Friday, September 18, 2009

Pakatan Rakyat akan lancar gagasan 'TAWAN' Johor

Sebagai persiapan untuk mengambil-alih pemerintahan negeri ini selepas Pilihan raya Umum (PRU) Ke-13, Pakatan Rakyat negeri ini telah bersepakat untuk melancarkan Gagasan yang bertemakan 'TAWAN' yang juga merupakan tawaran terbaik untuk rakyat negeri ini.

"Pelancaran Gagasan ini akan disempurnakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali serta Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw, pada 27 Oktober depan," kata Pesuruhjaya PAS Negeri, Dato' Dr Mahfodz Muhamad, di sini.

Gagasan yang bertujuan untuk mengambil-alih pemerintahan negeri ini katanya, akan berlandaskan kepada lunas-lunas demokrasi yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara.

"Kita (Pakatan Rakyat) sama sekali tidak akan mengambil pendekatan lain selain melalui amalan demokrasi sedia ada dalam proses mengambil-alih pemerintahan negeri ini," katanya pada sidang media sempena majlis berbuka puasa dan makan malam bersama media di Skudai baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis ini Pengerusi DAP negeri, Br Boo Cheng Hau, Naib Pengerusi DAP negeri, Ahmad Ton, Naib-naib Pengerusi KeADILan negeri, Lee Sang dan Subra Panditially, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dzulkifly Ahmad, Ketua Penerangan PAS negeri, Mazlan Aliman, Ketua Pemuda PAS negeri, Khairul Faizi Ahmad Kamil serta Ahli Parlimen Bakri, Err Teck Hwa (DAP).

Menurut Dr Mahfodz, gagasan yang dikemukakan Pakatan Rakyat negeri ini adalah satu tawaran terbaik berbanding apa yang rakyat dapat daripada Kerajaan Umno-Barisan Nasional (Bn) hari ini bahkan perkataan 'TAWAN' itu sendiri membawa maksud yang tersendiri.

T - Telus dan berintegriti dalam mentadbir kerajaan negeri (good governance), membudayakan rakyat dengan elemen tulus dan telus dalam pentadbiran dan perbelanjaan kerajaan, memastikan pemilihan pemimpin yang berakhlak dan beretika, pemantauan dan penilaian keberkesanan pentadbiran dan perbelanjaan kerajaan selain kerajaan yang sentiasa membela rakyat.

A � Adil dalam pemerintahan (justice), pemerintahan yang adil tanpa mengira kaum, agama serta fahaman politik demi kejahteraan rakyat, menjamin keadilan dari perspektif Islam dan forum sejagat.

W - Wibawa dalam kepimpinan (sovereignty), membentuk barisan kepimpinan kerajaan yang berwibawa, melahirkan pemimpin yang berkaliber dan berwawasan serta menjamin kerajaan dan negeri yang berdaulat

A � Amanah dalam system penyampaian (delivery system), penegasan sifat amanah di kalangan pemimpin dan pegawai kerajaan, melaksanakan tugas yang diamanahkan menurut norma-norma yang ditetapkan selain kuasa dan rakyat adalah merupakan amanah yang perlu ditadbir-urus dengan penuh tanggungjawab.

N � Nilai murni (tiada tara, pilihan utama rakyat), Pakatan Rakyat sebagai pilihan utama yang tiada taranya, yang semestinya dipilih oleh rakyat bersandarkan kepada konsep universal atau sejagat yang diterima umum, sesungguhnya Pakatan Rakyat adalah pilihan yang tepat.

Pada sidang media yang sama, Pengerusi DAP negeri, Dr Boo Cheng Hau berkata, pelancaran gagasan ini bukan bermakna Pakatan Rakyat gila kuasa tetapi tindakan untuk merampas kerajaan negeri ini disebabkan sudah terlalu banyak kelemahan dilakukan kerajaan pimpinan Umno-Bn selama memerintah negeri ini.

"Kegagalan kerajaan Umno-Bn memerintah dengan telus dan adil menyebabkan hutang kerajaan negeri meningkat kepada RM840 juta, hutang yang sebanyak ini sudah tentu akan dibebankan kepada rakyat.

"Selain itu Umno-Bn juga gagal membela nasib seluruh rakyat negeri ini sebab itu hari ini masih terdapat begitu ramai golongan rakyat berbilang kaum di negeri ini yang tinggal di tanah-tanah setinggan atau menumpang di tanah orang lain,"jelasnya.

Naib Pengerusi KeADILan negeri, Subra Panditially pula, mahu seluruh rakyat negeri ini tahu bahawa Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk menggantikan Kerajaan Johor yang ada pada hari ini.

"Kita minta rakyat negeri ini memberi keyakinan kepada Pakatan Rakyat untuk mengambil-alih pemerintahan negeri ini dan kita (Pakatan Rakyat) pun memang sudah cukup yakin mampu untuk mengambil-alih tugas ini.

"Komitmen kita kepada rakyat sangat tinggi terutama dalam usaha untuk menyelesaikan berbagai masalah yang dihadapi rakyat termasuk juga persoalan-persoalan yang membabitkan kepentingan rakyat yang lainya.

"Apa yang lebih penting lagi, kita mahu rakyat sedia maklum bukan sahaja kita mampu untuk perintah negeri ini bahkan kita akan lakukan yang lebih baik lagi berbanding apa yang telah dilakukan kerajaan pimpinan Umno-Bn selama ini," tegas beliau

PRK Bagan Pinang: BN 55% : PR 45%?

Dalam PRK kawasan parlimen Teluk Kemang pada tahun 1999, pembangkang dibenarkan untuk berkempen di kem tentera. Apabila peti undi dibuka, undi pos yang diperolehi PAS dan UMNO tidak jauh berbeza. Sejak insiden itu berlaku, pembangkang tidak lagi dibenarkan untuk berkempen di kem tentera.

Majoriti 2,333 undi yang diperolehi UMNO-BN dalam PRU ke-12 di Bagan Pinang, Negeri Sembilan sedikit sebanyak memalapkan harapan PAS-PR untuk menembusi kubu ini. Namun, seandainya PR menang dalam pertempuran ini, maka UMNO akan berdepan dengan "Waterloo" mereka.

Demikianlah pandangan daripada Pengarah Pilihan raya kecil Bagan Pinang, merangkap Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar kanan) ketika ditemuramah MerdekaReview. Beliau mengakui bahawa PR menghadapi kesukaran untuk menang dalam PRK Bagan Pinang.

"...Seandainya kami dapat merapatkan jurang majoriti, ini mesej yang sangat buruk untuk UMNO," katanya.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa PAS bertanding untuk menang, agar reformasi yang dibawa PR bersinambung. Bekas Ketua Pemuda PAS ini juga percaya, pertarungan ini bertambah sengit apabila UMNO dilihat bersungguh-sungguh mempertahankan kubu mereka, malah terdapat 4,604 undi pos di kawasan tersebut.

BN 55% vs PR 45%

Menurut Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Omar, PAS memperolehi 4,097 undi dalam PRU ke-12. PAS mendapat sokongan 43% Melayu, 56% Cina dan 54% India.

Malah, Naib Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Negeri Sembilan, Chai Tong Chai berkongsi pendapat yang sama dengan Zuklifli Omar, bahawa PR perlu memandang berat dan menarik undi pos. Oleh itu, PR akan cuba sedaya-upaya agar dibenarkan untuk memantau proses pengundian dalam kem tentera.

Dalam PRK kawasan parlimen Teluk Kemang pada tahun 1999 pembangkang dibenarkan untuk berkempen di kem tentera. Apabila peti undi dibuka, undi pos yang diperolehi PAS dan UMNO tidak jauh berbeza. Sejak insiden itu berlaku, pembangkang tidak lagi dibenarkan untuk berkempen di kem tentera.

Chai Tong Chai meramalkan senario kini memperlihatkan BN mendahului PR dengan 55:45. Namun, ADUN Chuah ini berkata, apabila tokoh seperti Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang turun ke gelanggang untuk berkempen, maka undi yang bakal diperolehi PR mungkin melonjak.

PR mesti pantau undi Pos

Malah, pada PRU ke-12, BN memperolehi 3,080 undi daripada 4,800 undi pos, sementara PAS hanya mendapat 1,189 undi. Tetapi kira-kira 500 undi pos tidak dikirim balik. Chai Tong Chai menjangka bahawa undi yang tidak dikirim balik itu mungkin disebabkan ketidakpuasan pengundi. Seandainya PR mengekalkan 1200 undi yang diperolehi sebelum ini, dan cuba mendapatkan 500 undi yang tidak dikirim balik sebelum ini, maka PR berpeluang untuk merapatkan jurang bilangan undi.

Chai Tong Chai berkata, statistik SPR menunjukkan lebih setengah pengundi kawasan Bagan Pinang adalah daripada golongan muda, dan ini merupakan faktor yang memihak PR.

Bagan Pinang adalah kawasan desa-bandar. Pelancongan menjadi tunjang aktiviti ekonominya. Pengundi di situ dapat akses kepada internet dan infomasi yang lain dengan mudah. Oleh itu, PR menjangkakan bahawa pengundi akan berprihatin terhadap isu-isu seperti ketelusan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya.

Calon PAS

Namun, siapa pula calon PR untuk bertanding di kubu UMNO ini? Sehingga kini, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Omar dilihat mempunyai peluang yang paling cerah untuk menyarung jersi PAS kali ini.

Ketika ditanya MerdekaReview, Zulkifli Omar enggan mengesahkan bahawa dirinya salah seorang calon yang dicadangkan dalam senarai PAS. Beliau hanya memaklumkan bahawa PAS Negeri Sembilan telah menamakan tiga orang pemimpin untuk ditentukan AJK pusat.

Thursday, September 17, 2009

Dr Mahathir tak marah Sukumaran tapi sedih dikecam ahli Umno sendiri

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak sedih atau marah dengan cadangan seorang anggota MIC agar gambar beliau dikalung selipar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau tidak merasakan apa-apa dengan kecaman tersebut kerana "bukan saya jadi apa-apa".

Ini kerana kecaman itu datang daripada anggota parti lain dan ianya tidak merugikannya, katanya kepada Bernama di sini.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, beliau amat sedih dan marah sekiranya kecaman datang daripada anggota Umno sendiri seperti yang pernah berlaku.

"Ini bukan kali pertama saya dikecam. Dulu orang dah lupa macam mana pemimpin Umno kecam saya. Nazri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz) dan Menteri Besar Kedah dahulu nak buang saya daripada Umno. "Tapi masa itu tak ada siapa bagi reaksi apa pun. Tak ada orang berani cakap apa," katanya.

Cadangan kalungan selipar itu dibuat oleh Timbalan Ketua MIC bahagian Paya Besar, Pahang, M. Sukumaran pada perhimpunan agung MIC Ahad lepas di ibu negara kerana mendakwa Dr Mahathir mencampuri urusan parti itu melalui kenyataan-kenyataan yang dibuatnya.

Ekoran itu, Sukumaran dikecam hebat dan dianggap sebagai biadab. Beliau kemudian memohon maaf dengan memberi alasan beliau telah terlepas cakap.

Malah, anggota MIC itu ingin menemui Dr Mahathir untuk meminta maaf secara peribadi.

Mengulas lanjut isu itu, Dr Mahathir berkata : "Tiba-tiba saya jadi popular. Orang semua pertahankan saya. Seperti yang saya katakan, dulu saya kena kecam, kena kata...suruh buang daripada Umno. Tapi orang tak react (beri reaksi). Pasal apa dulu tak react, kali ini react.

"Dulu bila saya kena kecam, tak ada sesiapa pertahankan saya. Taklah secara terbuka. Orang senyap-senyap beranilah tapi orang kenamaan dan orang terkenal tak beranilah pertahan saya," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau sedih apabila orang partinya sendiri dan orang yang duduk dalam kabinetnya sendiri mengecamnya.

Katanya beliau lebih marah terhadap kecaman yang dilontarkan oleh anggota Umno dan bekas anggota kabinetnya daripada kecaman yang dibuat oleh anggota MIC.

"Saya duduk dalam Umno dari mula parti itu ditubuhkan. Yang tegur saya ini belum beranak pun lagi," katanya.

Mengenai hasrat Sukumaran ingin menemuinya untuk memohon maaf, Dr Mahathir berkata: "Minta maaf tak apa, tak minta maaf pun tak apa. Bagi saya tak ada apa-apa. Saya yang sedih bila orang parti saya sendiri, orang yang duduk dalam kabinet saya sendiri kecam saya," katanya.

Dr Mahathir berkata Sukumaran kini menjadi mangsa percakapannya sendiri.

Selasa lepas, Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu mengumumkan penggantungan serta-merta keanggotaan Sukumaran ekoran kecamannya itu

Pakatan mahu ambil alih kerajaan

Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) pada 12 Disember ini, adalah untuk mengukuhkan gabungan itu bagi mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden PKR, R Sivarasa berkata, konvensyen itu adalah pertama kali diadakan setelah PR yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

“Konvensyen ini bertujuan memperkukuhkan PR memandangkan di sinilah peluang untuk parti gabungan PR mencapai satu persetujuan dan prinsip perjuangan yang sama.

“Antara isu lain yang akan dibahaskan dalam konvensyen itu meliputi isu pengurusan ekonomi, dasar demokrasi, pentadbiran dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Kelmarin, Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan persetujuan mengadakan satu konvensyen besar-besaran bagi meletakkan hala tuju PR bagi tahun berikutnya.

Dijangkakan setiap parti akan menghantar wakil seramai 500 perwakilan.

Sivarasah turut menyangkal dakwaan bahawa konvensyen itu hanya untuk memperbetulkan kembali hala tuju parti gabungan PR yang dilihat semakin bertentangan di antara satu sama lain.

“Parti dalam PR masih mempunyai hala tuju dan perjuangan yang sama. Kita faham mana-mana parti politik ada perbezaan perjuangan politik. Jika semua fahaman sama, lebih baik berada dalam satu parti saja.

“Cadangan untuk mengadakan konvensyen ini dilakukan dengan lebih awal lagi bertujuan mengukuhkan PR dan menghalusi persefahaman politik antara satu sama lain bukan disebabkan hala tuju yang menyimpang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategik PKR, Tian Chua berkata, konvensyen ini adalah satu manifestasi untuk menunjukkan rakyat bahawa PR sentiasa bersatu padu dan mempunyai satu prinsip perjuangan yang sama dan mampu mentadbir kerajaan Malaysia.

“Dalam konvensyen ini, segala isu akan dibincangkan dalam satu pasukan,” katanya.

Wednesday, September 16, 2009

Kroni Rosmah Terima Projek Bas PLKN?

Sebuah syarikat milik individu yang mempunyai pertalian rapat dengan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Najib Razak, dikatakan bakal diberi kontrak mewah membekalkan 400 unit bas untuk Program Khidmat Latihan Negara (PLKN).

Bas-bas itu dikatakan akan dimport dari China dan dijangka memintas kepentingan pengusaha bas tempatan yang setia menampung keperluan pengangkutan peserta PLKN, sejak ia dilancarkan pada tahun 2004.

Bas-bas itu dikatakan ditempah daripada syarikat Dong Feng di China dan akan dijual kepada kerajaan pada harga RM600,000 sebuah - hampir dua kali ganda berbanding harga asal.

Difahamkan, Kementerian Kewangan yang diterajui oleh Najib mengarahkan Syarikat-syarikat Kaitan Kerajaan atau GLC untuk menyediakan dana kepada syarikat pembekal berkenaan untuk membawa masuk bas-bas terbabit dari China.

Ini kerana syarikat pembekal yang dikaitkan dengan isteri Najib itu hanya mempunyai modal berbayar RM2 pada masa ini tetapi akan mengaut keuntungan puluhan juta ringgit.

Bas 40 penumpang itu adalah mirip bas Syarikat Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL), yang beberapa ratus buah tersadai di Rawang dan Selayang.

Sumber-sumber memberitahu Suara Keadilan bahawa kerajaan akan memanggil tender rasmi untuk kontrak itu pada hujung tahun ini untuk memberi gambaran bahawa urusniaga berkenaan dijalankan secara telus.

Hakikatnya ialah segala keputusan mengenai kontrak itu sudahpun dibuat. Malah sebuah agensi perkapalan juga telah dikenalpasti oleh Kementerian Kewangan bagi menguruskan kerja-kerja logistik termasuk membawa masuk bas berkenaan dari China.

Sumber itu memberitahu Suara Keadilan, dana bagi pembelian bas berkenaan oleh syarikat terbabit akan dibiayai oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) atau lebih dikenali sebagai 'Prasarana'.

Sumber juga mendakwa, Prasarana telah 'diarah' oleh pihak atasan untuk menyediakan dana itu bagi membeli dan membekal bas berkenaan atas nama syarikat yang dikaitkan dengan Rosmah.

Prasarana adalah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang didaftarkan pada 11 Ogos 1998 untuk mengambil alih projek-projek pengangkutan yang gagal, dengan kelulusan kerajaan.

Syarikat itu dipertanggungjawabkan untuk menyediakan sistem pengangkutan di Lembah Klang dan Pulau Pinang dan mengambil alih bebrapa syarikat pengangkutan lain seperti Sistem Transit Ringan LRT, PUTRA dan juga STAR.

Dalam pada itu, seeorang pengusaha pengangkutan yang berpengalaman dalam pembinaan bas berkata pemilihan bas buatan China menimbulkan banyak persoalan.

Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, bas buatan China mempunyai banyak masalah teknikal selain tidak efisyen manakala kos penyenggarannya tinggi.

"Kita boleh lihat sendiri apa yang berlaku kepada ratusan bas jenis sama milik Rapid KL yang tersadai hingga menjadi besi buruk di merata Lembah Kelang. Adakah kita mahu perkara yang sama berulang?" soal beliau.

"Bagaimana pula keselamatan atau kesejahteraan anak -anak muda kita yang bakal dihantar ke kem-kem PKLN di seluruh negara menggunakan bas-bas ini?" tambahnya.

80% golongan muda tidak sokong BN - Daim

80 peratus dari golongan muda tidak menyokong Barisan Nasional (BN), kata bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Para siswazah menganggur, kebanyakannya Melayu, akhirnya terlibat dengan politik dan mereka menyertai PAS akibat rasa marah kepada kerajaan kerana tidak mempunyai pekerjaan, kata bekas Bendahari Umno itu di dalam temubual dengan China Press Ahad lalu.

Menurut beliau, keadaan sedemikian berlaku kerana kerajaan tidak memupuk bakat yang sepatutnya untuk kehendak pasaran.

Dalam temubual tersebut yang disiarkan oleh The Sun Online Ahad lalu, Daim berkata, universiti-universiti tidak menawarkan kursus-kursus yang menepati dengan kehendak industri mengakibatkan banyak siswazah tidak mempunyai pekerjaan disebabkan apa yang mereka pelajari tidak memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Beliau berkata, bukan sahaja golongan muda yang menentang kerajaan, malah kira-kira sejuta dari tiga juta ahli Umno juga tidak mengundi parti itu.

Menurut beliau, ramai ahli Umno yang hilang keyakinan kepada parti itu dan para pemimpinnya.

"Politik wang rasuah adalah masalah terbesar yang dihadapi oleh parti itu," katanya.

Di luar Umno pula, Daim percaya, perpecahan di dalam MCA akan menjejaskan kerjasama dan reformasi di dalam BN.

Rakyat, katanya, tidak menghormati mana-mana parti yang berpecah.

Manakala perubahan di dalam BN pula, katanya, terlalu perlahan untuk memenuhi kehendak rakyat.

"Rakyat mahu melihat perubahan, sama ada di dalam BN atau Pakatan Rakyat (PR), siapa yang lebih dahulu berjaya melaksanakan reformasi akan memenangi sokongan mereka," katanya.

Mengenai kemelut Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), Daim berkata: "Kerajaan mesti menghukum kesemua yang melanggar undang-undang, hanya dengan cara itu ia boleh mengembalikan keyakinan umum".

Pada masa lalu, katanya, rakyat tidak melihat mereka yang menyalahgunakan kuasa dihukum.

Mengulas mengenai PR, beliau menyifatkan pakatan itu mengecewakan rakyat.

Rakyat, katanya, menaruh harapan yang tinggi kepada PR tetapi kerajaan negeri-negeri yang dikuasai PR terus memainkan peranan sebagai pembangkang.

"Jangan buang masa melemparkan tuduhan kepada BN, kamu adalah pakatan yang memerintah (di negeri-negeri yang dikuasai PR), kamu sepatutnya memfokuskan kepada usaha untuk menunaikan janji-janji pilihan raya kamu"

Beliau berkata, rakyat mula melihat bahawa PR tidak boleh melakukan dengan lebih baik berbanding BN, walaupun diberi peluang.

Itulah kekecewaan terbesar rakyat, katanya._

Jika Khir Toyo 'terlayan' secara Beng Hock

Tan Sri Khalid Ibrahim dan Exco Selangor wajar mempunyai perasaan takut untuk ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).Apa tidaknya ? Teoh Beng Hock dikatakan masuk ke pejabat SPRM mengikut pintu dan 'keluar' ikut tingkap. Lalu ditemui mati di tingkat lima bangunan pejabat itu.

Entah siapa yang melayannya sebegitu rupa.

Lainlah Khir Toyo. Dia disiasat bukan pada waktu pagi atau subuh. Begitu juga, Khir dijemput masuk mengikut pintu pejabat SPRM dan dihantar keluar melalui pintu juga.

Jika Khir 'terlayan' secara Beng Hock, nescaya tidaklah ada lagi gesaan dari beliau kepada pemimpin Pakatan Rakyat agar tidak mencari pelbagai alasan untuk bekerjasama dengan SPRM.

Mungkin dia ditemui di tingkat yang sama di mana mayat Beng Hock ditemui.

Mana mungkin ada gesaan lagi darinya ?

Oleh itu, bukan sahaja Menteri Besar dan Exco Selangor wajar ada ketakutan itu, malah sesiapapun akan berfikir tentang masa depan jangka hayatnya lebih-lebih lagi di pejabat dan bangunan yang sama biar siapa yang melakukan layanan seperti itu.

Semua mahu masuk dan keluar dengan cara bersalam. Bukannya salam terakhir !

Tuesday, September 15, 2009

Umno Lebih Awal Kecam Dr Mahathir Sebelum MIC

Saya rasa hendak tergelak, kadang-kadang rasa hendak muntah bila mendengar kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim yang mengecam perhimpunan agung MIC yang dikatakan banyak mengecam bekas PM Tun Dr Mahathir. Pada saya memang layak mantan PM itu dikecam kerana siapa yang tidak tahu apa yang telah Tun buat sehingga berlakunya perpecahan yang maha hebat di kalangan orang-orang Melayu ketika era pemerintahannya.
Apa yang saya ingat, perpecahan orang-orang Melayu mula berlaku ketika Ku Li menentang Tun M menjadi Presiden Umno. Tun Mahathir hampir-hampit tewas dengan aib sekali. Maka, wujudnya Parti Semangat 46 (kemudiannya Parti Melayu S46). Perpecahan orang-orang Melayu bermula kerana kediktatoran Tun memimpin. Apa pula yang berlaku bila Tun M memecat DS Anwar yang ketika itu adalah TPM dan Timbalan Presiden Umno? Alasan pemecatan yang terlalu bodoh dan tidak masuk akal itu menandakan taraf pemikiran Tun M yang semakin `kondem'. Beliau silap besar, beliau sangka DS Anwar sama seperti pemimpin Umno yang sentiasa boleh diperbodohkan dan sentiasa sanggup jadi `pencacai' murahan atau sampai mati mahu jadi `Gurkha' Umno. Kali ini, Tun dapat melihat hasil kerja tangannya di mana orang-orang Melayu telah berpecah lebih teruk sejurus beliau menzalimi DS Anwar.

Oleh itu, pelik apanya jika ramai yang mengecam atau mengutuk Tun M? Umno pun selepas Tun M meletak jawatan, bukan tidak ada ada pemimpinnya yang lagi kuat mengutuk dan mengecam Tun M. Tidak percaya, cuba tanya Dato' Nazri Aziz. Mukhriz anak Tun M pun tahu siapa pemimpin Umno yang selama ini kuat mengecam bapak beliau. MIC mengecam atau mengkritik Tun M memang amat wajar kerana apa pentingnya Tun berkempen menentang Presiden MIC S. Samy Vellu sekarang? Bukankah begitu lama Tun duduk `sekelambu' dengan Samy Vellu semasa pemerintahannya, tidakkah terbau olehnya `kentut' Samy Vellu itu busuk atau tidak?

Lagipun, tindakan beberapa ahli dan pimpinan MIC yang mengecam Tun M baru-baru ini tidaklah sehebat seperti kisah `semburan' ke muka Tun M yang berlaku di Kelantan dahulu. Siapa punya angkara itu? Orang-orang MIC kah? Sebenarnya pemimpin Umno lebih banyak rekod yang menghina Tun M daripada pemimpin MIC. Oleh itu, kita mengharapkan agar Pemuda Umno semak kembali kenyataan beberapa pemimpin Umno yang lebih hebat mengecam Tun M setelah Tun M tiada lagi `kuku'nya. Jika mahu Tun M sentiasa dipuji dan `dijilat', Umno perlu mengambil semula MP Pasir Mas Ibrahim Ali.

Peruntukan RM1.35juta Menzahirkan Cubaan Merampas Selangor

Peruntukan sebanyak RM1.35 juta yang akan diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diagihkan ke masjid dan surau serata Selangor menzahirkan perancangan Umno-BN merampas negeri itu dari Pakatan Rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar berkata beliau hairan mengapa pengagihan wang kerajaan Pusat ini diumumkan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar seolah-olah wang Perbendaharaan Negara adalah milik Umno.

“Pada pendapat saya ini adalah rancangan politik terhadap negeri Selangor, kita memang sudah tahu pihak BN berura-ura hendak mengambil alih pemerintahan negeri Selangor dan sudah ada beberapa pendekatan yang dilakukan yang kita sedia maklum sebelum ini mahu dilakukan melalui tindakan yang berhubung dengan mahkamah kalau ada bukti tentang penyelewengan dan rasuah,” katanya ketika dihubungi.

Kerajaan Pusat hari ini memperuntukkan RM1.35 juta bagi membantu kira-kira 370 masjid dan 2,000 surau di Selangor menjalankan aktiviti sempena bulan Ramadan dan Syawal.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Noh Omar berkata bantuan RM1,000 bagi setiap masjid dan RM500 bagi surau itu disediakan setelah diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu.

Mengulas perkara ini, Dr Shafie berkata walaupun amalan derma dan membantu itu sesuatu yang dimuliakan di sisi agama, namun ianya harus ikhlas dan bukan dibuat bagi tujuan politik.

Shafie menambah sekiranya Umno-BN benar-benar ikhlas membantu, mengapa bantuan tersebut diumumkan menjelang Syawal.

“Kita persoalkan kalau pun hendak diberi bantuan masjid dan surau, seharusnya awal sebelum Ramdhan atau sekurang-kurangnya awal Ramadhan dan sekarang sudah pun sampai ke penghujung,” katanya.

Walaubagaimanapun, cubaan demi cubaan untuk merampas Selangor dari tampuk pimpinan Pakatan Rakyat gagal ditawan oleh BN biarpun pelbagai usaha jahat telah mereka lakukan sejak akhir-akhir ini.

“Sebagaimana yang dilakukan terhadap Teoh Beng Hock dan beberapa exco, mereka cuba serbu untuk mendapat bukti tetapi ini nampaknya terencat oleh kerana kematian Teoh Beng Hock di dalam siasatan SPRM.

“Dan kita melihat penawaran wang lebih dari jumlah RM1.35 juta adalah lanjutan dari usaha untuk menguasai negeri Selangor secara kospirasi yang bersifat kewangan pula lah. Kita persoalkan ialah mengapa ini atas nama parti UMNO BN dan ini jelas memperlihatkan konspirasi politik yang jelas terhadap pengundi Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengatakan kerajaan Selangor sudah bertindak terlebih dahulu dengan mencerminkan keprihatinan terhadap rakyat di negeri ini dengan perancangan yang kemas dan teratur berbanding BN yang sentiasa membuat kejutan di saat-saat akhir seolah-olah membayangkan mereka sentiasa terdesak untuk meraih keyakinan rakyat semula.

“Sebenarnya kita juga telah memberi bantuan dari peringkat negeri di Adun-adun melalui JAIS dan sebagainya. Saya nampak lebih daripada serampang dua mata ialah selain daripada terhadap Selangor tetapi juga dengan pilihan raya kecil yang akan berlangsung di Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

“Jadi ini juga adalah satu tawaran yang bersifat politik untuk menarik masyarakat dan pengundi-pengundi di Bagan Pinang, jadi ini adalah bersifat politiklah untuk menarik masyarakat pengundi-pengundi di Bagan Pinang,” katanya.

Biarpun pelbagai taktik lapok itu digunakan oleh BN, beliau yakin politik di Selangor adalah mantap dan tidak akan terpengaruh dengan cubaan pihak BN yang bertalu-talu untuk menjatuhkan Selangor.

“Kita lihat dia cuba guna isu kuil baru ini yang jelas daripada orang-orang UMNO yang sepertimana 12 orang telah didakwa, jelas ertinya mereka eksploitasi isu ini.

“Saya fikir ini bukan terakhir siri percubaan mereka untuk menguasai Selangor dengan pelbagai taktik kotor dan rentetan itu kita perlu lebih berhati-hati terhadap usaha jahat mereka terhadap kita yang perlu kita pertahankan kekuatan dan kesepaduan kita berusaha untuk mengalahkan BN dalam pilihan raya kecil yang kita akan hadapi.

“Kalau kita dapat mengalahkan mereka ini adalah satu tamparan yang amat memalukan, paling tidak saya ingat kita perlu usaha untuk mengurangkan majoriti ditempat mereka supaya politik mereka akan menurun,” katanya.

Monday, September 14, 2009

SPRM siasat Khir Toyo 6 jam

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo disoal siasat kira-kira enam jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rumah mewah beliau di Seksyen 7, Shah Alam dan penggunaan dana Badan Kebajikan dan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Selangor (Balkis).

Beliau berada di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya sejak pukul 8.30 pagi dan meninggalkan bangunan suruhanjaya itu kira-kira 2.30 petang tadi.

Timbalan Pengarah Siasatan SPRM, Sazali Salbi mengesahkan kehadiran bekas Menteri Besar itu untuk diambil keterangan.

Beliau juga mengesahkan Dr. Mohd. Khir diambil keterangan berhubung isu rumah mewah miliknya yang didakwa mencecah berjuta-juta ringgit dan penggunaan wang Balkis untuk tujuan bercuti di Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Dr. Mohd. Khir berjaya mengelak daripada diburu wartawan dan jurugambar yang menunggu beliau di lobi Ibu Pejabat SPRM sejak 8 pagi dengan menggunakan laluan paras bawah tanah.

Malah difahamkan bekas Menteri Besar Selangor itu tidak menggunakan kereta beliau tetapi datang dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira bagi mengelak dikesan wakil-wakil media.

Dr. Mohd. Khir dalam kenyataan yang dipetik dari akhbar China Press hari ini berkata, beliau mampu membeli banglonya di Seksyen 7 kerana pernah menjadi Menteri Besar dan juga ahli politik.

Menurutnya, ketika mula membeli rumah itu, ia hanya bernilai RM3.5 juta tetapi selepas tiga tahun dan setelah diubahsuai, nilai rumah itu meningkat kepada RM5 juta.

Berhubung laporan siasatan SPRM ke atas banglo mewahnya itu, Dr. Mohd. Khir pernah berkata, beliau sentiasa bersedia untuk disiasat.

Hanya minyak boleh diturunkan, kata Anwar





Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa harga minyak boleh dikurangkan ekoran keuntungan besar yang diperolehi oleh syarikat minyak negara, Petronas.

"Selama lapan tahun saya menjadi menteri kewangan, harga selitar petrol hanyalah RM1.10. Hanya sekali saya naikkan harganya sebanyak tiga sen tetapi diturunkan semula kepada harga lama bila saya dapati kerajaan mampu memberi subsidi, dan pada masa itu Petronas mencatat keuntungan kira-kira RM30 bilion setahun," katanya.
“Sekarang mereka untung RM70 hingga RM80 bilion setahun dan mereka mahu naikkan harga minyak," kata dalam ceramahnya di Pantai Kundur dalam kawasan Parlimen Tangga Batu di Melaka.

Skandal PKFZ: PAS gesa adakan sidang khas Parlimen

PAS menggesa kerajaan memanggil sidang khas parlimen bagi membentangkan kertas putih menjelaskan keenganan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang(PKFZ).

Naib Presidennya, Dato' Mahfuz Omar berkata, PAS mahu persidangan khas itu diadakan sebelum pembentangan bajet Oktober ini bagi membolehkan ahli parlimen berbahas mengenai tindakan kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas khas, bukan Suruhanjaya Diraja seperti yang diminta Pakatan Rakyat.

"PAS tetap bertegas bahawa sidang khas itu perlu diadakan bagi mendapatkan satu kesepakatan di kalangan ahli parlimen untuk menuntut Suruhanjaya Diraja ditubuhkan dalam mengendalikan isu ini."Katanya pada satu sidang media di pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini pagi tadi.

Mahfuz juga mengarahkan pasukan peguamnya untuk meneliti segala peruntukan dalam undang-undang di Malaysia yang membolehkan beliau sebagai rakyat mengambil tindakan ke atas kerajaan bagi memastikan Suruhanjaya Diraja ditubuhkan.

"Saya melihat sekarang ini kerajaan seolah-olah tidak mengendahkan tuntutan rakyat. Sebab itu saya arahkan peguam saya menyemak peruntukan yang ada(dalam undang-undang) agar kerajaan akur untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja."Jelasnya.

PAS turut menyifatkan penubuhan pasukan khas yang diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan itu bermotif politik iaitu untuk melindungi pemimpin-pemimpin Umno Barisan Nasional dari disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam skandal PKFZ.

Turut dipersoalkan PAS keperluan penubuhan pasukan khas itu yang dilihat sama dengan fungsi pasukan khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Port Klang Authority(PKA) sebelum ini.

Ujar Mahfuz, apa yang lebih menimbulkan kesangsian apabila Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak tidak meletakkan satu jangka masa khusus kepada pasukan khas untuk menyiapkan laporan siasatan mereka dan menyerahkannya kepada kabinet.

"Perdana Menteri cakap pasal KPI(petunjuk prestasi utama) tapi dalam isu pasukan khas tidak ditetapkan jangka masa untuk laporan itu disiapkan, menunjukkan Najib sendiri tidak ada KPI."

"Ini jelas menunjukkan kerajaan sengaja melengah-lengahkan siasatan ke atas isu ini supaya rakyat lupa dan imej pemimpin BN dapat dijaga."Ujarnya.

Penubuhan pasukan khas itu juga tidak benar-benar bebas kerana masih dipantau kabinet. Segala hasil siasatan juga perlu diserahkan kepada kabinet dan kabinet berkuasa membuat sebarang keputusan.

"Apa perlunya pasukan khas ini kalau segala tindakan perlu mendapat lampu hijau daripada kabinet?Soalnya.

9 September lalu, kerajaan membuat keputusan menubuhkan satu pasukan petugas, yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Peguam Negara, para pegawai Kementerian Pengangkutan dan Kewangan, bagi mengkaji skandal PKFZ.

Namun Pakatan Rakyat melihat ianya bukan satu usaha serius kerajaan untuk menyelesaikan isu yang tertangguh sejak 2003 itu.

Julai lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid berjanji untuk menyerahkan laporan lengkap berhubung skandal PKFZ sebelum sidang Parlimen depan.

Dalam kenyataannya, Azmi mengakui 405 ektar tanah yang menempatkan gudang, blok, pejabat dan hotel bertaraf empat bintang itu menjadi pertikaian khalayak sejak 2003, apabila kos pembangunannya RM2.5 billion telah melambung pada RM4.6 billion secara misteri.

Disebabkan itu, Azmi sendiri meminta Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak membuat apa-apa penjelasan, sehinggalah siasatannya selesai

Bagan Pinang: PR ambil pendekatan menyerang

Walaupun berdepan dengan peratus undi pos yang terlalu tinggi di Bagan Pinang, Pakatan Rakyat (PR), PAS dan Pakatan Rakyat akan mengambil pendekatan menyerang dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Perkara inin disahkan oleh Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman. Ia turut disahkan juga oleh Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Salahuddin yakin kedudukan Pakatan Rakyat cukup mantap dan menyifatkan keupayaan pakatan berada di posisi menyerang bakal mencerminkan aspirasi rakyat menjelang pilihan raya umum ke 13 nanti.

Selain itu PRK Bagan Pinang dianggap sebagai referendum rakyat terhadap kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam proses transformasi penentuan landskap politik negara.

Salahuddin turut menegaskan PR akan membawa momentum PRK Kuala Terengganu di mana ketika itu PR juga berada di posisi menyerang berdepan dengan BN dan Bebas ke Bagan Pinang bersama hujah konkrit bagi menangkis isu dibangkit pihak lawan.

“Persefahaman dalam Pakatan serta isu bersama akan lebih meyakinkan kita untuk menghadapi pilihan raya di Bagan Pinang nanti

PRK Dun Bagan Pinang merupakan PRK ke sembilan selepas Permatang Pasir. Ia bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohd Nor. Dalam pilihanraya umum lalu Azman menewaskan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333.

Umum menyifatkan satu sejarah tidak pernah berlaku dalam negara PRK diadakan sebanyak sembilan kali dalam tempoh lebih kurang setahun bermula di Permatang Pauh sejak Ogos tahun lalu.

Sepanjang lapan PRK dilangsungkan sebelum ini PR dua kali menghadapi kerusi yang dimenangi lawan iaitu di Kuala Terengganu dan Batang Ai. Keputusannya, di KualaTerengganu PR melalui calon PAS, Abdul Wahid Endut berjaya menundukkan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dengan majoriti berganda namun Batang Ai terus dikuasai BN.

Di Bagan Pinang PR sudahpun bersetuju akan menurunkan calonnya dari parti PAS di samping BN akan menampilkan calonnya dari parti Umno.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, berpersepsi PR yang berada di posisi menyerang tidak akan terganggu oleh sebarang kesan berbanding dengan BN yang berada di posisi bertahan.

“Walaupun BN menang ia tidak akan memberi apa-apa indikator kerana ia berada di posisi bertahan. Tetapi kalau sebaliknya, landskap politik kerajaan BN akan terus tercalar,” katanya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yakin semangat perjuangan PR tidak pernah lemah walau terpaksa berdepan dengan apa jua keadaan demi rakyat.

Kata Guan Eng, walaupun dari segi teori kemampuan menawan Dun Bagan Pinang hanya 40 peratus tetapi usaha bagi memastikan kejayaan PR tetap diteruskan hingga ke titik terakhir. Selebihnya berserah kepada tuhan, katanya.

Manakala Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan, semasa mengulas kekuatan status partinya menjelang PRK tersebut dilaporkan tidak boleh memberi jaminan kemenangan dalam setiap pilihan raya kerana dikhuatiri hilang semangat kerjasama selain daripada membantutkan usaha menarik undi.

11 Okt pilihan raya Bagan Pinang

Hari mengundi bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan ditetapkan pada 11 Oktober, sementara hari penamaan calon pula jatuhnya pada 3 Oktober ini.

Tarikh itu dimumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas mesyuaratnya hari ini bagi membincangkan persiapan pengendalian pilihan raya kerusi itu di pejabatnya di Putrajaya pagi ini.

Seramai 13,664 pemilih layak menentukan calon parti yang bertanding - kemungkinan besar menyaksikan persaingan sengit antara BN dan PAS - termasuk 4,604 pemilih pos.

Sunday, September 13, 2009

UPSR Sudah Selesai, PPSMI Bila Lagi?

UPSR sudah selesai diambil oleh para pelajar Tahun 6 di seluruh Malaysia. Rata-rata dari pemerhatian dan tinjauan yang saya lakukan, hampir 80% pelajar Tahun 6 memilih untuk menjawab soalan Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu. Tinjauan ini saya lakukan dikawasan luar bandar di tiga buah negeri di Pantai Timur Semenanjung.

Dari tinjauan rambang ini, telah jelas bahawa para pelajar kita sebenarnya agak mudah memahami soalan Matematik dan Sains dalam bahasa ibunda mereka sendiri iaitu Bahasa Melayu. Ini menunjukkan bahawa konsep Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak mendapat tempat yang kukuh dikalangan pelajar luar bandar.

PPSMI hanya boleh dilihat berjaya (pada skala yang kecil) cuma pada kawasan tertentu di bandar atau pinggir bandar. Bagi pelajar yang ibubapa mereka cuma nelayan, petani dan pekebun kecil biasanya agak lemah dalam penguasaan PPSMI. Mereka ini cuma menggunakan Bahasa Inggeris di peringkat sekolah sahaja.

Persoalannya sekarang, PPSMI khabarnya akan dimansuhkan berperingkat mulai pada 2012 namun ianya tidak menjamin pengukuhan penguasaan Matematik dan Sains para pelajar atas sebab telah dipaksa mencerna sistem PPSMI diperingkat bawahan. Kenapa perlu tunggu sehingga 2012 sedangkan kumpulan pelajar yang baru selesai mengambil UPSR tidak nampak akan meningkat penguasaan Matematik dan Sains atas sebab kekangan mempelajari Bahasa Inggeris.

Pada pandangan saya, PPSMI perlu dimansuhkan serta merta untuk memastikan hasil dan mutu pelajar yang dijanakan diperingkat Sekolah Rendah berjaya menguasai matapelajaran Sains dan Matematik diperingkat Sekolah Menengah nanti. Jika tidak kita cuma akan mendapat para pelajar yang masih lemah dalam kedua-dua matapelajaran tersebut termasuk juga lemah dalam Bahasa Inggeris.

PPSMI sebenarnya bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia yang menjamin Bahasa Melayu/Malaysia menjadi bahasa ilmu di segenap peringkat pembelajaran sama ada rendah mahupun di peringkat tertinggi. Program PPSMI seperti yang ramai sedia maklum mempunyai agenda disebaliknya iaitu untuk menguntungkan segelintir pihak yang berkepentingan didalam Kerajaan Barisan Nasional. Pemansuhan PPSMI amat ditakuti oleh pihak-pihak yang berkepentingan ini dan dengan pengaruh besar yang mereka ada, mereka juga melobi Menteri Pelajaran dan Perdana Menteri Malaysia disamping membekalkan “tumbuk rusuk” agar mereka terus mengaut keuntungan besar bagi perlaksanaan PPSMI ini.

Sebagai bapa dan rakyat Malaysia yang membayar cukai pendapatan, saya berhak mempersoalkan kewajaran PPSMI ini dan segala kos yang berkaitan dalam perlaksanaannya.

PAS mahu menang di Bagan Pinang

Walaupun pilihan raya kecil Bagan Pinang dianggap sukar bagi Pakatan Rakyat, namun para veteran pilihan raya di Kelantan yakin PAS boleh berbuat sesuatu untuk menjadikan kemenangan di situ adalah realiti.

Datuk Omar Mohamad, bekas Ketua Penerangan PAS Pusat menyifatkan pandangan PAS sukar dalam pilihan raya itu hanya satu andaian berbentuk spekulatif sahaja dan memang sudah menjadi lumrah setiap kali berlakunya pilihan raya.

Namun begitu, Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP adalah parti yang berpegang teguh pada prinsip tidak pernah gentar dengan sebarang spekulasi ataupun ugutan bagi menghadapi pihak lawan.

“Sukar yang dikatakan itu hanya bersifat luaran. Tapi jihad itu mesti diutamakan. Jadi pakatan tidak pernah takut pada bayang-bayang sendiri meskipun sebanyak mana spekulasi mahupun ugutan diketengahkan,” katanya ketika mengulas pandangan para penganalisis politik tempatan berhubung PRK Dun Bagan Pinang yang bakal diadakan.

Para penganalisis beranggapan, dua faktor utama menyusahkan Pakatan dalam PRK tersebut iaitu peratus pengundi pos yang terlalu tinggi dan sifat Dun Bagan Pinang itu sendiri yang telah menjadi tradisi kubu kuat BN.

Kata penganalisis, pada pilihan raya umum (PRU) lalu hampir 70 peratus undi pos menjadi milik BN dan akan mengekalkan kemenangan BN di situ.

Demi mempertahankan kemenangan kerusinya itu BN pasti akan melakukan apa sahaja yang kadang-kadang tersasar dari dugaan.

Bahkan tidak mustahil kali inipun mereka akan menggunakan taktik kotornya (menggunakan seluruh jentera kerajaan) dengan mengulangi methodology Manek Urai dan Permatang Pasir yang dianggap sebagai berjaya mengurangkan majoriti parti lawan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, ketika mengulasnya berkata, Pakatan hanya ada peluang kira-kira 40 peratus dalam PRK itu berikutan peratusan undi pos di kawasan itu yang tinggi dan bakal memihak kepada BN.

AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa sebelum ini berkata, kekalahan BN dalam pilihanraya kecil ini bermakna Umno akan mati pra-matang.

Ini kerana, Umno tidak akan mampu lagi bertahan dengan gelombang yang bakal berlaku kalau mereka kalah dalam pilihan raya yang sebelum ini mereka menang dengan majorti 2,333 undi.

Manakala exco kerajaan negeri Kelantan, Mejar (B) Anizan Daud, semasa memberi responnya berkata, PRK tersebut akan menjadi satu referendum rakyat terhadap BN, hatta kurang atau bertambahnya majoriti, pun akan memberi kesan besar kepada BN.

PRK Dun Bagan Pinang akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Nor, Jumaat lalu akibat jangkitan kuman dalam darah.

Pada PRU ke-12 Azman memenangi kerusi Dun tersebut dengan majoriti 2,333 menewaskan calon Pas, Ramli Ismail.

Bagan Pinang adalah salah sebuah Dun yang terletak di bawah parlimen Teluk Kemang, Negeri Sembilan. Komposisi pengundi pada PRU 2004 adalah seramai 14,192 terdiri daripada 66 peratus pengundi Melayu, Cina 10.5 peratus, India 19.9 peratus dan lain-lain kaum 3.5 peratus.

Sebagaimana dilaporkan PR akan menurunkan calon dari parti PAS pada PRK tersebut. Dan namanya akan diumumkan selepas Hari Raya Idilfitri bakal disambut beberapa hari saja lagi.

Bagaimanapun, desas-desus ada mengatakan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefly Mohd Omar, dan Yang Dipertua Pas kawasan Teluk Kemang, Ramli Ismail, yang juga bekas calon PAS pada PRU ke-12 adalah diantara nama yang bakal dipilih sebagai wakil calon.

Sementara itu di dalam BN tampak berkecelaruan ketika persoalan calonnya cuba dibangkitkan di mana seolah-olah terdapat unsur tekanan daripada Pergerakan Pemuda Umno bahagian yang mahukan bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai calon mereka.

Search This Blog