Friday, June 11, 2010

Sidang akhbar jelas isu lesen judi sukan dibatalkan

Satu sidang media khas yang dijadualkan hari ini bagi menjelaskan isu pemberian lesen judi sukan dibatalkan di saat terakhir.

Malaysiakini difahamkan, sidang media oleh menteri hal ehwal agama Datuk Jamil Khir Baharom itu dibatalkan atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kira-kira 40 orang petugas media menuggu di ruang mesyuarat Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya selama satu jam sejam pagi ini untuk sidang media berkenaan.

"Perdana menteri sendiri akan buat penjelasan tersebut," menurut sumber.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Najib akan membuat penjelasan tersebut hari ini.

Beliau hadir hari ini bagi menghadiri upacara perasmian masjid ini, yang akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Muktamar Tangan kanan hulur salam, tangan kiri lipat senjata

"Saya rakamkan semula di sini bukan untuk mengungkit luka lama agar berdarah kembali, jauh sekali mahu melemparkan bara dendam untuk dimarakkan, tetapi untuk menjadi pengajaran kepada kita semua di dalam menongkah perjuangan," kata Nik Aziz

ingin saya peringatkan, lembaran sejarah mencatit UMNO dan Barisan Nasional ialah rakan yang tidak setia, tangan kanan menghulur salam, tangan kiri melipat senjata," demikianlah yang disifatkan oleh Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat ketika mengungkit pengalaman kerjasama antara PAS dengan UMNO-BN.

PAS sebagai parti politik pernah menawan Kelantan dan Terengganu dalam PRU pada tahun 1959, kemudian menyambut huluran tangan Allahyarham Abdul Razak, Perdana Menteri pada tahun 1973 untuk menyertai BN. Bagaimanapun, kerjasama yang bermatlamatkan perpaduan ini berakhir dengan perpechan dalam PAS, dengan munculnya Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa, kata Nik Aziz.

Nik Aziz berkata sedemikian dalam ucapan perasmian serentak Muktamar Tahunan Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Pusat di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan, Pengkalan Chepa, semalam.

Alternatif kepada BN dalam PRU 13

Nik Aziz kemudian mengulas bagaimana PAS menjalin kerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Nasional (Parti Keadilan Rakyat kemudiannya) untuk membentuk Barisan Alternatif pada PRU tahun 1999, dan mencapai muafakat "satu lawan satu" dalam PRU tahun 2008, yang berakhir dengan kemenangan kepada pembangkang.

"Strategi sebegini amat penting kerana nilai perjuangan suci kita adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat, lantaran kita telah melihat sendiri kesan politik dan pentadbiran kerajaan BN yang menimbulkan pelbagai kekalutan kepada rakyat dan negara. Berlaku semakin serius gejala maksiat, buang bayi, pembunuhan, rompakan, rasuah, kemelesetan dan sebagainya," ulasnya.

"Atas alasan inilah, kita mahu menjadi alternatif kepada BN bagi menghadapi pilihanraya umum nanti. Pilihanraya tidak berlaku empat atau lima tahun sekali. Bagi orang yang beragama, pilihanraya berlaku setiap saat antara nafsu ammarah, lawwamah dan mutmainnah," tambahnya.

Eratkan hubungan dengan DAP-PKR

"Kita mahu eratkan hubungan dengan DAP dan PKR dan kita mahu rakyat memberikan mandat kepada kita. Justeru itu, kita hendaklah berani menawarkan alternatif ini dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa kita akan membuang semua unsur-unsur kerosakan yang ada di dalam kerajaan UMNO pada hari ini dan menggantikannya dengan amalan pentadbiran bersifat good governence iaitu berintergeriti, adil, bermoral, cekap, telus dan bertanggungjawab."

Nik Aziz cukup optimis dengan masa depan PR, "Perjalanan kita masih panjang, noktah perjuangan kita masih jauh. Namun, tanda-tanda kemenangan sudah kelihatan. Walaupun guruh di langit bukan menandakan hujan akan turun, namun sekurang-kurangnya harapan ada untuk menyaksikan kemarau akan berakhir."

"Lantaran itu, ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa masa depan ialah bersama Pakatan Rakyat di dalam membina Malaysia yang baru. Memahami realiti semua, maka PAS mestilah bersedia menunjukkan kehebatan dan kehebatan PAS itu adalah sentiasa berpegang kepada prinsip tidak mengasingkan agama dan politik, mempertahankan al-Quran dan Sunnah Nabi serta sentiasa berusaha ke arah penyatuan umat. Dr Yusuf al-Qaradawi selalu menggunakan istilah asolah al-Islam wa hadathah al-siyasah."

PAS perlu lebih cergas meraih sokongan Melayu

Nik Aziz turut mengulas perkembangan terkini senario politik tanah air, yang menyaksikan kecenderungan pengundi bukan Melayu kepada PR, dan Melayu kepada BN di sebaliknya.

"PRU12 dan siri pilihan raya kecil yang berlaku selepasnya, termasuklah terbaru di Hulu Selangor dan Sibu, jelas sekali bagaimana BN telah ditolak secara total oleh pengundi bukan Melayu. Hari ini, tidak dinafikan bahawa yang menjadi tongkat Barisan Nasional ialah pengundi Melayu."

Beliau berkata, "Saya suka mengingatkan agar memerhati perkembangan ini dengan serius. PAS sebagai alternatif kepada UMNO perlu bergerak dengan lebih cergas di dalam meraih sokongan pengundi Melayu. Jangan dibiarkan orang-orang Melayu terus ditipu hidup-hidup dengan momokan 'Ketuanan Melayu' yang merupakan dongengan pemimpin UMNO."

Nik Aziz sempat mengungkit isu royalti minyak, "Orang-orang Melayu perlu diingatkan bahawa keris yang dijulang oleh pemimpin UMNO itu bukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka. Buktinya, Kelantan sebagai negeri yang majoritinya Melayu dinafikan hak untuk mendapatkan royalti minyak daripada buminya sendiri. Projek-projek pembangunan daripada Pusat semuanya diserahkan kepada jabatan mereka sendiri. Semacam kerajaan Kelantan sekarang tidak sah dan pegawai-pegawai tidak berpelajaran, lemah dan korup."

Selain menyasarkan pengundi Melayu, Nik Aziz turut berharap agar PAS meningkatkan usaha untuk memperkenalkan Islam kepada golongan Non-muslim, yang digelar sebagai "saudara kita".

Islam bukan milik bangsa Melayu

"Sudah sampai masanya untuk kita lebih serius mewajahkan semula Islam yang telah disolek dengan buruk oleh UMNO. Masyarakat Malaysia perlu disedarkan bahawa Islam bukan milik bangsa Melayu. Bahkan sejarah menyebut kaum Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam sebelum bangsa Melayu sendiri di benua masing-masing sebelum bangsa Melayu sendiri menerima Islam kira-kira 500 ratus tahun dahulu."

Menyentuh usaha PAS untuk mendampingi bukan muslim, Nik Aziz berkata, "Pada kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah di atas penubuhan Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (ringkasnya Dewan Penyokong PAS). Dewan Penyokong ini adalah pemimpin dan ahlinya terdiri daripada rakan-rakan kita Nonmuslim yang sedia berjuang bersama kita."

"Ini merupakan satu langkah ke hadapan yang telah diambil ke arah mendekatkan perjuangan PAS kepada golongan bukan Islam (Nonmuslim). Alhamdulillah, saya melihat fobia terhadap PAS sudah terhapus di kalangan orang-orang bukan Islam."

"PAS sebelum ini dijadikan sebagai hantu oleh UMNO untuk menakutkan Non-muslim. Hantu itu sudah tidak wujud lagi, bahkan jika ia wujud juga, maka UMNO-lah hantunya. Tinggalkanlah UMNO dengan labu-labu kebangsaannya. PAS perlu terus melihat ke hadapan mengorak langkah memperkenalkan Islam sebagai cara hidup yang lurus."

"Saya optimis, jika masyarakat Non-muslim berjaya memahami Islam yang sebenar, InsyaAllah pisau-pisau perkauman yang sekarang galak diasah oleh BN akan tumpul dengan sendiri dan akan memakan tuannya."

Sepakat Putrajaya

"Bertolak daripada gagasan menghadapi pilihanraya umum ke-13, ke arah menjadikan PAS sebagai peneraju politik negara, maka PAS hendaklah menguasai politik Melayu Muslim dan sekaligus mendapat kepercayaan pengundi bukan Melayu-Non Muslim. Melihat kepada sambutan rakyat sejak pilihan raya umum 2008 dan 11 pilihan raya kecil, dapat dikatakan bahawa telah berlaku tsunami politik kalangan pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina."

"Terbaru, atas nama Pakatan Rakyat kita berjaya merampas parlimen Sibu dari Barisan Nasional. Ia adalah bukti peningkatan keyakinan rakyat terhadap pendekatan politik baru Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN."

"Justeru, kita yakin mood rakyat sekarang adalah bersama Pakatan Rakyat. Rakyat sudah jemu dengan pendekatan politik kebendaan 'beli undi' dan sekular Barisan Nasional. Atas prinsip politik Pakatan Rakyat yang mula diterima ini, maka PAS hendaklah bersama dengan mood rakyat."

Susahnya jika lidah Menteri kita "bercabang"


Malunya Malaysia punya menteri sebegini! Dalam sehari dua ini Parlimen Malaysia menjadi tempat pertunjukkan "spesis" lidah bercabang!

Yang pertamanya PM Najib menyatakan dalam Parlimen,beliau belum lagi keluar lesen judi bola. Beliau tunggu reaksi rakyat dahulu. Manakala diluar Parlimen, dengan bangganya Vincent Tan menyatakan Berjaya telah diberi lesen untuk kegiatan judi bola.

Yang keduanya, Menteri Nazri Aziz menjawab secara bertulis kepada MP Kota Melaka bahawa kabinet telah PUTUSKAN untuk buat bangunan Parlimen baru berharga Rm800juta di Putrajaya. Manakala dalam sidang media di luar Parlimen, Nazri menyatakan kabinet masih BERBINCANG untuk membuat keputusan.

Adakah menteri kabinet kita begitu "bodoh" matematik tidak tahu nilai RM150 juta untuk baiki Parlimen lebih murah berbanding buat bangunan baru dengan harga RM800 juta?

Atau dalam kepala mereka sudah terbayangkan habuan komisen projek RM800 juta?

Benarlah kata Sasterawan Negara A.Samad Said, Malaysia punya menteri yang mempunyai lidang bercabang dua dan telinga satu!

Thursday, June 10, 2010

Pemuda bimbang isu lompat serang parti

Pemuda PAS mengambil sikap berhati-hati dalam membuat pemilihan calon untuk pilihan raya akan datang dan berharap pimpinan parti memandang serius isu lompat parti yang berlaku masa kini.

Demikian dijelaskan oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar Muktamar Pemuda kali ke-51 hari ini.

Nasrudin mengulas kebimbangan pemuda PAS agar tidak berlaku dalam parti seperti tangkap muat atau tunjuk muka ketika memilih calon.

"Calon yang akan bertanding dalam pilihan raya adalah merupakan seorang bakal pemimpin dan ia semestinya melalui proses pentarbiyahan yang mantap terlebih dahulu dan berdasarkan merit," ujar beliau lagi.

Bagi merealisasikan pentarbiyahan terancang, katanya, Pemuda PAS akan menubuhkan Akademi Tarbiyah Pemuda untuk melahirkan penggerak tarbiyah yang mahir di setiap organ dan peringkat dewan pemuda.

Pemuda PAS, tambahnya melalui lajnah tarbiyahnya berjaya menubuhkan Majlis Naqibun Nuqaba yang berperanan sebagai skuad khas dan penggerak utama Amal Tarbawi.

Beliau juga berkata, isu lompat parti berlaku kerana calon maupun wakil-wakil rakyat tersebut tidak mempunyai prinsip perjuangan yang kukuh dan ini berlaku kerana ketiadaan tarbiyah yang kukuh.

Menyentuh seruan, beliau kepada beberapa tokoh dalam Umno masa kini yang dulunya pernah berada dalam jemaah PAS, beliau berkata seruan tersebut dibuat kerana mereka ini pernah mempunyai fikrah dan perjuangan PAS.

"Biasalah seruan itu dibuat, dalam rumahtangga sendiripun ada yang berlaku penceraian dan bila dipujuk dan nampak kebenarannya, selepas edah boleh rujuk semula," kata beliau lagi.

Peguam Negara Bakal Hilang Kuasa Mutlak Pendakwaan

Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah akan mencadangkan kepada kerajaan supaya meminda Perlembagaan berhubung kuasa mutlak pendakwaan yang kini dimiliki penuh oleh Peguam Negara.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus diberikan kuasa pendakwaan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap ketelusan badan itu.

"Kita tidak mahu timbul isu di mana pegawai SPRM telah menyiapkan kertas siasatan yang akhirnya kuasa pendakwaan terletak pada Peguam Negara.

"Kita tidak mahu lagi karenah birokrasi untuk kita mengangkat peranan SPRM sesuai dengan Pindaan 2009.

Menurut Salahuddin, laporan berhubung cadangan tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beliau akan membentangkannya di Dewan Rakyat bagi ahli parlimen membahaskan laporan tersebut.

Sebelum itu, pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dalam sidang media di lobi parlimen tengahari semalam berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat kali kelima jawatankuasa itu yang baru sahaja selesai.

"Kita berpendapat agar dipinda Perlembagaan untuk memberi kuasa pendakwaan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"SPRM pada waktu ini mempunyai bidang kuasa terhad apabila hanya diberi kuasa menyiasat sahaja dan tidak boleh membuat pendakwaan dan rakyat melihat sebagai tidak efisyen dan kredebiliti mereka diragui dan dengan cadangan tersebut kita berharap dapat mengembalikan keyakinan rakyat.

Tambahnya, jika berlaku pindaan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM akan mempunyai kuasa mutlak berhubung pendakwaan kes rasuah, manakala Peguam Negara tidak lagi terlibat.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw dan Senator Ir Zamri Yusuf.

Masa Depan PAS Bersama Pakatan Rakyat Bentuk Malaysia Baru

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencipta sejarah dengan membuka muktamar tahunan ketiga-tiga sayapnya serentak sambil menegaskan, masa depan politik adalah bersama Pakatan Rakyat untuk membina Malaysia baru.

Sehubungan itu kata beliau, PAS perlu mengisi keperluan tersebut dengan tidak mengasingkan bidang agama dan politik sebagaimana dilihat oleh Umno-BN dan negara-negara lain.

Nik Aziz juga meminta supaya PAS bersama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat agar menarik pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan mengambil kira perkembangan ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor dan Sibu.

“Dengan ini akan membentuk satu kerajaan yang memenuhi aspirasi rakyat,” kata beliau yang genap 20 tahun memerintah Kelantan Oktober ini.

RUPA-RUPANYA KAPAL-KAPAL ISRAEL SEJAK 1998 DIBENARKAN BERLABUH DI MALAYSIA!

Dalam sibuk-sibuk penduduk di seluruh dunia mengecam yahudi israel laknatullah kerana menyekat kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza rupa-rupanya kapal-kapal dagang israel dibenarkan menggunakan kemudahan pelabuhan di Malaysia.

Pelabuhan yang terlibat ialah Pelabuhan Barat di Klang, Terminal Utara, Pulau Pinang dan Pasir Gudang, Johor sebagai pelabuhan untuk memasuki Malaysia yang dikatakan bagi tujuan berdagang. Kapal-kapal israel dibenarkan menggunakan pelabuhan berkenaan sejak 1998 lagi!Kebenaran menggunakan pelabuhan di Malaysia dilakukan melalui Gold Star Line Ltd. yang merupakan anak syarikat Zim Israel Navigation Company (Zim Lines).

Perkara ini disahkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Kong Cho Ha dalam satu kenyataan semalam.

Kapal-kapal dari Israel dikenakan beberapa syarat seperti tidak boleh menaikkan bendera negara berkenaan apabila memasuki atau berada di sempadan Malaysia dan anak-anak kapal tidak dibenarkan meninggalkan kapal apabila berada di dalam perairan Malaysia kecuali jika berlaku kecemasan.

Pengumuman ini sekaligus mendedahkan sikap hipokrit kerajaan 1Malaysia yang kononnya anti israel dan yahudi. Saya masih teringat lagi sekumpulan rakyat di negara ini pernah di belasah polis dan ditembak dengan gas pemedih mata semata-mata kerana menentang kemasukan pasukan kriket israel tidak lama dahulu.

Justeru itu, saya menggesa agar kerajaan 1Malaysia menuntut maaf kepada rakyat di negara ini kerana menyembunyikan kerjasama hubungan perdagangan Malaysia-Israel serta menamatkan serta merta semua bentuk kerjasama dan hubungan dengan negara haram yahudi.

Wednesday, June 9, 2010

Gaza: Mahfuz sifatkan Najib sebagai 'munafik politik'

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai munafik politik walaupun Perdana Menteri itu kelmarin telahpun membentangkan usul khas di Dewan Rakyat mengecam tindakan Zionis-Israel menghalang armada kemanusiaan masuk ke Gaza minggu lepas.


Kecaman Mahfuz itu gara-gara sebuah kapal misteri bernama Zim Genova milik Zim Israel Nevigation Company dilaporkan berlabuh di Perlabuhan Klang sejak semalam, sebagaimana dipetik dari akhbar Utusan Malaysia hari ini.

"Usul Perdana Menteri di Dewan Rakyat menunjukkan kemunafikan politik Najib kerana semalam Najib bersama-sama Ahli Parlimen Umno BN mengecam keganasan Israel tetapi, pada masa yang sama menjalinkan perdagangan komersial dengan negara haram itu.

"Dia (Najib) bersikap munafik dengan agamanya (Islam), munafik dengan bangsanya (Melayu) dan munafik seluruh rakyat dunia dan Malaysia," kata beliau dalam satu kenyataan media di Lobi Parlimen.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pendedahah tersebut sekaligus hampir menjawab pendedahannya semalam di Dewan Rakyat, iaitu kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) didakwa masih menjalinkan perdagangan komersial secara rahsia dengan negara haram Israel sebagaimana yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed sejak 20 Mac 1996 lalu.

Ekoran kapal misteri itu juga, menurut beliau sekaligus hampir menjawab dua dakwaannya sebelum ini, iaitu kerajaan Malaysia terbabit membekalkan bahan kimia dan minyak kelapa sawit ke negara haram tersebut sejak Mac lepas.

Dari segi yang lain, beliau mendesak kerajaan mendedahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terbabit yang membekalkan komiditi tempatan pada Israel.

"Saya cabar Najib jelaskan di Parlimen berhubung siapa pembekal minyak sawit negara kepada negara haram itu kerana hanya Sime Darby dan Felda sahaja terbabit dalam perladangan komersial itu."

"Dua-dua (Sime Darby dan Felda) adalah GLC, Najib tak perlu bermunafik dengan saya," sindir beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, sifat munafik Najib sudah tentu mengguris para peneroka dalam kedua-dua GLC tersebut sekiranya para peneroka terbabit tahu realiti sebenar sifat munafik Najib, Umno dan BN.

Dalam perkara berkaitan, beliau turut mempersoal peranan kerajaan dalam memelihara kedaulatan dan keselamatan tanah air.

"Takkan radar kapal selam Najib tak boleh kesal kapal milikan Israel ini sedangkan kapal ini bukan ada di dasar laut, wartawan Utusan pun boleh kesan," sindir beliau lagi.

Tuntas dari itu, beliau meminta Najib membentangkan semula usul mengecam zionis Israel dalam masa terdekat tanpa berwajah munafik seperti sekarang.

Isu lesen judi mengelirukan

Pakatan Rakyat (PR) menyelar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terlalu lewat memberikan maklum balas berhubung kelulusan lesen judi sukan bola sepak kepada syarikat Ascot Sport Sdn Berhad yang mengendalikan pertaruhan piala dunia.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya menggambarkan terdapat sesuatu yang tidak kena berhubung perkara ini termasuk menimbulkan percanggahan kenyataan melibatkan menteri dan pemilik Berjaya Corporation Bhd (BJ Corp).

"Jika kerajaan benar-benar serius dan mahu mendengar suara rakyat sebelum mengambil keputusan mengenainya, kini sudah jelas rakyat menolak perkara itu, namun kerajaan masih belum mengambil sebarang tindakan mengenainya.

:"Kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil masa yang begitu panjang untuk membuat kenyataan yang kerajaan masih belum memberikan kelulusan kepada syarikat itu semalam (kelmarin)," katanya ketika dihubungi :Sinar Harian, semalam.

Nurul Izzah berkata, negeri PR dan rakyat telah melakukan beberapa demonstrasi bagi menolak cadangan berkenaan kerana tahu sumber yang digunakan akan memberikan kesan kepada kehidupan.

"Ini juga dianggap satu taktik kerajaan yang sengaja melambatkan pembatalannya," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, satu siasatan rasmi perlu dilakukan kerana pemilik BJ Corp, Tan Sri Vincent Tan telah mengeluarkan kenyataan seolah-olah syarikatnya akan mendapatkan semula lesen berkenaan.

"Saya percaya kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini hanyalah bersifat menarik pelabur kepada syarikatnya.

"Beliau seolah-olah menggunakan perkara itu bagi menarik pelabur di Bursa Malaysia. Sekiranya ia sengaja digunakan, saya menyeru pihak berkuasa menyiasat penyalahgunaan ini," katanya.

Kelmarin, Najib memberitahu kerajaan masih belum lagi mengeluarkan dan meluluskan lesen pertaruhan judi kepada syarikat berkenaan.

Hishammuddin Terkedu Jawab Rekod Imigresen Altantuya Dipadamkan Di Hadapan Najib

Menteri Dalam Negeri terkedu apabila Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali mendesak Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi penjelasan bagaimana rekod perjalanan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh dengan kejam pada 2006 telah di padam dari rekod Jabatan Imigresen.

Apatah lagi keadaan menjadi lebih gawat kepada Hishammuddin apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga sepupu beliau ketika itu berada di dalam Dewan Rakyat pada hari pertama sidang Penggal Kedua Parlimen Keduabelas.

Azmin berkata soalan beliau dan penjelasan Menteri amat penting kerana ia melibatkan soal jenayah dan juga faktor keselamatan.

"Saya mengambil kesempatan untuk bertanya kepada Hishammuddin tentang tanggungjawab Jabatan Imigresen untuk memantau pergerakan keluar masuk warga asing ke negara ini.

"Hishamuddin menjawab bahawa Jabatan Imigresen bertanggungjawab dalam memantau pergerakan berdasarkan aspek keselamatan dan ancaman kepada negara. Berdasarkan kepada jawapan yang diberikan itu sudah tentulah Jabatan Imigresen memerlukan satu pengkalan data bagi memastikan segala maklumat warga asing akan disimpan dengan baik, agar menyenangkan untuk mengambil sesuatu tindakan.

"Pada masa yang sama saya inginkan penjelasan dari kementerian apakah bidang kuasa Jabatan Imigresen untuk memadamkan dan menghilangkan rekod perjalanan warga negara asing khususnya Altantuya.

"Sekiranya rekod ini dipadamkan siapakan yang bertanggungjawab dan apakah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan supaya perkara ini tidak berulang lagi.

"Kita melihat tindakkan memadam rekod pergerakkan warga asing adalah satu jenayah yang besar dan perlu diambil serius. Perkara ini perlu diatasi bukannya membiarkan begitu sahaja," jelas beliau kepada Suara Keadilan di lobi parlimen semalam.

Azmin juga merasa dukacita dengan tindakan Hishammuddin kerana cuba mengelak memberi jawapan kepada soalan beliau sehingga jawapan yang diberikan terdapat percanggahan.

"Saya dukacita dengan kenyataan yang diberikan oleh Hishammuddin terhadap soalan tersebut, beliau cuba untuk mengelak memberi jawapan. Saya dapat melihat dengan jelas beliau cuba mendapat isyarat dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kebetulan berada di dalam Dewan.

"Kenapa perlu tunggu isyarat dari Najib dan apa kaitannya dengan Najib, bukankah itu adalah tanggungjawab Jabatan Imigresen yang di bawah Kementerian Dalam Negeri. Reaksinya jelas tidak mahu memberi jawapan dan akhirnya beliau memberitahu jawapan telah diberikan sebelum ini.

"Bagi saya tidak ada sebarang jawapan yang diberikan oleh kementerian terbabit berhubung rekod warga Mongolia yang telah dipadamkan itu. Tindakan kementerian yang cuba mengelakan dan membuat penafian ini jelas menimbulkan pertanyaan apa yang sebenarnya berlaku.

"Kita perlukan jawapan yang jelas dari kementerian, beliau bukan selalu ada di Dewan jadi kesempatan inilah yang sepatut digunakan untuk memberi penjelasan bukan membuat penafian. Kita tahu kehadiran Altantuya di Malaysia tetapi kenapa rekod perjalannya memasuki Malaysia telah dipadamkan, kementerian perlu berani berhadapan dengan situasi sedemikian," tegas Azmin lagi.

Tuesday, June 8, 2010

Kecam zionis: Najib Jangan dilihat sebagai juara

Di dalam keghairahan rakyat negara ini membantah kekejaman rejim zionis Israel dan kehebatan 12 orang sukarelawan negara dalam misi kemanusiaan Gaza yang ditahan oleh tentera negara itu, jangan pula Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat sebagai juara.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sikap mengambil kesempatan dengan peristiwa besar itu, jangan pula rakyat lupa bahawa negara sedang berhadapan dengan kemelut lesen perjudian yang akan menghancurkan moral masyarakat.

Katanya, sikap pemimpin Umno BN yang seolah-olah memekakkan telinga dengan bantahan pelbagai pihak, nampaknya tidak banyak berbeza dengan sikap Israel yang memekakkan telinga dengan bantahan di seluruh dunia terhadap kekejamannya.

“Apakah ini kaedah yang dinasihati oleh APCO kepada pihak kerajaan?” tanya beliau.

Beliau juga mengingatkan rakyat agar dalam keghairahan menyokong usul di Parlimen bagi menyokong usul yang dibawa Najib yang mengecam zionis, jangan lupa bahawa negara baru kehilangan Blok L dan M kepada Brunei.

Katanya, kehilangan dua blok kawasan minyak itu memerlukan penjelasan terbuka kerajaan bagaimana kawasan yang sangat bernilai boleh diserah begitu sahaja dan apa pula yang terjadi dengan tanah KTM di Singapura.

Rakyat, ujarnya perlu tahu dan kerajaan jangan cuba menutup isu besar itu dengan mengambil kesempatan di atas kemarahan rakyat kepada Yahudi laknatullah.

Tegasnya, PAS menyokong sebarang tindakan kecaman dan usaha mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sementara negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel mesti memutuskan segera termasuk Turki.

“Semua tindakan biadap Israel mesti ditentang. Tapi jangan keghairahan kita membantah sehinga lupa apa sebenarnya sedang berlaku dalam negara yang cuba ditutup oleh kerajaan Umno BN,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyentuh tindakan Tan Sri Vincent Tan yang memiliki syarikat perjudian mahu menyerahkan RM525 juta kepada kerajaan.

“Apakah ini merupakan habuan yang dijanjikan sehingga kerajaan sanggup menganugerahkan lesen perjudian tersebut walau pun mendapat bantahan dari pelbagai pihak.

“Apakah ini elemen rasuah yang dijanjikan oleh syarikat tersebut bagi mendapat lesen besar mengaut keuntungan hasil pertaruhan judi itu,” tanya beliau.

Menurutnya, jika itulah asas yang kerajaan BN fakir, bagaimana nanti kalau syarikat pengurusan pelacuran pula memohon lesen dan sanggup memberikan sumbangan kepada kerajaan yang jauh lebih besar daripada jumlah itu.

“Apakah ianya juga akan diluluskan oleh kerajaan,” soalnya lagi.

Tambahnya, ternyata dalam kesempitan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan sebelum bankrap pada tahun 2019, kerajaan BN akan melakukan apa sahaja tanpa mengira adakah halal dan baik untuk rakyat atau haram yang mengundang kehancuran moral rakyat.

Apa yang malang bagi umat Islam negara ini, katanya ialah pengisytiharan pengurniaan lesen judi dilakukan oleh orang Islam, manakala yang mengisytiharkan tidak membenarkan premis judi pula ialah Lim Guan Eng yang bukan Islam.

“Ini juga agaknya antara tanda-tanda kiamat,” katanya.

Judi: Siapa berbohong - Najib atau BERJAYA?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika beliau tidak memberi gambaran yang sebenar berhubung pemberian lesen judi sukan.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata kenyataan bercanggah antara Kementerian Kewangan dan BERJAYA Corporation Bhd menimbulkan kontroversi mengenai siapa yang sebenarnya berbohong.

Pada notis kepada Bursa Malaysia 12 Mei lalu, BERJAYA berkata: 'Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan berhubung pemberian semula lesen kepada Ascot untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.'

Sesalinan notis itu kemudiannya diedarkan oleh Pua kepada wartawan pada sidang medianya di lobi parlimen, pagi ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan bertulisnya di parlimen semalam berkata lesen berkenaan belum dikeluarkan kerana masih menunggu maklum balas orang ramai dan beberapa syarat masih dirangka.

Search This Blog