Monday, May 4, 2009

Pemilihan PAS: Ribut dalam cawan



Oleh Ahmad Lutfi Othman

Akhbar yang selama ini dikawal mutlak Umno-BN tiba-tiba saja banyak memberikan ruang agak besar kepada PAS, termasuk di muka depan. Sebabnya mudah ditelah iaitu agenda pemilihan yang berlaku dua tahun sekali.

Walaupun liputannya lebih tertumpu kepada "aspek-aspek negatif" yang boleh dicungkil daripada debar pemilihan kepimpinan parti Islam itu, yang dijadualkan awal Jun depan, namun saya tidaklah mahu terburu-buru mahu memberikan label negatif kepada akhbar-akhbar berkenaan.



Ada teman-teman yang mahu saya menempelak media yang menyorot "secara berlebihan" senario pencalonan yang dibuat oleh mesyuarat agung PAS kawasan-kawasan di seluruh negara, bagi jawatan tertinggi parti, khususnya Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Saya cuba mengelak.

Lumrah sebuah parti besar

Bagi saya, biarlah ... bukankah PAS itu sebuah parti besar yang terbukti mampu berdepan pelbagai tribulasi, mehnah dan fitnah? Ia bagai pohon kayu yang makin kukuh pegangan akarnya apabila sering dilanda angin dan taufan. Apa perlu dirisaukan sangat dengan persepsi media jika di kalangan kita sendiri menyediakan "bahan sensasi" untuk mereka?

Masakan parti boleh lumpuh hanya kerana jarum propaganda musuh dikatakan sudah menjalar ke segala urat nadi organisasi? Saya tidak rasa daya tahan PAS dan kekebalan pendokongnya menghadapi "ujian kecil" ini begitu lemah.

Lebih daripada itu, PAS kini sudah dianggap saingan terdekat kepada Umno, dan bersama-sama mengungguli Pakatan Rakyat yang dilihat tegak berdiri sebagai sebuah "kerajaan menanti".

Sebagai parti yang bukan lagi terbatas pengaruh dan kekuatannya di wilayah tradisi seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, fokus yang diberikan rakyat terhadapnya, termasuk daripada media tentulah meningkat. Apa jua pergolakan dalam parti pastinya cepat dihidu, dan akan diberi tafsiran mengikut kehendak seteru politik PAS.

Rakyat memerhati penuh minat

Semua akur, peranan PAS tidak boleh diperlekehkan, malah boleh dianggap sebagai penentu politik masa depan. Rakyat sebenarnya sedang meneliti apa jua perkembangan dalam PAS dengan penuh minat. PAS kini bukan lagi berada di pinggiran tetapi sedang merapati posisi yang dapat mendefinisikan situasi politik mutakhir.

Oleh itu, jika berlaku pertandingan dalam proses pemilihan kepimpinan PAS, terutama di peringkat atasan, ia suatu fenomena biasa. Ia hanya menyaring tokoh terbaik di kalangan mereka yang menawarkan diri, yang diperuntukkan perlembagaan. Dan saya kira semua ahli-ahli parti, selain tidak perlu panik membaca laporan "adu-domba" yang melaga-lagakan pemimpin-pemimpin kanan PAS, harus bersikap terbuka dan tidak mudah melatah.

Apabila setiap gerak parti diperhatikan, sehingga dibaca berapa darjah kecondongannya dalam isu-isu tertentu, maka PAS tidak boleh memandang remeh apa jua pandangan dan kritikan terhadapnya.

Ahli-ahli dan pemimpin pula harus bijak "menjaga diri" dengan tidak terdedah dalam aktiviti "melobi" di luar batasan, yang jika tidak dikendali secara beradab boleh mencetuskan tunas-tunas yang kemudiannya boleh mewabak tanpa sedar.

Apabila prestasi pemimpin diperhalusi

Agenda rutin pemilihan itu juga dapat mengingatkan penyandang jawatan agar sentiasa cuba memberikan yang terbaik dalam tempoh tertentu bagi memenuhi amanah dan aspirasi perwakilan dari seluruh pelosok negara. Prestasi akan dihalusi setiap dua tahun sekali. Dan terbukti selama ini pun perwakilan PAS bijak memanfaatkan peluang untuk membuat pilihan.

Kini umum memperkatakan di mana-mana, era Umno-BN sudah menghampiri penghujungnya. Namun gelagat pemimpinnya tetap menjolok mata. Gejala kehidupan materialistik yang menyuburkan rasuah bagai tidak boleh dibendung. Rakyat diperbodohkan dengan pelbagai ungkapan manis dan jaminan yang tidak pernah tertunai.

Tidak pernah dalam sejarah, Umno-BN menghadapi cabaran segetir ini daripada pakatan pembangkang yang begitu menyerlah.

Majoriti rakyat pelbagai kaum di semua peringkat sudah bersedia untuk melakukan perubahan besar, seperti ditandai keputusan mengejutkan dalam pilihan raya Mac 2008, dan dituruti beberapa pilihan raya kecil kemudiannya. Namun perubahan juga ada ilmu dan seninya, yang hanya mampu digerakkan dan disempurnakan oleh pemimpin terpilih.

Tanggungjawab pemimpin PAS meneroka perubahan yang diimpikan rakyat ini cukup besar dan mendesak sekali. Usah kecewakan harapan mereka

No comments:

Search This Blog