UPSR sudah selesai diambil oleh para pelajar Tahun 6 di seluruh Malaysia. Rata-rata dari pemerhatian dan tinjauan yang saya lakukan, hampir 80% pelajar Tahun 6 memilih untuk menjawab soalan Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu. Tinjauan ini saya lakukan dikawasan luar bandar di tiga buah negeri di Pantai Timur Semenanjung.
Dari tinjauan rambang ini, telah jelas bahawa para pelajar kita sebenarnya agak mudah memahami soalan Matematik dan Sains dalam bahasa ibunda mereka sendiri iaitu Bahasa Melayu. Ini menunjukkan bahawa konsep Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak mendapat tempat yang kukuh dikalangan pelajar luar bandar.
PPSMI hanya boleh dilihat berjaya (pada skala yang kecil) cuma pada kawasan tertentu di bandar atau pinggir bandar. Bagi pelajar yang ibubapa mereka cuma nelayan, petani dan pekebun kecil biasanya agak lemah dalam penguasaan PPSMI. Mereka ini cuma menggunakan Bahasa Inggeris di peringkat sekolah sahaja.
Persoalannya sekarang, PPSMI khabarnya akan dimansuhkan berperingkat mulai pada 2012 namun ianya tidak menjamin pengukuhan penguasaan Matematik dan Sains para pelajar atas sebab telah dipaksa mencerna sistem PPSMI diperingkat bawahan. Kenapa perlu tunggu sehingga 2012 sedangkan kumpulan pelajar yang baru selesai mengambil UPSR tidak nampak akan meningkat penguasaan Matematik dan Sains atas sebab kekangan mempelajari Bahasa Inggeris.
Pada pandangan saya, PPSMI perlu dimansuhkan serta merta untuk memastikan hasil dan mutu pelajar yang dijanakan diperingkat Sekolah Rendah berjaya menguasai matapelajaran Sains dan Matematik diperingkat Sekolah Menengah nanti. Jika tidak kita cuma akan mendapat para pelajar yang masih lemah dalam kedua-dua matapelajaran tersebut termasuk juga lemah dalam Bahasa Inggeris.
PPSMI sebenarnya bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia yang menjamin Bahasa Melayu/Malaysia menjadi bahasa ilmu di segenap peringkat pembelajaran sama ada rendah mahupun di peringkat tertinggi. Program PPSMI seperti yang ramai sedia maklum mempunyai agenda disebaliknya iaitu untuk menguntungkan segelintir pihak yang berkepentingan didalam Kerajaan Barisan Nasional. Pemansuhan PPSMI amat ditakuti oleh pihak-pihak yang berkepentingan ini dan dengan pengaruh besar yang mereka ada, mereka juga melobi Menteri Pelajaran dan Perdana Menteri Malaysia disamping membekalkan “tumbuk rusuk” agar mereka terus mengaut keuntungan besar bagi perlaksanaan PPSMI ini.
Sebagai bapa dan rakyat Malaysia yang membayar cukai pendapatan, saya berhak mempersoalkan kewajaran PPSMI ini dan segala kos yang berkaitan dalam perlaksanaannya.
No comments:
Post a Comment