Monday, July 27, 2009

PAS jalin kerjasama dengan Umno? Nik Aziz nafi

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan laporan media bahawa beliau mahukan perpaduan dan kerjasama antara Umno-PAS.

Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau hanya bersedia untuk mengadakan perbincangan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Sehubungan itu kata Nik Aziz, beliau mahukan Barisan Nasional menunaikan tanggungjawabnya sebagai kerajaan pusat seperti yang diamanahkan.

Atas dasar itu kata Nik Aziz, beliau bersedia mengetuai usaha menjalin hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.

"Saya usulkan hubungan dua kerajaan (negeri dan pusat) dipulihkan sesuai dengan semangat federalisme," kata Nik Aziz dalam kenyataan yang dikeluarkan tengah hari tadi.

Terdahulu beliau menyatakan pandangan itu kepada PAS TV pagi tadi di pejabatnya di Kota Bahru.

Bulan lalu beliau telah pun menolak sebarang usaha ke arah kerajaan perpaduan antara Umno-Barisan Nasional dan PAS.

Nik Aziz menyatakan demikian ketika banyak pihak melihat kenyataan beliau dua hari lalu mahu memulihkan hubungan dengan Umno sebagai perkembangan positif.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah awal yang akan diambil untuk mengadakan pertemuan serius dengan pemimpin PAS ke arah merapatkan hubungan kedua-dua parti itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Jumaat ini.

Muhyiddin yang menyambut baik kesediaan Nik Aziz untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri PAS itu dengan kerajaan pusat berkata, senario tersebut akan membuka satu lembaran baru dalam hubungan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri Kelantan dan parti PAS.

Pun begitu ada juga pemimpin Umno yang meraguinya dan mahu kenyataan serius Nik Aziz dalam soal tersebut.

Sehubungan itu, hari ini Nik Aziz menegaskan, apa yang beliau mahukan ialah Barisan Nasional menjunjung semangat federalisme seperti yang diterima pakai dalam Perlembagaan Persekutuan, yang dipersetujui dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Persekutuan Malaysia.

"Kelantan adalah salah satu negeri yang membentuk persekutuan tersebut dan hak Kelantan terjamin dalam perlembagaan.

"Bagaimanapun sejak Kelantan kembali ditadbir oleh PAS bermula 1990, Barisan Nasional sebagai kerajaan persekutuan telah menyekat hak-hak negeri Kelantan dalam banyak aspek.

"Tindakan diskriminasi dan pelbagai tekanan bersikap politik ke atas negeri-negeri yang tidak ditadbir oleh Barisan Nasional adalah sama sekali tidak mengikut semangat federalisme," katanya.

Tindakan sebegini telah berjaya menumbangkan kerajaan PBS di Sabah tetapi tidak di Kelantan, kata beliau.

Kata Nik Aziz, selepas pilihan raya umum ke-12 apabila lima negeri tidak lagi ditadbir Barisan Nasional, pihak kerajaan persekutuan tidak insaf dengan penolakan rakyat, sebaliknya semakin galak menyalahgunakan kedudukannya untuk menumbangkan negeri-negeri tersebut secara tidak demokratik.

"Kerajaan negeri Perak berjaya ditumbangkan pada Februari 2009 dan kini Barisan Nasional menggunakan jentera-jentera kerajaan persekutuan untuk menumbangkan kerajaan negeri Selangor," katanya.

No comments:

Search This Blog