Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, selepas berlangsung Perhimpunan Mansuhkan ISA di Kuala Lumpur telah mengumumkan yang kerajaan bersedia untuk membenarkan tempat awam seperti stadium digunakan bagi mengadakan sebarang perhimpunan aman.
Reaksi daripada ini, PAS Pahang telah mengeluarkan kenyataan rasminya dan menyifatkan kenyataan Najib sebagai petunjuk kelemahan kerajaan Umno dan BN dalam memahami erti kemerdekaan dan demokrasi. Ini kerana pengumuman Najib ini hanya terbit setelah berlangsungnya beberapa demonstrasi besar-besaran di ibu kota Kuala Lumpur.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang, Roslan Zainal Al-Ahmadi menegaskan bahawa selama lebih 50 tahun negara mengecapi kemerdekaan, kerajaan yang dipimpin oleh Umno dan BN telah secara licik menjajah premis-premis awam yang sepatutnya menjadi kemudahan semua rakyat.
Hak rakyat yang tidak sealiran dengan Umno dan BN selalu dinafikan untuk menggunakan premis-premis tersebut. Bahkan, ujar Roslan lagi, bukanlah rahsia yang selama ini ahli-ahli parti pembangkang dinafikan hak untuk turut sama menggunakan kemudahan awam seperti balai raya, stadium, padang awam, taman rekreasi dan dewan orang ramai.
Tambah Roslan, lebih menjengkelkan tentang kenyataan Najib ini, selama ini parti pembangkang bukan hanya dihalang dari menggunakan premis-premis awam untuk program penerangan parti seperti ceramah, dialog mahupun perhimpunan aman, lebih teruk dari itu parti pembangkang juga terlarang dari menggunakan premis awam untuk kegiatan-kegiatan sosial seperti hari keluarga dan kempen menderma darah.
Agensi-agensi kerajaan yang dijemput pun akan turut dihalang dan ditekan, walaupun untuk program-program yang berlangsung di premis persendirian.
PAS Pahang, menurut Roslan, menuntut supaya Najib segera membuktikan apa yang dikatakan beliau. Semua premis awam mesti berhak digunakan oleh seluruh rakyat, semua parti pembangkang, bukan hanya untuk demonstrasi aman sahaja, bahkan untuk lain-lain aktiviti yang sejajar dengan undang-undang.
Najib, desak Roslan, mesti mengeluarkan arahan dan pekeliling rasmi kepada semua agensi kerajaan di semua peringkat agar memberi kebenaran kepada seluruh rakyat termasuk semua parti pembangkang untuk menggunakan premis-premis awam.
Menutup kenyataannya, Roslan sempat menasihatkan Umno dan BN, selepas lebih 50 tahun merdeka, Umno dan BN seharusnya tidak bimbang jika premis-premis awam dibenar untuk digunakan oleh parti-parti pembangkang, belajarlah menerima asakan maklumat dari pentas pembangkang dengan hujah, wacana dan keterbukaan, bukan dengan kaedah yang ketinggalan seperti cengkaman, tekanan dan halangan
No comments:
Post a Comment