"Saya rakamkan semula di sini bukan untuk mengungkit luka lama agar berdarah kembali, jauh sekali mahu melemparkan bara dendam untuk dimarakkan, tetapi untuk menjadi pengajaran kepada kita semua di dalam menongkah perjuangan," kata Nik Aziz
ingin saya peringatkan, lembaran sejarah mencatit UMNO dan Barisan Nasional ialah rakan yang tidak setia, tangan kanan menghulur salam, tangan kiri melipat senjata," demikianlah yang disifatkan oleh Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat ketika mengungkit pengalaman kerjasama antara PAS dengan UMNO-BN.
PAS sebagai parti politik pernah menawan Kelantan dan Terengganu dalam PRU pada tahun 1959, kemudian menyambut huluran tangan Allahyarham Abdul Razak, Perdana Menteri pada tahun 1973 untuk menyertai BN. Bagaimanapun, kerjasama yang bermatlamatkan perpaduan ini berakhir dengan perpechan dalam PAS, dengan munculnya Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa, kata Nik Aziz.
Nik Aziz berkata sedemikian dalam ucapan perasmian serentak Muktamar Tahunan Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Pusat di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan, Pengkalan Chepa, semalam.
Alternatif kepada BN dalam PRU 13
Nik Aziz kemudian mengulas bagaimana PAS menjalin kerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Nasional (Parti Keadilan Rakyat kemudiannya) untuk membentuk Barisan Alternatif pada PRU tahun 1999, dan mencapai muafakat "satu lawan satu" dalam PRU tahun 2008, yang berakhir dengan kemenangan kepada pembangkang.
"Strategi sebegini amat penting kerana nilai perjuangan suci kita adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat, lantaran kita telah melihat sendiri kesan politik dan pentadbiran kerajaan BN yang menimbulkan pelbagai kekalutan kepada rakyat dan negara. Berlaku semakin serius gejala maksiat, buang bayi, pembunuhan, rompakan, rasuah, kemelesetan dan sebagainya," ulasnya.
"Atas alasan inilah, kita mahu menjadi alternatif kepada BN bagi menghadapi pilihanraya umum nanti. Pilihanraya tidak berlaku empat atau lima tahun sekali. Bagi orang yang beragama, pilihanraya berlaku setiap saat antara nafsu ammarah, lawwamah dan mutmainnah," tambahnya.
Eratkan hubungan dengan DAP-PKR
"Kita mahu eratkan hubungan dengan DAP dan PKR dan kita mahu rakyat memberikan mandat kepada kita. Justeru itu, kita hendaklah berani menawarkan alternatif ini dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa kita akan membuang semua unsur-unsur kerosakan yang ada di dalam kerajaan UMNO pada hari ini dan menggantikannya dengan amalan pentadbiran bersifat good governence iaitu berintergeriti, adil, bermoral, cekap, telus dan bertanggungjawab."
Nik Aziz cukup optimis dengan masa depan PR, "Perjalanan kita masih panjang, noktah perjuangan kita masih jauh. Namun, tanda-tanda kemenangan sudah kelihatan. Walaupun guruh di langit bukan menandakan hujan akan turun, namun sekurang-kurangnya harapan ada untuk menyaksikan kemarau akan berakhir."
"Lantaran itu, ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa masa depan ialah bersama Pakatan Rakyat di dalam membina Malaysia yang baru. Memahami realiti semua, maka PAS mestilah bersedia menunjukkan kehebatan dan kehebatan PAS itu adalah sentiasa berpegang kepada prinsip tidak mengasingkan agama dan politik, mempertahankan al-Quran dan Sunnah Nabi serta sentiasa berusaha ke arah penyatuan umat. Dr Yusuf al-Qaradawi selalu menggunakan istilah asolah al-Islam wa hadathah al-siyasah."
PAS perlu lebih cergas meraih sokongan Melayu
Nik Aziz turut mengulas perkembangan terkini senario politik tanah air, yang menyaksikan kecenderungan pengundi bukan Melayu kepada PR, dan Melayu kepada BN di sebaliknya.
"PRU12 dan siri pilihan raya kecil yang berlaku selepasnya, termasuklah terbaru di Hulu Selangor dan Sibu, jelas sekali bagaimana BN telah ditolak secara total oleh pengundi bukan Melayu. Hari ini, tidak dinafikan bahawa yang menjadi tongkat Barisan Nasional ialah pengundi Melayu."
Beliau berkata, "Saya suka mengingatkan agar memerhati perkembangan ini dengan serius. PAS sebagai alternatif kepada UMNO perlu bergerak dengan lebih cergas di dalam meraih sokongan pengundi Melayu. Jangan dibiarkan orang-orang Melayu terus ditipu hidup-hidup dengan momokan 'Ketuanan Melayu' yang merupakan dongengan pemimpin UMNO."
Nik Aziz sempat mengungkit isu royalti minyak, "Orang-orang Melayu perlu diingatkan bahawa keris yang dijulang oleh pemimpin UMNO itu bukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka. Buktinya, Kelantan sebagai negeri yang majoritinya Melayu dinafikan hak untuk mendapatkan royalti minyak daripada buminya sendiri. Projek-projek pembangunan daripada Pusat semuanya diserahkan kepada jabatan mereka sendiri. Semacam kerajaan Kelantan sekarang tidak sah dan pegawai-pegawai tidak berpelajaran, lemah dan korup."
Selain menyasarkan pengundi Melayu, Nik Aziz turut berharap agar PAS meningkatkan usaha untuk memperkenalkan Islam kepada golongan Non-muslim, yang digelar sebagai "saudara kita".
Islam bukan milik bangsa Melayu
"Sudah sampai masanya untuk kita lebih serius mewajahkan semula Islam yang telah disolek dengan buruk oleh UMNO. Masyarakat Malaysia perlu disedarkan bahawa Islam bukan milik bangsa Melayu. Bahkan sejarah menyebut kaum Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam sebelum bangsa Melayu sendiri di benua masing-masing sebelum bangsa Melayu sendiri menerima Islam kira-kira 500 ratus tahun dahulu."
Menyentuh usaha PAS untuk mendampingi bukan muslim, Nik Aziz berkata, "Pada kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah di atas penubuhan Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (ringkasnya Dewan Penyokong PAS). Dewan Penyokong ini adalah pemimpin dan ahlinya terdiri daripada rakan-rakan kita Nonmuslim yang sedia berjuang bersama kita."
"Ini merupakan satu langkah ke hadapan yang telah diambil ke arah mendekatkan perjuangan PAS kepada golongan bukan Islam (Nonmuslim). Alhamdulillah, saya melihat fobia terhadap PAS sudah terhapus di kalangan orang-orang bukan Islam."
"PAS sebelum ini dijadikan sebagai hantu oleh UMNO untuk menakutkan Non-muslim. Hantu itu sudah tidak wujud lagi, bahkan jika ia wujud juga, maka UMNO-lah hantunya. Tinggalkanlah UMNO dengan labu-labu kebangsaannya. PAS perlu terus melihat ke hadapan mengorak langkah memperkenalkan Islam sebagai cara hidup yang lurus."
"Saya optimis, jika masyarakat Non-muslim berjaya memahami Islam yang sebenar, InsyaAllah pisau-pisau perkauman yang sekarang galak diasah oleh BN akan tumpul dengan sendiri dan akan memakan tuannya."
Sepakat Putrajaya
"Bertolak daripada gagasan menghadapi pilihanraya umum ke-13, ke arah menjadikan PAS sebagai peneraju politik negara, maka PAS hendaklah menguasai politik Melayu Muslim dan sekaligus mendapat kepercayaan pengundi bukan Melayu-Non Muslim. Melihat kepada sambutan rakyat sejak pilihan raya umum 2008 dan 11 pilihan raya kecil, dapat dikatakan bahawa telah berlaku tsunami politik kalangan pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina."
"Terbaru, atas nama Pakatan Rakyat kita berjaya merampas parlimen Sibu dari Barisan Nasional. Ia adalah bukti peningkatan keyakinan rakyat terhadap pendekatan politik baru Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN."
"Justeru, kita yakin mood rakyat sekarang adalah bersama Pakatan Rakyat. Rakyat sudah jemu dengan pendekatan politik kebendaan 'beli undi' dan sekular Barisan Nasional. Atas prinsip politik Pakatan Rakyat yang mula diterima ini, maka PAS hendaklah bersama dengan mood rakyat."
No comments:
Post a Comment