Saturday, May 9, 2009

Sidang Dun 7 Mei tidak sah, kali ini BN cabul dewan pula!

Pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berpendapat sidang Dun Khamis lalu, 7 Mei tidak sah kerana beberapa sebab. Sidang itu adalah rentetan dan siri perbuatan-perbuatan haram yang beranak-pinak dan terus menimbulkan kekecohan dan kekeliruan dalam negara.

Beliau berhujah, dari awal lagi sidang mengetepikan kedudukan dan kuasa Speaker yang ada yakni V. Sivakumar dan kemudian pelbagai arahan serta perintah dibuat oleh Setiausaha Dun dan Setiausaha Kerajaan yang tidak mempunyai autoriti yang sah.

Kedua, katanya pada hari itu sendiri sidang dilakukan melalui rampasan, khususnya Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan. Itu belum lagi mengambilkira kedudukan Hee yang sebenarnya masih di dalam penggantungan. Bagaimana Hee boleh dibenarkan memulakan prosiding yang kemudian memilih Datuk M Ganesan, soal Aziz.

Ditanya mengenai titah Raja Muda merasmikan sidang, Aziz berkata: "Ini tidak penting kerana ini dilakukan dalam sidang yang permulaannya sudah tidak sah. Dan ini pun bukan pokok. Kalau pembukaannya pun sudah tidak sah, tidak perlu kita bercakap hal-hal yang dilakukan selepas itu".

Aziz berpendapat V. Sivakumar masih lagi Speaker Dun Perak yang sah. Di dalam persidangan haram itu Ganesan kelihatan tidak begitu petah bercakap dan tidak begitu mahir dengan peraturan dewan sehingga terpaksa dibantu oleh Datuk Hamidah Osman.

Aziz menyifatkan kekecohan di Dun Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari. Sebelum ini polis juga menghalang sidang Dun Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari premis rasmi.

"Apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu," tegasnya.

Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang di bawah pokok dua bulan lalu sekali lagi polis memainkan peranan utama.

"Sebelum ini kita mendengar bagaimana Ketua Polis Negara sendiri dalam kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat mengakui yang mereka tidak boleh masuk dewan. Anihnya di Perak ada pula undang-undang lain yang mereka pakai".

Di sisi perlembagaan dan undang-undang mahkamah, apalagi polis, sebenarnya mereka tidak boleh campur urusan dewan.

"Apa yang polis lakukan ialah pencerobohan dan jenayah. Tetapi kita tak boleh buat apa-apa kerana kita bergantung kepada polis. Ini kes pagar makan padi," katanya kesal.

Sebab itu, tegas Aziz, cara menyelesaikan krisis di Perak ialah dengan membubarkan dewan kerana apa yang berlaku minggu lalu jelas menunjukkan keadaan makin teruk dan kerajaan haram pimpinan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan terus menghadapi masalah dan terpaksa bergantung kepada istana dan polis untuk berfungsi.

"Ini berlawanan dengan perlembagaan kerana istana dan polis ada peranan dan kerja masing-masing, bukan mengawal dan membantu kerajaan untuk berkuasa", tambahnya. Aziz berkata hanya kerajaan diktator yang berfungsi begitu dan dalam sistem demokrasi kerajaan hidup dan tegak berdasarkan sokongan rakyat, bukan atas bantuan polis dan mahkamah.

"Apa yang berlaku di Perak, oleh kerana cara BN membentuk kerajaan begitu misteri maka lawan mereka tidak dapat menerimanya". Aziz berkata hanya golongan fasis yang tidak percaya dengan pilihan raya sahaja yang akan mengambil tindakan ganas dan di luar kebiasaan untuk berkuasa.

Anihnya, Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dalam komennya Jumaat lalu berasa sedih kerana "pihak pembangkang melanggar undang-undang dan membuat kekecohan".

Khamis lalu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga menyalahkan pembangkang kerana membawa budaya rimba dan menentang titah sultan, perintah mahkamah dan arahan polis.

Aziz berkata di sisi undang-undang sesuatu tindakan tidak boleh dilihat berasingan dari suasana yang melatarinya. "Apa yang dilakukan oleh ahli-ahli Dun di Perak adalah respons yang akan dilakukan oleh sesiapa pun termasuk oleh BN sendiri kalau mereka melaluinya. Dengan itu adalah tidak adil untuk menuduh mereka ganas, liar dan sebagainya sedangkan kita tahu bagaimana mereka dilayan oleh polis dan pihak sekretariat kerajaan negeri," jelasnya.

Sebelum ini pelbagai pihak mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengganggu kuasa Speaker V Sivakumar dan sikap pihak polis yang berat sebelah dan tidak profesional

Rampas kuasa Speaker, kudeta kedua berlaku di Perak

Cukup meragukan dan mungkin terbatal. Ungkapan ringkas bagi menggambarkan situasi yang berlaku pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Khamis lalu.

Perlanggaran badan eksekutif terhadap legislatif secara moralnya menjejaskan teori pengasingan kuasa yang masih bersisa di negara ini.

Tindakan Menteri Besar kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) Perak, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir meneruskan tindakan memecat Speaker, V Sivakumar biar pun usulnya ditolak secara jelas menggambarkan eksekutif mencampuri urusan badan legislatif.

Lebih mengaibkan lagi apabila Timbalan Speaker 'merampas' kuasa speaker yang masih berada di kerusi. Ini memperlihatkan Adun BN mempersendakan peraturan Dewan.

Dan paling menjijikkan apabila anggota pasukan keselamatan dikatakan diperalat dengan mengusung keluar Speaker dan mengurungnya di sebuah bilik yang berkunci.

Apa yang berlaku di Perak tersebut secara jelas dapat digambarkan sebagai kudeta pusingan kedua dengan merampaskan kedudukan Speaker secara paksa.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof berkata, segala urusan persidangan Dun Perak pada hari itu amat meragukan kerana tidak berlaku mengikut peraturan ditetapkan.

"Di mana nilai doktrin pengasingan kuasa yang dikatakan diamalkan dalam sistem demokrasi di negara ini. Badan eksekutif tiada hak untuk campur tangan terhadap perjalanan legislatif.

"Sedangkan doktrin itu begitu penting sekali bagi memastikan berlaku check and balance dalam sistem pentadbiran kerajaan," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Kelantan di Perdana Resort di sini, hari ini.

Menurutnya, segala perkara yang berlaku pada hari persidangan itu begitu mencurigakan dan boleh dianggap sebagai tidak sah.

Kata beliau apabila persidangan itu sendiri dianggap tidak sah, bagaimana boleh dilantik seorang Speaker baru.

"Saya bimbang apabila setiap perkara yang berlaku itu tidak sah ia turut menjejaskan ucapan perasmian oleh wakil raja Perak. Ini juga boleh menimbulkan satu persoalan.

"Kelihatan ada pihak yang cuba mencemarkan institusi terbabit apabila melanggar dari awal lagi segala peraturan Dewan Negeri sehingga ia menjadi kelam kabut," katanya yang juga seorang peguam.

Bagaimanapun peguam Umno, Dato' Mohd Hafarizam Harun dan Dato' Muhammad Shafei Abdullah dilapor menyifatkan penyingkiran Sivakumar sebagai sah.

Mereka menganggap tanpa kehadiran Sivakumar, Timbalan Speaker, Hee Yit Foong boleh mempengerusikan mesyuarat bagi melantik speaker baru.

Namun berdasarkan kronologi yang dipapar pelantikan Speaker baru dibuat ketika Sivakumar masih berada di kerusi Speaker.

Sabki mempersoalkan bagaimana boleh dikatakan pelantikan Speaker baru sah memandangkan keseluruhan perjalanan persidangan Dewan tersebut dipertikaikan banyak pihak.

Sivakumar semalam mendedahkan beliau dikurung dalam sebuah bilik persalinan selepas diusung keluar Dewan oleh beberapa anggota keselamatan.

Seorang perwakilan Dewan Pemuda berkata, segala kekalutan yang berlaku itu dimulakan Dato' Seri Najib Razak apabila memerangkap tiga bekas Adun Pakatan Rakyat sehingga kudeta berlaku di Perak Febuari lalu.

"Jadi sekarang siapa yang menjejaskan imej negara," kata seorang perwakilan dari Gua Musang

Atas peruntukan mana Hee boleh bertindak sejauh itu?

tidak syak satu lagi tarikh gelap gelita bagi demokrasi di Malaysia. Sidang Dun Perak yang haram dan tidak mengikut undang-undang serta perlembagaan itu hanya menyerlahkan sikap rakus (Mahathir sebelum ini menyifatkan tindakan rampasan kuasa BN Perak ke atas kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebagai gopoh) BN yang tidak sabar-sabar untuk mengambil alih kerajaan Perak.

Benar sekali perumpamaan Prof Dr Abdul Aziz Bari bahawa tindakan memalukan di sidang Dun itu boleh disifatkan sebagai persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu, yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu. Ia bermula daripada tindakan rampasan kuasa yang bercanggah dengan peraturan undang-undang dan perlembagaan negeri.

Begitu juga dengan sidang Dun di bawah pokok yang terpaksa diadakan selepas pihak polis dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang masuk campur dalam hal-hal yang tidak sepatutnya mereka terlibat. Ya, bagaimana Speaker V Sivakumar dihalang daripada menjalankan tugasnya.

Begitu juga yang berlaku di Dun Perak 7 Mei apabila Sivakumar diperlakukan dengan begitu biadab dan dibawa keluar daripada dewan dengan cara samseng jalanan. Pelik, dalam keadaan sidang Dun belum bermula tiba-tiba timbalan speaker yang belot itu, Hee Yit Foong, boleh menjalankan tugas-tugas speaker dan kemudiannya melantik speaker baru. Atas peruntukan mana Hee boleh bertindak sejauh itu? Sedangkan Sivakumar masih ada di situ dan belumpun memulakan persidangan Dun pun!

Campur tangan polis pula satu hal serius yang harus diberi perhatian. Sudahlah selama ini pihak polis sanggup menjadi alat dan perkakas untuk BN mempertahankan sakibaki kuasa mereka, kali ini mereka bertindak lebih rakus lagi, dengan menyeret keluar Sivakumar daripada dewan.

Walhal dulu, semasa kes Karpal Sing dikasari di Parlimen, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Negara sendiri mengakui bahawa polis tidak mempunyai kuasa dalam kamar dewan. Walaupun jika berlaku pergaduhan hanya petugas Dewan sahaja boleh mengambil tindakan perlu, termasuk tangkapan. Dalam sidang Dun Perak tak dapat dipastikan berapa ramai anggota polis yang hadir terutama yang berpakaian preman.

Juga yang menjadi tandatanya, bilakah masa sebenar sidang Dun bermula, apakah selepas perasmian oleh Raja Nazrin Shah yang terpaksa ditangguhkan sehingga jam 3 petang atau sebelum itu lagi? Bagaimana pula dengan kesahihan perlantikan Speaker yang baru, Ganesan, yang dibuat secara haram dan bercanggah dengan Perlembagaan?

Memang segalanya menjadi cacamarba dan haru-biru apabila begitu ramai anak haram yang lahir daripada persetubuhan haram awal Februari lalu. Tapi yang pastinya, dalang di sebalik apa yang berlaku ini, Najib Razak tidak berasa apa-apa yang perlu dimalukan dengan begitu ramainya "anak-anak haram" yang berkeliaran di negeri Perak itu!

Sivakumar dakwa masih Speaker

IPOH 8 Mei - V. Sivakumar yang dilucutkan jawatannya semalam mendakwa beliau masih lagi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sah dan akan memasuki pejabatnya seperti biasa Isnin ini.

Alasan yang diberikan oleh Sivakumar ialah sidang DUN semalam sebenarnya tidak berlangsung berikutan arahan beliau supaya 10 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas yang didakwa telah meletak jawatan supaya keluar meninggalkan Dewan tidak dipatuhi.

Justeru, katanya, usul menyingkirkan beliau dan pelantikan Datuk R. Ganesan sebagai Speaker DUN Perak yang baru dengan sendirinya tidak sah.

''Saya tetap Speaker DUN Perak kerana dari pagi hingga petang semalam, sidang DUN tidak berlaku kerana 10 orang ini tidak keluar Dewan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Sivakumar bertegas tidak mahu memulakan sidang DUN selagi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exconya berada dalam Dewan.

Beliau turut mengarahkan tiga ADUN Bebas iaitu Hee Yit Foong (Jelapang), Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) meninggalkan Dewan dengan segera.

Mengulas lanjut Sivakumar berkeras menyatakan bahawa penggantungan tujuh ADUN BN yang dibuat semasa sidang DUN di bawah pokok pada 3 Mac lalu adalah sah walaupun Mahkamah Persekutuan memutuskan sebaliknya.

''Hujah saya ialah ADUN BN membuat usul sendiri untuk mengiktiraf sidang DUN bawah pokok tidak sah semasa persidangan semalam.

''Dengan membawa usul ini, mereka dengan sendirinya mengiktiraf sidang DUN bawah pokok sebagai sah dan ini menunjukkan penolakan 10 ADUN daripada memasuki Dewan adalah sah," katanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa wujud konspirasi yang didalangi BN untuk melucutkan jawatannya sebagai Speaker DUN Perak semasa sidang DUN semalam.

''Semua orang yang dibenarkan memasuki Dewan termasuk kakitangan kerajaan tidak mematuhi semua arahan saya kecuali 28 ADUN dari DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," ujarnya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan mahkamah termasuk menyaman BN, Sivakumar menyatakan, perkara itu belum difikirkan lagi.

Terdahulu, Sivakumar membuat laporan polis terhadap BN kerana mendakwa pelucutan jawatannya dibuat secara tidak sah dan dikasari serta diheret keluar dari Dewan.

Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh mengesahkan menerima laporan beliau.

Peguam berhimpun bantah tindakan polis

KUALA LUMPUR 8 Mei - Hampir 200 peguam berkumpul di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini membantah penahanan lima peguam dari Biro Bantuan Guaman termasuk pengerusinya, Ravinder Singh Dhalliwal, semalam.

Selain Ravinder, mereka yang ditahan ialah Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Puspawati Rosman dan Syuhaini Safwan. Mereka berumur antara 26 dan 28 tahun.

Mereka didakwa ditahan kira-kira pukul 11.45 malam semalam di Balai Polis Brickfields selepas tidak dibenarkan berjumpa sejumlah 14 orang anak guam mereka.

Kesemua anak guam itu ditahan kerana terlibat dalam perhimpunan membantah penahanan aktivis Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat yang dikatakan terlibat dalam kempen memakai baju hitam menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Suasana di mahkamah hari ini menjadi bertambah tegang apabila pihak polis meminta Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan menghentikan ucapan dan mengarahkan kesemua peguam bersurai.

Ketika itu kumpulan peguam yang hadir bersorak membantah tindakan polis malah ada yang mengeluarkan perkataan 'kurang ajar' kepada anggota polis yang bertugas.

Antara yang turut menyertai perhimpunan itu ialah bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga; Pengerusi Majlis Peguam Kuala Lumpur, Anand Ponnudurai; Pengerusi Majlis Peguam Selangor, Rajpal Singh serta beberapa peguam terkemuka termasuk Malik Imtiaz Sawar, Sulaiman Abdullah dan Tommy Thomas.

Kesavan ketika ditemui pemberita memberitahu, beliau merasa terkejut dengan tindakan polis.

''Mereka (polis) telah melanggar peruntukan tertentu di bawah Kanun Tatacara Jenayah yang menjamin para peguam untuk bertemu dengan anak guam mereka.

''Tindakan polis mempermainkan hak asasi seseorang untuk dibela dari segi undang-undang. Kami (Majlis Peguam) meminta Ketua Polis Negara memberi penjelasan terhadap penyalahgunaan kuasa polis ini,'' katanya.

Selepas berkumpul hampir satu setengah jam, Kesavan dari atas tangga lobi mahkamah mengumumkan bahawa kesemua peguam yang ditahan akan dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau turut mengumumkan satu mesyuarat agung tergempar (EGM) Majlis Peguam akan diadakan Jumaat ini bagi membincangkan tindakan seterusnya berhubung kejadian itu.

Pada ketika ini, salah seorang anggota polis mencelah ucapan Kesavan dan memintanya mengarahkan kesemua peguam bersurai.

Keadaan hanya kembali tenang selepas Kesavan bergerak meninggalkan kawasan lobi mahkamah ke bahagian luar kompleks tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis telah membebaskan kesemua 20 individu termasuk lima peguam yang ditahan.

Polis cabul sidang Dun Perak , Sivakumar masih Speaker

SEMAKIN banyak pihak menimbangkan kesahihan perlucutan V Sivakumar daripada jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan pengundian pengganti beliau, R Ganesan, bekas Adun Sungkai, dan juga dua lagi usul.

Peguam dan juga Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Malik Imtaz Sarwar tidak bersetuju dengan pandangan Dato' Hafarizam Harun dan Dato' Muhammad Shafee Abdullah, yang dilaporkan berkata bahawa usul yang diluluskan 7 Mei adalah sah.

"Saya tidak bersetuju dengan pandangan Hafarizam dan Shafee. Saya tak nampai bagaimana it boleh menjadi sah," jelas Malik Imtaz kepada Malaysian Insider.

Prosidur diragui

Dia mendapati terlalu banyak persoalan berhubung prosidur di dalam ruang dewan, mengakibatkan kesahihannya diragui.

"Pertama, bagaimanakah persidangan itu boleh sampai ke peringkat di mana Hee mengambil alih persidangan?" beliau mempersoalkan, merujuk kepada Hee Yit Foong, Adun Jelapang merangkap Timbalan Speaker.

"Sekiranya Sivakumar berada di situ secara sah, bagaimana dia (Hee) boleh mengambil alih (tugas Speaker)?" tambah beliau, merujuk kepada penjelasan Hafarizam yang membuat rujukan kepada Perkara 36A(1)(b) Peraturan Persidangan yang membenarkan Timbalan Speaker mengambil tempat menggantikan Speaker.

Versi bercanggah

Kata Imtaz, dia mendengar versi yang bercanggah-canggah mengenai peristiwa 7 Mei, termasuk dakwaan kononnya pada satu ketika Sivakumar tidak berada di dalam kamar dewan sewaktu persidangan berlangsung.

Beliau juga mempersoalkan kehadiran pegawai polis berpakaian biasa di dalam kamar dewan.

"Polis tidak sama sekali mempunyai kuasa dalam kamar dewan," kata Imtaz, dan merujuk kepada kenyataan terdahulu oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Negara pada Mac lalu selepas Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Karpal Singh dikasari di Parlimen.

Syed Hamid dan Musa Hassan menegaskan bahawa pihak polis tidak boleh campur tangan dalam kamar dewan walaupun sekiranya terdapat pergaduhan dan hanya petugas dewan (sergeant-at-arms) mempunyai kuasa menangkap.

Polis bukan agen parti politik

"Polis telah bertindak tanpa kuasa. Mereka sebenarnya menjadikan diri mereka sebagai agen kepada sebuah parti politik dan bukan sebagai pelaksana bebas undang-undang," kata Imtaz, sambil menekankan bahawa Sivakumar adalah masih Speaker yang sah ketika itu.

Sementara menekankan pandangannya bahawa tidak bermakna Adun Pakatan Rakyat bebas daripada apa-apa perlakuan salah, Imtaz menolak penjelasan Dr Zambry Abdul Kadir yang mengatakan BN tidak mempunyai pilihan kecuali memanggil polis apabila keadaan menjadi semakin tegang.

"Mereka mengatakan mereka tidak ada pilihan tapi itu tidak benar. Mereka boleh sahaja memfail untuk mendapatkan perintah mahkamah dan menyebut Sivakumar sebagai menghina mahkamah. Mereka tidak melakukan demikian tetapi memilih untuk membantu diri-sendiri tetapi membantu diri-sendiri tidak dibenarkan di bawah sistem perundangan kita," jelas Imtaz lagi dengan nada marah.

"Bahkan, cara paksaan terpaksa digunakan - dengan menggunakan polis untuk memaksa Sivakumar keluar dari kamar dewan tanpa sebarang alasan-� ini adalah merupakan penunjuk yang mencukupi bahawa BN tidak mempunyai penyelesaian politik mahupun perundangan terhadap kesulitan yang mereka sendiri mulakan."

Beliau juga mempersoalkan: "Pada saat manakan persidangan sebenarnya bermula?"

Bila sidang bermula?

"Sekiranya perasmian persidangan bermula selepas titah Raja Nazrin, bagaimanapula mereka menjalankan sebarang urusan sebelum itu?" tanya Imtaz.

Beliau menekankan, Raja Muda Perak yang sepatutnya membuka persidangan, memasuki kamar dewan hanya pada kira-kira jam 3.00 petang, setelah berlaku perebutan kerusi Speaker dan setelah tiga lagi usul - pemilihan Ganesan sebagai Speaker, anggota baru untuk jawatankuasa sampingan dan kelulusan pengisytiharan pembatalan sidang Pakatan Rakyat terdahulu yang diadakan di bawah sebatang pohon.

Imtaz juga menegaskan persidangan tersebut juga melanggar beberapa lagi konvensyen, termasuk tidak mengadakan upacara mengangkat sumpah untuk Ganesan selaku Speaker. Ini, tegasnya, biasanya diadakan dalam satu upacara di masa lain di hadapan raja.

Terus buntu

"Inilah antara perkara yang menyebabkan saya merasa ragu tentang kesahan usul yang diluluskan," kata peguam yang baru-baru ini menjadi penerima anugerah hak asasi manusia antarabangsa.

"Akhirnya, terdapat kebuntuan di sini," katanya, dan menambah sekiranya Perdana Menteri Najib Razak "ikhlas tentang Satu Malaysia, dia tidak boleh membenarkan BN melakukan tindakan tersebut."

Bagi pensyarah undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Abdul Aziz Bari, "semuanya begitu jelas dan terpampang."

Katanya, dia bersetuju dengan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa persidangan 7 Mei adalah "haram dan tidak berperlembagaan".

Cara salah pilih Speaker

"Bagi saya, cara mereka memilih Speaker adalah salah. Speaker masih Sivakumar," jelas ahli akademik itu.

Beliau memerhatikan bahawa urutan peristiwa dari 5 Februari sehingga semalam - dari perbuatan melompat parti yang dilakukan wakil rakyat yang dipilih sehinggalah kepada keputusan mahkamah membatalkan keputusan Sivakumar untuk menggantung kehadiran Adun BN - membuatkan kesahihan usul cukup meragukan menurut pandangannya.

Seperti juga Malik Imtiaz, Presiden Majlis Peguam Malaysia Ragunath Kesavan bersetuju situasi di Perak sudah tiba pada titik di mana tidak ada jalan lain kecuali Sultan Perakmembubarkan dewan undangan dan membuka jalan untuk pilihan raya umum baru bagi membersihkan kemelut yang berlaku.

Undang-undang tak boleh selesai masalah

"Bagi kita, cara perundangan tidak akan dapat menyelesaikannya kerana setiap peguam mempunyai pendapat berbeza," katanya.

"Secara peribadi, saya rasa terdapat hujah yang memihak kepada kedua-dua pihak. Satu daripadanya bilakah persidangan itu sebenarnya bermula? Satu lagi apakah Speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul yang hendak dibentangkan?"

"Tapi kini Pakatan Rakyat adalah pihak minoriti dan BN mempunyai majoriti stabil dengan 28 campur tiga bebas," jelasnya.

Ragunath menekankan cara terbaik untuk keluar dari permasalahan tersebut ialah membenarkan pengundi membuat keputusan.

"Saya tak fakir dalam demokrasi, untuk kembali semula kepada rakyat setelah baru sahaja mengadakan pilihan raya umum merupakan satu masalah," katanya.

Friday, May 8, 2009

Apa Pilihan Kita Sebagai Rakyat?

(artikel ini tidak wajar diklasifikasikan sebagai hasutan melainkan sebagai ingatan bagi rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi)

Saya tidak mahu mengulas panjang insiden yang berlaku didalam DUN Perak sepanjang hari ini. Semua rakyat Malaysia saya jangkakan telah mengetahui hujung pangkal apa yang berlaku disana. Kesimpulan yang saya dapat berikan cuma satu iaitu;

“Pada tanggal 7 Mei 2009, pastinya akan dikenang selama mungkin oleh rakyat Malaysia yang prihatin bahawa pada tarikh inilah matinya demokrasi berperlembagaan di Malaysia”.

Marilah kita (rakyat Malaysia yang prihatin) bersama-sama berkabung atas kematian demokrasi berperlembagaan yang selama lebih 50 tahun kita julang. Kematian ini bukanlah dilakukan oleh pihak penjajah (kita bukankah telah merdeka?) akan tetapi kematian ini dilakukan oleh bangsa kita sendiri yang rakus kepada kuasa.

Setelah matinya demokrasi berperlembagaan, tidak mungkin akan kekal lagi “Raja Berperlembagaan” sepertimana yang dituntut dan dikhaskan didalam Perlembagaan Malaysia. Apa yang ada hanyalah Malaysia yang dipimpin dan dikuasai secara diktator. Hari ini telah terbukti bahawa “Raja Berperlembagaan” itu hanyalah ujud diatas kertas sahaja sedangkan kuasa sebenar ditentukan oleh Perdana Menteri Malaysia sepenuhnya.

“Raja Berperlembagaan” hanyalah sekadar satu mohor (cap) yang akan digunakan apabila perlu oleh Kerajaan Barisan Nasional. Krisis yang berlaku di Negeri Perak Darul Ridzuan telahpun menjadi “precedence” (duluan kes) bagi seluruh negeri-negeri yang bersekutu dibawah panji-panji Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia).

Bila pemerintah sendiri (Kerajaan Barisan Nasional dan wakilnya) tidak menghormati undang-undang dan perlembagaan, maka adalah tidak wajar sama sekali sekalian rakyat juga menghormati undang-undang dan perlembagaan. Undang-undang dan perlembagaan hanya layak di”bakulsampah”kan sahaja kini. Malaysia nampaknya mengamalkan dua set undang-undang yang berbeza. Satu set khusus untuk diikuti oleh rakyat marhaen manakala satu set lagi khusus untuk Kerajaan Barisan Nasional dan yang bersekongkol dengannya.

Dengan ini, saya syorkan kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin agar meneruskan tindakan berkabung sampai bila-bila sehinggalah dihidupkan kembali demokrasi berperlembagaan di Malaysia ini.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa – ISIS

Matinya Demokrasi Di Malaysia

Amat susah untuk kita memperkatakan mengenai jangkahayat demokrasi di Malaysia ini. Mana tidaknya disuatu pihak (rakyat) amat menyanjung tinggi demokrasi berperlembagaan yang mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh undang-undang dan perlembangaan namun disuatu pihak lagi (penguasa) nampaknya bersungguh-sungguh bersiap siaga melacurkan demokrasi demi kepentingan tembolok dan kuasa yang ada.

Rakyat Malaysia telah lama dimomokkan dengan isu perbalahan kaum, malah boleh dikatakan senantiasa diperbaharui idea-idea perbalahan kaum itu oleh media-media yang dikuasai oleh pemerintah. Tidak cukup dengan isu perbalahan kaum, malah beberapa akta serta ordinan yang termaktub dalam undang-undang negara digunakan untuk memulas telinga rakyat.

Adanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Polis dan pelbagai akta-akta lain digunapakai demi untuk menyekat maklumat daripada sampai kepada pengetahuan rakyat marhaen. Ianya diguna demi untuk menyelamatkan pemerintah daripada digulingkan oleh rakyat setelah rakyat mendapati bahawa pemerintah telah menyalahgunakan kuasa.

Bagi rakyat Malaysia, apa yang mampu dilakukan hanyalah membebel diwarung-warung tepi jalan, kedai kopi, kantin pejabat mahupun dialam siber. Tapi didalam keadaan yang mencemaskan ini, telinga-telinga dan mata pemerintah ada dimana-mana. Anda (rakyat Malaysia) boleh saja ditangkap pada bila-bila masa dibawah mana-mana akta yang saya sebutkan diatas. Jika anda berborak (lebih dari lima orang) membincangkan pelbagai penyelewengan yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional, kemungkinan untuk anda diangkut oleh pihak polis adalah tinggi sama ada dibawah Akta Hasutan mahupun Akta Polis.

Jika sekiranya anda meluahkan isi hati anda yang secara langsung mengkritik Kerajaan Barisan Nasional dialam siber (internet), kemungkinan pada bila-bila masa anda boleh dijemput oleh Cawangan Jenayah Siber ataupun Cawangan Khas (SB) dibawah Akta Hasutan, Akta Multimedia malah tidak mustahil anda boleh ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sesebuah negara akan menjadi makmur dan teratur perjalanannya bilamana kritik yang dibuat oleh mana-mana pihak diambil perhatian dan diperbaiki oleh pihak pemerintah. Namun ini tidak menjadi kenyataan di Malaysia. Jika anda mengkritik dasar-dasar serta tindakan Kerajaan Barisan Nasional yang anda rasa bercanggah dengan kehendak rakyat, anda pastinya bersedia untuk “disenyapkan”.

Setelah lebih 50 tahun Malaysia merdeka, tidak ada walau sekalipun Kerajaan yang memerintah (Perikatan @ Barisan Nasional) membenarkan rakyat mengkritik dasar-dasar dan tindakan yang dibuat. Setiap kritik itu pastinya dibalas dengan cara ditangkap dibawah beberapa akta “Draconian” yang pada penyokong Barisan Nasional adalah amat bersesuaian.

Saya tidak pasti bila masanya saya pula akan dilamar dibawah mana-mana akta ini. Nauzubillah jika ianya berlaku kepada saya.

Najib Razak nampaknya telah mengorak langkah cemerlang dalam tempoh kurang 100 hari menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia dengan “mengikat mana-mana mulut” yang celupar mengkritik beliau. Mengkut maklumat yang saya dapati, lebih dari 50 orang akan diangkut oleh pihak Polis pada bila-bila masa terdekat ini.

Apa yang ada pada rakyat kini cuma “doa” yang InsyaAllah pastinya akan dikabulkan oleh Allah S.W.T yang akhirnya akan mengembalikan Malaysia kearah demokrasi yang sebenarnya.

Kerakusan kerajaan BN di Perak terbukti!



Penahanan 64 orang termasuk 4 ahli parlimen dan 5 ahli dewan undangan negerGo to fullsize imagei di Ipoh akan selama-lamanya dirakamkan dalam lipatan sejarah negara ini sebagai lambang kepada perjuangan rakyat menegakkan demokrasi dan menjaga keluhuran Perlembagaan di negara ini. Kepada Tuan Speaker Sivakumar dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Negeri Perak, riwayat perjuangan anda semua akan selamanya tercatat dalam episod perjuangan menuntut Perubahan. Keberanian tuan-tuan semua berdepan dengan kekuasaan sesungguhnya menyempurnakan makna sebenar seorang wakil rakyat.

Saya nukilkan bait sajak ini sebagai tanda kagum kepada saudara seperjuangan semua:

“…Dan bara kagum menjadi api
Di depan sekali tuan menanti
Tak gentar. Lawan banyaknya seratus kali.
Pedang di kanan, keris di kiri
Berselempang semangat yang tak bisa mati.”

Hari ini rakyat menjadi saksi betapa rakusnya kerajaan barisan nasional-umno untuk terus kekal berkuasa, sehingga sanggup mencemar kemuliaan sidang Dewan Undangan Negeri serta mencabuli sistem Raja Berperlembagaan. Maka terbuktilah, bukan sahaja kepada rakyat Perak, malah kepada seluruh rakyat Malaysia, dendangan perubahan perdana menteri yang baru tidak lebih dari sandiwara lapuk. Justeru mereka bergantung kepada kekerasan sehingga sanggup mengheret keluar Speaker Sivakumar keluar dari dewan. Apabila terdesak dan mengetahui rakyat tidak bersama mereka, Demokrasi dan keluhuran Perlembagaan diinjak-injak sedemikian rupa.

ANWAR IBRAHIM

Umno membalas dosa-dosa Khairy



Oleh Mohd Rashidi Hassan

SUDAH jatuh ditimpa tangga. Itulah malangnya nasib yang menimpa manusia bernama Khairy Jamaludin Abu Bakar, Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Pengunduran secara terpaksa Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, mengundang bala yang lebih buruk buat Khairy, selepas setahun ditempelak oleh orang-orang Umno dan parti-parti komponen Barisan Nasional, sebagai antara punca utama kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum 2008.



Sementara kuasa yang besar diberikan kepada Abdullah, Khairy didakwa orang-orang Umno sebagai anak muda yang bongkak, menguasai parti dan kerajaan.

Orang-orang Umno begitu marah dengan Khairy apabila mereka yang jauh lebih berpengalaman terpaksa tunduk kepada 'budak mentah', sebagaimana tuduhan bekas PM, Tun Mahathir Mohamad.

Khairy walaupun suatu ketika mempunyai 'kuasa yang amat besar' dengan menguasai parti dan kerajaan, kini dianggap liabiliti dan sampah oleh orang-orang Umno selepas pengunduran bapa mertuanya.

Ternyata Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung bulan lepas merupakan satu lagi mimpi ngeri buat beliau.

Walaupun menang sebagai Ketua Pemuda menewaskan dua pencabar lain, namun kemenangan itu tidak menjanjikan apa-apa buat beliau.

Khairy bukan sahaja tidak berpeluang menjadi Menteri, malah kononnya diberikan tugas untuk memulihkan sokongan golongan muda terhadap Umno.

Khairy kononnya diamanahkan untuk membuat kerja-kerja besar dan harus membuat penumpuan penuh tanpa perlu memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Hakikat yang berlaku sebaliknya. Khairy ternyata tidak mampu bergerak dalam Umno. Kepercayaan terhadap beliau bukan sahaja tiada dalam Umno, malah anggota komponen BN pun tidak berminat dengan beliau.

Khairy bakal menghadapi kegagalan kerana pertama; Era beliau berkuasa sudah berakhir, kedua; Pemuda Umno berpecah tiga dan tidak mengiktiraf kepimpinannya, ketiga; Pemuda BN khususnya MCA dan Gerakan begitu skeptikal terhadap beliau, dan keempat; Beliau sedang dihukum oleh golongan anti Abdullah dalam Umno.

Malah lebih buruk lagi bukan sahaja Khairy dihukum, orang disekeliling khairy turut menerima tempias yang sama.

Sama ada kroni, pegawai, rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang terkait dengan Khairy sewaktu Abdullah berkuasa, sedang menerima hukuman yang sama daripada orang-orang Umno.

Menurut sumber, masa depan Khairy dalam Umno begitu gelap. Begitu juga dengan juak-juaknya. Mereka kini dianggap sampah yang hina dalam Umno.

Walaupun ada di antara yang bertugas dengan profesional dan dianggap mempunyai kualiti yang baik, namun nasib malang yang bakal menanti mereka kerana dikaitkan dengan Khairy.

Sekarang inipun khabarnya, juak-juak Khairy yang mengerumuninya semasa di puncak kuasa dahulu, sudah semakin menyusut.

Mereka terpaksa meninggalkan Khairy kerana 'sudah tidak boleh cari makan' dalam suasana gelombang penolakan terhadap Abdullah terlalu tinggi.

Khairy sepatutnya sudah memahami dengan jelas isyarat yang ditunjukkan oleh orang-orang Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, sejak sebelum Perhimpunan Agung Umno lagi.

Rakan-rakan dalam syarikat besar yang menguasai media sudah tidak memandangnya lagi, juak-juak di GLC sudah dicantas satu persatu.

Walaupun mungkin anak muda yang secerdik Khairy, berkelulusan dari universiti terkemuka di luar negara, mahu menabur bakti dengan ikhlas dalam Umno.

Namun bagi Umno, kelulusan tinggi tidak penting, keikhlasan tidak bernilai, yang penting hanyalah restu dari Najib.

Khairy semakin tersisih. Disisihkan oleh Najib dan kroni-kroninya, dijauhi oleh bekas juak-juaknya kerana 'takut terpalit najis' daripada Khairy.

Bekas juak-juak Khairy ini tiada bezanya dengan perangai kebanyakan pemimpin ahli Umno, yang hidup mereka berprinsipkan lalang, tiada pendirian dan hanya mengikut arah mana angin bertiup.

Khairy akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa sokongan yang diterimanya selama ini hanyalah kerana beliau menantu kepada PM yang berkuasa dalam negara.

Sekarang ini Khairy siapa? Tiada pelindung, tiada pendukung. Malah beliau sentiasa tersisih dari arus perdana Umno.

Khairy makin tersisih kerana selepas Abdullah tiada, beliau tidak diperlukan lagi.

Jelas, Najib mahu pemerintahan dan kuasa yang bebas daripada bayang-bayang Abdullah. Najib ternyata lebih selesa dengan Mahathir berbanding Abdullah.

Selain orang-orang Najib yang memusuhi Khairy, Mahathir dan juak-juaknya juga sedang menunggu masa yang sesuai untuk mencantas Khairy.

"Hendak membunuh karier politik (Khairy) bukan susah, Isa Samad (Tan Sri) yang menang Naib Presiden dan jadi Menteri pun boleh dibuang dan dikenakan hukuman akibat mengamal politik wang, dalam Umno apa sahaja boleh berlaku," komen seorang penganalisis politik.

Apalah malangnya Khairy sehingga dihukum sedemikian rupa. Apalah besar sangat dosa-dosa Khairy terhadap Umno sehingga ianya kelihatan amat sukar diampunkan.

Pada waktu ini Khairy kelihatan amat tersepit kerana dalam Umno masa depannya sudah tiada, jika tekanan berterusan, beliau seharusnya menimbangkan secara serius untuk berhijrah menyertai Pakatan Rakyat.

Pada tahap ini ramai yang tertanya-tanya, apakah Abdullah hanya melihat sahaja Khairy diperkotak-katikkan oleh Umno?_

Thursday, May 7, 2009

Raja Nazrin sepatutnya tidak hadir sidang Dun Perak



Oleh Ahmad Lutfi Othman

Memang banyak tangkapan yang dibuat polis hari ini di Perak. Dan ramai daripada mereka yang ditahan itu adalah tokoh politik Pakatan Rakyat, khususnya ahli-ahli Parlimen dan Adun-Adun. Mudah sangat polis kita buat kerja, tangkap dan tangkap, langsung tiada budi bicara, rasa kemanusiaan, seolah-olah yang dihadapnya itu benda mati, tiada perasaan, tiada respons.

Lihat saja kes tangkapan Naib Presiden PAS, Mat Sabu. Baru buat rayuan solat hajat dan pakai baju hitam sudah dicekup, juga dengan kekerasan, di tempat awam, di tengah-tengah orang ramai. Ya, nak seru orang solat hajat dan munajat di masjid pun sudah menjadi kesalahan besar.

Segala tumpuan dari seluruh negara dihalakan ke sidang Dun Perak, yang menyaksikan dua Menteri Besar dalam satu dewan, dua Speaker dalam satu dewan, dua barisan Exco dalam satu dewan. Memang ia satu sejarah buat Malaysia apabila Speaker yang sah terpaksa diusung keluar dewan oleh pihak polis. Hari ini akan dikenang sebagai satu lagi tarikh hitam gelita dalam perkembangan demokrasi di Malaysia.

Ramai yang mengikuti debar drama di Ipoh itu dengan penuh tegang, dan ramai juga yang ketawa atau gelihati melihatnya. Pelik melihat bagaimana Adun Umno, yang tentunya didorong dan diarahkan oleh pimpinan atasan mereka untuk memastikan juga bahawa sidang Dun hari ini berjaya memecat Speaker Sivakumar. Dan dengan bantuan polis, secara kekerasan, Sivakumar dibawa keluar Dewan.

Seorang rakan, selepas mendapat tahu Raja Nazrin Shah tetap menunggu untuk menyampaikan titahnya bagi merasmikan pemukaan sidang Dun, menghantar SMS meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan baginda itu.

Saya pun tak pasti apakah satu kesalahan juga bagi rakyat negara ini jika ada rasa kesal terusik dalam dirinya apabila tidak bersetuju dengan sikap raja-raja Melayu?

Apakah boleh kita sebagai rakyat biasa untuk mengkritik atau beranggapan tindakan tertentu baginda terutama dalam kes Raja Nazrin ini, dan sebelumnya tindakan Sultan Azlan Shah yang dilihat memihak kepada kepentingan Umno dan mengetepikan keadilan sejagat buat seluruh rakyat.

Apa yang pasti teman saya itu ternyata kesal dengan sikap Raja Nazrin, yang dianggapnya putera raja paling cerdik di Malaysia tetapi telah terperangkap dalam polemik atau pertentangan politik kepartaian, yang mana baginya seseorang raja itu tidak wajar meletakkan diri baginda dalam kedudukan itu.

Beliau yakin rakyat akan menilai kewajaran Raja Nazrin terus berada di bangunan Dun Perak ketika tercetus kekecohan sehingga Sivakumar dipaksa meninggalkan dewan secara paksa dan ia jelas satu penghinaan kepada institusi Dun. Baginya, Raja Nazrin sepatutnya meninggalkan bangunan Dun Perak itu lebih awal dan lebih aula jika baginda langsung tidak menghadirinya. Saya pulangkan kepada pembaca untuk menilai mesej kawan baik saya itu.

Bisikan diraja' untuk Pakatan

RAJA Muda Perak, Raja Nazrin Shah menitahkan sesuatu kepada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Setiawan) setelah kedua-duanya dititahkan menghampiri baginda selepas Nizar dilihat menyatakan sesuatu dari bahagian tengah Dewan sejurus baginda berangkat masuk. Insiden itu berlaku sebelum Raja Nazrin Shah merasmikan pembukaan mesyuarat pertama persidangan penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. --fotoBERNAMA

IPOH: Pemimpin Pakatan Rakyat Perak yang mempersembahkan protes berhubung insiden Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini kepada Raja Nazrin Sultan Azlan Shah, telah dinasihatkan bahawa raja tidak boleh mencampuri soal politik.

"Raja Nazrin memaklumkan bahawa baginda meletakkan penghormatan yang tinggi terhadap saya dan Datuk Ngeh Khoo Ngam (bekas Exco Kanan semasa kerajaan Pakatan) dan memaklumkan bahawa Raja berada di atas politik (tidak mencampuri soal politik)," kata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sebaik sahaja Raja Nazrin memasuki DUN yang terletak di bangunan SUK, anggota Pakatan Rakyat berkumpul di tengah Dewan, mengelilingi tempat duduk bentara, untuk menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku termasuk Speaker V. Sivakumar diangkut keluar dari Dewan.

Nizar mempersembahkan kepada Raja Nazrin bahawa pihaknya tidak berpuas hati dengan cara Sivakumar diperlakukan dan anggota polis dibawa masuk ke DUN.

Ketika Raja Nazrin memasuki DUN kira-kira 50 anggota polis berada dalam Dewan.

Apabila dibangkitkan oleh Nizar, Raja Nazrin mengarahkan semua anggota keluar.

Majlis perasmian hanya bermula selepas Sivakumar, Speaker dilantik Pakatan tahun lalu, dibawa keluar oleh pasukan polis.

Sivakumar tidak berganjak dari tempatnya sejak pukul 10 pagi tadi.

Nizar menyatakan demikian pada sidang media selepas sidang DUN ditangguhkan sebaik sahaja Raja Nazrin menyampaikan titah diraja perasmian petang ini.

Raja Nazrin yang sepatutnya merasmikan sidang itu pukul 10 pagi tadi hanya berbuat demikian 3.17 petang.

Baginda tidak dapat berbuat demikian selepas Sivakumar sejak pagi tadi bertegas sidang DUN tidak akan diadakan selagi 10 anggota termasuk Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry tidak keluar Dewan.

Tiga lagi termasuklah ADUN Bebas yang menyokong BN sekarang.

Bagaimanapun mereka tidak keluar Dewan manakala BN pula mengadakan sidang dalam sidang DUN.

Kemuncak insiden hari ini ialah Sivakumar diganti dengan bekas ADUN Sungkai, Datuk R. Ganesan dan diangkut keluar kira-kira 2.45 petang tadi.

Pada sidang media itu, Nizar berkata, pada hakikatnya tidak ada persidangan kerana perintah awal Speaker tidak diikuti. "Jelas lihat hak Speaker tidak dipatuhi dan dirampas," kata beliau yang ditemani Sivakumar pada sidang media.

Sivakumar yang ditahan dalam sebuah bilik berhampiran DUN dilepaskan selepas majlis perasmian.

Kata beliau, DUN Perak telah dilacur dengan begitu dahsyat dengan kerja-kerja yang keji dengan menggunakan orang luar.

"Kami menghormati Raja Muda dan saya dititah oleh Tuanku mahu bekerjadengan Pakatan Rakyat, apa yang BN buat usul dalam dewan semua itu tidak laku dan sah kerana telah ditolak sejak semalam lagi.

"Apa yang dibuat oleh BN iaitu menidakkan Speaker telah menghina Dewan, cukup mengaibkan. Kemasukan orang luar satu tindakan yang tidak bertamadun," katanya.

Mengulas lanjut isu itu, "saya iringi Tuanku keluar dan Tuanku mengatakan baginda mahu bekerja dengan Pakatan Rakyat."

Mengenai tindakan susulan, Nizar yang Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak menambah:

"Kita mahu DUN Perak dibubarkan, kerana kerajaan sekarang tidak sah."

Kata Nizar, beliau akan memohon menghadap Tuanku untuk tujuan tersebut dalam waktu terdekat.

Ketika ditanya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang, Nizar berkata, pasukan peguam pihaknya akan meneliti soal itu.

PAS tidak tertipu agenda media konvensional - Nik Aziz

PAS tidak mudah tertipu dengan agenda media konvensional sekarang melaga-lagakan di kalangan pemimpin PAS menjelang muktamar bulan depan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, gambaran yang diberikan seolah-olah PAS sedang menghadapi masalah besar hanya mainan media sahaja.

Katanya, golongan penulis yang sebelum ini tidak pernah menulis tentang PAS juga berminat berbuat demikian.

"Ini berlaku kerana mereka mencemburui PAS di samping mengakui parti itu telah berada di tengah-tengah masyarakat sehingga berjaya menenggelamkan Umno.

"Setiap kali berlaku pemilihan dalam parti sudah tentu ada pertembungan pandangan, namun ia perkara biasa," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil peserta kursus Tafaqquh Fiddin di Balai Islam, hari ini.

Menurutnya juga sejak awal lagi beliau tidak berminat mengadakan kerjasama dengan Umno termasuk melalui muqabalah kerana ia seumpama PAS menolak kereta rosak.

"Dan apabila kereta hidup, orang yang menolak kereta di belakang terus ditinggalkan.

"Itulah sebabnya saya tak mahu PAS bermuqaballah dengan Umno," ujarnya yang juga Mursyidul Am PAS.

Ditanya mengenai tulisan anaknya Nik Abduh dalam blog yang merendah-rendahkan pembantu Menteri Besar beliau berkata, beliau hanya sekadar menegur sahaja.

Katanya, Nik Abduh ada hak untuk menulis dalam blog memandangkan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri dan mempunyai ilmu agama.

Beliau berkata, semua pandangan negatif atau positif diterimanya.

"Zaman Rasulullah saw dahulu ulama hanya baginda seorang sahaja, yang lain (sahabat nabi) semuanya profesional, tetapi lama kelamaan baginda menggabungkan ilmu profesional dengan ulama yang ada padanya.

"Akhirnya ilmu ulama dan profesional bercampur dalam satu tubuh seorang pemimpin dan inilah yang sedang dilakukan oleh PAS," katanya.

Kata beliau dahulu PAS hanya dipimpin ulama, namun kini dianggotai profesional yang berlainan latar belakangnya.

Menurutnya juga belajar ilmu Islam tidak semestinya di pondok atau sekolah agama, tetapi suasana setempat membolehkan golongan profesional menjadi Muslim sejati.

Sidang Akhbar jam 4.15 petang


PDF Print E-mail

Saya iringi Tuanku keluar dan Tuanku mengatakan Baginda mahu bekerja dengan Pakatan Rakyat.

By Idham Lim

Pada hakikat ada persidangan, kerana perintah awal tidak diikuti maka kami menghormati perintah Speaker.

Bagaimana hak Speaker tidak dipatuhi dan dirampas. DUN Perak telah dilacur dengan begitu dasyat dengan kerja yang keji dengan menggunakan orang luar.

Kami menghormati Raja Muda dan saya dititah oleh Tuanku mahu bekerja dengan Pakatan Rakyat, apa yang BN buat usul dalam dewan semua itu tidak laku dan sah kerana telah ditolak sejak semalam lagi.

Apa yang dibuat oleh BN iaitu menidakkan Speaker telah menghina dewan cukup mengaibkan. Kemasukan orang luar satu tindakan yang tidak bertamadun.

Saya iringi Tuanku keluar dan Tuanku mengatakan Baginda mahu bekerja dengan Pakatan Rakyat.

BN meletakkan orang yang haram jadi Speaker. Sidang hari ini tiada dan tidak sah.

Terima kasih kepada semua media yang bekerjasama dengan baik.

Kita mahu DUN Perak dibubarkan, kerana kerajaan sekarang tidak sah.

Pelantikan Speaker baru Perak tidak sah - Timbalan Speaker Dun Kelantan

Tindakan Menteri Besar kudeta Barisan Nasional Perak, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir melantik Speaker baru, Dato' R Ganesan dianggap sebagai terbatal dan tidak sah.

Malangnya biar pun tindakan itu tidak sah, namun pihak keselamatan dikatakan bersekongkol dengan kerajaan 'haram' dengan mengusung keluar Speaker, V Sivakumar ke tempat yang tidak diketahui.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, tindakan wakil rakyat BN melantik Speaker baru, ketika Speaker lama masih ada adalah menyalahi peraturan.

Katanya, Speaker tidak boleh dilucutkan jawatan seperti yang dilakukan Adun BN di Perak memandangkan V Sivakumar belum meletak jawatan.

"Ini bermakna jawatan Speaker belum lagi kosong. Saya hairan mereka menggunakan peraturan mana tiba-tiba melantik Speaker baru ketika Sivakumar masih berada di atas kerusinya.

"Ini secara jelas mencabul undang-undang yang tidak pernah berlaku dalam sejarah moden Malaysia sejak mencapai kemerdekaan. Ini sesuatu yang cukup mengaibkan," katanya di sini.

Persidangan Dun Perak hari ini menyaksikan suasana tegang sejak pagi tadi sehingga sekarang menyebabkan upacara perasmiannya tidak dapat dilakukan mengikut masa ditetapkan.

Ketika persidangan pagi tadi Zambry mengumumkan Speaker ditukar namun dibantah kesemua Adun Pakatan Rakyat sehingga menyebabkan suasana menjadi tegang.

Biar pun tidak sah Ganesan diarah mengangkat sumpah dalam kelompok Adun BN dan dipakai jubah sebagai Speaker.

Pada peringkat awal persidangan pagi tadi dilaporkan Sivakumar enggan memulakan mesyuarat sekiranya Zambry dan enam anggota Exco kerajaan kudeta dan tiga Adun Bebas tidak keluar dewan.

Mohd Zaki yang juga Adun Kelaboran berkata, hanya dalam tiga situasi sahaja speaker baru boleh dilantik iaitu speaker sedia ada meletak jawatan, meninggal dunia atau selepas penggal baru persidangan Dun bermula.

"Jadi dalam situasi yang berlaku di Perak sekarang ketiga-tiga kriteria tersebut tidak dipenuhi, biar pun ada cadangan mahu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Speaker.

"Samalah seperti berlaku di parlimen, tanpa kebenaran Speaker usul tidak dapat dibawa," katanya.

Beliau juga berpendapat apa yang berlaku di Perak hari ini kelihatan seperti dirancang rapi memandangkan keabsahan tidak dimiliki kerajaan BN sekarang.

Menurutnya, BN akan melakukan apa sahaja termasuk memperalatkan pasukan keselamatan dan kumpulan samseng bagi mencabut kuasa yang ada pada speaker.

"Biar pun pelbagai tindakan dibuat, rakyat di luar sudah tahu kerajaan mana sebenarnya yang sah di sisi rakyat. Saya percaya konflik itu tidak akan berakhir tanpa dibubarkan Dun Perak," katanya.

Beliau juga menyelar tindakan polis menahan begitu ramai pemimpin Pakatan Rakyat semata-mata menuntup kedhaifan politik di Perak.

DUN Perak akhirnya dibuka


Persidangan DUN Perak yang dinanti-nantikan - menentukan hidup mati secara rasmi pentadbiran menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan kestabilan kerajaan pencabarnya Datuk Zambry Abd Kadir - bermula seawal subuh hari ini apabila sekumpulan penyokong PAS mengadakan solat hajat di Manjoi, beberapa kilometer dari pusat bandar Ipoh.

Berikut perkembangan terkini di Perak:

3.47pm Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah menamatkan titah ucapan baginda dalam perasmian pembukaan sidang dewan setelah menyampaikan ucapan kira-kira setengah jam.

3.15pm Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah berangkat masuk ke dewan untuk majlis rasmi pembukaan persidangan DUN.

Baginda kemudian bertitah kepada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan).

Mohamad Nizar kemudian menyeru semua ADUN Pakatan agar duduk dan mereka semua kembali di tempat masing-masing.

3.13pm V Sivakumar dibawa oleh kumpulan polis dari dalam dewan ke satu tempat yang tidak didedahkan. Hanya isteri beliau dibenarkan berjumpa ADUN DAP itu.

Krisis politik di Perak mulai tempias ke Terengganu

Ketika tumpuan seluruh negara terarah ke Perak di mana kemelut politik sedang berada di kemuncak, tiba-tiba dikejutkan pula berita wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan meninggalkan parti mereka di beberapa tempat.

Kalau sebelum ini ramai mempersendakan agenda 16 September 2008, yang berakhir tanpa kenyataan.

Namun situasi yang berlaku sekarang tidak dapat dinafikan begitu sahaja.

Ramai melihat pergolakan rumah tangga Umno menjadi faktor penolak dari dalam. Keadaan menjadi lebih cepat apabila ada faktor penarik pula dari luar Umno.

Krisis keyakinan yang melanda Umno di Terengganu tiada penghujungnya biar pun Dato' Seri Hishamuddin Hussien dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.

Menurut sumber pelucutan jawatan Dato' Ahmad Said sebagai pengerusi perhubungan sebelum ini dikatakan ada hubungkait dengan peranan dimainkan bekas Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh.

"Biar pun Ahmad dilantik sebagai timbalan pengerusi perhubungan namun hakikatnya kuasanya dikurangkan sedikit demi sedikit.

"Tanpa mengambil kira pelantikan Menteri Besar sekarang atas kehendak istana sudah tentu kedudukan Ahmad tidak lagi selamat," katanya di sini.

Namun kata beliau apa yang jelas berlaku di Terengganu sekarang Idris sudah mempunyai ruang untuk bangkit semula dengan pelantikan Hishamuddin.

Bagaimanapun Menteri Besar sekarang tidak akan membiarkan pengaruh Idris menular jauh seperti berlaku insiden pemulauan persidangan Dewan Undangan Negeri di kalangan Adun BN baru-baru ini.

Kata sumber terbabit berdasarkan kepada segala kemungkinan itu Ahmad boleh bertindak lebih jauh dan mungkin ia menyerupai apa yang berlaku di Perak sekarang.

Cuma yang membezakan krisis di Perak berlaku di antara parti yang berlainan, Pakatan Rakyat dan BN, sebaliknya di Terengganu pertembungan berlaku sesama Umno.

Semalam Naib Presiden, Dato' Husam Musa mendedahkan ada Adun BN menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti lama bagi memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Kita sedang berunding dengan wakil rakyat berkenaan dan setakat ini Alhamdulillah ada reaksi positifnya untuk menyertai PAS. Mereka sudah melihat kemampuan PAS untuk mengganti Umno sebagai tunggak utama orang Melayu dan Islam di negara ini," katanya.

Sumber lain pula menyebut pergolakan dalaman Umno kini sudah merebak ke banyak negeri kerana wujud pertembungan secara senyap di antara kumpulan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Najib Razak.

Pelantikan Dato' Mustapa Mohamed sebagai pengerusi Perhubungan Umno Kelantan dianggap sebagai proses 'kitar semula' semata-mata bagi melenyapkan pengaruh Abdullah di negeri ini.

"Saya yakin Tan Sri Annuar Musa dan kumpulannya tidak akan duduk diam dan pastinya akan berlaku pertembungan di Kelantan.

"Dan tidak dapat ditolak peristiwa lama di mana Mustapa pernah dipulau ketua-ketua bahagian yang pernah berlaku ketika beliau mengetuai Umno Kelantan akan berulang kembali," ujarnya

Speaker Sivakumar diangkut keluar Dewan

Kekecohan sidang DUN Perak berterusan apabila Speaker V Sivakumar diangkut keluar dari Dewan --fotoSINAR HARIAN

IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar dari Pakatan Rakyat yang tidak berganjak dari tempat duduknya sejak lima jam lalu telah diangkut keluar oleh pasukan polis keluar dari Dewan.

Walaupun tindakan membawa beliau keluar telah dihalang oleh anggota DUN Pakatan tetapi Sivakumar telah diangkut keluar dari Dewan kira-kira pukul 2.40 petang tadi oleh sepasukan polis.

Suasana dalam Dewan masih lagi kecoh dan kelam kabut sementara pergelutan antara anggota DUN Barisan Nasional (BN) dan Pakatan masih berterusan.

Dalam pada itu, Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah masih berada di bangunan SUK negeri untuk merasmikan sidang DUN tersebut.

Baginda dijangka akan memberi ucapan Titah Diraja dalam waktu terdekat.

Sementara itu, Speaker baru 'lantikan' BN, Datuk R Ganesan kini mengambil alih tempat untuk memulakan sidang DUN negeri.

Bagaimanapun, tindakan Ganesan itu dihalang oleh beberapa anggota DUN Pakatan.

Mahkamah tetapkan Isnin ini untuk tentukan MB Perak yang sah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Isnin ini untuk membuat keputusan siapakah Menteri Besar Perak yang sah antara Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan penutup peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Mohamad Nizar bagi semakan kehakiman untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah.

Lintas langsung daripada Adun Titi Serong!

Drs Khalil Idham Lim

Terkini|Berikut adalah laporan secara langsung yang dibawa oleh Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak. Sila 'refresh' untuk laporan terkini.

11.45 pagi: Semua ADUN PR saya pohon kepada mereka semua jangan keluar jika tidak ada sesuatu yang penting perlu dilakukan. Sekiranya mereka yang ingin keluar walaupun untuk ke tandas mereka saya pohon keluar berdua.

Sementara itu Speaker yang masih sah, Sivakumar masih berada dikerusinya dan tidak berganjak. Kekuatan, ketegasan mereka nampak lebih kuat pada hari ini sehingga ada yang membuat cerita lucu : "silap jampi oleh bomoh, makin kuat bukan makin lemah ".

11.35 pagi:Speaker mempersoalkan sekali lagi dan mengulangi pendiriannya tidak akan memulai sidang sekiranya mereka yang digantung keluar dari dewan.

Semasa mengumumkan demikan dewan kembali kecoh dengan suara kedua belah pihak.

Sekarang keadaan kembali tegang dan sesekejap sunyi kembali.

Saya tidak menjangkakan bila keadaan ini akan berakhir ?

11.15 pagi:Speaker umumkan semua usul telah ditolaknya di dalam kamar bertarikh 7 Mei dan sementara itu Zambry mengusulkan sidang ditangguh sejam dan diterima oleh sidang haram iaitu selama sejam sebagaimana yang diumumkan oleh Speaker haramnya.

Dewan menjadi senyap setelah sidang haram berakhir beberapa minit yang lepas.

11.10 pagi:Ganesan sedang mengendalikan beberapa usul berikutnya dengan mengumumkan usul perlantikan Jawatan Kuasa Dewan yang baru sesuai dengan peraturan tetap dewan negeri.

Keadaan menarik ini saya umumkan sebagai sidang "Bawah Syiling". Sidang kebudak-budakan dan macam lakonan itu disaksikan oleh seluruh dunia dan mencemarkan demikrasi.

Lucu, aneh, tapi benar...

11.00 pagi:Keadaan tegang berlanjutan apabila Ganesan dilantik sebagai Speaker dan mengangkat sumpah di meja ADUN Jelapang (Timbalan Speaker)

ADUN Sungai Rapat pula meneruskan sidang haram dengan mencadangkan perlantikan JK Dewan.

ADUN Pakatan Rakyat melaungkan "haram" memecah kesunyian dewan dan menenggelamkan suara Speaker Haram.

Ganesan dalam keadaan tidak lancar kelihatan cuba menggunakan pembesar suara mengumumkan Jawatan PAC yang dicadangkan oleh Sungai Rapat.

10.55 pagi: ADUN BN sedang berkerumun adun Jelapang dalam dewan semacan sidang bawah pokok untuk cuba merampas kuasa speaker.

Keadaan menarik itu disaksikan oleh semua adun PR dan disaksikan oleh pegawai-pegawai kerajaan dan tamu yang hadir.

Dalam sidang "haram" mereka telah melantik calon yang dicadangkan bekas adun Sungkai, Ganesan.

10.40 pagi:ADUN Jelapang yang digantung dan dihalau keluar oleh Speaker cuba merampas kuasa dengan cuba membuat pengumuman tetapi cuba digagalkan oleh kebanyakan adun Pakatan Rakjyat.

Cubaan terbaharu itu nampaknya gagap dan nampak sangat menyalahi peraturan sidang. Hee nampaknya cuba memberikan pengumuman namun dihalang oleh ADUN Pakatan.

Saya tidak pasti sampai bila keadaan kecoh ini akan berakhir.

10.30 pagi: Sidang masih tidak dapat dimulai, DYTM Raja Muda Perak masih dikamar Diraja menunggu suasana dewan yang kecoh tenang kembali.

Sementara itu Speaker berulangkali keputusan mengantung dilakukan oleh JK Hak dan Kebebsan, itu bukan keputusan saya. saya tidak boleh ingkar kepada keputusan yang dibuat oleh JK yang dilantik dalam dewan ini.

Cubaan berulang kali BN untuk mengusulkan perlantikan baru diterima dengan sorakan ADUn PR dan penolakan oleh Speaker disebabkan sidang belum dimulai dan pembawa dan penyokong usul adalah dari pihak yang telah digangtung oleh speaker.

10.20 pagi: Pangkor cuba mengemukakan usul memecat speaker dalam keadaan sidang belum bermula, dan suasana dalam dewan semakin kecoh.

keadaan kelam-kabut ini telah berlanjutan sejak adun masuk kedalan dewan setengah jam yang lepas.

Speaker masih mengarahkan adun yang digantung untuk keluar dari dewan sebelum sidang bermula

10.10 pagi:Keadaan tegang dalam Dewan, suasana sangat kecoh, semua ADUN bangun. Sebentar tadi ADUN BN cuba mengemukakan usul Pecat SPeaker namun diumumkan oleh Speaker, Usul itu ditolak.

Sebentar tadi, Abdullah Antong Setiausaha Dewan yang digantung, dikerumuni oleh ADUN PR.Speaker juga mohon SUK tidak mencampuri urusan Speaker dalam Dewan.

10 orang masih belum keluar, Speaker mengatakan berulang kali Sidang tidak dimulai selagi 10 orang terbabit tidak keluar.

10.00 pagi: Penasihat Undang-undang diarahkan keluar.Ketetapan Speaker semasa masuk ke Dewan sebelum dewan bersidang ialah:

1. Minta orang yang tidak dijemput keluar dewan. Saya ada senarai di sini.

2. Tempat duduk ikut sebelum ini.

3. Saya tidak mahu 7 digantung berada dalam dewan sebab mereka digantung oleh jawatankuasa hak dan kebebasan, bukannya saya. kalau tidak keluar saya tidak mahu mulakan mesyuarat.

4. 3 orang yang meletak jawatan juga diarah keluar.

5. Saya mahu kesemua yang tersebut termasuk penasihat Undang-undang keluar dewan.

6. Saya tidak masuk siapa-siapa bercakap sebelum mereka keluar dewan. Saya buat keputusan dengan jawtaankuasa yang dilantik oleh dewan ini.

Mereka yang dihalau speaker belum keluar dewan, YB Tajol Rosli didapati bangun untuk mencelah tetapi tidak diizinkan oleh Speaker.

Menurut perintah Tetap 11 adalah sah dan itu hak saya, Umum Speaker.

Speaker masih mengulangi arahan supaya keluar Dewan

9.55 pagi: Apabila ADUN Lompat Jelapang ke Dewan, kebanyakan ADUN DAP menyoraknya dengan panggilan KATAN dengan suara yang kuat.

Hee duduk di bahagian tempat duduk ADUN BN.Kelihatan sama OSMAN dan JAMALUDDIN, ADUN lompat dari Behrang dan Changkat Jering.

9.45 pagi; Kami masuk ke Dewan dan mendapati tempat duduk telah berubah, kami mencabut semua tanda nama dan juga diikuti dengan ADUN BN yang tidak membantah.

Kedudukan kami sekarang sama seperti kedudukan semasa PR memerintah Perak

Adun Pakatan Rakyat jangan keluar dewan

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Pakatan Rakyat, Drs Khalil Idham Lim telah mengarahkan semua Adun dari Pakatan tidak meninggalkan Dewan Undangan Negeri jika tidak ada sesuatu yang penting.

Menurutnya sekiranya mereka ingin keluar walaupun untuk ke tandas, mereka perlu keluar berdua.

Sementara itu, Speaker yang masih sah, Sivakumar masih berada di kerusinya dan tidak berganjak.

Kekuatan, ketegasan beliau nampaknya lebih kuat pada hari ini.

Cerita yang tersebar sebelum ini bahawa ada bomoh dari Selangor telah menjampi kerusi Speaker nampaknya semacam tidak menjadi, sama ada tersilap jampi atau terlebih jampi.

'Sidang' dalam sidang, Siva 'disingkir' Raja Nazrin menanti di Kamar Diraja

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersemuka dengan ADUN Pakatan Rakyat sebelum sidang Dewan bermula pagi tadi --foto THE STAR oleh Saiful Bahri.

IPOH: Krisis politik Perak yang bermula Februari lalu melalui bab baru hari ini apabila Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sepatutnya dirasmikan oleh Raja Muda Perak pukul 10 pagi tadi masih belum disempurnakan dengan anggota Dewan bertikam lidah sehingga mencetuskan kekecohan.

Sehingga pukul 12 tengah hari Raja Nazrin masih menanti di Kamar Diraja di tingkat dua bangunan SUK sementara menunggu 'lampu hijau' untuk berangkat ke Dewan.

Perkembangan hari ini menyaksikan dua Speaker berada dalam Dewan.

Spekaer V. Sivakumar yang memasuki DUN pukul 10 pagi mengumumkan bahawa beliau ada beberapa ketetapan mesyuarat yang perlu dimaklumkan sebelum sidang dirasmikan.

Antara ketetapan itu ialah memecat Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam exconya yang telah digantug dari memasuki DUN masing-masing selama 18 dan 12 bulan.

Turut digantung ialah tiga ADUN Bebas yang telah keluar parti masingI-masing dan dikatakan telah meletakkan jawatan.

Katanya ia selaras dengan ketetapan sidang bawah pokok 3 Mac lalu.

Sivakumar berkata, beliau tidak akan meneruskan sidang selagi kesemua 10 wakil rakyat berkenaan tidak keluar.

Malah beliau turut mengarahkan bentara DUN supaya membawa mereka keluar.

Arahan itu tidak dapat dilaksanakan.

Kemudian kira-kira pukul 10.30 pagi, Zambry membentangkan usul agar Sivakumar dipecat.

Ia disokong sebulat suara dengan mengangkat tangan oleh wakil BN.

Usul itu telah dikemukakan oleh BN dua minggu lalu.

Hari ini Sivakumar mengumumkan bahawa usul itu telah ditolak oleh beliau.

Ketika berulang kali menekankan bahawa beliau tidak akan membolehkan sidang diadakan selagi kesemua 10 ADUN berkenaan keluar.

Sivakumar berkata, beliau tetap dengan keputusannya yang dibuat di bawah Perkara 43 Perinta Tetap Dewan.

Di sebalik kekecohan itu anggota BN pula mengadakan sidang mereka sendiri dengan meluluskan usul memecat Sivakumar dan digantikan dengan wakil BN.

Sidang itu dipengerusikan oleh Timbalan Speaker Hee Yit Foong, ADUN Bebas selepas keluar dari DAP.

Wakil BN itu, Datuk Ganesan dilantik sebagai Speaker dan mengenakan jubah Speaker dan mengangkat sumpah.

Beberapa minit kemudian, beliau 'mempengerusikan' sidang DUN dengan meluluskan usul membatalkan ketetapan sidang 3 Mac.

Selepas kecoh lebih hampir 70 minit suasana Dewan tenang mulai 11.16 pagi.

Bagaimanapun SIvakumar berkata, beliau tidak akan membenarkan sidang diteruskan selagi 10 anggota terbabit keluar Dewan.

Sivakumar mengarahkan 10 ADUN termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir keluar dari Dewan.Sembilan lagi yang diarahkan keluar adalah enam ADUN yang juga Exco negeri iaitu Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).

Sementara tiga lagi adalah ADUN Bebas iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kpt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong.

Sivakumar berulang kali menyatakan bahawa beliau tidak akan memulakan sidang selagi 10 ADUN tersebut tidak meninggalkan Dewan.

Setakat 11.50 pagi, sementara Raja Nazrin masih menanti di Kamar Diraja suasana DUN masih kelihatan tenang.

Sidang DUN Perak kecoh, 10 ADUN diarah keluar

IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar mengarahkan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, enam Exco dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas keluar daripada Dewan.

PERKEMBANGAN SIDANG DUN PERAK

KENDERAAN yang membawa bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Mohammad Nizar Jamaluddin tiba di kawasan bangunan SUK Perak kira-kira pukul 8.25 pagi tadi.

BERIKUT adalah perkembangan terkini persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak:

9.50 pagi: Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub ditahan polis.

9.45 pagi: Pihak polis menghalang orang ramai berteduh di bawah 'Pokok Demokrasi'.

9.45 pagi: Anggota DUN, tetamu khas dan wartawan dibenarkan masuk ke Dewan dengan kawalan ketat termasuk menggunakan mesin pengimbas.

9.35 pagi: Beberapa individu lagi ditahan di kawasan sekitar bangunan SUK. Ahli Parlimen Ipoh Timur dan Ipoh Barat iaitu Lim Kit Siang dan M Kulasegaran dihalang memasuki kawasan tersebut.

9.30 pagi: Raja Nazrin Sultan Azlan Shah tiba di pekarangan bangunan SUK dan memeriksa barisan kehormat.

9.25 pagi: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tiba di pekarangan bangunan SUK dan menerima tabik hormat dengan diiringi Speaker DUN, V Sivakumar dan Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri.

9.20 pagi: Speaker DUN Perak, V Sivakumar tiba di pekarangan bangunan SUK dan menerima tabik hormat dengan diiringi Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri.

9.05 pagi: Seramai 11 individu yang ditahan kerana menimbulkan kekecohan dibawa keluar dari kawasan bangunan SUK menggunakan trak polis.

8.50 pagi: Ahli Parlimen Ampang dari PKR, Zuraida Kamaruddin dan ADUN Teratai dari DAP, Jenice Lee adalah antara 11 individu yang ditahan polis kerana menimbulkan kekecohan menjelang perasmian sidang DUN Perak.

8.45 pagi: Pembantu khas kepada ahli Parlimen Ipoh Barat dari DAP, P Sugumara ditahan polis di pekarangan bangunan SUK.

8.25 pagi: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin memasuki kawasan bangunan SUK, diikuti beberapa ADUN daripada Pakatan Rakyat.

8.15 pagi: Tiga individu yang memakai kemeja T tertera mesej 'Kembalikan Hak Rakyat' ditahan pihak polis.

7.30 pagi: Kakitangan bangunan SUK mula memasuki pejabat masing-masing.

"Saya dah buat 3, 4 keputusan penting" - Speaker DUN Perak

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar ketika ditemui media selepas mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berhadapan dengan kemungkinan hilang jawatannya esok telah memutuskan tindakan berhubung tiga hingga empat perkara penting untuk dilaksanakan apabila sidang Dewan bermula esok.

"Saya sudah buat keputusan berkaitan banyak perkata, tiga hingga empat perkara.

"Ada beberapa lagi belum saya putuskan," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan butiran tentang keputusan yang telah pun ditentukan tindakannya.

Ketika ditanya sama ada akan menolak dua usul yang dikemukakan oleh BN, Sivakumar yang merupakan ADUN Pakatan Rakyat enggan mengulas lanjut sambil meminta menunggu hingg esok.

BN mengemukakan usul agar Sivakumar digantikan oleh wakilnya dari MIC sebagai Speaker yang baru.

Bagaimanapun Sivakumar menekankan bahawa beliau sebagai Speaker mempunyai hak untuk menerima ataupun menolak mana-mana usul.

"Itu adalah kuasa Speaker," katanya yang turut enggan mengulas sama ada akan membenarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam exconya yang lain masuk ke Dewan pagi esok.

"Itu soalan serius. Saya tahu mahu menjawab," katanya.

Semalam bekas Exco Kanan semasa kerajaan negeri diterajui Pakatan Rakyat berkata, Zambry dan enam Exco yang lain masih tidak layak untuk mengambil bahagian dalam sidang penggal baru esok.

Wednesday, May 6, 2009

Speaker hadiri raptai, FRU kawal SUK

Walaupun tinggal kurang lebih 18 jam lagi untuk berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang pasti ditunggu ramai, persiapan rapi telah pun dilakukan sejak awal pagi tadi.

Antara yang menarik perhatian ialah raptai penuh pembukaan sidang yang bermula pagi esok yang dilaporkan turut dihadiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V.Sivakumar pagi tadi.

Difahamkan Sidang Dun Perak yang dijadualkan berlangsung pada esok, 7 Mei akan disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Sultan Azlan Shah.

Dalam pada itu, dilaporkan beberapa buah trak serta pasukan FRU turut kelihatan di sekitar perkarangan Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) namun kawalan keselamatan masih lagi ditahap biasa.

Polis dijangka akan memperketatkan lagi kawalan keselamatan di sekitar bangunan SUK dan tidak membenarkan orang awam serta rakyat negeri Perak mengikuti sidang Dun esok.

Sebelum itu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah mengeluarkan arahan kepada wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat melarang membawa penyokong masing-masing 'bagi mengelakkan sebarang kerumitan'.

Arahan yang dikeluarkan daripada pejabat Dato' Abdul Rahman Hashim itu antara lain menyebut:"Untuk mengelakkan sebarang kerumitan, Yang Berhormat Datuk, tuan-puan tidak dibenarkan membawa pemerhati. Segala kerjasama amat dihargai, terima kasih."

Dalam kad undangan kepada Adun Tebing Tinggi, Ong Boon Piow, turut disertakan aturcara majlis istiadat pembukaan rasmi penggal kedua persidangan Dun oleh Sultan Perak, Khamis ini.

Sementara itu pihak polis juga telah melarang orang ramai berhimpun berdekatan Bangunan Perak Darul Ridzuan, yang menempatkan bangunan Dun, bagi menghalang menyaksikan peristiwa penting itu dan menyatakan sokongan.

Cerita tentang setiausaha akhbar Muhyiddin

MEI 5 — Beberapa hari lalu, nama Rashid Yusof tiba-tiba sahaja muncul dalam hidup saya. Cerita tentang beliau dicadangkan untuk menjadi Setiausaha Akhbar (SUA) kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar membuat saya banyak berfikir, apa sebenarnya yang berlaku dalam Umno selepas diambilalih oleh kepimpinan baru.

Sebagai orang media, saya sangat berminat ingin mengetahui siapakah yang dilantik oleh pemimpin baru negara ini untuk menjadi orang kanan mereka, terutama sekali untuk jawatan SUA.

Pertama, saya terima maklumat, Rashid telah dicadangkan oleh Mentri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir untuk menjadi SUA TPM. Saya tertanya-tanya, siapakah Rashid dan apakah hubungan antara Zambry dengan Muhyiddin sehingga cadangan Zambry diterima oleh Muhyiddin.

Lalu saya dimaklumkan, Rashid adalah bekas pegawai media Khairy Jamaludin. Sebelum itu beliau pernah bekerja dengan Tun Daim. Beliau seorang bekas wartawan dan dikira bijak sebagaimana Khairy.

Zambry pula adalah bekas pengurus kempen Muhyiddin sebelum beliau dipilih sebagai MB Perak. Sebelum itu, Zambry juga adalah ketua satu badan pemikir yang ditubuhkan Muhyiddin ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berada dalam Umno.

Kerana hubungan itulah, cadangan Zambry agar Rashid dilantik sebagai SUA TPM diterima Muhyiddin. Mengikut ceritanya, Rashid telah ditemuramah oleh Muhyiddin sendiri dan selepas itu beliau ditawarkan jawatan itu.

Namun, belum sempat surat tawaran dikeluarkan, Muhyiddin tidak jadi melantik Rashid sebagai SUA-nya. Jadilah Rashid bekas SUA TPM tetapi belum sempat bekerja, ia sudah diberhentikan. Cerita ini banyak disiarkan oleh blog-blog yang ada kaitan dengan Umno dan kerajaan khasnya mereka yang anti-Khairy.

Menurut maklumatnya, sebaik sahaja berita Rashid akan dilantik sebagai SUA TPM, bertalu-talu SMS beredar antara satu sama lain. Bantahan turut dibuat dalam blog-blog ini.

Kebanyakannya adalah membantah perlantikan Rashid kerana dia adalah bekas pembantu Khairy. Khairy pula sedang dipersudutkan oleh para pemimpin Umno dengan pelbagai isu. Dari isu rasuah hinggalah musuh tradisi kepada bekas PM, Tun Dr Mahathir dan orang-orangnya yang kini menguasai politik Umno.

Seorang rakan saya dari akhbar The Star juga turut didakwa terlibat dalam menghantar SMS itu. Namun, beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan menceritakan apa yang berlaku sebenarnya.

Dakwaan yang paling kuat adalah bantahan dari mereka yang berada di sekeliling Tun Dr Mahathir. Ia mudah difahami kerana Khairy sememangnya menjadi musuh utama Tun Mahathir sejak bapa mertuanya masih menjadi PM lagi.

Jika benar dakwaan ini bermakna Muhyiddin telah akur dengan desakan orang-orang Mahathir padahal beliau sendiri telah menilai kemampuan Rashid selepas menemuramahnya. Kerana bantahan mereka yang anti-Khairy, Rashid yang menjadi mangsa.

Jika benar cerita Rashid ini, bermakna pengaruh penyokong Mahathir benar-benar kuat khasnya ke atas TPM yang ada sekarang. Hatta untuk melantik SUA pun perlukan kelulusan dari beliau atau orang-orang beliau.

Namun, ramai juga yang membuat penilaian lain dalam hal ini. Bagi mereka, apa yang berlaku sebenarnya adalah Muhyiddin sangat takut dengan Mahathir. Atau Mahathir sangat berpengaruh ke atas Muhyiddin.

Dikatakan juga, Mahathir tidak boleh lagi mempengaruhi Najib dengan baik. Atau dengan lain perkataan, Najib tidak menjadikan Mahathir sebagai penasihatnya.

“Lihat kes Penanti. Najib kata tidak mahu bertanding. Mahathir kata kena bertanding. Apa yang Muhyiddin kata. Tak ada, senyap sahaja.

“Bagi saya, Muhyiddin sepatutnya berperanan sebagai orang nombor dua dalam Umno dan kerajaan. Dia sepatutnya menyokong Najib. Dia tidak boleh menyokong pandangan orang lain. Jika ini berlaku bererti Umno dan kerajaan kini ada dua kepala,” kata seorang rakan penulis kepada saya.

Akibatnya, para pembantu Najib dikatakan memberikan perhatian yang lebih kepada apa yang berlaku di sekeliling Muhyiddin. Apa sahaja yang dibuat oleh orang-orang Muhyiddin akan mendapat perhatian dari mereka.

Hatta kepulangan Muhyiddin ke Pagoh dan disambut sebagai wira oleh penduduk Parlimen beliau juga mendapat perhatian mereka.

Pelbagai pertanyaan dibuat ke atas majlis itu. Kenapa gambar Muhyiddin sahaja atas pentas. Patutnya letaklah gambar Najib juga selaku PM.

Jika inilah yang berlaku dalam Umno, Najib kena berfikir kembali dengan 1 Malaysia-nya. Jadikan agenda 1 Umno dahulu sebagai realiti sebelum mengajak semua rakyat Malaysia bersatu di bawah agenda 1 Malaysia.

Ahmad tuntut hak jawatan Anak Raja Bergelar — Mohd Khuzairi Ismail

MAY 6 — Setakat yang terakam oleh sejarah, kesultanan Melayu Perak bermula pada abad ke-15 iaitu apabila Sultan Muzaffar Shah I dimasyhurkan sebagai Sultan Perak yang pertama pada 1528.

Sultan Muzaffar Shah I merupakan putera kepada Sultan Mahmud Shah yang memerintah Melaka ketika itu dan diperkenan atas permintaan dua pembesar Perak iaitu Tun Saban dan Nakhoda Kassim.

Baginda ditabalkan sebagai Raja Perak yang pertama di Beting Beras Basah selepas terkandas dalam pelayaran menuju ke Perak.

Sepanjang lebih lima abad warisan kesultanan Perak itu berkembang, pelbagai peristiwa perselisihan dan perebutan takhta diperturunkan dari satu generasi ke generasi sama ada secara lisan atau bertulis.

Antaranya perselisihan antara Raja Bendahara Ismail dan Raja Muda Abdullah selepas kemangkatan Sultan Perak ke-24, Sultan Ali Al-Mukamal Inayat Shah pada 1871.

Perselisihan juga berlaku dalam pelantikan Sultan Perak Ke-28 selepas kemangkatan Sultan Yusuf Sharifuddin Muzzaffar Shah. Jika mengikut adat warisan, Raja Kulop Muhammad adalah abang yang seharusnya menaiki takhta.

Namun, kerana campur tangan daripada pihak British, Sultan Idris Murshidul 'adzam Syah sebaliknya dilantik sebagai Sultan Perak Ke-28.

Maka, di sinilah berpuncanya sumpahan tujuh keturunan dan tujuh giliran Sultan tidak boleh menjejakkan kaki ke istana.

Bagaimanapun, sumpahan itu telah berakhir kepada Raja Abdullah Azizi yang merupakan putera bongsu kepada Raja Uda Samsuddin hasil perkongsian hidup dengan Siti Aminah.

Ini bermakna, keturunan selepas Raja Abdullah Azizi iaitu generasi kelapan daripada Sultan Ahmadin Shah tidak lagi terikat dengan sumpah tujuh keturunan itu.

Kerana itu juga, anak sulung Raja Abdullah Azizi iaitu Raja Ahmad Nasir tampil menuntut untuk menyambung warisan kedudukan Raja Bergelar yang merupakan hak keturunannya.

Menurut Raja Ahmad Nasir, sejak 2004, beliau telah beberapa kali memperkenalkan diri kepada Sultan menerusi perutusan surat.

Malangnya tidak mendapat sebarang maklum balas.

Beliau juga telah menjelaskan kedudukan dengan memperkenalkan diri, warisan dan salasilah keturunan di pejabat Istana bagi dibolehkan memperguna semula nama raja di dalam kad pengenalannya.

Permohonan itu akhirnya diluluskan pada 19 Disember 2007 selepas ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara pada Ogos 2006.

Sejak mendapat kebenaran itu juga, Raja Ahmad Nasir kemudiannya memohon jawatan Anak Raja Bergelar di dalam negeri Perak.

Permohonan ketiga beliau dijawab oleh Toh Amar Seri DiRaja, Datuk Ayob Hashim yang menyatakan hanya warisan kanan Sultan memerintah ketika ini sahaja yang layak.

Dalam surat rayuan balas, Raja Ahmad Nasir telah meminta untuk ditunjukkan fakta Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang terbaru dan berkuat kuasa ketika ini.

Beliau juga telah mengusulkan fakta Undang-Undang Tubuh Negeri Perak 1948 berhubung larangan Sultan XXII (I).

Ia antara lain menyebut adalah diharamkan bagi raja yang memerintah mengubah kedudukan negeri Perak.

''Bagaimanapun, selepas saya membalas surat tersebut termasuk kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja Negeri Perak, Datuk Shamsul Baharin pada 12 Disember 2008, tiada jawapan diberikan oleh pihak ibu pejabat Istana Iskandariah Kuala Kangsar," katanya.

Menurut Raja Ahmad Nasir, beliau tidak bermaksud untuk mencabar kedudukan Sultan Perak kerana tidak mahu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pihak istana mahupun rakyat kebanyakan.

Sebaliknya, beliau hanya menuntut hak dan keistimewaan termasuk jawatan Anak Raja Bergelar memandangkan telah dipilih dan diamanatkan oleh datuknya untuk menyandang kembali jawatan tersebut.

Raja Ahmad Nasir menambah, apa yang menjadikan beliau berhak terhadap jawatan itu ialah kerana sumpahan tujuh keturunan atau tujuh giliran Sultan itu sudah pun tamat.

Sementelah, datuk dan nenek beliau juga adalah waris Sultan Ahmadin manakala jawatan Raja Kecil Bongsu dan Raja Kecil besar masih kosong.

''Saya juga mempunyai fakta-fakta berdasarkan perundangan negeri Perak yang menunjukkan bahawa saya layak mengisi mana-mana jawatan tersebut," katanya.

Dalam mengukuhkan tuntutan beliau, Raja Ahmad Nasir turut menarik perhatian mengenai kedudukan Istana Iskandariah yang tiada berpenghuni tetap.

Difahamkan, waris sultan yang memerintah lagi berdaulat sahaja yang boleh bersemayam di Istana Iskandariah.

Sekiranya bukan warisan atau zuriat daripada keturunan Sultan Ahmadin ke-18, maka mereka tidak boleh bersemayam di istana tersebut.

Seandainya beradu, pada keesokan harinya dikatakan akan dialihkan daripada tempat peraduan.

Sultan yang bukan daripada keturunan Sultan Ahmadin juga tidak boleh melalui pintu hadapan kerana dikatakan akan ditimpa musibah.

Sesiapa sahaja daripada Sultan yang memerintah yang tidak mengikut adat dan bersekongkol dengan ahli Dewan Negara juga akan menerima musibah.

Ini kerana tanggungjawab Dewan Negara ialah memegang amanah, melaksanakan tugas dengan adil dan sebagai penasihat kepada Sultan.

Raja Ahmad Nasir menambah, Raja-Raja berperlembagaan seharusnya menjelaskan perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan, salah sangka dan perasaan sangsi di kalangan rakyat.

Kesungguhan berbuat demikian dengan sendirinya akan menimbulkan rasa hormat di kalangan masyarakat terhadap institusi raja-raja.

''Perlembagaan Kesultanan Melayu Negeri Perak adalah unik mengikut giliran tidak seperti negeri-negeri lain. Maka haram bagi Sultan mengubah akan kedudukan negeri," katanya.

Perkara tuntutan Anak Raja Bergelar ini tambah Raja Ahmad sudah dibawa ke pengetahuan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Ia juga sudah diajukan kepada pejabat Menteri Besar yang memberi jaminan untuk membawanya ke minit mesyuarat.

Krisis Perak: Mungkin tindakan BN betul, kelihatan gopoh - Tun Mahathir

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, jelas menyatakan bahawa seorang Raja tidak mempunyai hak untuk memecat seorang ketua kerajaan.

Jelas beliau, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri tetapi tidak mempunyai hak untuk memecat Perdana Menteri tersebut sehinggalah adanya undi tidak percaya terhadapnya.

"Yang di-Pertuan Agong boleh melantik tetapi tak boleh pecat kecuali ada undi tak percaya terhadap Perdana Menteri tersebut," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama Siri Syarahan Perdana kesembilan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Ditanya sama ada undang-undang tersebut terpakai di negeri Perak, beliau berkata: "Saya fikir ia sama kepada setiap negeri tapi jika Perak mempunyai perlembagana yang berbeza, saya sedia untuk diperbetulkan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai soalan sama ada pelantikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bertentangan dengan undang-undang atau sebaliknya.

Bagaiamanapun, Dr Mahathir berkata, beliau tidak pasti mengenai perlembagaan yang diguna pakai di negeri Perak dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukannya.

"Isu ini dah dibawa ke mahkamah, jadi biarlah mahkamah untuk buat membuat keputsuan mengenainya," katanya.

Mengulas lanjut mengenai krisis perlembagaan yang berlaku di Perak, Dr Mahathir berkata, Barisan Nasional (BN) mungkin terlalu gopoh bertindak untuk mengambil alih kembali pentadbiran di Perak.

"Kita tak patut terlalu gopoh...semuanya perlu dilakukan dengan baik dan lancar. Jika terlalu gopoh, kita akan buat kesilapan.

"Dalam apa jua situasi pun, kita perlu mempunyai masa untuk berfikir, mungkin apa yang mereka (BN) lakukan adalah betul tapi masih kelihatan mereka gopoh," katanya.

Pelantikan Zambry MB Perak tidak ikut perlembagaan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Feb lepas, menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, adalah tidak mengikut perlembagaan.

Peguam Sulaiman Abdullah, untuk Mohammad Nizar, berkata bahawa Zambry tidak boleh menuntut pejabat Menteri Besar kerana Mohammad Nizar belum meletak jawatan dan pejabat Menteri Besar tidak pernah dikosongkan.

"Pelantikan seseorang ke pejabat Menteri Besar mungkin hanya sah jika pejabat itu dikosongkan.

"Jika pejabat itu tidak dikosongkan, tidak ada pelantikan yang sah dalam undangundang untuk menduduki pejabat itu, kerana tidak boleh ada dua orang memegang satu jawatan Menteri Besar," kata Sulaiman dalam hujah dua jamnya.

Pada 13 Februari, Mohammad Nizar, 52, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac, tahun lepas, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas) bagi memohon pengisytiharan bahawa beliau pada ketika mana adalah Menteri Besar Perak.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, Mohammad Nizar mengukuhkan bahawa:

* Beliau telah menasihat dan memohoan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengelakkan berlaku sebarang kebuntuan dalam pentadbiran hal ehwal negeri itu memandangkan tiga anggota DUN tersebut telah meletak jawatan;

* Tidak ada pembubaran DUN;

* Tidak ada usul tidak percaya dibentangkan terhadap beliau di DUN;

* Beliau belum meletak jawatan daripada pejabat Menteri Besar. Sulaiman, dalam hujah beliau hari ini juga mempertikaikan bahawa Menteri Besar Perak tidak boleh dilucutkan jawatan oleh Sultan Perak.

"Menteri Besar mungkin hanya boleh dilucutkan jawatan setelah undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota DUN itu," kata beliau.

Ini kerana, kata Sulaiman, Menteri Besar itu tidak memegang jawatan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia tetapi memegang jawatan tertakluk kepada keyakinan anggota DUN yang mana (Menteri Besar) bertanggungjawab.

"Peranan Duli Yang Maha Mulia di bawah Artikel 16(6) hanya memutuskan sama ada atau tidak untuk membubarkan DUN, jika Menteri Besar telah hilang undi tidak percaya," kata Sulaiman.

Sulaiman yang sebelum ini tidak bersetuju dengan hujah pencelah, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata bahawa pembubaran DUN tidak hanya tertakluk pada keadaan di mana Menteri Besar telah hilang keyakinan majoritinya.

"Apabila Menteri Besar menghadap Sultan memohon perkenan untuk membubarkan DUN, ia bukan satu pengakuan bahawa beliau telah hilang keyakinan majoriti. Pembubaran boleh dipohon pada bilabila masa, untuk sebarang sebab, dan bukan terhad pada hilang keyakinan majoriti," katanya.

Sulaiman juga berkata mahkamah hendaklah mematuhi dan mengaplikasikan keputusan Stephen Kalong Ningkan menentang Tun Abang Openg dan kes Tawi Sli, yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Sarawak pada 1966, pada kes ini.

Pada kes itu yang memutuskan bahawa Gabenor tersebut tidak boleh melucutkan Ketua Menteri tersebut dan tidak boleh melantik seorang Ketua Menteri kedua sementara ada seorang lagi memegang jawatan berkenaan, dan bahawa hanya satu jalan untuk Ketua Menteri untuk melucutkan jawatan dengan cara undi tidak percaya dalam Majlis Negeri.

Perlembagaan Sarawak, Perlembagaan Perak sangat jelas bahawa ia tidak ada kuasa untuk melucutkan jawatan Menteri Besar itu dan budibicara untuk melantik dua orang memegang jawatan Menteri Besar itu.

"Peruntukan Artikel 7(1) Perlembagaan Sarawak sama dengan Artikel 16(6) Perlembagaan Perak dan keputusan kes itu masih merupakan satu undang-undang yang baik," kata beliau.

Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim disambung esok.

Tuesday, May 5, 2009

Tanpa Umno rakyat masih mampu kecapi kemakmuran

Orang Melayu dan kaum-kaum lain di negara ini kini mulai yakin tanpa Umno dan Barisan Nasional (BN) rakyat masih mampu mengecapi kemakmuran dan kesejahteraan.

Ini dapat dibuktikan apabila rakyat di Kelantan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak mampu meneruskan kelangsungan hidup seperti biasa tanpa kerajaan BN.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, masyarakat berbilang kaum mulai sedar retorik Umno dan BN yang memperbodohkan mereka selama ini.

"Sebelum ini ramai di kalangan rakyat dipengaruhi dakwaan kononnya hanya Umno dan BN sahaja yang mampu menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

"Kita pernah dengar kenyataan rakyat Malaysia tidak akan maju tanpa Umno-BN. Sangkaan itu sekarang semuanya meleset," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung PAS Pasir Puteh kali ke-50, di sini, kelmarin.Image

Menurutnya apabila rakyat faham dan yakin dengan kemampuan Pakatan Rakyat secara tidak langsung survival politik Umno akan menuju kehancuran.

Contoh terbaru dapat dilihat pada pilihan raya kecil Bukit Gantang, apabila 85 peratus pengundi Cina dan 65 peratus India memberi sokongan padu kepada PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

Muktamar tersebut diadakan di Maahad Saniah dekat sini. Pada mesyuarat itu Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamed kekal sebagai Yang Dipertua PAS kawasan biar pun berlaku pertandingan tiga penjuru.

Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat pula mengekalkan jawatan Timbalan Yang Dipertua. Manakala Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim memenangi jawatan Naib Yang Dipertua.

Iskandar yang juga anggota Exco kerajaan Selangor berkata, tindakan kerajaan persekutuan menukar Pengarah Jabatan Pertanian di negeri terbabit secara tergesa-gesa boleh membantut usaha meningkatkan hasil padi di Selangor.

Beliau percaya tindakan itu dilakukan orang politik bagi menyekat kepakaran seseorang individu yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya daerah Tanjung Karang dan Sabak Bernam merupakan kawasan tanaman padi utama di Selangor.

"Kenapa pegawai yang berjaya melaksanakan projek meningkatkan pengeluaran padi tiba-tiba ditukar," tambahnya.

Monday, May 4, 2009

Drama rebut kerusi di Dun Perak Khamis ini?

KOTA BHARU, 4 Mei (Hrkh) - Pemimpin PAS usah terperangkap agenda musuh dengan membincang secara terbuka isu kerajaan perpaduan serta polemik ulama dan profesional dalam kepimpinan parti.

Sedangkan krisis sebenar sedang bergelombang di Perak dipencilkan media harian yang dekat dengan Umno.

"Sepatutnya isu terbabit lebih diberi perhatian kerana media harian cuba melelapkan krisis tersebut daripada diketahui rakyat.

"Tak perlulah hendak perdebatkan isu dalaman PAS secara terbuka kerana masing-masing ada hujah tersendiri. Perwakilan PAS boleh menilai siapa yang layak diangkat sebagai pemimpin," kata seorang pemerhati politik di sini.

Sedangkan katanya konflik politik di Perak akan berada di puncak pada Khamis ini apabila persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) diadakan

Ini kerana kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) cuba menutup ruang serapat mungkin terhadap apa yang berlaku pada hari tersebut diketahui umum.

Buktinya apabila Setiausaha Kerajaan Negeri cuba menghalang media tidak proUmno hadir membuat liputan persidangan berkenaan.Image

Mengulas situasi yang bakal berlaku Khamis ini Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin tidak menolak kemungkinan kekecohan akan berlaku memandangkan terdapat dua kerajaan di Perak sekarang.

"Tidak dapat ditolak kemungkinan akan berlaku adegan berebut kerusi. Saya sebagai Menteri Besar akan menduduki kerusi dekat dengan Speaker.

"Sebagai ketua kerajaan saya juga berhak menyerah titah ucapan diraja kepada Tuanku untuk dibaca pada perasmian persidangan tersebut," katanya menjelaskan krisis di Perak pada ceramah di Putik, malam kelmarin.

Menurutnya, Speaker V Sivakumar difahamkan akan memastikan tiga Adun yang melompat parti sebelum ini tidak berada di dalam Dun ketika persidangan berlangsung.

"Saya tidak boleh bayangkan apa yang berlaku pada hari tersebut dan tidak dapat ditolak kemungkinan persidangan Dun akan ditangguh sekiranya suasana kelam kabut tidak dapat dikawal.

"Kita yakin penyokong PAS dan Pakatan Rakyat sudah matang dan tidak akan membuat sesuatu di luar peraturan, biar pun kita tahu Umno mungkin menggunakan samseng," ujarnya.

ImageMenurut beliau sekiranya persidangan Dun tidak dapat diadakan pada tarikh tersebut masalah akan berlaku kerana tempoh enam bulan daripada persidangan tahun lepas akan berakhir.

Sedangkan katanya kerajaan Pakatan Rakyat masih mempunyai tempoh sehingga September depan memandangkan sidang terakhir diadakan di bawah pokok baru-baru ini.

Nizar yang juga anggota parlimen Bukit Gantang berkata, seramai 812 ketua kampung yang menang melalui pemilihan sebelum ini akan membuat laporan polis terhadap kerajaan BN sekiranya mereka dipecat.

Menurutnya Menteri Besar kerajaan kudeta Perak, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir difahamkan telah menulis surat memecat mereka dan diganti dengan jawatankuasa kemajuan keselamatan kampung persekutuan (JKKKP).

Search This Blog