Tuesday, June 9, 2009

PAS perlu perjelas rundingan k'jaan perpaduan


Pemimpin PAS perlu memperjelaskan kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengenai rundingannya dengan Umno berhubung kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini.

Sebagai rakan Pakatan Rakyat, Lim berkata, PAS tidak seharusnya berahsia dengan DAP dan PKR berhubung rancangan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan melalui kerjasama dengan Umno.

Lim berkata, kepimpinan PAS tidak pernah menjelaskan kepada kepimpinan Pakatan berhubung dakwaan ia mengadakan rundingan Umno tahun lalu.

Beliau menolak dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pemimpin Pakatan menerima baik perkara itu apabila PAS menjelaskannya kepada mereka.

"Kepimpinan Pakatan tidak pernah berbincang mengenainya, ataupun PAS telah memaklumkannya kepada kita.

"Kita tidak tahu apa yang sedang berlaku," katanya selepas majlis angkat sumpah Presiden Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Tan Cheng Chui.

Sehubungan itu, Lim mengingatkan Abdul Hadi supaya sentiasa bercakap benar.

"Sebagai seorang alim, seseorang itu bukan sahaja perlu menjawab kepada DAP, tetapi juga kepada Tuhan," katanya.

1 comment:

KHAIRUL NAZRI said...

1. Apa yang kita semua nampak, hanya PAS yang beria-ia akan idea Kerajaan Perpaduan ini. Yang jelas kini PAS semakin pandai bermain politik berbanding sebelum wujudnya PKR dan sokongan Anwar Ibrahim.

2. Pada hemah saya, idea Kerajaan Perpaduan tidak lebih sebagai alternatif PAS untuk melebarkan pengaruhnya ke dalam iklim politik Malaysia sekiranya jalinan kerjasamanya di dalam Pakatan Rakyat tidak berjaya.

3. Yang pasti, sekiranya UMNO/BN bersetuju akan idea kerajaan Perpaduan ini, maka PAS tidak perlu lagi bersusah payah berjuang di dalam Pakatan Rakyat untuk mendapatkan kuasa dan jawatan yang ciput sedangkan mereka boleh mendapatkan lebih kuasa dan suara apabila Kerajaan Perpaduan ini menjadi kenyataan kelak.

4. Apapun sebarang idea yang menjurus kepada perpaduan Melayu dan Islam harus disokong dan semua pihak harus berusaha dan ikhlas melaksanakannya. Insyaallah.

Search This Blog