Tuesday, July 28, 2009

UMNO: Hidung Tak Mancung, Pipi Tersorong-sorong…

Maka bergegak gempitalah seluruh pemimpin-pemimpin Umno bahawasanya Tuan Guru Mursyidul Am bersedia untuk bekerjasama dengan Umno.

Sebelum itu, selepas Presiden PAS mengutarakan cadangan Kerajaan Perpaduan, maka terhegeh-hegeh pemimpin Umno “menyahut” seruan tersebut, kononnya demi masa hadapan rakyat Malaysia

Suatu ketika dahulu, selepas ditolak oleh rakyat dalam tsunami politik pada Pilihan Raya Umum yang lepas, pemimpin-pemimpin UMNO di Perak, dan Selangor tergedik-gedik mendekati pemimpin-pemimpin PAS untuk membentuk kerajaan campuran di sana, kononnya atas dasar perpaduan Melayu.

.

Hari ini – tidak hujan tidak ribut – selepas Tuan Guru Mursyidul Am bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat, maka sekali lagi para pemimpin-pemimpin Umno “menyambut baik” kenyataan Mursyidul Am PAS, demi kepentingan negara.

Ternyata, pemimpin-pemimpin Umno betul-betul terhegeh-hegeh berkehendak kepada PAS.

Bak kata pepatah, hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong.

Namun, sebagaimana yang ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden, PAS tidak akan sekali-kali memikul biawak hidup.

Kenyataan Tuan Guru Mursyidul Am pula tidak lain tidak bukan adalah memperingatkan pemimpin-pemimpin Umno tentang kuasa-kuasa kerajaan pusat dan kuasa-kuasa kerajaan negeri, sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.

Kelantan terletak di dalam Malaysia yang ditadbir oleh kerajaan Pusat yang dikuasai oleh Umno/BN. Maka sudah sudah menjadi tanggungjawab kedua-dua belah pihak untuk saling bekerjasama antara satu sama lain.

Kerajaan PAS Kelantan menjalankan tugasnya sebagai kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat (Umno/BN) pula perlu menjalankan tugasnya sebagai Kerajaan Pusat.

Antara tugasan kerajaan pusat adalah menyediakan peruntukan kepada semua kerajaan negeri berdasarkan jumlah penduduk negeri berkenaan.

Sebenarnya pemimpin-pemimpin Umno tidak faham akan bahasa kiasan Tuan Guru Mursyidul Am yang sebetulnya menempelak Kerajaan Pusat yang ditadbir oleh rejim Umno-Barisan Nasional yang selama hampir 20 tahun meng”anak-tiri”kan Kerajaan PAS Kelantan.

Baguslah sekiranya pemimpin Umno sedar akan tanggungjawab kerajaan Pusat yang sepatutnya menyalurkan peruntukan-peruntukan kepada kerajaan negeri Kelantan sebagaimana dilakukan kepada negeri-negeri lain di dalam perintah Kerajaan Pusat sebagaiaman termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.

Jika benar Kerajaan Pusat sedia melakukannya, pertama sekali bekerjasamalah dengan kerajaan negeri Kelantan berhubung royalti minyak Kelantan.

Berikan hak kepada rakyat Kelantan, jika benar Umno bersedia menyahut seruan Tuan Guru Mursyidul Am yang juga Menteri Besar Kelantan itu.

Tapi, saya tidak fikir rejim Umno-BN sanggup melakukannya.

Pesanan untuk pemimpin Umno – cermin-cerminlah muka, sebelum tergedik-gedik mahukan PAS.

Ketua Penerangan,

Pemuda PAS Gombak.

No comments:

Search This Blog