JAN 14 - Jika Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya kecil bagi Parlimen Kuala Terengganu, ia bukan sahaja akan menjadi tamparan hebat buat Umno tetapi juga memberi kesan buruk kepada bakal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Kekalahan BN akan dilihat sebagai kelemahan Najib buat kali kedua selepas gagal memenangkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk BN dalam PRK pada Ogos tahun lalu.
Lebih buruk kali ini, jika BN kalah, ia bererti tumpas di kubu kuat sendiri kerana kerusi Kuala Terengganu adalah milik Umno sejak 50 tahun lalu (kecuali dalam pilihan raya umum 1999).
Dengan itu, kesan psikologi mendalam akan melukakan Umno yang selama ini masih tercari-cari jalan untuk kembali popular bersama rakyat setelah kehilangan lima negeri dan dinafikan majoriti dua pertiga di parlimen dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu.
Walaupun keputusan PRK ini tidak akan mengubah kedudukan kerajaan pusat atau kerajaan negeri, tidak ada sesiapa dari Umno dan BN mahu menanggung malu besar jika kecundang di kubu yang dianggap selamat di Pantai Timur Semenanjung.
Minggu lalu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Annuar Musa menjelaskan bahawa PRK ini bukan untuk membentuk kerajaan negeri atau Pusat tetapi untuk menilai pengiktirafan kepada BN.
“Kita sedang melakukan penambahbaikan dan memberi respons terhadap apa yang rakyat isyaratkan. Rakyat sudah tentu hendak tengok penambahbaikan selepas pilihan raya lalu dan saya percaya BN akan menjadi parti yang lebih baik untuk semua.
“Pas sudah menjenamakan diri sebagai parti untuk semua. Tetapi kita harus menjadi parti untuk memberi kebaikan kepada semua, bukan setakat menjadi parti untuk semua tetapi tidak memberi kebaikan,” kata Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu kepada pemberita baru-baru ini.
Harapan Annuar akan berkecai jika pengundi Kuala Terengganu memilih Pas sebagai wakil Pakatan Rakyat untuk dihantar ke Parlimen. Apa yang beliau katakan sebagai penambahbaikan BN akan dianggap ditolak oleh rakyat jika calon Umno Datuk Wan Ahmad Farid Salleh gagal mencapai kemenangan.
Pandangan penganalisis setakat ini menunjukkan BN dan Pas mempunyai peluang yang sama walau pun tinjauan di kalangan pengundi Cina – mewakili 11 peratus jumlah pengundi – mendapati kemungkinan mereka beralih kepada Pas.
Inilah yang dibimbangi Najib. Bagi beliau, ia bukan sekadar soal menang kalah BN atau Umno tetapi reputasi beliau sebagai pemulih semangat parti yang belum menunjukkan apa-apa kesan sejak tsunami politik 8 Mac tahun lalu.
Najib telah pun mengingatkan semua pihak bahawa PRK Kuala Terengganu bukan satu pungutan suara atau referendum untuk mengukur populariti BN dan pemimpin-pemimpinnya.
“(PRK ini) bukan referendum untuk saya atau Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said,” katanya.
Namun, ramai yang melihatnya sebagai referendum, bukan sahaja terhadap pemimpin-pemimpin Umno dan BN tetapi juga di kalangan Pakatan Rakyat yang diwakili Pas, Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
BN yang amat sangat memerlukan kemenangan dalam PRK ini. Jika ia berjaya mempertahankan kerusi, ini akan dijadikan tapak untuk mematahkan semangat Pakatan Rakyat yang semakin meluap dalam mempersiapkan diri untuk PRU akan datang.
Sudah banyak di kalangan Pakatan, terutama Pas dan DAP, untuk melupakan cubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim memujuk Ahli-ahli Parliamen BN supaya melompat masuk ke dalam parti-parti komponen Pakatan. Mereka kini lebih berminat untuk mencari jalan mengambil alih kuasa melalui PRU akan datang.
Jika kerusi Kuala Terengganu dimenangi calon Pas Mohd Abdul Wahid Endut, ia akan memberi suntikan semangat baru untuk kepimpinan Pakatan, terutamanya dalam mengembalikan keyakinan pengundi terhadap gabungan mereka.
Tetapi, jika Pas sekali lagi tewas di Kuala Terengganu, ia mungkin dianggap kurang mengejutkan kerana kawasan itu sememangnya kubu kuat Umno.
Namun, walaupun itu akan menjadi alasan Pas jika kalah, ia tetap memberi kesan besar terutama kepada presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan orang kanannya Datuk Mustafa Ali – kedua-duanya adalah orang kuat Pas di Terengganu. Apatah lagi Mohd Abdul Wahid sebagai calon adalah anak didik Mustafa.
Lebih meninggalkan kesan pahit bagi Pakatan Rakyat adalah di peringkat nasional kerana kekalahan Pas akan dilihat sebagai keputusan rakyat menolak gabungan alternatif. Kemeriahan Permatang Pauh akan menjadi suram jika pengundi Kuala Terengganu sekali lagi memilih BN pada Sabtu ini.
Jika Pas kalah dalam PRK, suasana malap akan melanda Pakatan Rakyat. Sebaliknya, jika kemenangan berpihak kepada Umno ia akan dicanangkan melalui media arus perdana yang dikawal pemerintah sebagai petanda bahawa BN kini kembali relevan di kalangan rakyat.
Keadaan sebegini pastinya akan melonjakkan populariti Najib dalam persiapannya untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat dari Abdullah pada Mac ini.
No comments:
Post a Comment