Saturday, June 13, 2009

Benarkah Sivakumar tidak ada kuasa gantung Zambry dan enam Exco Perak ?

Oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM

Suatu perkara yang malang berlaku lagi di Negeri Perak apabila rakyat nya dan seluruh rakyat termasuk pengamal undang-undang "diperbodohkan" dengan pencabulan terhadap hak Speaker bagi sebuah kerajaan negeri khasnya di Perak.

Sebagai seorang ADUN Perak saya memahami dengan jelas kuasa Speaker yang terkandung dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan adalah sesuatu yang mutlak dan tidak boleh ditafsirkan oleh pihak lain melainkan Speaker. Namun zaman telah berubah bila UBN telah "merobek-robek" situasi berkenaan menjadi seperti sekarang demi kuasa yang telah hilang untuk dikembalikan.



Perintah Tetap 89 menjelaskan : "Keputusan Tuan Speaker berkenaan dengan sebarang tafsiran dalam mana-mana Perintah-perintah Tetap ini atau berkenaan dengan sebarang amalan tertakluk kepada usul yang dibawa dengan maksud itu, adalah muktamad, dan Tuan Speaker, dari semasa ke semasa, boleh mengeluarkan keputusan-keputusan berkenaan dengan perkara-perkara ini".

Bukankah perintah tetap ini memberi kuasa muktamad kepada Speaker untuk mentafsir kandungan keseluruhan Perintah-perintah Tetap. Hanya Speaker sahaja yang berhak mentafsir Perintah-perintah Tetap. Pihak lain tidak mempunyai kuasa langsung dalam memberi pentafsiran undang-undang Dewan Negeri.

Seperti kata Dr. Aziz Bari bahawa perlembagaan tidak membenarkan mahkamah mencampuri urusan dan prosiding dewan. Katanya ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 72; khususnya 72(1) yang dengan jelas menyebut bahawa "Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah".

Dengan itu, Aziz berpendapat, mahkamah telah bertindak di luar kuasa atau 'ultra vires'.

Namun kelmarin diedarkan keputusan hakin "coklat Hacks" yang saya sertakan dibawah untuk perhatian kepada pencinta keadilan:

Sivakumar tidak ada kuasa gantung Zambry dan enam Exco Perak

PUTRAJAYA: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya tidak boleh digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri atas dakwaan menghina kerana kesalahan itu tidak diperuntukan di bawah perlembagaan negeri, demkian diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di sini.

Hakim Datuk Seri S. Augustine Paul, dalam penghakiman bertulis, berkata Parkara 44 Perlembagaan Negeri Perak dibaca bersama Perintah Tetap Enakmen Dewan Undangan Negeri (Hak Istimewa) 1959 tidak memperuntukan kesalahan menghina dan hukuman penggantungan daripada menghadiri sidang DUN.

Oleh itu, perintah penggantungan selama 18 bulan bagi Zambry dan 12 bulan bagi ahli exco itu dibuat oleh Speaker V. Sivakumar adalah tidak sah dan batal kerana Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, katanya.

"Kuasa menangani isu menghina, yang tidak diperuntukan dalam Perintah Tetap DUN, bukan sesuatu yang Speaker boleh mengambil maklum kerana ia memerlukan satu undang-undang berkaitan dengan itu," kata Augustine dalam penghakiman 64 muka surat bertarikh 3 Jun dan diperoleh hari ini.

"Perlu ada pihak berkuasa undang-undang yang khusus untuk mengetahui dan memberi hukuman bagi kesalahan menghina. Ini khususnya ketara di mana dakwaan menghina dilakukan di luar persidangan DUN," katanya.

Pada 16 April lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa perintah penggantungan terhadap Zambry dan enam anggota exco Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk Ramly Zahari, Hamidah Osman, Datuk Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Dr Mah Hang Soon oleh Sivakumar adalah melampaui perlembagaan negeri dan oleh itu tidak sah dan batal.

Pada 2 Mac lepas, Zambry dan anggota exco berkenaan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi membatalkan keputusan Speaker DUN menggantung dan melarang mereka menghadiri sidang Dewan kerana tindakan itu bertentangan dengan undang-undang.

Mereka juga memohon satu pengisytiharan bahawa mereka berhak mengambil bahagian dalam sidang Dewan dan menjalankan fungsi serta kewajipan masing-masing.

Pada 18 Februari lepas, Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam exco berkenaan kerana didakwa melantik seorang ahli exco bertentangan dengan undang-undang dan tindakan menghina itu telah memalukan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai Menteri Besar Perak.

Mereka turut didakwa menghalang barisan exco Mohamad Nizar daripada menjalankan tugas di bawah Perlembagaan Negeri Perak.

Dalam penghakiman itu, Augustine berkata: "Penggantungan terhadap pemohon dilakukan berdasarkan Perintah Tetap 72 DUN. Tuduhan terhadap mereka menyatakan tindakan mereka itu diibaratkan sebagai menghina.

"Oleh kerana penghinaan tidak dinyatakan secara khusus, tindakan itu tidak boleh diletakkan di bawah bidang Perintah Tetap 72.

"Perintah Tetap 72 memberi kuasa kepada Jawatankuasa Hak Istimewa mengambil maklum sebarang perkara yang nampak menjejaskan kuasa dan hak istimewa dewan itu," kata Augustine.

Zambry dan enam anggota exco itu diwakili oleh peguam utama Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin manakala Sulaiman Abdullah bertindak bagi Sivakumar.

Friday, June 12, 2009

'Boneka Umno' suka k'jaan perpaduan

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas lagi pemimpin parti itu yang mempertahankan saranan membentuk kerajaan perpaduan dengan menyifatkan mereka "boneka Umno".

Beliau juga dilaporkan tidak bersetuju dengan kenyataan Datuk Mustafa Ali, hari ini dilantik setiausaha agung PAS, supaya semua pemimpin parti itu dan Pakatan Rakyat berhenti membuat kenyataan umum berhubung isu tersebut bagi mengelak kekeliruan.

"Saya tak boleh lari daripada keputusan Muktamar PAS di Ipoh tahun lalu... keputusannya ialah menyokong Pakatan Rakyat.

"(Yang sokong) perpaduan ini boneka Umno, terang dan jelas.

"Suara sumbang dari PAS untuk buat kerajaan perpaduan ini adalah boneka Umno," Nik Aziz dipetik berkata selepas meraikan rombongan guru fardu ain dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di kediaman rasminya di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz berkata jika ada pihak yang memperkatakan mengenai kerajaan perpaduan, lapor agensi berita itu lagi, "ia sebenarnya adalah ilham Umno", lapor Bernama.

Menjawab soalan bahawa isu kerajaan perpaduan ini ditimbulkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri, menteri besar itu berkata kenyataan itu bukannya menggambarkan kehendak PAS.

"Presiden ini ketua bagi pertubuhan, dan pertubuhan tidak buat keputusan, itu kenyataan peribadi," katanya.

Mengenai saranan Mustafa itu, Nik Aziz berkata tidak ada sebab ahli parti tidak boleh mempersoalkan isu itu.

"Soalnya tutup kerana apa? Percanggahan pendapat itu bukan datang dari PAS, tapi orang tertentu dalam PAS, dia sudah berasa bahaya bagi dia, maka dia minta tutup," katanya.

"Mana boleh tutup mulut manusia."

Presiden PAS umum saf kepimpinan baru

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang sebentar tadi mengumumkan perlantikan Dato' Mustafa Ali sebagai Setiausaha Agung yang baru menggantikan Dato' Kamaruddin Jaffar.

ImagePengumuman dibuat pada sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS sejurus selesai Mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat yang bermula jam 10 pagi tadi.

Pada sidang itu, Ustaz Hadi mengumumkan Ustaz Idris Ahmad sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat dan mengekalkan Dr. Mohd Hatta Ramli sebagai Bendahari.

Tinbalan Pengarah 1 Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman pula dilantik menggantikan tempat Mustafa sebagai Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

ImageBekas-bekas Naib Presiden, Dato Husam Musa dan Mohamad Sabu yang tewas dalam pertandingan kerusi Timbalan Presiden dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa tambahan.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani dan Wan Ubaidah Wan Omar ialah dua muka baru yang dilantik.

Dr Mariah Mahmod dan Anuar Tahir turut dilantik semula

Wednesday, June 10, 2009

MB Pahang Kagum Personaliti Tuan Guru Nik Aziz

"
Program Hujah di TV9 malam tadi yang bertajuk "Budaya Politik Kelantan, Ke Mana Arahnya" yang di pengerusikan oleh Dr. Muhamad Agus Yusuf agak menarik juga. Tetapi dari awal lagi saya tidak berapa setuju dengan panel hujah yang di jemput iaitu YB. Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam) dan YAB Dato' Seri Adnan Yaakob (MB Pahang).


Ini kerana panel tersebut bukannya dari Kelantan untuk mengupas isu ini lebih mendalam. Adalah tidak adil bagi rakyat Kelantan apabila perbincangan isu di Kelantan tetapi tiada wakil dari mereka sendiri yang lebih arif hal tadbir urus Kelantan. EXCO kerajaan negeri Kelantan seperti Dato' Husam Musa adalah panel yang paling sesuai untuk dijemput.

Satu perkara yang amat menarik dalam Hujah malam tadi ialah apabila Dato' Seri Adnan Yaakob menyatakan beliau kagum dengan personaliti Tuan Guru Nik Aziz. Beliau juga menyatakan selagi Tuan Guru Nik Aziz berada dalam PAS, Kelantan tidak boleh di tawan oleh UMNO BN. Ini merupakan satu tamparan hebat kepada kepimpinan UMNO BN, tambahan pula menjelang Pilihanraya Kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai nanti.

Jikalau diperhalusi kenyataan tersebut telah memberi momentum dan kemenangan moral lebih awal kepada PAS untuk menghadapi pilihanraya tersebut. Secocok benarlah sekiranya UMNO kena berfikir sekali lagi untuk meletakkan calon di Manek Urai kerana dibimbangi UMNO akan kalah teruk serta dimalukan, dan sudah tentunya ini merupakan satu "pembaziran wang rakyat" buat UMNO.

Rakyat Kelantan adalah golongan bijak berpolitik daripada UMNO BN, umpan pembangunan adalah taktik kuno untuk diguna pakai di zaman siber. Walhal sebenarnya selama ini UMNO BN telah diperbodohkan oleh rakyat Kelantan tanpa di sedari.

Nik Aziz tetap tolak rundingan kerajaan perpaduan

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini mengulangi pendirian peribadinya untuk terus menolak cadangan mengadakan sebarang rundingan atau menubuhkan kerajaan perpaduan bersama UMNO.

Menurutnya, isu kerajaan perpaduan yang ditimbulkan sebelum ini bukan dasar Pas sebaliknya dikemukakan oleh ahli dan ia diperhalusi di peringkat jawatankuasa parti itu.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, parti menyerahkan keputusan untuk melaksanakan kerajaan perpaduan bersama UMNO kepada Jawatankuasa Pas Pusat yang akan bersidang Khamis ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, isu kerajaan perpaduan perlu dibincangkan serta diperhalusi jawatankuasa tersebut agar cadangan itu diterima oleh semua ahli peringkat akar umbi.

"Saya tidak mahu komen lagi isu ini, biar jawatankuasa terbabit putuskan. Satu sidang media akan dibuat nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Badan Perhubungan Pas Negeri Pahang di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden Pas merangkap Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi dan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Mengenai reaksi PKR dan DAP berhubung cadangan kerajaan perpaduan itu, Nik Aziz berkata, Pas akan mendapatkan pandangan kedua-dua parti itu mengenai kerajaan perpaduan dan semua urusan itu adalah di peringkat pentadbiran tertinggi parti.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nik Aziz menyerahkan kepada Jawatankuasa Pas Kawasan jika benar terdapat 10 calon Pas menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya kecil Manek Urai.

Menurutnya, calon yang akan diletakkan di kubu kuat Pas itu belum diputuskan secara rasmi.

Menjawab soalan mengenai usul yang dikemukakan ahli Pas dalam muktamar Pas baru-baru ini untuk mengharamkan pertubuhan Sisters in Islam (SIS), Nik Aziz berkata, beliau lebih suka cadangan atau usul itu dibincang dahulu.

"Pas bukan mahu SIS terus diharamkan tetapi siasat dahulu pertubuhan ini. Kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa menyiasat pertubuhan terbabit," katanya.

Mahfuz cadang Husam, Mohd Sabu dilantik jawatan utama PAS

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar mencadangkan agar Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu diberikan jawatan yang penting dalam Dewan Harian PAS Pusat.

Mahfuz menegaskan kedua-dua pemimpin tersebut merupakan aset penting dalam PAS dan tidak seharusnya ia dipersia-siakan.

Jika keduanya tidak diberikan jawatan-jawatan penting ia pastinya akan merugikan parti, jelas beliau.

"Saya mencadangkan agar Dato' Husam dan Mohamad sabu diberikan jawatan penting dalam Dewan Harian.

"Mereka berdua merupakan aset penting kepada parti dan ia merugikan jika kita tidak melantik keduanya memegang apa-apa jawatan penting," tegas Mahfuz.

Mahfuz juga menjelaskan, kedua tokoh tersebut merupakan public figure yang mampu menarik sokongan terhadap PAS.

Kedua-dua tokoh tersebut juga tegas beliau, mampu mengukuhkan kepimpinan PAS jika diberikan jawatan penting dalam Dewan Harian.

Mengulas perkara yang sama, seorang lagi Naib Presiden, Salahuddin Ayob turut sependapat dengan Mahfuz yang mahukan kedua tokoh penting PAS itu diberikan jawatan penting dalam parti.

Salahuddin menegaskan, beliau akan berusaha memastikan Husam dan Mohamad Sabu diberikan jawatan penting dalam Dewan Harian PAS Pusat.

"Kedua tokoh tersebut masih sangat-sangat diperlukan oleh PAS, jadi perlu keduanya dilantik jawatan penting dalam Dewan Harian.

"Andai kita membiarkan keduanya tanpa jawatan ibarat membiarkan kilauan permata malap kerana tidak tahu menjaganya," tegas Salahuddin.

Beliau juga menegaskan kedua tokoh penting itu mampu mengukuhkan kepimpinan PAS untuk menguatkan lagi Pakatan Rakyat dan memastikan kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu sebelum ini merupakan Naib Presiden PAS

Tuesday, June 9, 2009

Muktamar gagal selesaikan masalah sebenar dalam PAS

PAS telah terlepas peluang keemasannya apabila muktamar tahunan yang ke 55nya berlalu tanpa menyelesaikan secara tuntas isu hubungannya dengan Umno.Para penyokong dan ahli parti itu terus keliru dan menerima mesej yang berpecah tentang isu itu walaupun muktamarnya telah berakhir.

Ia telah dipergunakan sepenuhnya oleh media yang dimiliki musuhnya untuk terus mengeliru dan memasukkan jarum-jarum perpecahan di kalangan mereka.

Ia bermula apabila Datuk Husam Musa menyertai pertandingan merebut jawatan timbalan presiden dengan alasan untuk menjelaskan halatuju parti itu kerana timbalan yang ada Nasharudin Mat Isa terlalu liberal dengan Umno bagi beliau.

Sebagaimana diketahui, Husam bersama seorang lagi calon untuk jawatan itu, Mohamad Sabu tewas dan Nasharudin menang.

Signal yang dihantar kepada semua adalah perwakilan mahukan Nasharudin meneruskan hubungan liberalnya dengan Umno.

Nasharudin dalam laporan medianya pula terus berkata, beliau akan menyokong agenda kerajaan perpaduan yang dibawa oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sedangkan, sepanjang muktamar para perwakilan bercakap dengan lantang hatta ketika ucapan penangguhan, kerjasama atau hubungan dengan Umno memberikan signal yang salah kepada penyokong dan ahli parti itu di peringkat bawahan.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong PAS (KPP), Vincent Lee yang bercakap bagi pihak orang bukan Islam yang menyokong parti Islam itu jelas memberikan kenyataan bahawa hubungan yang baik dengan Umno akan menjauhkan orang bukan Islam yang selama ini sudah menyokong PAS.

Ini kerana, orang bukan Islam memberikan sokongan kepada PAS kerana mereka tidak senang dengan lagak Umno selama ini. Jika PAS pula berbaik-baik dengan Umno bermakna PAS mengkhianati sokongan mereka kepada PAS selama ini.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat yang baru menang Siti Zailah Yusof ketika memberikan ucapan penangguhan di hari terakhir muktamar itu semalam juga menegaskan agar PAS berhenti dari meneruskan rundingan dengan Umno, kalau ada, berhubung dengan kerajaan perpaduan ini.

Zailah berkongsi pandangan bahawa langkah ini memberikan gambaran seolah-olah PAS mahu berbaik-baik dengan Umno yang selama ini menjadi musuh tradisi parti Islam itu.

Ketika membahaskan usul untuk menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat rampasan kuasa terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, perwakilan Selangor dari Shah Alam, Khalid Samad mengambil kesempatan sepenuhnya untuk menyerang pihak-pihak dalaman PAS yang cuba berbaik-baik dengan Umno.

Bagi beliau tindakan PAS akan mengelirukan penyokongnya sebagaimana kumpulan Muawiyah Abi Sufyan yang berjaya mengelirukan tentera Saidina Ali dalam peperangan Siffin dengan cara meletakkan Al Quran di atas tombak bagi menuntut perdamaian selepas mereka hampir kalah.

Kerana menghormati Al Quran, tentera Saidina Ali telah terpedaya dengannya.

"Apakah kita mahu mengulangi tragedi ini dengan menghantar mesej yang salah kepada penyokong kita padahal kita tahu musuh kita mahu memecahkan kita dengan cadangan perpaduan atau perdamaian atas nama Melayu dan Islam ini?" soal Khalid dalam membahaskan isu ini.

Langkah PAS yang hanya mengemukakan usul yang sudah sepakat di kalangan ahli PAS untuk dibahaskan tetapi tidak membincangkan dengan terperinci isu-isu yang tidak jelas sebagaimana kerajaan perpaduan ini juga dikesali oleh para perwakilan.

Usul yang dikemukakan untuk perbahasan adalah pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan (MECD) dan usul intergriti kehakiman. Ketiga-tiganya sememang bukan isu dan sudah sepakat di kalangan ahli PAS dan tidak perlu dibahaskan lagi.

Yang perlu diperbahaskan dan mendapat kata putus secara tuntas dalam PAS adalah kerajaan perpaduan ini kerana inilah isu yang selama ini kelihatan perbezaan pendapat yang ketara di kalangan ahli dan pemimpin PAS sehingga sampai ke peringkat cabar mencabar dalam pucuk pimpinan PAS sendiri tetapi ia tidak dijadikan usul untuk dibahaskan.

Hasilnya, muktamar berlalu tetapi isu utamanya tidak selesai. Menurut maklumat yang saya terima sebuah negeri mahu mencadangkan agar PAS mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu ini.

Namun, bagi saya, PAS belum terlambat untuk menyelesaikan isu ini segera. Empat pemimpin utama PAS perlu duduk semeja dengan segera dan membuat kenyataan bersama mengenainya. Mereka adalah Hadi dan Nasharudin di samping Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Husam.

Ke empat-empat mereka perlu mencapai kata sepakat segera sebelum tafsiran yang berbagai-bagai terus berligar di kepala penyokong dan ahlinya.

Ketika membentuk kabinet baru pasca muktamar PAS ke 55 juga, Hadi dan Nasharudin boleh bertindak menyelesaikan segera isu ini dengan jangan sesekali mengenepikan tokoh-tokoh PAS yang kalah terutama Husam dan Mohamad Sabu. Hilangnya mereka dari kabinet baru PAS sekali lagi akan menghantar signal yang salah kepada penyokong mereka.

Yang paling saya bimbang adalah kalau-kalau Erdogan benar-benar wujud dalam PAS. Yang dibimbangi kalau-kalau Erdogan dalam PAS ini sependapat dengan Erdogan di Turki dan menubuhkan parti baru yang lebih liberal sebagaimana tertubuhkan AK di Turki yang berpecah dari Refah (kini Fadhilat) dan memenangi pilihan raya di negara itu.

Kepada mereka, suka saya katakan kebimbangan saya, kejayaan di Turki tidak semestinya membolehkan idea ini membawa kejayaan di Malaysia. Saya lebih cenderung parti baru di Malaysia akan senasib dengan Hamim dan Berjasa sahaja.

Jika perpecahan ini benar-benar berlaku, maka sahlah teori bahawa PAS akan kalah teruk dalam pilihan raya ke 13 selepas menang besar dalam PRU-12 lalu. Teori ini hanya mengulangi sejarah pilihan raya PAS yang akan kalah teruk selepas menang besar sebelumnya.

PAS perlu perjelas rundingan k'jaan perpaduan


Pemimpin PAS perlu memperjelaskan kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengenai rundingannya dengan Umno berhubung kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini.

Sebagai rakan Pakatan Rakyat, Lim berkata, PAS tidak seharusnya berahsia dengan DAP dan PKR berhubung rancangan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan melalui kerjasama dengan Umno.

Lim berkata, kepimpinan PAS tidak pernah menjelaskan kepada kepimpinan Pakatan berhubung dakwaan ia mengadakan rundingan Umno tahun lalu.

Beliau menolak dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pemimpin Pakatan menerima baik perkara itu apabila PAS menjelaskannya kepada mereka.

"Kepimpinan Pakatan tidak pernah berbincang mengenainya, ataupun PAS telah memaklumkannya kepada kita.

"Kita tidak tahu apa yang sedang berlaku," katanya selepas majlis angkat sumpah Presiden Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Tan Cheng Chui.

Sehubungan itu, Lim mengingatkan Abdul Hadi supaya sentiasa bercakap benar.

"Sebagai seorang alim, seseorang itu bukan sahaja perlu menjawab kepada DAP, tetapi juga kepada Tuhan," katanya.

Monday, June 8, 2009

Mahkamah bukan platform penyelesaian politik

Mahkamah bukanlah tempat sesuai untuk mencari keadilan dalam isu politik di Malaysia, rumus tiga ahli panel forum anjuran Badan Perhubungan PAS negeri yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Forum yang membincang isu semasa khususnya krisis politik di Perak itu membariskan Mohamed Hanipa Maidin dari PAS, Harith Abdullah (KeADILan) dan M Kulasegaran (DAP).

Ia dipengerusikan Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Mohd Fadly Ramli yang juga seorang peguam.

Harith dalam hujahnya berkata, krisis politik di Perak berpunca daripada 'kebodohan' Umno-BN yang tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, Umno-BN dalam usaha untuk berkuasa turut memperalatkan kakitangan dan agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada suatu ketika, SPR katanya bertindak seperti polis dan hakim yang menjalankan siasatan dan menjatuhkan hukuman.

Beliau merujuk tindakan badan itu yang menolak notis kekosongan tiga kawasan Dun di Perak oleh Speaker atas alasan surat perletakan jawatan tiga Adun itu sebagai tidak sah.

Ahli Parlimen DAP, M Kulasegaran tidak sependapat dengan para pemimpin Pakatan Rakyat Perak yang membawa krisis politik di negeri itu ke mahkamah kerana institusi tersebut tidak mampu memberi keadilan.

Katanya, setelah 25 tahun menjadi pengamal undang-undang beliau mengetahui latar belakang sebahagian besar para hakim.

"Saya sudah 25 tahun menjadi peguam, saya kenal sebahagiannya dan tahu ada diantara mereka mempunyai hubungan dengan para pemimpin Umno-BN untuk mendapat kedudukan di dalam kerjaya mereka.

"Itulah sebabnya saya tak bersetuju isu politik dibawa ke mahkamah kerana negara memerlukan hakim�hakim yang jujur, amanah, telus dan bebas.

"Kita juga perlukan Mahkamah Perlembagaan sebagaimana di Thailand, India dan negera-negara lain khusus untuk membicarakan kes-kes seperti ini," katanya.

Isu ini katanya memerlukan penyelesaikan politik iaitu melalui pilihan raya bagi membolehkan rakyat membuat keputusan.

Hanipa berkata, pihaknya telah membuat yang terbaik di mahkamah untuk memastikan prinsip keadilan terlaksana walaupun ramai yang meragui ketelusan mahkamah dalam membicarakan isu-isu politik membabit Umno-BN.

Kata beliau, pihaknya berhujah untuk mempertahankan kebenaran dan menentang kezaliman.

"Kami mempunyai hujah yang amat kuat dan telah melakukan yang terbaik, saya berharap mahkamah membuat pertimbangan berdasarkan hujah," katanya.

Menurut Hanipa, pihaknya telah dimaklumkan oleh banyak sumber termasuk dari bekas-bekas Hakim mengenai peluang untuk menang adalah tipis justeru keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Nizar lwn Zambry tidak langsung mengejutkan.

Menurut Hanipa, walaupun Umno-BN menang dalam kes berkenaan tetapi mereka sebenarnya telah hilang keabsahan dan apa sahaja yang dilakukan tidak akan dipercayai oleh massa menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap Umno, BN, kerajaan dan agensinya semakin luntur

Kelab penyokong tolak kerjasama Pas dengan UMNO

Kelab Penyokong Pas hari ini menolak sebarang rundingan termasuklah yang dilakukan secara sulit membabitkan kepimpinan tertinggi parti itu dengan UMNO.

Wakil kelab itu, Vincent Lee (gambar) berkata, rundingan seumpama itu telah mencetuskan kebimbangan di kalangan anggota kelab dengan kemungkinan besar Pas akan meninggalkan mereka.

''Maka, saya meminta pemimpin Pas supaya menjaga setiap kata dan tindakan mereka agar apa yang dilakukan tidak boleh menjelaskan imej parti.

''Tidak ada erti kepada Pas sekiranya mengadakan rundingan atau menyokong parti yang terpesong dengan perjuangan Pas,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kelab Penyokong Pas Nasional sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-55 di Stadium Malawati, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Vincent yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Pas Nasional bagi kaum Cina turut menyokong cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu menjadikan kelab itu sebagai salah satu sayap tersebut.

Katanya, cadangan berkenaan dilihat mampu mengukuhkan Pas serta menjadikan parti itu diterima oleh semua masyarakat.

''Saya harap cadangan ini dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat sebagai proses perkasa sokongan parti,'' ujarnya.

Dalam masa yang sama, Vincent turut meminta supaya jawatankuasa Pas pusat menyediakan peruntukan dana untuk melaksanakan program serta aktiviti kelab itu.

TOK GURU SUMBANGKAN HAKNYA KEPADA KERAJAAN & RAKYAT HAMPIR 2 JUTA

Perwakilan Kelantan, YB Datuk Hj Wan Rahim mendedahkan dalam muktamar semasa membahaskan Ucapan Dasar Presiden bahawa YAB MB Kelantan telah menyumbangkan sebahagian daripada haknya sebagai MB kepada rakyat dan kerajaan negeri. Beliau berkata inilah contoh pemimpin Islam zaman ini yang wajar ditauladani oleh seluruh pemimpin-pemimpin PAS terutama yang memegang jawatan dalam kerajaan.


Menurutnya Tok Guru Nik Abd. Aziz tidak pernah mengambil elaun rumah sebanyak RM 3000 sebulan sepanjang 19 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan. Elaun tersebut tidak pernah dituntut oleh MB, dan kalaupun ada yang pernah dimasukkan dalam akuannya, dikembalikan semula kepada kerajaan negeri untuk disalurkan kepada rakyat.

Selain itu, ada maklumat dari sumber lain, Tok Guru juga menyumbangkan sebahagian elaun bulanan sebagai MB dan wakil rakyat kepada Tabung Serambi Mekah yang juga disalurkan kepada rakyat yang memerlukan. Menurut sumber tersebut hampir 40 % elaun bulanannya disumbangkan kepada rakyat. Katakan elaun bulanan yang Tok Guru terima setiap bulan sebagai MB RM 15 ribu, ini bermakna lebih kurang RM 1.3 juta tok guru sumbangkan elaunnya kepada rakyat selama 19 tahun. Ditambah pula dengan elaun rumah yang tidak pernah dituntutnya selama 19 tahun iaitu hampir RM 684 ribu, bermakna RM 1.9 juta lebih atau hampir RM 2 juta Tok Guru Nik Abd Aziz telah sumbangkan elaunnya kepada kerajaan negeri dan juga rakyat.

Kalaulah betul sumber tersebut, inilah contoh terbaik seorang pemimpin yang tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai MB untuk mengambil kesempatan mengumpul kekayaan.Hidup penuh dengan kesederhanaan, rumahnya rumah kayu, rumahnya tidak pernah berubah dari dulu hingga sekarang, kalau adapun ubah suai yang tidak menelan belanja ratusan ribu ringgit. Menurut sumber tersebut, eluan perjalanan dan harian tok guru pun rasanya Tok Guru tidak juga menuntut.

Sebab itulah rakyat Kelantan sangat sayang kepada Tok Guru.

Semua Ahli-ahli yang berhormat dari PAS juga turut menyumbangkan kepada parti sebanyak 20 % sebulan, ada juga yang menyumbangkan 5 hingga 10 % pula kepada pusat khidmat masyarakat masing-masing.

Agaknya ada ke pemimpin UMNO BN buat macam tu ya ?

Sunday, June 7, 2009

kerajaan perpaduan- tak payah lah

betul seperti kata-kata TGNA dan juga husam musa berkenaan perkara kerajaan perpaduan, mengapa kita (pas) perlu berkerjasama dengan UMNO sedangkan selama ini terang-terang UMNO menolak sepenuhnya perjuangan islam yang di bawa oleh pas. tambahan pula disaat umno hampir kepada kehancurannya, mengapa pas hendak menghulur tangan untuk menyelamatkan mereka. walau DAP menolak negara islam yang dicanang oleh pas, tapi DAP tidak menolak keadilan yang diperjuangkan oleh pas. mereka sama-sama menentang segala penyelewengan yang berlaku, tidak hanya semasa menjadi pembangkang tapi terbukti bila diberi kuasa untuk memerintah. lihatlah bagaimana lim guan eng mentadbir pulau pinang. mungkin ada orang akan kata, masih baru lagi, nanti dah lama sikit baru ada macam-macam skandal. tapi saya percaya ini tak akan berlaku.

janganlah disebabkan oleh terlalu inginkan jawatan dan kuasa maka kita sanggup untuk mengadaikan maruah islam dan parti. jika ingin juga untuk meneruskan hasrat kerajaan perpaduan dengan umno mungkin pas perlu memastikan umno akan dan ingin melaksanakan islam dalam pemerintahan dan membuang fahaman sekular dalam parti itu terlebih dahulu. bersihkan nama baik presidennya dulu dari tuduhan yang dilemparkan dari dalam dan luar negara. hapuskan rasuah yang berlaku dalam parti mereka dahulu. bagaimana kita nak berkerjasama dengan orang yang mengamalkan rasuah sedangkan kita selama ini menentang rasuah habis-habisan. dimana letaknya prinsip kita tentang rasuah.

dan mereka juga baru sahaja menikam kita dan rakan-rakan dari belakang dengan melakukan rampasan kuasa di perak dimana berbagai peristiwa dan penyalahguna kuasa yang memalukan berlaku. apakah ini belum cukup untuk mengajar kita agar jangan bersahabat dengan mereka. seperti kata TGNA luka pas disingkir dari perikatan pun masih terasa lagi .

benar seperti kata husam musa bahawa kita sepatutnya berfikir untuk mengantikan umno bukan untuk menyelamatkan mereka.

Nik Aziz: K'jaan perpaduan 'mengarut'

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sekali lagi menentang cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno yang diilhamkan oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menteri besar Kelantan itu menyifatkan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno sebagai "mengarut".

"Kita sudah buat keputusan menyokong Pakatan Rakyat dalam muktamar PAS yang lalu. Kalau nak berunding dengan Umno, tak usah.

"Kerajaan perpaduan ni tak usahlah, mengarut," katanya ketika berucap dalam program ceramah perdana bersempena muktamar PAS di Stadium Malawati di Shah Alam malam tadi.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan seorang wakil Hamas, Palestin turut berucap di program yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 orang.

Abdul Hadi semasa ucapan dasarnya menyentuh mengenai kesediaan berdialog dengan Umno dan menegaskan keperluan kerajaan perpaduan walaupun agenda itu dibantah dan tidak diterima oleh banyak kalangan dalam PAS.

Nik Aziz berkata, individu dan kerajaan lain tidak kenal Umno sama seperti kerajaan Kelantan.

"(Bagi) otak Umno, di Perak, kerajaan Pakatan Rakyat yang menang dia ambil menjadi kerajaan dia.

"(Jadi) kita perlu matikan Umno habis-habisan," katanya lagi.

Telur-telur penjajah

Umno adalah telur-telur yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris, tambah Nik Aziz.

Beliau juga mendakwa ada menteri persekutuan yang mengarahkan kakitangan kementeriannya di Kelantan supaya tidak memberi kerjasama kepada kerajaan negeri.

"Inilah (slogan) satu Malaysia kerajaan (Datuk Seri Najib Razak) sekarang ini," katanya.

Nik Aziz juga berkata, perwakilan muktamar PAS tidak bercakap mengenai ucapan dasar presiden tetapi bercakap perkara lain.

Katanya, beliau sempat mendengar dua atau tiga perwakilan yang membahaskan ucapan dasar presiden semalam.

"Ini restoran, kalau kita masuk restoran kita minta makanan, kita minta minuman.

"Tetapi kita minta minyak silinder, kita hendak betulkan tayar motokar. Ini pelik," katanya.

"Orang ketawakan kita apabila kita bercakap benda lain di dalam muktamar (PAS)."

"Intailah aku sementara nampak" - Mohamad Sabu

Rangkap ketiga pantun yang disampaikan mantan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu cukup memberi erti yang sangat mendalam kepada hadirin Muktamar PAS ke-55.

"Tuai padi antara masak, nanti jangan layu-layuan, Intailah aku sementara nampak, nanti jangan rindu-rinduan," kata Mohamad Sabu ketika mengakhiri rangkap pantunya sebelum menamatkan ucapan penangguhan Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, dekat ini hari ini.

Bacaan pantun Mat Sabu disambut dengan laungan takbir yang sangat gemuruh oleh perwakilan dan para pemerhati.

Terdahulu diawal ucapannya, Mohamad Sabu yang menggelarkan dirinya sebagai 'Abang Mat' mengutarakan beberapa isu membabitkan membedah demokrasi seperti isu rampasan kuasa di Perak, pelanggaran undang- undang oleh pihak polis, Umno/BN terhadap kuasa speaker di Perak selain isu memantapkan gerakan memansuhkan ISA.

Mohamad Sabu juga menegur secara sinis kisah-kisah beberapa pimpinan PAS yang di kalangan ulama yang akhirnya menyertai Umno.

Beliau memberi contoh, Dato' Nakhaie Ahmad yang digolongkan sebagai ulama yang akhirnya menyertai Umno hingga kini.

Mohamad Sabu mahu PAS kekal dengan ideologi perjuangan tatkala melihat Umno/BN yang dikuasai Dato' Seri Najib Tun Razak merosakkan kerajaan.

PAS Mahu Jawatan Perdana Menteri

Jawatan Perdana Menteri hendaklah diberi kepada PAS sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menumbangkan Barisan Nasional menurut Naib Presiden PAS, Husam Musa.

Beliau berkata PAS haruslah menjadi alternatif kepada Umno dan bukannya berada di bawah parti itu.

“Sekiranya PAS bekerjasama dengan Umno pemimpin kami akan diturun taraf kepada hanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Adalah menyedihkan jika PAS hanya memainkan peranan sampingan kepada Umno. Umno hanya akan menjadikan PAS sebagai kuda tunggangan,” kata beliau yang kalah kepada Nasharuddin Isa dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden semalam.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kemungkinan mengadakan perbincangan mengenai penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata parti tersebut menolak sebarang rancangan membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno dan Barisan Nasional.

Bekas Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata Umno seharusnya bersedia untuk menarik diri daripada arena politik. Umno akan dikebumikan,” katanya.

Tiga naib presiden baru tolak Umno, kata Husam

Walaupun gagal merebut kerusi timbalan presiden PAS, Datuk Husam Musa yakin, ketiga-tiga naib presiden yang baru terpilih, akan terus menolak sebarang kerjasama dengan Umno.

Menurutnya, Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar serta separuh daripada ahli jawatankuasa yang baru itu, berkongsi pandangan politik yang sama dengan beliau.

"Saya amat bersyukur kerana naib dan ahli jawatankuasa yang terpilih kebanyakannya akan melaksanakan pandangan politik saya. Dan mereka pada hemat saya, akan meneruskan keputusan muktamar sebelum ini," kata Husam.

"Pandangan politik saya, PAS mesti menggantikan Umno untuk (kebaikan) Islam dan untuk (membawa) perubahan dalam negara.

"Dan tidak ada jalan pintas untuk bekerjasama dalam apa-apa cara (dengan Umno). Dan untuk itulah saya bertanding jawatan timbalan presiden."

Tuan Ibrahim dan Salahuddin dilihat lebih rapat dengan kumpulan profesional manakala Mahfuz pula - walaupundilihat bersikap berkecuali - tetapi dikatakan lebih rapat dengan kumpulan berkenaan.

Dalam pemilihan tersebut, Tuan Ibrahim yang Pesuruhjaya PAS Pahang, mendapat 871 undi; diikuti oleh Salahuddin yang juga bekas ketua Dewan Pemuda PAS (824) dan Mahfuz yang juga ketua Penerangan PAS memperolehi 636 undi.

Dua lagi calon - Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mujahid Yusof Rawa mendapat 277 undi manakala Exco Kerajaan Kelantan, Nik Amar Nik Abdullah memperolehi 333 undi

Mujahid bagaimanapun berjaya terpilih menganggotai Jawatankuasa Pusat PAS.

husam musaHusam juga berikrar akan terus memantau perkara itu yang telah ditolak dalam muktamar tahunan mereka sebelum ini, walaupun tanpa jawatan.

"Saya mungkin janggut tak cukup panjang. Mungkin perwakilan tidak suka saya. Ia lebih kepada (faktor) saya," katanya berseloroh.

Husam diminta mengulas sama ada mesej beliau tidak diterima perwakilan.

Katanya, kekalahan beliau mungkin disebabkan tidak menjalan kempen yang agresif serta "banyak elemen tidak menyebelahinya".

"Dalam organ parti sendiri, pada pendapat saya, sedikit sebanyak berat sebelah. Saya tahu cabaran berat di hadapan saya. Pertama, saya tidak boleh menyatakan kritikan terbukan dan (menyampaikan) pandangan saya yang berbeza.

"Oleh itu, maklumat daripada satu pihak telah disampaikan melalui pelbagai cara. Dan dalam suasana seperti itu, tentulah kalah lebih mudah daripada menang," kata Husam.

Search This Blog