Amat susah untuk kita memperkatakan mengenai jangkahayat demokrasi di Malaysia ini. Mana tidaknya disuatu pihak (rakyat) amat menyanjung tinggi demokrasi berperlembagaan yang mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh undang-undang dan perlembangaan namun disuatu pihak lagi (penguasa) nampaknya bersungguh-sungguh bersiap siaga melacurkan demokrasi demi kepentingan tembolok dan kuasa yang ada.
Rakyat Malaysia telah lama dimomokkan dengan isu perbalahan kaum, malah boleh dikatakan senantiasa diperbaharui idea-idea perbalahan kaum itu oleh media-media yang dikuasai oleh pemerintah. Tidak cukup dengan isu perbalahan kaum, malah beberapa akta serta ordinan yang termaktub dalam undang-undang negara digunakan untuk memulas telinga rakyat.
Adanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Polis dan pelbagai akta-akta lain digunapakai demi untuk menyekat maklumat daripada sampai kepada pengetahuan rakyat marhaen. Ianya diguna demi untuk menyelamatkan pemerintah daripada digulingkan oleh rakyat setelah rakyat mendapati bahawa pemerintah telah menyalahgunakan kuasa.
Bagi rakyat Malaysia, apa yang mampu dilakukan hanyalah membebel diwarung-warung tepi jalan, kedai kopi, kantin pejabat mahupun dialam siber. Tapi didalam keadaan yang mencemaskan ini, telinga-telinga dan mata pemerintah ada dimana-mana. Anda (rakyat Malaysia) boleh saja ditangkap pada bila-bila masa dibawah mana-mana akta yang saya sebutkan diatas. Jika anda berborak (lebih dari lima orang) membincangkan pelbagai penyelewengan yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional, kemungkinan untuk anda diangkut oleh pihak polis adalah tinggi sama ada dibawah Akta Hasutan mahupun Akta Polis.
Jika sekiranya anda meluahkan isi hati anda yang secara langsung mengkritik Kerajaan Barisan Nasional dialam siber (internet), kemungkinan pada bila-bila masa anda boleh dijemput oleh Cawangan Jenayah Siber ataupun Cawangan Khas (SB) dibawah Akta Hasutan, Akta Multimedia malah tidak mustahil anda boleh ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Sesebuah negara akan menjadi makmur dan teratur perjalanannya bilamana kritik yang dibuat oleh mana-mana pihak diambil perhatian dan diperbaiki oleh pihak pemerintah. Namun ini tidak menjadi kenyataan di Malaysia. Jika anda mengkritik dasar-dasar serta tindakan Kerajaan Barisan Nasional yang anda rasa bercanggah dengan kehendak rakyat, anda pastinya bersedia untuk “disenyapkan”.
Setelah lebih 50 tahun Malaysia merdeka, tidak ada walau sekalipun Kerajaan yang memerintah (Perikatan @ Barisan Nasional) membenarkan rakyat mengkritik dasar-dasar dan tindakan yang dibuat. Setiap kritik itu pastinya dibalas dengan cara ditangkap dibawah beberapa akta “Draconian” yang pada penyokong Barisan Nasional adalah amat bersesuaian.
Saya tidak pasti bila masanya saya pula akan dilamar dibawah mana-mana akta ini. Nauzubillah jika ianya berlaku kepada saya.
Najib Razak nampaknya telah mengorak langkah cemerlang dalam tempoh kurang 100 hari menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia dengan “mengikat mana-mana mulut” yang celupar mengkritik beliau. Mengkut maklumat yang saya dapati, lebih dari 50 orang akan diangkut oleh pihak Polis pada bila-bila masa terdekat ini.
Apa yang ada pada rakyat kini cuma “doa” yang InsyaAllah pastinya akan dikabulkan oleh Allah S.W.T yang akhirnya akan mengembalikan Malaysia kearah demokrasi yang sebenarnya.
No comments:
Post a Comment