Walaupun pilihan raya kecil Bagan Pinang dianggap sukar bagi Pakatan Rakyat, namun para veteran pilihan raya di Kelantan yakin PAS boleh berbuat sesuatu untuk menjadikan kemenangan di situ adalah realiti.
Datuk Omar Mohamad, bekas Ketua Penerangan PAS Pusat menyifatkan pandangan PAS sukar dalam pilihan raya itu hanya satu andaian berbentuk spekulatif sahaja dan memang sudah menjadi lumrah setiap kali berlakunya pilihan raya.
Namun begitu, Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP adalah parti yang berpegang teguh pada prinsip tidak pernah gentar dengan sebarang spekulasi ataupun ugutan bagi menghadapi pihak lawan.
“Sukar yang dikatakan itu hanya bersifat luaran. Tapi jihad itu mesti diutamakan. Jadi pakatan tidak pernah takut pada bayang-bayang sendiri meskipun sebanyak mana spekulasi mahupun ugutan diketengahkan,” katanya ketika mengulas pandangan para penganalisis politik tempatan berhubung PRK Dun Bagan Pinang yang bakal diadakan.
Para penganalisis beranggapan, dua faktor utama menyusahkan Pakatan dalam PRK tersebut iaitu peratus pengundi pos yang terlalu tinggi dan sifat Dun Bagan Pinang itu sendiri yang telah menjadi tradisi kubu kuat BN.
Kata penganalisis, pada pilihan raya umum (PRU) lalu hampir 70 peratus undi pos menjadi milik BN dan akan mengekalkan kemenangan BN di situ.
Demi mempertahankan kemenangan kerusinya itu BN pasti akan melakukan apa sahaja yang kadang-kadang tersasar dari dugaan.
Bahkan tidak mustahil kali inipun mereka akan menggunakan taktik kotornya (menggunakan seluruh jentera kerajaan) dengan mengulangi methodology Manek Urai dan Permatang Pasir yang dianggap sebagai berjaya mengurangkan majoriti parti lawan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, ketika mengulasnya berkata, Pakatan hanya ada peluang kira-kira 40 peratus dalam PRK itu berikutan peratusan undi pos di kawasan itu yang tinggi dan bakal memihak kepada BN.
AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa sebelum ini berkata, kekalahan BN dalam pilihanraya kecil ini bermakna Umno akan mati pra-matang.
Ini kerana, Umno tidak akan mampu lagi bertahan dengan gelombang yang bakal berlaku kalau mereka kalah dalam pilihan raya yang sebelum ini mereka menang dengan majorti 2,333 undi.
Manakala exco kerajaan negeri Kelantan, Mejar (B) Anizan Daud, semasa memberi responnya berkata, PRK tersebut akan menjadi satu referendum rakyat terhadap BN, hatta kurang atau bertambahnya majoriti, pun akan memberi kesan besar kepada BN.
PRK Dun Bagan Pinang akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Nor, Jumaat lalu akibat jangkitan kuman dalam darah.
Pada PRU ke-12 Azman memenangi kerusi Dun tersebut dengan majoriti 2,333 menewaskan calon Pas, Ramli Ismail.
Bagan Pinang adalah salah sebuah Dun yang terletak di bawah parlimen Teluk Kemang, Negeri Sembilan. Komposisi pengundi pada PRU 2004 adalah seramai 14,192 terdiri daripada 66 peratus pengundi Melayu, Cina 10.5 peratus, India 19.9 peratus dan lain-lain kaum 3.5 peratus.
Sebagaimana dilaporkan PR akan menurunkan calon dari parti PAS pada PRK tersebut. Dan namanya akan diumumkan selepas Hari Raya Idilfitri bakal disambut beberapa hari saja lagi.
Bagaimanapun, desas-desus ada mengatakan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefly Mohd Omar, dan Yang Dipertua Pas kawasan Teluk Kemang, Ramli Ismail, yang juga bekas calon PAS pada PRU ke-12 adalah diantara nama yang bakal dipilih sebagai wakil calon.
Sementara itu di dalam BN tampak berkecelaruan ketika persoalan calonnya cuba dibangkitkan di mana seolah-olah terdapat unsur tekanan daripada Pergerakan Pemuda Umno bahagian yang mahukan bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai calon mereka.
No comments:
Post a Comment