Wednesday, June 10, 2009

Nik Aziz tetap tolak rundingan kerajaan perpaduan

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini mengulangi pendirian peribadinya untuk terus menolak cadangan mengadakan sebarang rundingan atau menubuhkan kerajaan perpaduan bersama UMNO.

Menurutnya, isu kerajaan perpaduan yang ditimbulkan sebelum ini bukan dasar Pas sebaliknya dikemukakan oleh ahli dan ia diperhalusi di peringkat jawatankuasa parti itu.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, parti menyerahkan keputusan untuk melaksanakan kerajaan perpaduan bersama UMNO kepada Jawatankuasa Pas Pusat yang akan bersidang Khamis ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, isu kerajaan perpaduan perlu dibincangkan serta diperhalusi jawatankuasa tersebut agar cadangan itu diterima oleh semua ahli peringkat akar umbi.

"Saya tidak mahu komen lagi isu ini, biar jawatankuasa terbabit putuskan. Satu sidang media akan dibuat nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Badan Perhubungan Pas Negeri Pahang di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden Pas merangkap Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi dan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Mengenai reaksi PKR dan DAP berhubung cadangan kerajaan perpaduan itu, Nik Aziz berkata, Pas akan mendapatkan pandangan kedua-dua parti itu mengenai kerajaan perpaduan dan semua urusan itu adalah di peringkat pentadbiran tertinggi parti.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nik Aziz menyerahkan kepada Jawatankuasa Pas Kawasan jika benar terdapat 10 calon Pas menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya kecil Manek Urai.

Menurutnya, calon yang akan diletakkan di kubu kuat Pas itu belum diputuskan secara rasmi.

Menjawab soalan mengenai usul yang dikemukakan ahli Pas dalam muktamar Pas baru-baru ini untuk mengharamkan pertubuhan Sisters in Islam (SIS), Nik Aziz berkata, beliau lebih suka cadangan atau usul itu dibincang dahulu.

"Pas bukan mahu SIS terus diharamkan tetapi siasat dahulu pertubuhan ini. Kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa menyiasat pertubuhan terbabit," katanya.

No comments:

Search This Blog