Saturday, May 9, 2009

Peguam berhimpun bantah tindakan polis

KUALA LUMPUR 8 Mei - Hampir 200 peguam berkumpul di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini membantah penahanan lima peguam dari Biro Bantuan Guaman termasuk pengerusinya, Ravinder Singh Dhalliwal, semalam.

Selain Ravinder, mereka yang ditahan ialah Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Puspawati Rosman dan Syuhaini Safwan. Mereka berumur antara 26 dan 28 tahun.

Mereka didakwa ditahan kira-kira pukul 11.45 malam semalam di Balai Polis Brickfields selepas tidak dibenarkan berjumpa sejumlah 14 orang anak guam mereka.

Kesemua anak guam itu ditahan kerana terlibat dalam perhimpunan membantah penahanan aktivis Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat yang dikatakan terlibat dalam kempen memakai baju hitam menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Suasana di mahkamah hari ini menjadi bertambah tegang apabila pihak polis meminta Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan menghentikan ucapan dan mengarahkan kesemua peguam bersurai.

Ketika itu kumpulan peguam yang hadir bersorak membantah tindakan polis malah ada yang mengeluarkan perkataan 'kurang ajar' kepada anggota polis yang bertugas.

Antara yang turut menyertai perhimpunan itu ialah bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga; Pengerusi Majlis Peguam Kuala Lumpur, Anand Ponnudurai; Pengerusi Majlis Peguam Selangor, Rajpal Singh serta beberapa peguam terkemuka termasuk Malik Imtiaz Sawar, Sulaiman Abdullah dan Tommy Thomas.

Kesavan ketika ditemui pemberita memberitahu, beliau merasa terkejut dengan tindakan polis.

''Mereka (polis) telah melanggar peruntukan tertentu di bawah Kanun Tatacara Jenayah yang menjamin para peguam untuk bertemu dengan anak guam mereka.

''Tindakan polis mempermainkan hak asasi seseorang untuk dibela dari segi undang-undang. Kami (Majlis Peguam) meminta Ketua Polis Negara memberi penjelasan terhadap penyalahgunaan kuasa polis ini,'' katanya.

Selepas berkumpul hampir satu setengah jam, Kesavan dari atas tangga lobi mahkamah mengumumkan bahawa kesemua peguam yang ditahan akan dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau turut mengumumkan satu mesyuarat agung tergempar (EGM) Majlis Peguam akan diadakan Jumaat ini bagi membincangkan tindakan seterusnya berhubung kejadian itu.

Pada ketika ini, salah seorang anggota polis mencelah ucapan Kesavan dan memintanya mengarahkan kesemua peguam bersurai.

Keadaan hanya kembali tenang selepas Kesavan bergerak meninggalkan kawasan lobi mahkamah ke bahagian luar kompleks tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis telah membebaskan kesemua 20 individu termasuk lima peguam yang ditahan.

No comments:

Search This Blog