Cukup meragukan dan mungkin terbatal. Ungkapan ringkas bagi menggambarkan situasi yang berlaku pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Khamis lalu. Perlanggaran badan eksekutif terhadap legislatif secara moralnya menjejaskan teori pengasingan kuasa yang masih bersisa di negara ini. Tindakan Menteri Besar kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) Perak, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir meneruskan tindakan memecat Speaker, V Sivakumar biar pun usulnya ditolak secara jelas menggambarkan eksekutif mencampuri urusan badan legislatif. Lebih mengaibkan lagi apabila Timbalan Speaker 'merampas' kuasa speaker yang masih berada di kerusi. Ini memperlihatkan Adun BN mempersendakan peraturan Dewan. Dan paling menjijikkan apabila anggota pasukan keselamatan dikatakan diperalat dengan mengusung keluar Speaker dan mengurungnya di sebuah bilik yang berkunci. Apa yang berlaku di Perak tersebut secara jelas dapat digambarkan sebagai kudeta pusingan kedua dengan merampaskan kedudukan Speaker secara paksa. Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof berkata, segala urusan persidangan Dun Perak pada hari itu amat meragukan kerana tidak berlaku mengikut peraturan ditetapkan. "Di mana nilai doktrin pengasingan kuasa yang dikatakan diamalkan dalam sistem demokrasi di negara ini. Badan eksekutif tiada hak untuk campur tangan terhadap perjalanan legislatif. "Sedangkan doktrin itu begitu penting sekali bagi memastikan berlaku check and balance dalam sistem pentadbiran kerajaan," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Kelantan di Perdana Resort di sini, hari ini. Menurutnya, segala perkara yang berlaku pada hari persidangan itu begitu mencurigakan dan boleh dianggap sebagai tidak sah. Kata beliau apabila persidangan itu sendiri dianggap tidak sah, bagaimana boleh dilantik seorang Speaker baru. "Saya bimbang apabila setiap perkara yang berlaku itu tidak sah ia turut menjejaskan ucapan perasmian oleh wakil raja Perak. Ini juga boleh menimbulkan satu persoalan. "Kelihatan ada pihak yang cuba mencemarkan institusi terbabit apabila melanggar dari awal lagi segala peraturan Dewan Negeri sehingga ia menjadi kelam kabut," katanya yang juga seorang peguam. Bagaimanapun peguam Umno, Dato' Mohd Hafarizam Harun dan Dato' Muhammad Shafei Abdullah dilapor menyifatkan penyingkiran Sivakumar sebagai sah. Mereka menganggap tanpa kehadiran Sivakumar, Timbalan Speaker, Hee Yit Foong boleh mempengerusikan mesyuarat bagi melantik speaker baru. Namun berdasarkan kronologi yang dipapar pelantikan Speaker baru dibuat ketika Sivakumar masih berada di kerusi Speaker. Sabki mempersoalkan bagaimana boleh dikatakan pelantikan Speaker baru sah memandangkan keseluruhan perjalanan persidangan Dewan tersebut dipertikaikan banyak pihak. Sivakumar semalam mendedahkan beliau dikurung dalam sebuah bilik persalinan selepas diusung keluar Dewan oleh beberapa anggota keselamatan. Seorang perwakilan Dewan Pemuda berkata, segala kekalutan yang berlaku itu dimulakan Dato' Seri Najib Razak apabila memerangkap tiga bekas Adun Pakatan Rakyat sehingga kudeta berlaku di Perak Febuari lalu. "Jadi sekarang siapa yang menjejaskan imej negara," kata seorang perwakilan dari Gua Musang |
Saturday, May 9, 2009
Rampas kuasa Speaker, kudeta kedua berlaku di Perak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment