Monday, September 14, 2009

Skandal PKFZ: PAS gesa adakan sidang khas Parlimen

PAS menggesa kerajaan memanggil sidang khas parlimen bagi membentangkan kertas putih menjelaskan keenganan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang(PKFZ).

Naib Presidennya, Dato' Mahfuz Omar berkata, PAS mahu persidangan khas itu diadakan sebelum pembentangan bajet Oktober ini bagi membolehkan ahli parlimen berbahas mengenai tindakan kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas khas, bukan Suruhanjaya Diraja seperti yang diminta Pakatan Rakyat.

"PAS tetap bertegas bahawa sidang khas itu perlu diadakan bagi mendapatkan satu kesepakatan di kalangan ahli parlimen untuk menuntut Suruhanjaya Diraja ditubuhkan dalam mengendalikan isu ini."Katanya pada satu sidang media di pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini pagi tadi.

Mahfuz juga mengarahkan pasukan peguamnya untuk meneliti segala peruntukan dalam undang-undang di Malaysia yang membolehkan beliau sebagai rakyat mengambil tindakan ke atas kerajaan bagi memastikan Suruhanjaya Diraja ditubuhkan.

"Saya melihat sekarang ini kerajaan seolah-olah tidak mengendahkan tuntutan rakyat. Sebab itu saya arahkan peguam saya menyemak peruntukan yang ada(dalam undang-undang) agar kerajaan akur untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja."Jelasnya.

PAS turut menyifatkan penubuhan pasukan khas yang diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan itu bermotif politik iaitu untuk melindungi pemimpin-pemimpin Umno Barisan Nasional dari disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam skandal PKFZ.

Turut dipersoalkan PAS keperluan penubuhan pasukan khas itu yang dilihat sama dengan fungsi pasukan khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Port Klang Authority(PKA) sebelum ini.

Ujar Mahfuz, apa yang lebih menimbulkan kesangsian apabila Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak tidak meletakkan satu jangka masa khusus kepada pasukan khas untuk menyiapkan laporan siasatan mereka dan menyerahkannya kepada kabinet.

"Perdana Menteri cakap pasal KPI(petunjuk prestasi utama) tapi dalam isu pasukan khas tidak ditetapkan jangka masa untuk laporan itu disiapkan, menunjukkan Najib sendiri tidak ada KPI."

"Ini jelas menunjukkan kerajaan sengaja melengah-lengahkan siasatan ke atas isu ini supaya rakyat lupa dan imej pemimpin BN dapat dijaga."Ujarnya.

Penubuhan pasukan khas itu juga tidak benar-benar bebas kerana masih dipantau kabinet. Segala hasil siasatan juga perlu diserahkan kepada kabinet dan kabinet berkuasa membuat sebarang keputusan.

"Apa perlunya pasukan khas ini kalau segala tindakan perlu mendapat lampu hijau daripada kabinet?Soalnya.

9 September lalu, kerajaan membuat keputusan menubuhkan satu pasukan petugas, yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Peguam Negara, para pegawai Kementerian Pengangkutan dan Kewangan, bagi mengkaji skandal PKFZ.

Namun Pakatan Rakyat melihat ianya bukan satu usaha serius kerajaan untuk menyelesaikan isu yang tertangguh sejak 2003 itu.

Julai lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid berjanji untuk menyerahkan laporan lengkap berhubung skandal PKFZ sebelum sidang Parlimen depan.

Dalam kenyataannya, Azmi mengakui 405 ektar tanah yang menempatkan gudang, blok, pejabat dan hotel bertaraf empat bintang itu menjadi pertikaian khalayak sejak 2003, apabila kos pembangunannya RM2.5 billion telah melambung pada RM4.6 billion secara misteri.

Disebabkan itu, Azmi sendiri meminta Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak membuat apa-apa penjelasan, sehinggalah siasatannya selesai

No comments:

Search This Blog