Wednesday, August 5, 2009

Penduduk ditawar rumah teres di Kg. Buah Pala

Ketua Menteri: Pemaju bersetuju, penduduk minta tempoh hingga Jumaat

MARAH... Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P. Ramasamy (kanan) mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh seorang daripada penduduk Kampung Buah Pala berhubung operasi meroboh rumah ketika pertemuan beliau dengan penduduk kampung itu hari ini. P. Ramasamy mengumumkan operasi meroboh rumah yang sepatutnya diadakan hari ini ditangguhkan bagi memberi laluan kepada perbincangan dengan penduduk kampung berkenaan berhubung penyelesaian yang sedang diusahakan. -- fotoBERNAMA

Pemaju projek perumahan di Kampung Buah Pala, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd hari ini bersetuju untuk menawarkan penduduk kampung berkenaan dengan sebuah rumah teres bagi setiap rumah yang dirobohkan di kawasan kampung itu.

Tawaran itu dikemukakan mereka dalam perbincangan antara kerajaan negeri, pemaju dan penduduk kampung berkenaan malam ini.

"Selepas mengadakan perbincangan, pemaju bersetuju memberi sebuah rumah teres dan ini adalah tawaran yang terbaik diberikan pemaju kepada penduduk kampung berkenaan.

"Bagaimanapun, penduduk kampung belum buat sebarang keputusan dan mereka minta tempoh sehingga Jumaat ini untuk memberi jawapan," kata Ketua Menteri Lim Guan Eng kepada pemberita selepas menghadiri perbincangan itu di pejabatnya di Komtar di sini malam tadi.

Lim bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai tawaran itu dan berharap ia akan diterima penduduk kampung bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Sementara itu Penolong Setiausaha Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, C. Tharmaraj berkata, penduduk belum membuat sebarang keputusan berhubung tawaran berkenaan dan mereka akan mengadakan perbincangan sebelum memberi jawapan kepada pemaju.

Bagaimanapun katanya penduduk tidak gembira dengan tawaran berkenaan kerana mereka hanya diberi gambaran mengenai rumah teres berkenaan secara lisan tanpa plan reka bentuk sebenar.

"Kami hanya dimaklumkan setiap rumah yang terlibat akan dapat sebuah rumah teres dua tingkat dengan keluasan 1,400 kaki persegi di kawasan berkenaan.

"Tetapi plan reka bentuknya dan maklumat lanjut tentang perkara itu tidak dimaklumkan dan rumah berkenaan dijangka siap dalam tempoh dua tahun dari sekarang," katanya dan menambah dalam tempoh itu penduduk terpaksa menyewa sendiri di kawasan lain.

Rumah 23 keluarga di kawasan itu sepatutnya dirobohkan semalam tetapi dilanjutkan sehingga ke hari ini selepas penduduk kawasan itu gagal dalam rayuan mereka menghalang pemilik tanah berkenaan, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang, daripada membangunkannya.

Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd, pemaju projek perumahan di Kampung Buah Pala, menetapkan Jumaat ini sebagai tarikh baru untuk penduduk kawasan itu berpindah dari kediaman masing-masing

No comments:

Search This Blog