Friday, July 31, 2009

ADUN PAS Permatang Pasir meninggal dunia

ADUN PAS Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia kerana sakit jantung awal pagi tadi.

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir dari PAS, Hamdan Abd. Rahman meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini subuh tadi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan yang Hamdan meninggal dunia, dipercayai kira-kira 6.10 pagi.

"Anak Allahyarham memberitahu yang beliau meninggal dunia di IJN subuh tadi... anaknya kata bila dia bangun dari tidur, ayahnya sudah tiada (meninggal dunia)," katanya ketika dihubungi.

Hamdan dimasukkan ke IJN Isnin lalu.Permatang Pasir adalah salah satu kerusi DUN di bahagian Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Hamdan, 63, menjadi ADUN sejak 1999.

Jenazahnya sedang dibawa ke pejabatnya di Kg. Permatang Pasir, kata Mahfuz.

"Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kg. Permatang Pasir selepas sembahyang Asar (petang ini)," kata beliau lagi.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah berkata, PAS sudah kehilangan seorang pemimpin yang sangat memahami perjuangan parti dan kehendak rakyat.

"Ia satu kehilangan besar buat PAS kerana beliau seorang pemimpin yang gigih dan komited kepada perjuangan parti.

"Malah beliau juga dekat dengan rakyat, sebab itu beliau boleh memenangi kerusi yang ditandingi (Permatang Pasir sejak 1999)," katanya.

PAS terima kasih, Umno tidak mahu ulas

Kerajaan Kelantan tidak akan berhenti membuat tuntutan ke atas royalti minyak terhadap kerajaan pusat walau terpaksa bertindak melalui undang-undang sekiranya rundingan antara kedua belah pihak menemui jalan buntu

Tuntutan tersebut hingga kini boleh dikatakan masih dalam proses rundingan bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri mengharapkan satu perkembangan positif bakal dihidangkan kepada rakyat selepas ini.

Hampir sebulan lalu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, selaku Menteri Besar Kelantan, sudahpun mengirim surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung perkara tersebut bagaimanapun belum mendapat apa-apa jawapan.

Nik Aziz melalui kenyataannya selepas merasmikan sambutan Hari Yayasan Islam Kelantan (Yik) di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan berkata kerajaan persekutuan sepatutnya faham bahawa tuntutan itu adalah berdasarkan hak rakyat Kelantan.

“Kerajaan Kelantan telah diberi mandat oleh rakyat bagi menjaga kepentingan mereka. Jadi kita akan terus perjuangkan hak rakyat walau terpaksa melalui mahkamah antarabangsa sekalipun,” jelasnya.

Sementara itu exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa, menyambut baik kenyataan bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaliegh Hamzah, secara terbuka mendedahkan bahawa Kelantan berhak kepada bayaran royalti hasil pengeluaran petroleum.

Sambil melahirkan rasa terima kasih di atas keprihatinan Ku Li, Husam juga menyeru pemimpin kerajaan pusat memandang serius kenyataan Ku Li berdasarkan fakta lengkap, apatah lagi beliau adalah salah seorang yang terlibat dalam penggubalan perjanjian asal Petronas awal 1970an.

“Perdana Menteri seharusnya serius dalam perkara ini. Dan Datuk Mustapa mesti lihat tuntutan ini dari sudut positif serta fakta,” katanya semasa ditemui di pejabatnya sebelum menghadiri mesyuarat mingguan exco.

Baru-baru ini Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan, dilapor membuat kenyataan Kelantan berhak menerima royalti sebanyak lima peratus selaras dengan perjanjian perkongsian hasil carigali minyak yang termeterai antara Kerajaan Pusat, Petronas dan kerajaan negeri.

Beliau yang menandatangani perjanjian bersama kerajaan-kerajaan negeri lain berhubung perkara tersebut berharap tidak ada pihak cuba mempolitikkan isu berkaitan sambil menegaskan jika benar Petronas mendapat faedah dari minyak yang diusahasama, maka Petronas wajib membayar kepada kerajaan negeri Kelantan.

Menurut Tengku Razaleigh, beliau sendiri terlibat dalam perbincangan berhubung perkara tersebut dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, merumuskan perjanjian untuk memberi sebanyak 5 peratus hasil petroleum dimaksudkan.

Kenyataan Tengku Razaleigh disokong oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim.

Perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri Kelantan berkenaan royalti sebanyak lima peratus setahun merangkumi hasil pengeluaran melibatkan onshore (daratan) atau offshore (lautan).

Tengku Razaleigh yang menandatangani perjanjian itu bagi pihak Petronas manakala Datuk Mohamad Nasir, MB Kelantan ketika itu bagi pihak kerajaan negeri Kelantan, kata Zaid.

Kerajaan Barisan Nasional menafikan hak berkenaan ke atas Kelantan apabila Menteri Penerangan, Datuk Seri Rais Yatim, memberitahu pemberian royalti minyak kepada negeri-negeri adalah bersifat ehsan dan belas kasihan Kerajaan Pusat, bukannya hak rakyat Kelantan atau rakyat mana-mana negeri.

Rais juga dikatakan berkata, kerajaan telah mengarahkan Petronas untuk menyanggah tuntutan Kelantan itu, namun hingga ke hari ini Petronas belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Semua exco kerajaan negeri turut merakam ucapan terima kasih kepada ahli Parlimen Gua Musang yang tampil untuk keadilan semua pihak.

Bagaimanapun beberapa pemimpin Umno ketika diminta mengulas kenyataan Tengku Razaleigh enggan berbuat demikian dengan alasan belum melihat kenyataan tersebut.

Thursday, July 30, 2009

Saya terjun daripada kapal yang bocor"

Saya terpaksa terjun daripada kapal yang bocor menaiki kapal baru yang sentiasa menyelamatkan sesiapa sahaja yang mahu melihat masa depan negara terselamat, " kata bekas Menteri Kesihatan, Dato' Chua Jui Meng yang kini menyertai Parti Keadilan Rakyat (KeADIILan).

Minatnya terhadap Pakatan Rakyat terus memuncak apabila melihat Dato' Seri Anwar Ibrahim berjaya mengekalkan gabungan tiga parti utama pembangkang yang sebelum ini agak retak setelah Barisan Nasional (BN) mengamalkan dasar kuku besi terhadap negeri yang dimenangi pembangkang.

Beliau ketika beceramah di An-Nahdhoh In, Bukit Indera Muda, Permatang Pauh menambah, tohmahan daripada kempinan MCA dan BN memang diduga berikutan tindakannya melompat parti untuk kebaikan diri, masyarakat dan negara.

Apa tidaknya tambah beliau, dalam keluarga MCA segala-galaya sudah hancur akibat terlalu pentingkan jawatan dan kuasa.

"Tindakan mendedahkan kepincangan kerajaan ini bukan berniat untuk kepentingan diri sebaliknya menebus maruah ketika bersama BN dulunya, " ujar beliau diiringi tepukan orang ramai.

Kekejaman Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) juga jelas Chua, menjadi faktor kenapa beliau meninggalkan MCA dan BN.

ISA patut dimansuhkan sebab tidak sesuai lagi digunakan oleh kerajaan yang mengamalkan dasar demokrasi.

"Kerajaan sengaja tidak mahu mansuhkan akta tersebut demi menyelamatkan kedudukan pemerintah apabila mereka buntu berhadapan dengan mana-mana parti atau organisasi yang makin diterima rakyat, " tambah beliau.

Keluarga Teoh tetap mahu s'jaya diraja

Walaupun telah mendengar penjelasan perdana menteri, keluarga Teoh Beng Hock tetap menuntut sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian mendiang.

"Kami tetap dengan pendirian meminta sebuah suruhanjaya yang bebas dan adil untuk menyiasat punca kematian abang saya," kata adik perempuannya Teoh Lee Lan.

Beliau menceritakan hasil pertemuan keluarganya dengan Datuk Seri Najib Razak di pejabat perdana menteri di Putrajaya yang dilaporkan selama setengah jam awal malam tadi.

Ditemui pemberita selepas inkues hari pertama di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini, kenyataan ringkas Lee Lan dalam bahasa Cina itu diterjemahkan pemimpin popular DAP Lim Kit Siang.

"Mereka telah dengar penjelasan kenapa suruhanraya diraja tidak ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian Teoh, tetapi hanya melibatkan teknik siastan SPRM.

"Keluarganya berkata, mereka mempertimbangkan penjelasan perdana menteri, bagaimanapun mereka tetap dengan pendirian supaya suruhanjaya diraja mesti ditubuhkan (bagi menyiasat punca kematian Beng Hock)," kata ahli parlimen Ipoh Timur.

Pada pertemuan itu, Najib sekali lagi dilaporkan menyampaikan takziah kepada bapa mendiang Teoh Leong Hwee, emaknya Teng Shuw Hoi, abangnya Teoh Meng Kee dan juga tunangnya Soh Cher Wei.

Lim menggesa Najib dan kabinetnya menghormati hasrat keluarga si mati supaya inkues ditangguhkan dan diwujudkan suruhanya diraja untuk mencari punca kematian Beng Hock.

Lim berpendapat, tidak perlu dua badan bagi menyiasat kes berhubung kematian itu.

Bekas ketua pembangkang itu membandingkan kes berkenaan dengan kematian seorang ahli sains di kementerian pertahanan Britain selepas dituduh membocorkan maklumat rasmi negara kepada media pada 2003.

Tambahnya, kes kematian saintis itu disiasat sebuah inkues dan siasatan kehakiman Hutton.

Setelah tamat proses inkuiri, tambahnya, koronernya memutuskan tidak perlu lagi inkues diteruskan.

"Persoalannya sekarang, yang mana satu?" kata Lim.

Semalam, Najib dilaporkan menjelaskan kepada keluarga Teoh bahawa suruhanjaya diraja dan inkues merupakan pendekatan serentak bagi mengenal pasti punca kematian tersebut.

Najib berkata, pendekatan itu akan dapat memastikan sama ada mana-mana aspek atau tindakan yang diambil, mungkin ada kaitan atau menyebabkan kejadian itu.

Katanya, hasil penemuan siasatan itu akan dianggap sebagai input kepada suruhanjaya diraja itu.

Sementara itu, sejak jam 7 pagi, kompleks Mahkamah Shah Alam di Seksyen 5 mula dibanjiri puluhan wartawan.

Selain kehadiran pemimpin Pakatan Rakyat dan saksi-saksi inkues, tiada kelibat penyokong Pakatan Rakyat kelihatan.

Cuma kelihatan seorang lelaki Cina memegang poster gambar Beng Hock di lobi kompleks tersebut.

Kehadiran seramai 77 orang saksi menyebabkan bilik menunggu untuk saksi, berdekatan tempat prosiding berjalan, sesak sehingga menyebabkan sebahagian mereka terpaksa menunggu di bangku luarnya.

Suasana di tempat tersebut sesak apabila jurugambar dan juruvideo berasak-asak bagi mendapatkan gambar mereka dalam posisi yang terbaik.

Hujah 'pergi jahanamlah Umno' wajar - Nik Aziz

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan menarik kenyataannya sebelum ini yang menyebut 'pergi jahanamlah dengan Umno' kerana ia dianggap wajar.

Menteri Besar Kelantan berkata, pemimpin Umno kelihatan kalut dengan kenyataan itu tanpa memikirkan tindakan pemimpin parti itu sendiri yang mencerminkan perkara tersebut.

"Umno langsung tidak pernah fikir ketika pemimpin parti itu memburukkan nama saya sebelum ini.

"Namun setelah pemimpin mereka ditegur sedikit riuh rendah jadinya," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 215 mangsa ribut di Kampung Buloh Poh dan Kampung Lancang petang tadi.

Beberapa pemimpin Umno termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Dr Awang Adek Hussin sebelum ini dilaporkan kesal dengan kenyataan Mursyidul Am PAS berkaitan isu terbabit.

"Takkan saya mengeluarkan kenyataan yang agak keras tanpa sebarang sebab," ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan pemimpin Umno yang mendakwa seorang tok guru yang bergelar ulama tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Siapa ajar tok guru tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan Allah sendiri dalam al-Quran menyumpah manusia macam binatang.

"Ada juga ayat di mana Allah mengumpamakan manusia ini pekak, tuli, buta.

"Jadi sekiranya ada orang menghina kita, kita senyap tak berbuat apa-apa itu bukan merendah diri, tetapi menghina diri sendiri," tambahnya.

Wednesday, July 29, 2009

Profil DNA lelaki tidak dikenali pada kot beng hock

Inkues Teoh Beng Hock di Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu ujian makmal asid dioksiribonukleik (DNA) yang diterima menunjukkan terdapat DNA profil lelaki yang tidak dikenali di luar kot yang dipakai oleh mangsa.

Peguam yang mewakili Kerajaan Persekutuan, Tan Hock Chuan ketika sepintas lalu membentangkan laporan itu berkata, tiga DNA profil di tali pinggang pula mendapati salah satu daripadanya sepadan dengan DNA profil lelaki yang tidak dikenali itu.

Prosiding inkues siasatan kematian Beng Hock itu bagaimanapun ditangguhkan sehingga 5 Ogos ini bagi memberi peluang kepada peguam pemerhati bagi pihak keluarga mendiang membuat persediaan dan meneliti dokumen yang diperlukan.

Dr Asri: Majlis Fatwa Kebangsaan perlu keluarkan fatwa mengenai ISA

Mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menggesa agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengenai ISA.

Ini adalah kerana, menurut beliau, isu ini telah berulang kali diminta oleh Umat Islam agar dilihat di sudut agama.

"Namun fatwa itu hendaklah adil, bebas dari keterikatan dengan mana-mana pihak, dibahaskan secara saksama dengan kehadiran pakar perundangan, pihak berkuasa dan mangsa. Juga ahli-ahli politik yang bersetuju dan yang membantah perlu dijemput memberikan pandangan," kata Dr Asri mellaui sebuah kiriman emel dari Lampeter, United Kingdom.

Katanya lagi, penilaian adil perlu untuk panduan kerajaan.

"Malanglah jika isu-isu pinggiran dibincangkan sedangkan isu-isu besar yang membabitkan kepentingan umat ditinggalkan. Majlis Fatwa Kebangsaan menggunakan wang awam, maka pastikan faedahnya balik kepada awam secara jelas. Mesyuarat yang biasanya berlangsung di hotel-hotel yang hebat itu perlu mengeluarkan pandangan-pandangan yang hebat untuk kemaslahatan umum," kata tokoh agama yang sering melontarkan pandangannya tentang isu agama dan semasa.

Jelasnya lagi, hari ini rakyat memberi berbagai pendapat tentang ISA.

Dua kumpulan iaitu Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) iaitu PRO-ISA dan Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) - ANTI-ISA, masing-masing bercadang mengadakan perhimpunan menyokong dan membantah ISA pada hari Sabtu ini, 1 Ogos di ibu negara.

GMI bercadang untuk mengadakan perhimpunan membantah ISA pada 1 Ogos ini dan pada masa yang sama, Magaran yang dianggotai Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Perkasa dan beberapa badan-badan gabungannya turut bercadang untuk mengadakan perhimpunan menyokong akta itu. Jika kedua kumpulan inimeneruskan hasrat mereka, masing-masing menyasarkan penyertaan 100,000 orang pada perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Masjid Jamek, Kompleks Sogo dan Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi meminta campur tangan baginda mendesak kerajaan memansuhkan ISA.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman menyifatkan kedua-dua perhimpunan itu yang masing-masing membantah dan menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai perhimpunan haram kerana pihak polis tidak mengeluarkan sebarang permit untuk tujuan itu atas sebab keselamatan dan ketenteraman awam.

Melihat perkembangan yang tidak sihat ini, Dr Asri terpanggil untuk memberi pandangan beliau tentang isu ISA ini.

Katanya lagi, "Berikan pandangan para mufti pula. Masakan mungkin mereka tidak peka, sedangkan semua rakyat berbicara. Saya secara peribadi semasa menjadi mufti telah mengeluarkan pandangan dalam bulan Ramadhan lepas di Perlis, Kelantan, Kuala Lumpur dan berbagai tempat.

"Media tempatan telah berulang kali menyiarkannya. Kali ini kita menuntut pandangan rasmi agensi agama kerajaan pusat pula," kata Dr Asri yang dijangka kembali ke tanah air tidak lama lagi setelah setahun membuat pengajian mendalam tentang hadith di UK.

Kes Teoh: 77 Saksi vs 70,000 saksi

"Seramai 77 saksi telah dipanggil berhubung siasatan kes Teoh. 28 saksi terdiri dari pegawai SPRM. Sebelum ini, telah tersebar video klip VK Linggam yang telah ditonton oleh lebih 70,000 orang di youtube. Suruhanjaya telah ditubuhkan dan Linggam dan konconya disabit bersalah. Lepas tu tak jadi apa pun. Tak dengar pun Linggam masuk penjara, disebat dan sebagainya. TAk jadi apa-apa pun. Kalau kes Teoh ini terbukti kerja UMNO pun, pasti tak jadi apa-apa juga. Mari lihat apa yang berlaku pada 77 saksi malang ini:

Dari 77 saksi ini, 28 terdiri dari pegawai SPRM yang telah bergilir-gilir menyoal Teoh dari pukul 10 malam sampai 3:45 pagi. Samada mereka bersama-sama mencampak Toh selepas itu, hanya Allah yang tau.

Soalan-soalan yang ditanya kepada saksi:

1. ADAKAH TEOH MEROKOK?

Tujuan soalan : untuk menunjukkan Teoh hisap rokok lalu mungkin rokoknya terjatuh dari tingkap lalu Teoh terjun untuk menyelamatkan putung rokok beliau agaknya.

2. ADAKAH TEOH INI JENIS SUICIDAL? JENIS NAK BUNUH DIRI?

Mungkin polis berharap benar ada ahli keluarga Teoh yang berkata, "YA ENCIK! DIA NI MEMANG CADANGNYA NAK BUNUH DIRI WATU WEDDING TU NANTI!" . Pelik pelik soalan polis.

3. ADAKAH TEOH NI JENIS YANG ADA BANYAK KASUT DAN BERTUKAR-TUKAR KASUT?

Biarlah dia dengan kasut dia. Yang polis sibuk-sibuk ni apasal? Lain kali, eloklah polis tanya sekali:

"ADAKAH SI MATI NI ADA BANYAK SELUAR DALAM? APA JENAMA KEGEMARAN DIA? CALVIN KLEIN ke GIARDONA? "

Dalam pada itu, disebalik segala kepincangan dan nama busuk SPRM, Muhyidin Yassin pula dengan tak malunya menawarkan kepada negara-negara Afrika untuk berkongsi kaedah Malaysia membasmi rasuah melalui SPRM:

Afrika belajar daripada Malaysia cara tangani rasuah

KAMPALA 27 Julai - Malaysia telah berkongsi pengalamannya menangani rasuah termasuk menerusi penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan negara-negara Afrika dalam Dialog Perkongsian Pintar Global 2009 (Global 2009) yang sedang berlangsung di Munyonyo di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengalaman Malaysia itu disampaikannya menerusi salah satu sesi dialog bersama ketua-ketua kerajaan yang menyertai Global 2009 hari ini.

"Kita beritahu mereka mengenai SPRM dan kita berpeluang berkongsi pengalaman bagaimana rakyat harus disedarkan tentang bahaya rasuah supaya ia dilihat sebagai sesatu yang jijik dan perlu disemai dalam jiwa masyarakat. Ini kita bincang secara terbuka," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berada di sini untuk menghadiri Global 2009 di Munyonyo Commonwealth Resort dekat sini yang bermula semalam hingga esok. - Utusan

---------------------------------

MAKIN mundur la negara Afrika tu. Kasihan.... "

'Umno kini tiada maruah, dulu 'tendang' kami keluar' - Nik Aziz

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa hubungan yang terjalin sekarang ialah di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan dan bukan hubungan dengan parti Umno.

"Hubungan negeri ialah dengan Kerajaan Pusat oleh kerana sistem yang diamalkan ialah sistem Federalisma, oleh itu tidak timbul hubungan dengan Umno,"kata Mursyidul Am PAS itu pada sidang media selepas melawat pameran ternakan di Padang Perdana dekat sini semalam.

"Kerajaan Pusat ada kewajipannya kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri pula ada kewajipannya terhadap Kerajaan Pusat, maka kenapa mahu disekat (hubungan itu).

"Kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri hendaklah menyentuh isu penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan," katanya.

Dalam pada itu Nik Aziz berkata, tindakan parti lain di peringkat Pusat yang menghalang Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dari mendapat kemudahan daripada Kerajaan Pusat itu adalah tidak menurut Perlembagaan.

"Tidak terdapat dalam Perlembagaan dan tidak terfikir pada akal fikiran manusia bahawa negeri Kerajaan Pakatan Rakyat dihalang oleh parti lain di Pusat dari mendapat kemudahan sepatutnya.

"Kenapa peruntukan Kerajaan Persekutuan tidak diberi terus kepada Kerajaan Negeri sebagaimana dilakukan Kerajaan Pusat ketika Kelantan diperintah Umno dahulu. Kenapa kini ditubuhkan JPP?

"Apa kata kalau parti lain (Kerjaan Pakatan Rakyat) menguasai Pusat lalu menubuhkan juga JPP di negeri yang di perintah Umno, apa perasaan mereka," katanya sambil menyifatkan konsep Satu Malaysia dan demokrasi yang dilaung-laung bercanggah dengan tindakan dilakukan Umno Pusat ke atas Kerajaan Negeri.

Oleh itu katanya, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Pusat mesti membantu Kerajaan Negeri, dan urusan membantu mana-mana Kerajaan Negeri bukan dilakukan dengan sukarela, tetapi melalui peruntukan Perlembagaan.

"Kalau dia (Kerajaan Pusat) tidak buat juga, kita gulinglah. Pandailah kita guling.

"Terbaru, ada Menteri yang tidak mengizinkan pegawai dia di Kelantan ini bekerjasama dengan Kementeriannya. Itu bukan sifat seorang Menteri,"katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dasar perjuangan Umno dan PAS memang selamanya tidak sama.

"Umno memang tidak serupa dengan PAS, bahkan pada setiap kali diadakan pilihan raya sama ada Pilihan Kecil atau Pilihan Raya Umum, Umno tetap melawan PAS.

"Kerana apa Umno melawan PAS, setiap tahun sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya besar sedangkan sekiranya di dunia ini tidak ada Umno, (andai kata), orang Melayu boleh hidup molek, bahkan Islam itu sendiri boleh berkembang dengan baik, tegasnya

Menteri Besar turut mengulas perkembangan mutakhir mengenai surat yang dihantar kepada Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak bertujuan untuk bermujadalah.

"Menerusi surat itu, saya bertanya dia kenapa Umno menolak Islam dan menggantikannya dengan 'Kebangsaan'.

"Dan kenapa Umno melawan PAS. Di mana tidak kenanya kedudukan PAS khususnya dari segi agama dan Perlembagaan. Di mana tidak kena kedudukan PAS dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Sehingga kini dia tidak jawab-jawab pun (surat itu)," katanya.

Dalam perkembangan politik semasa, beliau turut mengulas tindakan meninggalkan parti oleh anggota pimpinan Umno-BN termasuk mantan Menteri Kesihatan dan bekas Naib Presiden MCA Dato' Chua Jui Meng dan mantan Naib Presiden MIC, Dato'S S Subramaniam.

Kedua-dua mereka memasuki Parti Keadilan Rakyat (KeADILan).

Terdahulu mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga mantan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu Dato' Zaid Ibrahim memasuki KeADILan.

"Insya-Allah, ramai lagi orang Melayu, Cina dan India yang sedar, mereka akan meninggalkan Umno-BN," katanya.

Beliau mempertikaikan cadangan bekerjsama dengan Umno walaupun ada dakwaan bahawa dengan itu akan lebih memudahkan lagi kerjasama antara pemerintah.

"Umno sekarang sudah tidak ada maruah. Nak minta bekerjasama dengan orang PAS). "(Tetapi) waktu kamu gagah dahulu kamu tendang aku (PAS) (keluar daripada Kerajaan Pusat). Saya ingat perkara itu," tegasnya sambil mengingatkan bahawa PAS menyertai Kerajaan Pusat ketika itu dengan jemputan daripada Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri.

Tuesday, July 28, 2009

Suruhanjaya DiRaja atau Sarkas DiRaja ?

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Apabila ditanya oleh wartawan adakah beliau didesak untuk mengadakan Suruhanjaya Di Raja ( SR ) di dalam kes kematian Teoh Beng Hock , Najib menafikan hal tersebut. Beliau mengatakan bahawa sebab mengapa beliau bersetuju mengadakan SR adalah kerana ingin mencari kebenaran.
Betulkah Najib berminat ingin mencari kebenaran ? Apabila beliau dan Kabinet beliau bersetuju menubuhkan SR nampak pada zahirnya beliau seolah-oleh serius ingin mencari kebenaran.
Namun apabila skop SR hanya dihadkan untuk menyiasat teknik penyiasatan yang digunapakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ) jelaslah Najib bukan berminat mencari kebenaran. Apa yang jelas Najib ingin mengkebumikan kebenaran !

Najib melalui Ghani Patail ( Ya, beliau adalah Peguam Negara ) terdesak mencari dalil dan alasan bagi menjustifikasikan tindakan beliau yang menghadkan terma rujukan SR hanya kepada menyiasat cara atau kaedah penyiasatan yang digunakan oleh SPRM.

Najib menyatakan bahawa beliau terikat dengan undang-undang. Beliau telah dinasihati oleh Ghani Patail bahawa sebab kematian Teoh Beng Hock perlu ditentukan oleh satu inkues di bawah seksyen 339 (1) Kanun Prosedur Jenayah ( KPJ ) . Di bawah seksyen 339 ( 1 ) KPJ , Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mengarahkan Majistret untuk mengadakan siasatan di atas kematian seseorang.

Ghani berhujah bahawa KPJ adalah undang-undang khusus yang mempunyai peruntukkan mengenai satu siasatan bagi kes-kes kematian . Oleh itu , hujah Ghani, inkues adalah mandatori bagi menentukan sebab-sebab kematian Teoh Beng Hock dan bukannya SR yang menjalankan tugas atau peranan tersebut. Ghani menambah jika SR juga menjalankan tugas menyiasat sebab kematian mendiang Teoh maka SR akan menjalankan tugas yang bertindih dengan tugas Mahkamah .

Ghani juga berhujah bahawa orang awam tidak patut keliru peranan SR yang ditubuhkan oleh Kerajaan dengan inkues yang diwujudkan di bawah KPJ . Beliau berhujah bahawa seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 ( Commissions of Enquiry Act 1950 ) secara jelas merujuk kepada penyiasatan berkenaan tindakan dan pengurusan kakitangan awam ( lihat seksyen 2 ( 1 ) ( a ) ) dan Jabatan Kerajaan ( 2 ( 1 ) ( b ) .

Oleh itu Ghani menambah peranan SR tidak boleh diluaskan bagi menyiasat kes kematian kes Teoh Beng Hock kerana siasatan oleh pihak Majistret adalah lebih betul dan disokong oleh undang-undang .

Ghani berkata adalah tepat peranan SR hanya dihadkan kepada menyiasat teknik penyiasatan yang digunapakai oleh SPRM.

Komen saya terhadap kenyataan Ghani di atas : Wahai Peguam Negara, janganlah berbohong kepada rakyat !!

Pertamanya mari kita lihat hujah beliau bahawa inkues adalah mandatori ( wajib ) bagi menyiasat kes-kes kematian seperti kes Teoh Beng Hock. Baiklah jika kita menerima hujah tersebut kita berhak bertanya mengapakah sehingga kini beliau sebagai Peguam Negara tidak melaksanakan tugas dan peranannya di bawah seksyen 339 ( 1 ) KPJ bagi mengarahkan satu inkues diadakan bagi menyiasat kes A.Kugan yang mati di dalam tahanan polis iaitu di Balai Polis Taipan, Subang Jaya pada 20 Disember 2008. Mengapakah tiada inkues dibuat di dalam kes Memali ?

Kes A.Kugan menimbulkan dua pertanyaaan yang sehingga kini masih gagal dijawab oleh Kerajaan. Pertamanya sebab –sebab kematian beliau di dalam tahanan polis. Kenapakah, mengguna pakai hujah Ghani, inkues tidak dibuat bagi menyiasat hal tersebut. Keduanya kes A.Kugan juga menimbulkan isu teknik penyiasatan pihak polis . Mengapakah Ghani sebagai Penasihat Undang-undang Kerajaan tidak menasihati ditubuhkan SR bagi menyiasat teknik penyiasatan yang digunapakai oleh pihak polis.

Ghani berhujah SR tidak boleh ditugaskan untuk menyiasat sebab-sebab kematian Teoh kerana di bawah seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 ( Commissions of Enquiry Act 1950 ) penyiasatan SR hanya dihadkan berkenaan tindakan dan pengurusan kakitangan awam dan jabatan Kerajaan sahaja

Di sini jelas Ghani berbohong dan sengaja tidak membaca seksyen 2 secara keseluruhan. Atas sebab yang hanya Ghani tahu, Ghani hanya membaca seksyen 2 ( 1 ) ( a ) dan ( b ) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan dengan sengaja meninggalkan seksyen 2 ( 1 ) ( d ) Akta yang sama.

Seksyen 2 ( 1 ) ( a ) menyatakan bahawa Yang DiPertuan Agung boleh mengarahkan penubuhan SR bagi menyiasat tindakan pegawai-pegawai Persekutuan dan seksyen ( 2 ( 1 ) ( b ) pula bagi menyiasat tindakan dan pengurusan jabatan Kerajaan yang menjalankan tugas-tugas awam

Apakah pula yang dikatakan oleh seksyen 2 ( 1 ) ( d ) Akta tersebut ? Seksyen tersebut menyatakan bahawa Yang DiPertuan Agung boleh mengarahkan penubuhan SR bagi menyiasat perkara-perkara lain ( any other matter ) yang menurut perkiraan Yang DiPertuan Agung perkara-perkara itu untuk kemaslahatan awam ( public welfare ).

Jelas seksyen 2 ( 1 ) ( d ) memberi suatu kuasa yang amat luas kepada SR yang mana kuasa tersebut adalah merangkumi bagi tujuan kemasalatan awam menyiasat sebab-sebab kematian Teoh Beng Hock. Di negara lain seperti Australia yang mana Malaysia juga meniru Akta tersebut dari negara tersebut, adalah menjadi perkara biasa siasatan dilakukan oleh SR bagi menyiasat sebab-sebab kematian seseorang khususnya kematian misteri .

Mengenai hujah Ghani jika SR diberikan tugas menyiasat kematian Teoh akan berlaku pertindihan tugas , jawapan kita pada hujah mengarut tersebut adalah begini : Jika Ghani atau Najib tidak mahu pertindihan tugas cukuplah diberi kuasa SR untuk menyiasat kedua-dua perkara iaitu teknik siasatan SPRM dan sebab-sebab kematian Teoh. Tidak perlu inkues kerana ia akan bertindih tugas dengan SR dan membazir wang rakyat !!

Mengapa rakyat mahukan SR bagi menyiasat kematian Teoh ? Jawapannya kuasa SR adalah lebih luas dari kuasa seorang Majistret di dalam siasatan inkues. SR sebagai contoh boleh memanggil mana-mana orang dan juga boleh menerima apa-apa keterangan termasuk keterangan yang sekiranya dikemukakan di Mahkamah akan ditolak ( lihat seksyen 8 ( f ) Akta tersebut ).

SR yang ditubuhkan sekadar menyiasat teknik penyiasatan SPRM adalah SR yang ditubuhkan untuk tujuan hiburan semata-mata . Adakah Najib inginkan Suruhanjaya DiRaja atau Sarkas DiRaja ?

Samy, sediakan dulu RM3.2 juta sebelum bincang - Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberitahu Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu bahawa mereka hanya boleh bertemu bagi berbincang mengenai isu Kampung Buah Pala sekiranya sejumlah wang yang dijanjikan oleh Samy Vellu bagi menyelesaikan isu tersebut ditunaikan terlebih dahulu.

"Bagi wang dulu, baru kita jumpa dan berbincang. Kalau tak ada wang, nak jumpa buat apa," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Samy Vellu semalam bahawa beliau sanggup menemui Lim dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah Kampung Buah Pala, di mana penduduknya tidak mahu berpindah bagi memberi laluan kepada projek pembangunan dilakukan di situ.

Samy Vellu turut dilaporkan memberitahu pemberita sebelum merasmikan Mesyuarat Perwakilan MIC Pulau Pinang Ke-63 di Butterworth, bahawa MIC sanggup membayar sejumah premium yang sama dibayar Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang kepada kerajaan negeri sebelum ini iaitu sebanyak RM3.2 juta bagi memiliki tanah tersebut, sekiranya jumlah itu diperlukan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Lim turut melahirkan rasa terkejut apabila perbualan telefonnya dengan Samy Vellu mengenai isu Kampung Buah Pala sebelum merasmikan mesyuarat perwakilan itu, dijadikan bahan untuk Samy Vellu bercakap kepada perwakilan di konvensyen tersebut.

UMNO: Hidung Tak Mancung, Pipi Tersorong-sorong…

Maka bergegak gempitalah seluruh pemimpin-pemimpin Umno bahawasanya Tuan Guru Mursyidul Am bersedia untuk bekerjasama dengan Umno.

Sebelum itu, selepas Presiden PAS mengutarakan cadangan Kerajaan Perpaduan, maka terhegeh-hegeh pemimpin Umno “menyahut” seruan tersebut, kononnya demi masa hadapan rakyat Malaysia

Suatu ketika dahulu, selepas ditolak oleh rakyat dalam tsunami politik pada Pilihan Raya Umum yang lepas, pemimpin-pemimpin UMNO di Perak, dan Selangor tergedik-gedik mendekati pemimpin-pemimpin PAS untuk membentuk kerajaan campuran di sana, kononnya atas dasar perpaduan Melayu.

.

Hari ini – tidak hujan tidak ribut – selepas Tuan Guru Mursyidul Am bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat, maka sekali lagi para pemimpin-pemimpin Umno “menyambut baik” kenyataan Mursyidul Am PAS, demi kepentingan negara.

Ternyata, pemimpin-pemimpin Umno betul-betul terhegeh-hegeh berkehendak kepada PAS.

Bak kata pepatah, hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong.

Namun, sebagaimana yang ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden, PAS tidak akan sekali-kali memikul biawak hidup.

Kenyataan Tuan Guru Mursyidul Am pula tidak lain tidak bukan adalah memperingatkan pemimpin-pemimpin Umno tentang kuasa-kuasa kerajaan pusat dan kuasa-kuasa kerajaan negeri, sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.

Kelantan terletak di dalam Malaysia yang ditadbir oleh kerajaan Pusat yang dikuasai oleh Umno/BN. Maka sudah sudah menjadi tanggungjawab kedua-dua belah pihak untuk saling bekerjasama antara satu sama lain.

Kerajaan PAS Kelantan menjalankan tugasnya sebagai kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat (Umno/BN) pula perlu menjalankan tugasnya sebagai Kerajaan Pusat.

Antara tugasan kerajaan pusat adalah menyediakan peruntukan kepada semua kerajaan negeri berdasarkan jumlah penduduk negeri berkenaan.

Sebenarnya pemimpin-pemimpin Umno tidak faham akan bahasa kiasan Tuan Guru Mursyidul Am yang sebetulnya menempelak Kerajaan Pusat yang ditadbir oleh rejim Umno-Barisan Nasional yang selama hampir 20 tahun meng”anak-tiri”kan Kerajaan PAS Kelantan.

Baguslah sekiranya pemimpin Umno sedar akan tanggungjawab kerajaan Pusat yang sepatutnya menyalurkan peruntukan-peruntukan kepada kerajaan negeri Kelantan sebagaimana dilakukan kepada negeri-negeri lain di dalam perintah Kerajaan Pusat sebagaiaman termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.

Jika benar Kerajaan Pusat sedia melakukannya, pertama sekali bekerjasamalah dengan kerajaan negeri Kelantan berhubung royalti minyak Kelantan.

Berikan hak kepada rakyat Kelantan, jika benar Umno bersedia menyahut seruan Tuan Guru Mursyidul Am yang juga Menteri Besar Kelantan itu.

Tapi, saya tidak fikir rejim Umno-BN sanggup melakukannya.

Pesanan untuk pemimpin Umno – cermin-cerminlah muka, sebelum tergedik-gedik mahukan PAS.

Ketua Penerangan,

Pemuda PAS Gombak.

Monday, July 27, 2009

Tambang teksi di Kelantan kekal

Para pengguna teksi di Kelantan mungkin boleh bernafas lega kerana tambang teksi di negeri itu akan kekal dengan harga lama buat masa ini walaupun kerajaan mengumumkan harga tambang teksi akan dinaikkan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu Kelantan (PKDK), Hussein Awang, berkata, kesemua pemandu teksi (kereta sewa) Kelantan bersepakat mengekalkan kadar lama walaupun kadar baru telah ditetapkan.

Tujuan PKDK mengambil langkah demikian ialah bagi menarik minat lebih ramai para pengguna menggunakan perkhidmatan teksi di negeri ini yang mana peratusnya adalah terlalu kecil dibandingkan dahulu.

“Sekurang-kurangnya mereka juga tidak merasai beban kesan daripada kenaikan harga tambang pengangkutan awam apabila ada alternatif lain baginya,” jelas Hussein.

Bagaimanapun, dalam pada itu beliau berkata, kesemua pemandu atau pemilik permit perkhidmatan pengangkutan teksi di negeri ini yang berjumlah kira-kira 2,140 orang merakam ucapan terima kasih kepada kementerian terbabit di atas pengumuman kadar baru tersebut.

Kenaikan sehingga 30 peratus kadar baru tambang pengangkutan awam meliputi bas ekspres, bas henti-henti, teksi atau kereta sewa diumumkan Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Seri Mohammad Nazri Aziz, dua minggu lepas akan bermula pada Ogos 1 ini.

Kali terakhir kadar tambang pengangkutan awam dinaikkan ialah pada Mei 2005. Sebelum itu kenaikan juga berlaku pada tahun 2000.

Biarpun dari segi moralnya, langkah itu dilihat bertentangan dengan usaha kerajaan, namun berasaskan faktor ekonomi semasa berhadapan dengan kekangan kadar inflasi tindakan sebaliknya itu wajar dinilai dalam dimensi positif.

Sementara itu, tindak balas masyarakat dalam tinjauan The Malaysian Insider mempertikaikan kenaikan itu dan dianggap melampau.

Ia tidak sesuai dengan masanya kerana ia membebankan golongan berpendapatan rendah yang sentiasa menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Bahkan, turut menjadi kerisauan bagi mereka apabila akan terdapat pihak tertentu cuba mencuri kesempatan turut menaikkan harga barang seperti mana lazimnya berlaku sebelum ini.

MCA Hadapi Kemelut, BN Bakal Berkecai

Setelah menghadapi kekalahan teruk di dalam PRU 12 yang lalu, Barisan Nasional kini sedang di dalam keadaan yang tidak tentu hala dengan parti-parti komponennya mehadapi kemelut yang tidak berkesudahan.

Salah seorang bekas pemimpin kanan MCA telah bertindak meninggalkan parti iaitu Datuk Rd Chua Jui Meng yang telah menyeberang ke PKR minggu lalu.
Kini Datuk Dr Chua Soi Lek yang pernah mengugut MCA untuk menyertai DAP telah meminta kepada presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat supaya memberi peluang kepadanya untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai timbalan presiden parti itu.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata rakyat sebenarnya sudah bosan dengan perpecahan yang berlaku dalam parti itu dan pemimpin parti perlu bekerjasama antara satu sama lain bagi memperkukuhkan parti, lapor Bernama.

"Saya rayu supaya diberi peluang," kata Dr Chua, yang juga Ketua Penyelaras Barisan Nasional (BN), pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat dengan BN Bukit Gelugor di sini, Ahad.

Selain itu, beliau juga meminta Ong agar tidak berterusan menimbullkan suasana tegang dalam parti dengan mendakwa ada pihak cuba menjatuhkannya.

Dr Chua berkata Menteri Pengangkutan itu sepatutnya memfokuskan kepada usaha mengukuhkan parti dan tanggungjawabnya sebagai menteri.

"Tetapi sampai sekarang beliau asyik bercakap yang ada orang cuba menjatuhkannya dan ini membuatkan keadaan dalam parti tegang," katanya.

Katanya Ong juga mendakwa ada kumpulan tertentu dalam MCA yang menentangnya dan sanggup menggunakan wang untuk mengulingkan beliau.

"Sehingga kini saya tidak dapat kesan kumpulan tersebut (anti Ong) dan sebenarnya dalam parti juga ada kumpulan menentang saya kerana saya dikatakan ahli politik 'kitar semula'" katanya yang berharap dapat berbincang dengan Ong bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

Sementara itu, Dr Chua berkata Ong sepatutnya membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau diugut bunuh oleh kumpulan tertentu ekoran isu mengenai Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Kalau betul apa yang diperkatakannya itu, beliau harus membuat laporan polis atau memaklumkan kepada Kabinet dan saya pasti beliau akan dibantu," katanya.

PAS jalin kerjasama dengan Umno? Nik Aziz nafi

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan laporan media bahawa beliau mahukan perpaduan dan kerjasama antara Umno-PAS.

Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau hanya bersedia untuk mengadakan perbincangan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Sehubungan itu kata Nik Aziz, beliau mahukan Barisan Nasional menunaikan tanggungjawabnya sebagai kerajaan pusat seperti yang diamanahkan.

Atas dasar itu kata Nik Aziz, beliau bersedia mengetuai usaha menjalin hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.

"Saya usulkan hubungan dua kerajaan (negeri dan pusat) dipulihkan sesuai dengan semangat federalisme," kata Nik Aziz dalam kenyataan yang dikeluarkan tengah hari tadi.

Terdahulu beliau menyatakan pandangan itu kepada PAS TV pagi tadi di pejabatnya di Kota Bahru.

Bulan lalu beliau telah pun menolak sebarang usaha ke arah kerajaan perpaduan antara Umno-Barisan Nasional dan PAS.

Nik Aziz menyatakan demikian ketika banyak pihak melihat kenyataan beliau dua hari lalu mahu memulihkan hubungan dengan Umno sebagai perkembangan positif.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah awal yang akan diambil untuk mengadakan pertemuan serius dengan pemimpin PAS ke arah merapatkan hubungan kedua-dua parti itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Jumaat ini.

Muhyiddin yang menyambut baik kesediaan Nik Aziz untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri PAS itu dengan kerajaan pusat berkata, senario tersebut akan membuka satu lembaran baru dalam hubungan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri Kelantan dan parti PAS.

Pun begitu ada juga pemimpin Umno yang meraguinya dan mahu kenyataan serius Nik Aziz dalam soal tersebut.

Sehubungan itu, hari ini Nik Aziz menegaskan, apa yang beliau mahukan ialah Barisan Nasional menjunjung semangat federalisme seperti yang diterima pakai dalam Perlembagaan Persekutuan, yang dipersetujui dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Persekutuan Malaysia.

"Kelantan adalah salah satu negeri yang membentuk persekutuan tersebut dan hak Kelantan terjamin dalam perlembagaan.

"Bagaimanapun sejak Kelantan kembali ditadbir oleh PAS bermula 1990, Barisan Nasional sebagai kerajaan persekutuan telah menyekat hak-hak negeri Kelantan dalam banyak aspek.

"Tindakan diskriminasi dan pelbagai tekanan bersikap politik ke atas negeri-negeri yang tidak ditadbir oleh Barisan Nasional adalah sama sekali tidak mengikut semangat federalisme," katanya.

Tindakan sebegini telah berjaya menumbangkan kerajaan PBS di Sabah tetapi tidak di Kelantan, kata beliau.

Kata Nik Aziz, selepas pilihan raya umum ke-12 apabila lima negeri tidak lagi ditadbir Barisan Nasional, pihak kerajaan persekutuan tidak insaf dengan penolakan rakyat, sebaliknya semakin galak menyalahgunakan kedudukannya untuk menumbangkan negeri-negeri tersebut secara tidak demokratik.

"Kerajaan negeri Perak berjaya ditumbangkan pada Februari 2009 dan kini Barisan Nasional menggunakan jentera-jentera kerajaan persekutuan untuk menumbangkan kerajaan negeri Selangor," katanya.

Sunday, July 26, 2009

Bekas naib presiden MIC serta PKR

Bekas naib presiden MIC, SS Subramaniam hari ini menyertai PKR dan merupakan pemimpin MIC paling kanan yang melompat menyertai pembangkang.

Di satu majlis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya hari ini, Subramaniam, 72, (duduk dua dari kanan), turut mengumumkan 12 cawangan MIC di Petaling Jaya akan dibubarkan dan ahli-ahlinya akan menyertai PKR secara beramai-ramai.

Beliau mendakwa pembubaran cawangan-cawangan tersebut membabitkan kira-kira 2,500 ahli MIC yang melompat menyertai PKR.

"Saya telah menyokong dasar PKR dan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak sekian lama, tetapi baru sekarang saya berani mengatakan bahawa saya menyertai parti tersebut," katanya disambut sorakan gemuruh hadirin.

Subramaniam menjadi naib presiden MIC selama 20 tahun dan juga menjadi naib pengerusi MIC Selangor selama tiga dekad.

Search This Blog