IPOH 8 Mei - V. Sivakumar yang dilucutkan jawatannya semalam mendakwa beliau masih lagi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sah dan akan memasuki pejabatnya seperti biasa Isnin ini.
Alasan yang diberikan oleh Sivakumar ialah sidang DUN semalam sebenarnya tidak berlangsung berikutan arahan beliau supaya 10 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas yang didakwa telah meletak jawatan supaya keluar meninggalkan Dewan tidak dipatuhi.
Justeru, katanya, usul menyingkirkan beliau dan pelantikan Datuk R. Ganesan sebagai Speaker DUN Perak yang baru dengan sendirinya tidak sah.
''Saya tetap Speaker DUN Perak kerana dari pagi hingga petang semalam, sidang DUN tidak berlaku kerana 10 orang ini tidak keluar Dewan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, Sivakumar bertegas tidak mahu memulakan sidang DUN selagi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exconya berada dalam Dewan.
Beliau turut mengarahkan tiga ADUN Bebas iaitu Hee Yit Foong (Jelapang), Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) meninggalkan Dewan dengan segera.
Mengulas lanjut Sivakumar berkeras menyatakan bahawa penggantungan tujuh ADUN BN yang dibuat semasa sidang DUN di bawah pokok pada 3 Mac lalu adalah sah walaupun Mahkamah Persekutuan memutuskan sebaliknya.
''Hujah saya ialah ADUN BN membuat usul sendiri untuk mengiktiraf sidang DUN bawah pokok tidak sah semasa persidangan semalam.
''Dengan membawa usul ini, mereka dengan sendirinya mengiktiraf sidang DUN bawah pokok sebagai sah dan ini menunjukkan penolakan 10 ADUN daripada memasuki Dewan adalah sah," katanya.
Dalam pada itu, beliau mendakwa wujud konspirasi yang didalangi BN untuk melucutkan jawatannya sebagai Speaker DUN Perak semasa sidang DUN semalam.
''Semua orang yang dibenarkan memasuki Dewan termasuk kakitangan kerajaan tidak mematuhi semua arahan saya kecuali 28 ADUN dari DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," ujarnya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan mahkamah termasuk menyaman BN, Sivakumar menyatakan, perkara itu belum difikirkan lagi.
Terdahulu, Sivakumar membuat laporan polis terhadap BN kerana mendakwa pelucutan jawatannya dibuat secara tidak sah dan dikasari serta diheret keluar dari Dewan.
Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh mengesahkan menerima laporan beliau.
No comments:
Post a Comment