Benar sekali perumpamaan Prof Dr Abdul Aziz Bari bahawa tindakan memalukan di sidang Dun itu boleh disifatkan sebagai persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu, yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu. Ia bermula daripada tindakan rampasan kuasa yang bercanggah dengan peraturan undang-undang dan perlembagaan negeri.
Begitu juga dengan sidang Dun di bawah pokok yang terpaksa diadakan selepas pihak polis dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang masuk campur dalam hal-hal yang tidak sepatutnya mereka terlibat. Ya, bagaimana Speaker V Sivakumar dihalang daripada menjalankan tugasnya.
Begitu juga yang berlaku di Dun Perak 7 Mei apabila Sivakumar diperlakukan dengan begitu biadab dan dibawa keluar daripada dewan dengan cara samseng jalanan. Pelik, dalam keadaan sidang Dun belum bermula tiba-tiba timbalan speaker yang belot itu, Hee Yit Foong, boleh menjalankan tugas-tugas speaker dan kemudiannya melantik speaker baru. Atas peruntukan mana Hee boleh bertindak sejauh itu? Sedangkan Sivakumar masih ada di situ dan belumpun memulakan persidangan Dun pun!
Campur tangan polis pula satu hal serius yang harus diberi perhatian. Sudahlah selama ini pihak polis sanggup menjadi alat dan perkakas untuk BN mempertahankan sakibaki kuasa mereka, kali ini mereka bertindak lebih rakus lagi, dengan menyeret keluar Sivakumar daripada dewan.
Walhal dulu, semasa kes Karpal Sing dikasari di Parlimen, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Negara sendiri mengakui bahawa polis tidak mempunyai kuasa dalam kamar dewan. Walaupun jika berlaku pergaduhan hanya petugas Dewan sahaja boleh mengambil tindakan perlu, termasuk tangkapan. Dalam sidang Dun Perak tak dapat dipastikan berapa ramai anggota polis yang hadir terutama yang berpakaian preman.
Juga yang menjadi tandatanya, bilakah masa sebenar sidang Dun bermula, apakah selepas perasmian oleh Raja Nazrin Shah yang terpaksa ditangguhkan sehingga jam 3 petang atau sebelum itu lagi? Bagaimana pula dengan kesahihan perlantikan Speaker yang baru, Ganesan, yang dibuat secara haram dan bercanggah dengan Perlembagaan?
Memang segalanya menjadi cacamarba dan haru-biru apabila begitu ramai anak haram yang lahir daripada persetubuhan haram awal Februari lalu. Tapi yang pastinya, dalang di sebalik apa yang berlaku ini, Najib Razak tidak berasa apa-apa yang perlu dimalukan dengan begitu ramainya "anak-anak haram" yang berkeliaran di negeri Perak itu!
No comments:
Post a Comment