Reaksi pertama Ahli Parlimen Johor Bharu, Datuk Shahrir Abdul Samad ketika ditanya, betul ke berita heboh Selasa malam beliau dan Tengku Razaleigh Hamzah sertai PKR ialah beliau ketawa.

“Saya malas nak jawab, malas nak layan,: katanya kepada Agendadaily ketika dihubungi.

Menurut bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, beliau tahu ada blog melaporkan hal itu.

Sambil berseloroh, beliau bersetuju apabila dikatakan, lebih baik jadi Bebas daripada sertai parti lain termasuk PKR.

“Apakah saya nak buat begitu kerana kalah pemilihan MT (Majlis Tertinggi) atau tak terpilih Menteri lagi,” katanya.

Bagaimanapun menurut Shahrir, tiada sebab untuk beliau rasa kecewa dan tinggalkan UMNO.

“Apatah lagi terlalu yakin dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim hingga sertai mereka (PKR),” katanya.

Menurutnya, sejak dulu lagi beliau tidak pernah menyokong tindak tanduk Anwar.

Sementara itu, Datuk Kamal Amir yang rapat dengan Ku Li, menafikan berita Ahli Parlimen Gua Musang itu menyertai PKR.

Katanya tiada apa-apa berlaku pada Mesyuarat UMNO Bahagian Gua Musang, Sabtu lalu.

Cakap-cakap Ku Li akan keluar UMNO bukan cerita baru.

Ia kedengaran sejak beliau dilihat tidak sependapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi .

Semasa pada pemilihan UMNO baru-baru ini, bekas Menteri Kewangan itu menawarkan diri bertanding jawatan Presiden parti itu.

Apapun semasa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim menawarkan beliau sertai PKR baru baru ini ,Ku Li kata sekalipun UMNO ada kelemahan beliau masih tetap yakin pada parti itu masih ada peranan untuk masa depan yang diharapkan-