Rakyat Malaysia akan menikmati penurunan minyak sekali lagi hanya apabila harga pasaran minyak dunia turun di bawah US$40 setong,

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata Rabu, kemungkinan itu hanya boleh dijawab pada akhir Januari ini.

Katanya,"kita mesti menunggu tempoh dua minggu lagi. Setakat ini, harga purata pasaran minyak dunia bagi tempoh 1 hingga 13 Januari 2009 ialah USD43.2 setong.

"Kita tidak boleh membuat anggaran purata berdasarkan harga seminggu atau dua minggu. Kita kena ikut purata bulanan. Jika menjelang akhir bulan ini harga puratanya jatuh di bawah USD40 setong, kita boleh menimbangkan kemungkinan menurunkan lagi harga minyak .

"Tetapi jika harga minyak naik kepada USD78.73 setong, kita terpaksa pula menaikkan harganya. Oleh itu saya ingin berpesan kepada rakyat Malaysia supaya jangan banyak berjalan jauh (menggunakan kenderaan) dan jangan pandu terlalu laju. InsyAllah boleh jimat minyak."

Shahrir berkata, rakyat Malaysia mudah termakan dengan taktik pemasaran yang menggalakkan mereka menggunakan minyak gred lebih tinggi, padahal mereka boleh berjimat jika menggunakan gred yang lebih rendah.

"Ramai pemandu yang lebih suka menggunakan minyak RON 97 kerana beranggapan gred yang tinggi lebih baik untuk kenderaan, padahal mereka boleh menggunakan RON 95 yang lebih rendah harganya.

"Gunakanlah RON 95 untuk menggantikan RON 92 kerana kualitinya lebih baik dan harganya sama," katanya.


Sementara itu sempena sambutan Tahun Baru Cina, Shahrir memberitahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menetapkan harga maksimum borong dan runcit ke atas ayam, daging lembu, daging kerbau, kobis, ikan bawal putih dan udang putih besar, berkuatkuasa19 Januari sehingga 2 Februari 2009.

Katanya penetapan 11 jenis harga terkawal itu bagaimanapun tertakluk kepada pasar awam, dan tidak termasuk pasar raya.

"Harga ayam hidup, ayam standard dan ayam super yang ditetapkan bagi barang-barang yang disebutkan di semua kawasan adalah lebih rendah daripada Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa dan Deepavali tahun lalu berikutan penurunan harga ayam akibat lebihan bekalan di pasaran," katanya.

Beliau berkata, kementeriannya menetapkan harga maksimum borong dan runcit berasaskan pemantuan harga yang dibuat di semua daerah antara April 2008 dan Januari 2009, selain mengambil kira pandangan agensi kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, serta pengimport, pengeluar dan pemborong barang-barang berkenaan.

"Peniaga-peniaga yang berurusniaga dengan barang-barang terkawal ini diingatkan supaya mematuhi harga maksimum yang ditetapkan ataupun menjual dengan harga yang lebih rendah. Harga borong bagi ayam hidup di kebanyakan negeri (kecuali Langkawi, WP Labuan, Sabah dan Sarawak) ialah RM5.15 sekilo, sementara ayam standard RM6.06 dan ayam super RM6.90

"Kami tidak akan teragak-agak bertindak kepada golongan yang mengengkari arahan ini. Orang perseorangan yang melanggar peraturan boleh didenda sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara di bawah Akta Kawalan Harga 1946. Mereka juga boleh dikenakan kompaun sehingga RM7,500, sementara pertubuhan perbadanan boleh didenda maksimum RM25,000." katanya lagi.

Beliau berkata KPDNHEP akan terus berusaha melindungi pengguna daripada perbuatan peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.Sehubungan itu beliau meminta orangramai membuat aduan sekiranya ada peniaga yang tidak mematuhi arahan dengan menelefon talian bebas tol 1-800-886-800 atau SMS kepada 32255 atau email kepada e-aduan@kpdnhep.gov.my.

Berikut ialah 11 jenis barang yang dikawal harganya sempena Tahun Baru Cina:

i) Ayam hidup

ii) Ayam standard (disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati dan hempedal).

iii) Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).

iv) Daging lembu tempatan

v) Daging kerbau import (India)

vi) Telur ayam gred A (berat 65-69.9g sebiji)

vii) Telur ayam gred B (60-64.9g)

viii) Telur ayam gred C (55-59.9g)

ix) Kobis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kobis Beijing

x) Ikan bawal putih (berat 200-400g seekor)

xi) Udang putih besar