluruh intipati ucapan Anwar yang mengemukakan bukti secara jelas wujudnya penasihat Zionis Israel yang ditempatkan di pejabat PM di Putrajaya, tidak mampu ditangkis atau dijawab sepatahpun, oleh pemimpin Umno-BN. Mereka hanya menjawabnya dengan usaha merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk dihukum.

Najib cuma menjawab Anwar dengan menafikan bahawa konsep 1Malaysia sama dengan konsep 1Israel, yang turut menggunakan khidmat APCO dalam tahun 1990-an oleh PM Israel, Ehud Barak, ketika itu.

"APCO semasa menasihati Ehud Barak, perkenalkan slogan 'people first'. Ini sama dengan slogan 'rakyat didahulukan' cuma kita tambah 'pencapaian diutamakan'. Israel juga buat 1Israel Foundation, sama dengan Yayasan 1Malaysia.

"APCO juga perkenalkan health care untuk Ehud menarik sokongan rakyat. Di sini kita guna Klinik 1Malaysia. Apakah semua ini persamaan secara kebetulan atau sebaliknya," ujar Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim.

"Barangkali mereka tukar letterhead saja, format kertas kerja APCO kekal, 1Israel ditukar jadi 1Malaysia," getus Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Masalah besar yang berlaku ialah, kerajaan Malaysia tidak cermat menyelidiki latar belakang APCO.

"Senarai pemimpin-pemimpin yang menggunakan khidmat APCO untuk membaik pulih imej diktator adalah panjang dan mengejutkan. Selain Turkmenistan, Kazakhstan dan Azerbaijan; salah seorang klien APCO yang paling terkenal adalah bekas diktator Nigeria iaitu General Sani Abacha. Mengikut laporan-laporan BBC General Sani Abacha merupakan pemimpin berkedudukan No. 4 yang paling korup di dunia. Semasa pemerintahannya, berbillion-billion dollar dilesapkan. Wang yang dilesapkan oleh orang kanannya sahaja berjumlah USD$2.5 billion.

"Apakah pentadbiran PM mengakui bahawa Perdana Menteri dan partinya Umno adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia; sehinggakan khidmat APCO yang selama ini membaiki imej diktator perlu digunapakai?" soal Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Inilah dilema yang dihadapi Najib. Beliau hanya ada dua pilihan sahaja. Iaitu, mengaku bahawa kerajaan tersilap dengan menggunakan khidmat perisik Israel, atau kedua menghukum Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Omar Mustapha Ong, yang membawa APCO ke dalam pejabat PM melalui syarikat Mind Team dan Ethos Consultancy sebagaimana didakwa Anwar.

Umno masih belum pulih dan BN yang bercelaru


Kecelaruan semakin membungkam Najib, apabila Umno-BN gagal memberikan sokongan padu kepada PM, dengan serangan terbaru terhadap kepimpinannya.

Tatkala Najib bercakap mengenai 1Malaysia, tanpa mengira kaum dan warna kulit, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berdegar-degar bercakap soal kepentingan Melayu.

Najib bercakap soal pluralisme, Muhyiddin bercakap soal racisme. Ia kelihatan bercanggah. Tetapi mungkin juga ianya strategi untuk mengaut sokongan lebih banyak.
Apa pun dari segi dalaman Umno, sudah wujud persepsi PM dan TPM tidak sebulu, berlainan kem, sudah lama berlaku.

Ketika penulis bersembang-sembang dengan penganalisis MCA di Parlimen baru-baru ini, penulis melontarkan persoalan dikhabarkan wujudnya campur tangan pemimpin Umno yang cenderung menyokong puak-puak tertentu dalam MCA, beliau kelihatan tidak selesa.

"Kita tahu memang Umno tidak mahu 'orang tertentu' jadi Presiden MCA, tapi buat apa campur urusan MCA, dalam rumah Umno sendiri 'bocor', mereka belum pulih, tapi kata sudah pulih," bidas beliau.

Memang Umno belum pulih. Ketiga-tiga Naib Presiden yang ditempatkan menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, langsung tidak membantu Najib menguruskan Umno.

Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menerajui Pulau Pinang gagal mengawal Ketua Umno Bahagian dan ahli-ahli Umno berantakan sesama sendiri. Bergaduh dengan Gerakan dan menimbulkan pelbagai kekecohan sehingga menjejaskan Umno.

Di Terengganu, Dato' Seri Hishammuddin Hussein gagal mententeramkan gelodak perang kumpulan Dato' Seri Idris Jusoh dengan Dato' Ahmad Said. Umno Terengganu terus berpecah belah.

Di Kedah, Dato' Mohd Shafie Apdal lebih teruk, kerana didakwa gagal mengadakan mesyuarat perhubungan. Ketua-Ketua Umno Bahagian tidak menyokongnya. Mereka menolak orang Sabah dilantik memimpin orang Kedah.

Manakala di Perlis, pergaduhan antara puak Dato' Seri Shahidan Kassim dengan Dato' Seri Md Isa Sabu, berterusan. Kerajaan negeri terumbang-ambing, sama macam Umno Perlis, bergaduh hingga ke akar umbi.

Di Perak, selepas Dato' Seri Mohd Zambry Kadir disahkan oleh Mahkamah sebagai MB. Umno-BN tidak mampu mentadbir negeri dengan baik. Pegawai kerajaan dan rakyat tidak menyokong beliau. Sidang Dun dibuat dalam keadaan kelam kabut seumpama 'penjenayah yang mahu menyembunyikan harta rompakannya.

Di Pahang kerajaan negeri pimpinan Dato' Seri Adnan Yaakob dikhabarkan tidak mampu bertahan akibat keadaan kewangan negeri yang amat buruk. Hasil kerajaan, terutamanya balak sudah licin dikebas kroni. Saman syarikat balak tidak mampu dibayar. Dalam keadaan terumbang-ambing, kerajaan pusat terpaksa menampung bebanan besar kewangan Pahang.

Di Negeri Sembilan, kemasukan semula pesalah rasuah politik wang Umno, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dalam Dewan Undangan Negeri menjadikan kedudukan MB, Dato' Seri Mohamad Hassan bagaikan 'telur di hujung tanduk.'

Krisis Isa-Mohamad ini memang tajam. Selepas Isa tersingkir dari jawatan MB. Beliau dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Tetapi dijatuhkan selepas menang jawatan Naib Presiden Umno, dipercayai ada kaitan dengan usaha pihak tertentu dari Negeri Sembilan.

Perbalahan ini menjadi semakin tajam apabila ramai orang Mohamad, tewas jawatan Ketua Umno Bahagian dalam pemilihan tahun lepas. Dengan hanya kelebihan empat kerusi di Dun berbanding Pakatan Rakyat, Umno-BN Negeri Sembilan masih hidup tetapi bagaikan 'bernafas di dalam lumpur.'

Begitu juga di Melaka. Najib hanya memburukkan imej Umno-BN, dengan mengekalkan pesalah politik wang dalam Umno, Dato' Seri Mohd Ali Rustam sebagai Ketua Menteri.

Seperti kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, "Dia (PM) taruk (lantik) Ali Rustam jadi Ketua Menteri, sudah musnah dia punya imej mahu hapus rasuah.

"Sekarang kita boleh cakap, dia punya bising mahu hapus rasuah cuma 'menanam tebu di bibir mulut' sahaja,"katanya.

Sementara di Johor, kubu kuat Umno, berada dalam keadaan yang sama. Johor juga banyak warlord dalam Umno, banyak berpecah belah. Tetapi mereka masih beruntung kerana rakyat menyokong mereka.

Masalah besar kepada MB, Dato' Abdul Ghani Othman ialah kegagalannya mengurus ekonomi negeri sehingga ditegur dalam laporan audit. Pembangunan di WPI tidak berjalan dengan lancar.

"Lihat sahaja bangunan sebesar Johor Waterfront depan mata MB pun dia tidak nampak, terbengkalai macam 'gajah putih'. Itu pun Umno-BN tidak mampu uruskan," kata AJK PAS Pusat Mazlan Aliman.

Keseluruhannya kepada kita, jelas bahawa Umno masih gagal dan terus gagal dipulihkan. Keadaan ini ditambah terukkan oleh BN. Komponen-komponennya seperti MCA, Gerakan dan MIC, yang terus gagal berfungsi dan berpecah belah.

Sokongan, keampuhan dan kesepaduan Umno-BN terhadap kepimpinan Najib yang diuar-uarkan dalam media talibarut hanyalah kosmetik semata-mata. Ia tidak lebih sekadar usaha untuk 'membeli persepsi' baik rakyat terhadap PM.

Isu-isu yang menghantui


Memang PM kelihatannya nampak tenang. Tetapi sebenarnya kerajaan yang dipimpinnya serabut dengan pelbagai isu dan skandal yang menghantui.

Yang menghantui Najib bukannya hantu Altantuya Shaariibuu, tetapi kesan daripada kes pembunuhan warga Mongolia itu, begitu kuat impaknya kepada politik negara.

Isu yang membabitkan Najib atau isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dengan kematian Altantuya sebagaimana yang didakwa Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin tidak timbul.

Beliau melakukan pembohongan yang besar apabila mendakwa Anwar yang mengarahkannya mengaitkan Najib-Rosmah dengan Altantuya. Soal ini biarlah Anwar menjelaskannya.

Tetapi isu ini memang besar. Tetapi ia sudah dipencilkan, hanya kepada isu pembunuhan. Hakikat yang disembunyikan ialah soal rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.

Dari awal kes Altantuya dibongkarkan ialah isu komisyen. Altantuya datang ke Malaysia pada bulan Oktober 2006, untuk berjumpa dengan Abdul Razak Baginda kerana mahu menuntut baki komisyen yang dijanjikan hasil urusniaga kapal selam.

Pada tahun 2002, syarikat Perancis-Sepanyol bernama Armaris mencapai persetujuan untuk menjual tiga buah kapal selam kepada kerajaan Malaysia dengan harga satu bilion Euro, iaitu harga yang paling tinggi dalam sejarah penjualannya.

Kes ini membabitkan DCNS, sebuah syarikat Perancis, yang pakar dalam pembinaan kapal laut tentera. Armaris, yang menjual Scorpene dan satu kapal selam Agosta kepada Malaysia pada Jun 2002, dibeli oleh DCNS pada tahun 2007.

Dalam perbahasan Parlimen, iaitu pada sesi sidang belanjawan tahun 2004, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dr Syed Azman Syed Ahmad mendesak kerajaan menjelaskan kontrak pembelian kapal selam dengan sebuah syarikat di Perancis, DCN International yang melibatkan wang sebanyak RM 7.7 bilion.

Beliau berkata, sebuah syarikat milik Abdul Razak Baginda, Perimekar Sdn Bhd serta rakan kongsinya mendapat keuntungan lebih daripada RM300 juta hasil dari pembelian kapal selam tersebut.

Syarikat tersebut katanya, bertindak sebagai orang tengah dalam pembelian kapal selam itu antara DCN International dengan kerajaan Malaysia.

"Apakah peranan yang dimainkan oleh Abdul Razak Baginda dalam pembelian kapal selam ini sehingga meraih keuntungan sebanyak RM300 juta," soal beliau.

Di Dewan Rakyat, pada Oktober 2007, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Zainal Abidin Zin, mengakui bahawa Armaris telah membayar sebanyak 114 juta Euro sebagai komisyen kepada Perimekar, untuk tujuan perkhidmatan sokongan dan koordinasi.

Kes-kes ini sebenarnya mencetuskan keraguan, siapakah Altantuya sebenarnya. Adakah beliau broker yang digunakan dalam urusan jual beli? Dan, apakah tujuan sejumlah wang yang dibayar kepadanya oleh Razak Baginda sebelum beliau ditemui mati.

Masalah yang cuba ditutup di sini ialah hubungan rapat Razak Baginda dengan Najib-Rosmah, apakah kaitan mereka dengan Perimekar?

Persoalan-persoalan inilah yang berlegar di minda rakyat sebenarnya. Ia masih gagal dihapuskan Najib selepas setahun menjadi PM.

Persepsi yang sukar ditangkis


PM Najib barangkali mempunyai pendekatan yang tersendiri, namun beliau tidak terlepas dari persepsi buruk terhadap stail kepimpinannya.

"Dulu kita ada kerajaan tiga beranak, sekarang kita dipimpin oleh kerajaan suami isteri," getus seorang blogger orang kuat Umno.

Ia bukannya persepsi rakyat atau Pakatan Rakyat. Malah orang dalam Umno sendiri mengakui kalau hendak 'selamat' dalam Umno, mesti baik dengan Rosmah.

Ada sumber mengatakan, orang yang terbabit dalam urusan perniagaan pula mendakwa, jika hendak mendapat rezeki sama ada kontrak atau tender, juga mesti melalui Rosmah.

Malah pada peringkat awal Najib menjadi PM, ada dakwaan bahawa diarahkan kepada pihak tertentu, menyediakan bilik untuk Rosmah (di pejabat kerajaan), juga menyediakan tiga orang pegawai untuk beliau. Hal ini tidak pernah berlaku kepada PM-PM sebelum ini.

Situasi yang sebegini mencetuskan persepsi bahawa kemungkinan ada campur tangan Rosmah dalam pentadbiran Najib.

Barangkali keadaannya tidak begitu. Barangkali Rosmah tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran Najib. Tetapi jika ditanya rata-rata rakyat Malaysia, mereka akan mengatakan bahawa, persepsi mereka ialah, Rosmah yang dictate Najib.

Begitu juga yang dialami oleh Tun Abdullah Badawi. Semasa pemerintahannya dikaitkan dengan campur tangan isteri, anak dan menantunya dalam pentadbiran negara dan parti.

Dalam keadaan sekarang, jika persepsi terhadap Najib terus kekal begitu, ia amat membahayakan masa depan politik beliau. Selagi persepsi ini tidak dapat dihapuskan, selagi itulah Najib tidak akan dianggap pemimpin yang berjaya membawa perubahan.

Isu-isu kempen Hulu Selangor


Najib memasuki tahun kedua pemerintahannya dengan cabaran Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor. Hulu Selangor dianggap sebagai penentu 'hidup mati' karier politik beliau, dan juga penentu masa depan BN.

Terdapat banyak isu yang tidak dapat dihuraikan secara terperinci dalam kolum yang terhad ini. Barangkali cukup sekadar catatan ringkas, untuk dikaji lebih teliti buat kempen Pakatan Rakyat di Hulu Selangor nanti.

Antaranya ialah isu pesawat pejuang Sukhoi bernilai RM3.2 bilion, yang didakwa membabitkan pembayaran komisyen yang besar juga belum selesai.

Isu GST (cukai barangan dan perkhidmatan) yang menekan dan menindas rakyat terpaksa ditangguhkan pembentangannya di Parlimen kerana bantahan Pakatan Rakyat, juga merupakan satu rekod buruk.

Dua isu besar yang membahayakan keselamatan negara secara khusus iaitu, isu kehilangan enjin jet F5E bernilai 50 juta dan pengakuan kerajaan bahawa maklumat pertahanan negara bocor kepada kedutaan asing juga memalukan negara. Malah yang lebih buruknya ialah, kedua-dua kes ini berlaku semasa Najib menjadi Menteri Pertahanan.

Isu royalti Kelantan juga harus diketengahkan. Ia bukan soal Najib semata-mata, ianya adalah merupakan salah laku pemimpin Umno, bermula pada Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghalang Terengganu yang diperintah PAS menerima royalti. Mereka tidak peduli walaupun penduduk Terengganu lebih 90 peratus orang Melayu.

Dasar ini diteruskan oleh Abdullah, sehingga wang ihsan digunakan oleh Umno sewenang-wenangnya, melakukan projek yang membazirkan wang rakyat. Penyelewengan wang ihsan terbukti dengan runtuhnya beberapa buah bangunan di Terengganu walaupun hanya baru beberapa tahun dibina.

Kepincangan dasar terhadap orang Melayu juga harus dibangkitkan. Isu PPSMI misalnya. Walaupun kerajaan sudah mengumumkan ia akan dihapuskan pada tahun 2012, namun kesan buruknya terhadap rakyat, sudah dan sedang berlaku pada waktu ini.

Isu ini sebenarnya membuktikan betapa rakusnya pemimpin Umno, untuk mempertahankan kuasa, orang-orang Melayu dimangsakan.

Antara lain yang diboleh dibangkitkan ialah isu Model Ekonomi Baru (MEB), isu Felda dan sebagainya.

Kesimpulan


Daripada rentetan skandal, penyelewengan dan isu yang dipaparkan dalam catatan ini, amat jelas, banyak persoalan yang masih kabur menghantui kepimpinan Najib.

Sehingga kini, Najib ternyata gagal mengurus persepsi bahawa pemerintahannya tiada beza dengan Abdullah.

Data dari skala politik, ekonomi dan sosial menunjukkan dengan jelas bahawa usaha Najib untuk membawa reform, bagi menarik sokongan rakyat pelbagai kaum kepadanya masih gagal

Setakat ini, dalam tempoh setahun, report cardnya dipenuhi dengan dakwat merah. Sekiranya dakwat merah ini berterusan sehingga PRU ke-13, maka beliau berkemungkinan besar menjadi PM terakhir daripada Umno-BN

Selangor Ikut Jika Pusat Beri Peruntukan Kepada Semua Ahli Parlimen, ADUN

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri sedia memberi peruntukan kewangan kepada semua Ahli Dewan Negeri sekiranya kerajaan pusat juga bersedia berbuat demikian kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti.

Kata beliau, ini berikutan tindakan kerajaan pusat yang bersikap selektif dengan hanya memberikan peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional sahaja tetapi mengenepikan hak yang sepatutnya diterima Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat.

"Jadi mengambil contoh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri juga memberi peruntukan melalui Ahli-ahli Dewan Negeri Pakatan sahaja. Kalau kerajaan persekutuan bersedia, kerajaan negeri juga bersedia melakukannya. Hari ini kerajaan persekutuan membuat pengumuman, esok kerajaan negeri akan juga menerima pengumuman tersebut," katanya pada sidang media selepas majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Negeri Selangor kali ke-12 di sini hari ini.

Mengulas mengenai penambahan peruntukan, Khalid menjelaskan setakat ini tiada lagi cadangan berbuat demikian sebaliknya beliau menegaskan peruntukan sedia ada hendaklah digunakan sebaik-baiknya.

"Kita telah menerima hakikat bahawa Dewan Negeri Selangor ada mempunyai jawatankuasa khas yang juga memantau cara peruntukan itu digunakan. Jadi apa yang ingin saya katakan terdapat 'check and balance' dari segi kuasa yang diberi.

"Saya juga diberitahu tiap-tiap kawasan Parlimen, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM1 juta tetapi peruntukan itu disalurkan hanya kepada Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional walaupun saya dan Teresa Kok ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan juga Seputeh tetapi kami tidak dapat peruntukan tersebut.

"Malangnya peruntukan tersebut telah diberi kepada Ketua Bahagian Umno Bandar Tun Razak. Di negeri pula, kita juga memberi peruntukan sebanyak RM450,000 hingga RM500,000 kepada setiap Dewan Negeri dan peruntukan itu diberi melalui Ahli Dewan Pakatan sahaja. Jadi bagi mana-mana kawasan yang tiada wakil daripada Pakatan umpamanya seperti Sungai Panjang, kita bagi kepada Exco supaya dia menjadi ADUN angkat kepada kawasan tersebut," jelas Menteri Besar lagi.

PENGUNDI HULU SELANGOR DIMINTA AMBIL IKTIBAR JANJI PALSU UMNO-BN DI BAGAN PINANG

Setiap kali pilihanraya umum atau kecil, pemimpin Umno-BN akan menjadi makhluk yang paling pemurah, tawadhuk dan baik hati dalam dunia. Mana-mana yang perlukan bantuan sepantas kilat akan dibantu. Pada masa pilihanraya raya adalah ketika kita akan bertemu pemimpin Umno-BN berkain batik dan berkain pelikat mengayuh basikal memasuki setiap lorong dan ceruk kampung.

Dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang lalu, pelbagai bantuan dan janji ditabur. Keputusan diumumkan Umno-BN menang besar dengan majoriti lebih sekali ganda berbanding pilihanraya umum sebelumnya.

Antara janji Umno-BN ketika itu akan menyelesaikan masalah naik taraf jalaraya dari Telok Kemang ke Pasir Panjang. Apa yang berlaku? Sehingga hari ini walaupun pilihanraya kecil Bagan Pinang sudah lama berlalu, penduduk setempat terus bergelumang dengan masalah debu dan banjir akibat pembinaan jalan yang terbengkalai itu.

Penduduk kaum India di estet Bagan Pinang yang dijanjikan pembinaan kuaters baru di kawasan estet mereka terus melopong dan kempunan menunggu janji-janji pemimpin Umno-BN
yang dItabur dalam pilihanraya kecil lalu.

Kini, pilihanraya kecil Hulu Selangor pula , Umno-BN cukup mengharapkan undian dan sokongan pengundi India di situ. Apakah pengundi India di situ akan termakan umpan seperti di Bagan Pinang? Jika begitu keadaannya maka benarlah pengundi India hanyalah alat Umno-BN untuk memenangi pilihanraya dan bukannya untuk membela dan menjaga kebajikan mereka. Pengundi India perlu perlu berubah dan berani mengajar pemimpin Umno-BN agar mereka tidak dilabelkan sebagai rakyat kelas tiga di negara ini.

Pakatan bincang strategi jika Anwar digantung

Kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) akan membincangkan strategi pada Rabu ini jika Parlimen menggantung Datuk Seri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengaitkan 1 Malaysia dengan konsep One Israel.

Kerajaan Barisan Nasional akan merujuk Anwar, yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 22 April ini atas alasan beliau gagal memberikan bukti kukuh untuk menyokong dakwaannya itu

Difahamkan pemimpin-pemimpin PR akan membincangkan kemungkinan itu apabila usul menggantung Ahli Parlimen Permatang Pauh ini dibentangkan.

Anwar, Ketua Umum PR menegaskan, APCO menyediakan perkhidmatan kepada usaha pembentukan konsep 1Malaysia kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan One Israel yang diperkenalkan oleh Ehud Barak.

Bagaimanapun APCO menafikan kaitannya dengan konsep One Israel dan berkata, initiatif 1Malaysia dirangka sebelum pembabitan syarikat dalam menyediakan perkhidmatannya.

Bagaimanapun akhbar Singapura, The Straits Times mendedahkan dokumen-dokumen Jabatan Kehakiman AS menunjukkan firma perhubungan awam antarabangsa itu menyertai perjanjian menyediakan perkhidmatannya bagi Israel pada 1992

Monday, April 12, 2010

Tindakan hina mahkamah ke atas Nazri


Keluarga Teoh Beng Hock mungkin memfailkan usul menghina mahkamah ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana menuduh pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand sebagai 'pembohong'.

Ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng (kiri), yang juga peguam untuk keluarga Teoh berkata di lobi Parlimen hari ini bahawa tindakan itu mungkin diambil pada 20 April ini apabila inkues berkenaan bersambung.

Nazri melabelkan Dr Pornthip sebagai pembohong selepas pakar patologi itu mendakwa dia berdepan dengan 'tekanan politik' daripada kerajaan Malaysia berhubung pembabitannya dengan inkues itu.

"Adakah Nazri mempunyai bukti bagi menyokong dakwaannya itu? Jika tidak, bukankah kenyataannya itu bersifat menghina mahkamah?" soal Lip Eng.

Ahli parlimen DAP itu juga telah memfailkan notis mengikut Peraturan 18(2) bagi mendebatkan dakwaan Pornthip di Dewan Rakyat sebagai sesuatu yang mempunyai kepentingan umum.

“Rakyat berhak mengetahui jika ada kebenaran dalam dakwaan itu. Mengapa dia dihalang daripada memasuki Kelantan awal tahun ini? Ancaman yang macam mana negara ini akan terdedah jika dia dibenarkan masuk? Adakah dia seorang pengganas atau perisik asing?” soalnya.

Seorang lagi peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo (kanan) berkata Nazri seharusnya menjelaskan mengapa dia menudup Pornthip sebagai pembohong.

"Saya cabarnya supaya tampil jika dia mempunyai bukti bahawa Pornthip telah menipu dalam pengakuannya ketika inkues,” katanya sambil menuntut Nazri mengemukakan bukti di mahkamah nanti.

“Jika Nazri gagal membuktikan tuduhan itu, kita akan bertindak. Satu cara ialah mengenakan usul menghina mahkamah ke atas Nazri. Kita akan putuskan tidak lama lagi menjelang 20 April ini.”

Adik Teoh, Lee Lan (kiri), melahirkan harapan agar Pornthip akan hadir memberi keterangannya.

“Sudah tentu kami mahu dia datang kerana dia adalah saksi penting dan semua orang seharusnya mempunyai peluang untuk memberi keterangan dalam inkues itu,” katanya ketika dihubungi.

Gobind, yang juga ahli parlimen Puchong menggesa peguam negara (AG) untuk campur tangan kerana pejabatnya juga terbabit dalam inkues itu.

"Bila seorang ahli profesional dari negara luar mendakwa dia diugut olreh kerajaan, AG sepatutnya campur tangan,” katanya.

Tambahnya, kenyataan Nazri adalah tidak adil kerana dia membuat kesimpulan sebelum siasatan dijalankan.

“Jika Nazri tidak mempunyai bukti, dia sepatutnya memohon maaf terhadap Pornthip,” katanya.

Pemimpin veteran DAP yang juga ahli parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang (kanan) bersetuju dengan Gobind.

Menurut Lim Nazri sepatutnya menarik balik kenytaannnya itu dan memohon maaf kepada pakar patologi Thailand itu.

Lim juga menggesa jemaah menteri supaya mengadakan mesyuarat khas untuk memberi jaminan kepada Pornthip bahawa dia boleh memberi keterangan tanapa sebarang tekanan dan keselamatannya semasa berada di negara ini adalah terjamin.

Hulu Selangor saksikan Najib-Muhyiddin makin retak?


Menjelang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, hubungan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipersoalkan oleh sesetengah pemerhati politik kerana berjaya membiarkan Datuk Seri Najib Razak keseorangan berkempen di Hulu Selangor minggu lalu.

Perdana Menteri datang tanpa kehadiran pemimpin kanan Umno, cuma kelihatan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dan pemimpin Umno Selangor.

Kalau diambil kira dari segi kepentingan politik, kehadiran pemimpin kanan Umno di Hulu Selangor lebih penting bagi menghadapi pilihan raya kecil kawasan ini pada 25 April ini.

Situasi yang berlaku itu boleh diimbau terhadap pergolakan yang melanda kepimpinan tertinggi Umno sebelum ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menafikan berkali-kali ada masalah dengan timbalannya, sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada 2 September 1998.

Begitu juga Dr Mahathir dengan Tun Musa Hitam, sebelum beliau digantikan Tun Ghaffar Baba di kerusi Timbalan Perdana Menteri.

Di Terengganu, konfrantasi antara Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Ahmad Said pada awal dinafikan, akhirnya tembelang pecah juga.

Situasi serupa melingkari Datuk Seri Shahidan Kassim dengan Datuk Dr Mohd Isa Sabu di Perlis.

Dalam dunia politik banyak kali sejarah dicatat, penafian akhirnya menjadi kenyataan. Begitu juga dengan episod Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang.

Ketika datang merasmikan program Juara Rakyat di Machang, Kelantan minggu lalu, tiba-tiba beliau menyebut tiada masalah dengan Datuk Seri Najib Razak.

Tiada seorang pun tanya sehingga perlu dijawab begitu. Ramai melihat sebagai seorang pemimpin ‘jujur’ Muhyiddin tidak mampu untuk menyembunyikan apa yang berlaku.

Tidak perlu Muhyiddin untuk menafikan perkara tersebut di khalayak ramai, tanpa udang di sebalik batu. Orang kampung yang tidak mengetahui hubungan dingin Muhyiddin-Najib akhirnya tahu juga.

Mungkin Timbalan Presiden Umno cuba bagi membuat pengakuan jujur di hadapan tiga Naib Presiden Umno di Kelantan, mengambil berkat Serambi Mekah.

Timbalan Perdana Menteri seperti mahu melafazkan pengakuan bersaksi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.

Berdasar fenomena itu, Muhyiddin sudah benar-benar gelabah sekarang. Dr Mahathir pernah mempunyai empat Timbalan Menteri Perdana sepanjang berada di puncak kuasa.

“Mungkin fenomena itu boleh diulangi Najib. Ini kerana mentor Najib ialah Dr Mahathir dan bukannya bapanya sendiri.

”Najib banyak terhutang budi kepada Dr Mahathir kerana berjaya menyingkirkan Tun Abdullah Ahmad Badawi lebih awal,” kata seorang bekas pegawai kanan kerajaan.

Hayat Muhyiddin juga tidak mungkin panjang di kerusi sekarang kerana di ibu pejabat Umno di PWTC, Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor dikatakan sudah meletak orangnya menguasai posisi di situ.

Kehadiran Datuk Rauf Yusoff sebagai Setiausaha Kerja Umno Malaysia difahamkan ada kaitan dengan Najib-Rosmah.

Sumber Umno di Kuala Lumpur memberitahu pegawai dan kakitangan di pejabat berkenaan tidak senang dengan kehadiran Rauf.

“Saya diberitahu baru-baru ini ada bantahan di kalangan petugas di pejabat Umno kerana tidak puas hati terhadap tindak tanduk Rauf,” dakwanya.

Cengkaman Najib-Rosmah sudah terbenam jauh apabila didedah ada arahan supaya media kerajaan membuat liputan meluas lawatan Rosmah ke Amerika Syarikat minggu ini.

Gobind: "Kami Akan Buktikan Beng Hock Dibunuh"


Gobind Singh De0, peguambela keluarga Teoh Beng Hock yakin bukti bahawa pembantu politik itu dibunuh dan bukan mati akbikat terjatuh daripada bangunan akan terserlah akhirnya walaupun pakar patologi, Dr Pornthip Rojanasunand dihalang memberi keterangan oleh kerajaan Malaysia.

Malah beliau tidak terkejut dengan kenyataan Dr Pornthip bahawa pakar bedah itu menerima tekanan dari kerajaan Malaysia memandangkan pelbagai ugutan yang diterima beliau sebelum ini.

Dalam satu emel kepada Suara Keadilan, Ahli Parlimen Puchong itu berkata pihaknya akan berusaha melepasi halangi terbaru ini melalui pndekatan alternatif.

"Saya merujuk laporan Malaysiakini hari ini yang menyatakan Dr Pornthip tidak akan menghadiri inkues tersebut pada 20 April 2010. Ini tidak menghairankan berdasarkan kepada perkembangan kes.

"Kami telah menjalani inkues yang panjang dan berharap keputusan akan diperolehi seawal yang mungkin. Ini bukan pertama kali beliau mendakwa digangggu ketika dipanggil dalam inkues Teoh Beng Hock.

"Kami berharap agar Dr Pornthip dapat hadir ke mahkamah. Jika tidak, kami akan mencari jalan alternatif supaya beliau dapat mengemukakan bukti-bukti beliau.

"Jika itu juga gagal, kami akan meneruskan dengan apa yang kami ada dan kami percaya kami akan masih berjaya mengemukakan kes yang mana Teoh Beng Hock bukan bunuh diri sebaliknya adalah jelas kes itu adalah satu pembunuhan," kata Gobind.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mahu kerajaan Malaysia memberi penjelasan kenapa perlu campurtangan dalam isu keadilan membabitkan kes pembunuhan Beng Hock sehingga terpaksa memberikan tekanan kepada Dr Pornthip.

Dr Pornthip merupakan pemerhati dalam bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas mayat Beng Hock.

Beliau, sebelum ini mendakwa berlaku unsur-unsur pembunuhan terhadap mangsa yang mati ketika dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Strategi KEADILAN itu berkata tekanan dan campurtangan yang diberikan kerajaan Malaysia dalam kes itu membuktikan kerajaan takut dan cuba menyembunyikan kebenaran dari pengetahun umum.

"Kenapa takut sangat dengan Dr Pornthip, kenapa tidak benarkan beliau untuk memberi keterangan dan biarkan mahkamah putuskan keadilan dalam kes ini. Sebaliknya kerajaan menggunakan kuasanya untuk menekan dan menghalang kebenaran. Ini membuktikan kerajaan tidak berani berhadapan dalam kes ini yang melibatkan pembunuhan dalam institusi kerajaan," katanya kepada Suara Keadilan.

Tian turut mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz hari ini yang mendakwa Dr Pornthip berbohong dengan membuat kenyataan bahawa beliau dihalang memasuki negara ini untuk menghadiri inkues Beng Hock pada 20 April depan.

"Nazri tidak ada hak untuk membuat sebarang penilaian kerana kes itu sedang berjalan dalam inkues siasatan. Beliau tidak berhak untuk mendakwa Pornthip berbohong dan perkara ini menunjukkan kerajaan benar-benar takut. Kenyataan Nazri menunjukkan keangkuhan beliau dan menghina seorang pakar perubatan yang mempunyai prestasi tinggi, terkenal dan dihormati masyarakat antrabangsa kerana tahap profesionalismanya," kata beliau lagi.

Beliau menganggap kenyataan Nazri itu melampaui bidang kuasa mahkamah kerana kes itu kini sedang di dengar dalam inkues kematian pembantu politik berkenaan.

Tian mendesak kerajaan supaya kerajaan tidak bertindak sesuka hati dengan menghalang dan memberi tekanan kepada pakar berkenaan supaya kes itu boleh didengar dan diadili sebaik mungkin.

Brahim Ali bercakap soal Akidah?

Perkasa sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan yang dikepalai oleh Ibrahim Ali yang ditubuhkan semata-mata untuk memperjuangkan hak dan keistimewaan Bangsa Melayu secara rasmi menolak jawatankuasa antara agama tetapi meletakkan syarat jika mahukan pengiktirafan pihaknya.


Apa yang menyebabkan Brahim Ali merasakan adalah perlu mendapatkan pengiktirafan dari PERKASA dahulu sebelum Jawatankuasa Antara Agama ini bergerak?

Sedangkan pemimpin MCA dan GERAKAN pun tidak takut akan gertakan dari PERKASA ini.. inikan pula pemimpin atau Menteri menteri dari BN..

Sebenarnya aku bukan nak mengulas pasal samada PERKASA nak iktiraf Jawatankuasa Antara Agama atau tidak..

Brahim Ali yang selama ini begitu bertegas tentang ketuanan Melayu, berapi-api bercakap soal Melayu seolah-olah Bangsa Melayu itu terlalu mulia dijadikan Allah dimuka bumi ini, tiba-tiba hari ini bercakap soal akidah..

Brahim Ali seorang Assobiyah bercakap tentang Akidah?

Mungkin ketika galak memperjuangkan dan mempertahankan Hak Keistimewaan orang Melayu dari siapa entah, Brahim Ali terlupa Rasulullah SAW telah bersabda…

"Bukan dari kalangan kami, mereka yang menyeru kepada asobiyyah. Bukan dari kalangan kami, mereka yang berperang atas dasar asobiyyah. Bukan dari kalangan kami, mereka yang mati atas dasar asobiyyah." (Sunan Abu Daud)

Apa makna Assobiyah?

Al-Imam Yusuf al Qardhawi menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan perkauman, kenegaraan atau assobiah itu ialah wala' (taat setia) seseorang muslim itu hanya kepada sesuatu kawasan sahaja atau kepada jenis bangsa tertentu sahaja. Dengan itu hubungan kenegaraan dan puak didahulukan (dilebihkan) daripada unsur lain.

Dalam erti kata yang lain assobiah itu beerti pertolongan, kasih sayang, ketaatan dan yang seumpamanya dari seseorang kepada pihak lain berdasarkan kepada ikatan kekeluargaan, kekumpulanan, kebangsaan, kenegaraan dan sebagainya tanpa didasarkan oleh asas agama.

Jika yang dimaksud Melayu itu sebagai Islam seperti yang orang Melayu faham. Maka ia bererti sesuatu yang dituntut. Tetapi jika yang diertikan Melayu sekadar satu bangsa, dalam masa yang sama menidakkan hak bangsa lain. Maka ia bererti telah bersikap assobiyah.

Jika kita termasuk dalam definasi di atas, atau sikap mempertahankan melayu seperti definasi di atas. Maka ia adalah sesuatu yang dilarang.

Sama-sama kita fikirkan. Apabila kita berjuang atas nama Islam, maka ia akan menyelamatkan kita dari setiap sudut. Tetapi jika kita berjuang atas nama bangsa maka ia akan membawa kita kepada pelbagai syubhat yang bahaya.

Sunday, April 11, 2010

Rakyat yang berilmu akan tolak BN

Peningkatan kesedaran Islam turut akan menjadi faktor penentu kepada kemenangan Pakatan Rakyat di Hulu Selangor.


Selangor di bawah Pakatan Rakyat telah menyuburkan budaya ilmu di kalangan masyarakat Islam dengan menyediakan peluang-peluang bagi mereka untuk menambah ilmu pengetahuan. Masjid-masjid dan surau-surau giat menganjurkan majlis-majlis ilmu seperti kuliah, tazkirah dan forum. Ia menjadi pusat ilmu.

Apabila rakyat menjadi semakin berilmu mereka akan dapat menilai dengan tepat pemimpin yang paling layak untuk memimpin mereka.

Contohnya Al-Quran mengajar umat Islam bahawa Yahudi akan sentiasa memusuhi umat Islam maka umat Islam yang memahami hakikat ini akan menolak mana-mana pemimpin yang bersekongkol dengan Yahudi.

Dengan kesedaran terhadap aspek-aspek kerohanian ini maka rakyat juga akan menolak mereka yang mengamalkan budaya rasuah dan salahguna kuasa.

Walau bagaimanapun, Umno dan Barisan Nasional mahu rakyat terus jahil. Apabila rakyat jahil maka senanglah mereka diperbodoh-bodohkan.

Ketika pemerintahan Barisan Nasional di Selangor, program-program di masjid dan surau tidak sebanyak sekarang. Ramai penceramah-penceramah disekat dan dihalang.

Tetapi apabila Dato Hasan Mohd. Ali dari PAS dilantik menjadi Exco menjaga hal ehwal agama Islam, masjid dan surau telah kembali menjadi tempat tumpuan masyarakat. Khutbah-khutbah Jumaat juga menjadi lebih bertenaga dan sidang Jumaat tidak mengantuk seperti dulu.

Search This Blog