Tuesday, April 13, 2010

Report card' merah untuk Najib

PERDANA Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menyambut ulangtahun pertamanya pemerintahannya 4 April lepas, dalam keadaan yang getir dan penuh dilema.

Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpinnya, berada dalam keadaan terumbang-ambing dan masih hilang arah akibat cabaran getir dari kelompok pembangkang yang berkredibiliti seperti Pakatan Rakyat.

Najib berada dalam keadaan dilema kerana dalam tempoh setahun pemerintahannya, sarat dengan skandal dan isu-isu panas terbongkar satu demi satu tanpa sempat dikambus, ditambah dengan baggage dari pemerintahan PM yang lalu.

"Saya fikir tiada banyak beza antara Najib dengan Abdullah, cuma Abdullah nampak lebih slow, Najib lebih cergas, tetapi cara keduanya menguruskan politik dan ekonomi, sama-sama teruk," kata Tony Pua, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

"Masalah kepada Najib ialah kerana, beliau mewarisi stail 'flip flop' Abdullah dan tidak konsisten, dalam hal tertentu saya fikir Abdullah lebih tegas dan berpendirian daripada Najib," kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Ternyata, usaha untuk memulihkan imej beliau dan imej Umno-BN yang tercalar teruk semasa kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi masih gagal dipulihkan sehingga kini.

APCO jejaskan Najib


Usaha memulihkan imej peribadinya terus gagal dan dimusnahkan dengan ledakan isu syarikat Israel, APCO Worldwide yang dilantik secara rasmi dengan perjanjian bertulis oleh kerajaan, sebagaimana pendedahan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Bombshell yang dilepaskan Anwar begitu memeranjatkan, sehingga sewaktu ucapan khas beliau di Parlimen, seluruh anggota Kabinet tidak mampu duduk dalam dewan, macam 'cacing kepanasan' walaupun penyaman udara di Parlimen begitu dingin membeku.

Dengan terbongkarnya hubungan erat berbayar kerajaan Umno-BN dengan APCO, baru rakyat tahu bahawa inilah puncanya, selepas mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Abdullah pada 4 April 2009, Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia, yang diteraskan dengan slogan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Juga ditubuhkan Yayasan 1Malaysia.

Sebelum ini, rakyat tidak mengetahui apa sebenarnya atau dari sumber mana atau siapa yang menasihati Najib memperkenalkan konsep baru ini. Dalam tempoh setahun ini, minda seluruh rakyat Malaysia seolah-olah 'dipaku' dengan 1Malaysia

Seluruh intipati ucapan Anwar yang mengemukakan bukti secara jelas wujudnya penasihat Zionis Israel yang ditempatkan di pejabat PM di Putrajaya, tidak mampu ditangkis atau dijawab sepatahpun, oleh pemimpin Umno-BN. Mereka hanya menjawabnya dengan usaha merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk dihukum.

Najib cuma menjawab Anwar dengan menafikan bahawa konsep 1Malaysia sama dengan konsep 1Israel, yang turut menggunakan khidmat APCO dalam tahun 1990-an oleh PM Israel, Ehud Barak, ketika itu.

"APCO semasa menasihati Ehud Barak, perkenalkan slogan 'people first'. Ini sama dengan slogan 'rakyat didahulukan' cuma kita tambah 'pencapaian diutamakan'. Israel juga buat 1Israel Foundation, sama dengan Yayasan 1Malaysia.

"APCO juga perkenalkan health care untuk Ehud menarik sokongan rakyat. Di sini kita guna Klinik 1Malaysia. Apakah semua ini persamaan secara kebetulan atau sebaliknya," ujar Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim.

"Barangkali mereka tukar letterhead saja, format kertas kerja APCO kekal, 1Israel ditukar jadi 1Malaysia," getus Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Masalah besar yang berlaku ialah, kerajaan Malaysia tidak cermat menyelidiki latar belakang APCO.

"Senarai pemimpin-pemimpin yang menggunakan khidmat APCO untuk membaik pulih imej diktator adalah panjang dan mengejutkan. Selain Turkmenistan, Kazakhstan dan Azerbaijan; salah seorang klien APCO yang paling terkenal adalah bekas diktator Nigeria iaitu General Sani Abacha. Mengikut laporan-laporan BBC General Sani Abacha merupakan pemimpin berkedudukan No. 4 yang paling korup di dunia. Semasa pemerintahannya, berbillion-billion dollar dilesapkan. Wang yang dilesapkan oleh orang kanannya sahaja berjumlah USD$2.5 billion.

"Apakah pentadbiran PM mengakui bahawa Perdana Menteri dan partinya Umno adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia; sehinggakan khidmat APCO yang selama ini membaiki imej diktator perlu digunapakai?" soal Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Inilah dilema yang dihadapi Najib. Beliau hanya ada dua pilihan sahaja. Iaitu, mengaku bahawa kerajaan tersilap dengan menggunakan khidmat perisik Israel, atau kedua menghukum Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Omar Mustapha Ong, yang membawa APCO ke dalam pejabat PM melalui syarikat Mind Team dan Ethos Consultancy sebagaimana didakwa Anwar.

Umno masih belum pulih dan BN yang bercelaru


Kecelaruan semakin membungkam Najib, apabila Umno-BN gagal memberikan sokongan padu kepada PM, dengan serangan terbaru terhadap kepimpinannya.

Tatkala Najib bercakap mengenai 1Malaysia, tanpa mengira kaum dan warna kulit, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berdegar-degar bercakap soal kepentingan Melayu.

Najib bercakap soal pluralisme, Muhyiddin bercakap soal racisme. Ia kelihatan bercanggah. Tetapi mungkin juga ianya strategi untuk mengaut sokongan lebih banyak.
Apa pun dari segi dalaman Umno, sudah wujud persepsi PM dan TPM tidak sebulu, berlainan kem, sudah lama berlaku.

Ketika penulis bersembang-sembang dengan penganalisis MCA di Parlimen baru-baru ini, penulis melontarkan persoalan dikhabarkan wujudnya campur tangan pemimpin Umno yang cenderung menyokong puak-puak tertentu dalam MCA, beliau kelihatan tidak selesa.

"Kita tahu memang Umno tidak mahu 'orang tertentu' jadi Presiden MCA, tapi buat apa campur urusan MCA, dalam rumah Umno sendiri 'bocor', mereka belum pulih, tapi kata sudah pulih," bidas beliau.

Memang Umno belum pulih. Ketiga-tiga Naib Presiden yang ditempatkan menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, langsung tidak membantu Najib menguruskan Umno.

Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menerajui Pulau Pinang gagal mengawal Ketua Umno Bahagian dan ahli-ahli Umno berantakan sesama sendiri. Bergaduh dengan Gerakan dan menimbulkan pelbagai kekecohan sehingga menjejaskan Umno.

Di Terengganu, Dato' Seri Hishammuddin Hussein gagal mententeramkan gelodak perang kumpulan Dato' Seri Idris Jusoh dengan Dato' Ahmad Said. Umno Terengganu terus berpecah belah.

Di Kedah, Dato' Mohd Shafie Apdal lebih teruk, kerana didakwa gagal mengadakan mesyuarat perhubungan. Ketua-Ketua Umno Bahagian tidak menyokongnya. Mereka menolak orang Sabah dilantik memimpin orang Kedah.

Manakala di Perlis, pergaduhan antara puak Dato' Seri Shahidan Kassim dengan Dato' Seri Md Isa Sabu, berterusan. Kerajaan negeri terumbang-ambing, sama macam Umno Perlis, bergaduh hingga ke akar umbi.

Di Perak, selepas Dato' Seri Mohd Zambry Kadir disahkan oleh Mahkamah sebagai MB. Umno-BN tidak mampu mentadbir negeri dengan baik. Pegawai kerajaan dan rakyat tidak menyokong beliau. Sidang Dun dibuat dalam keadaan kelam kabut seumpama 'penjenayah yang mahu menyembunyikan harta rompakannya.

Di Pahang kerajaan negeri pimpinan Dato' Seri Adnan Yaakob dikhabarkan tidak mampu bertahan akibat keadaan kewangan negeri yang amat buruk. Hasil kerajaan, terutamanya balak sudah licin dikebas kroni. Saman syarikat balak tidak mampu dibayar. Dalam keadaan terumbang-ambing, kerajaan pusat terpaksa menampung bebanan besar kewangan Pahang.

Di Negeri Sembilan, kemasukan semula pesalah rasuah politik wang Umno, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dalam Dewan Undangan Negeri menjadikan kedudukan MB, Dato' Seri Mohamad Hassan bagaikan 'telur di hujung tanduk.'

Krisis Isa-Mohamad ini memang tajam. Selepas Isa tersingkir dari jawatan MB. Beliau dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Tetapi dijatuhkan selepas menang jawatan Naib Presiden Umno, dipercayai ada kaitan dengan usaha pihak tertentu dari Negeri Sembilan.

Perbalahan ini menjadi semakin tajam apabila ramai orang Mohamad, tewas jawatan Ketua Umno Bahagian dalam pemilihan tahun lepas. Dengan hanya kelebihan empat kerusi di Dun berbanding Pakatan Rakyat, Umno-BN Negeri Sembilan masih hidup tetapi bagaikan 'bernafas di dalam lumpur.'

Begitu juga di Melaka. Najib hanya memburukkan imej Umno-BN, dengan mengekalkan pesalah politik wang dalam Umno, Dato' Seri Mohd Ali Rustam sebagai Ketua Menteri.

Seperti kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, "Dia (PM) taruk (lantik) Ali Rustam jadi Ketua Menteri, sudah musnah dia punya imej mahu hapus rasuah.

"Sekarang kita boleh cakap, dia punya bising mahu hapus rasuah cuma 'menanam tebu di bibir mulut' sahaja,"katanya.

Sementara di Johor, kubu kuat Umno, berada dalam keadaan yang sama. Johor juga banyak warlord dalam Umno, banyak berpecah belah. Tetapi mereka masih beruntung kerana rakyat menyokong mereka.

Masalah besar kepada MB, Dato' Abdul Ghani Othman ialah kegagalannya mengurus ekonomi negeri sehingga ditegur dalam laporan audit. Pembangunan di WPI tidak berjalan dengan lancar.

"Lihat sahaja bangunan sebesar Johor Waterfront depan mata MB pun dia tidak nampak, terbengkalai macam 'gajah putih'. Itu pun Umno-BN tidak mampu uruskan," kata AJK PAS Pusat Mazlan Aliman.

Keseluruhannya kepada kita, jelas bahawa Umno masih gagal dan terus gagal dipulihkan. Keadaan ini ditambah terukkan oleh BN. Komponen-komponennya seperti MCA, Gerakan dan MIC, yang terus gagal berfungsi dan berpecah belah.

Sokongan, keampuhan dan kesepaduan Umno-BN terhadap kepimpinan Najib yang diuar-uarkan dalam media talibarut hanyalah kosmetik semata-mata. Ia tidak lebih sekadar usaha untuk 'membeli persepsi' baik rakyat terhadap PM.

Isu-isu yang menghantui


Memang PM kelihatannya nampak tenang. Tetapi sebenarnya kerajaan yang dipimpinnya serabut dengan pelbagai isu dan skandal yang menghantui.

Yang menghantui Najib bukannya hantu Altantuya Shaariibuu, tetapi kesan daripada kes pembunuhan warga Mongolia itu, begitu kuat impaknya kepada politik negara.

Isu yang membabitkan Najib atau isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dengan kematian Altantuya sebagaimana yang didakwa Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin tidak timbul.

Beliau melakukan pembohongan yang besar apabila mendakwa Anwar yang mengarahkannya mengaitkan Najib-Rosmah dengan Altantuya. Soal ini biarlah Anwar menjelaskannya.

Tetapi isu ini memang besar. Tetapi ia sudah dipencilkan, hanya kepada isu pembunuhan. Hakikat yang disembunyikan ialah soal rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.

Dari awal kes Altantuya dibongkarkan ialah isu komisyen. Altantuya datang ke Malaysia pada bulan Oktober 2006, untuk berjumpa dengan Abdul Razak Baginda kerana mahu menuntut baki komisyen yang dijanjikan hasil urusniaga kapal selam.

Pada tahun 2002, syarikat Perancis-Sepanyol bernama Armaris mencapai persetujuan untuk menjual tiga buah kapal selam kepada kerajaan Malaysia dengan harga satu bilion Euro, iaitu harga yang paling tinggi dalam sejarah penjualannya.

Kes ini membabitkan DCNS, sebuah syarikat Perancis, yang pakar dalam pembinaan kapal laut tentera. Armaris, yang menjual Scorpene dan satu kapal selam Agosta kepada Malaysia pada Jun 2002, dibeli oleh DCNS pada tahun 2007.

Dalam perbahasan Parlimen, iaitu pada sesi sidang belanjawan tahun 2004, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dr Syed Azman Syed Ahmad mendesak kerajaan menjelaskan kontrak pembelian kapal selam dengan sebuah syarikat di Perancis, DCN International yang melibatkan wang sebanyak RM 7.7 bilion.

Beliau berkata, sebuah syarikat milik Abdul Razak Baginda, Perimekar Sdn Bhd serta rakan kongsinya mendapat keuntungan lebih daripada RM300 juta hasil dari pembelian kapal selam tersebut.

Syarikat tersebut katanya, bertindak sebagai orang tengah dalam pembelian kapal selam itu antara DCN International dengan kerajaan Malaysia.

"Apakah peranan yang dimainkan oleh Abdul Razak Baginda dalam pembelian kapal selam ini sehingga meraih keuntungan sebanyak RM300 juta," soal beliau.

Di Dewan Rakyat, pada Oktober 2007, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Zainal Abidin Zin, mengakui bahawa Armaris telah membayar sebanyak 114 juta Euro sebagai komisyen kepada Perimekar, untuk tujuan perkhidmatan sokongan dan koordinasi.

Kes-kes ini sebenarnya mencetuskan keraguan, siapakah Altantuya sebenarnya. Adakah beliau broker yang digunakan dalam urusan jual beli? Dan, apakah tujuan sejumlah wang yang dibayar kepadanya oleh Razak Baginda sebelum beliau ditemui mati.

Masalah yang cuba ditutup di sini ialah hubungan rapat Razak Baginda dengan Najib-Rosmah, apakah kaitan mereka dengan Perimekar?

Persoalan-persoalan inilah yang berlegar di minda rakyat sebenarnya. Ia masih gagal dihapuskan Najib selepas setahun menjadi PM.

Persepsi yang sukar ditangkis


PM Najib barangkali mempunyai pendekatan yang tersendiri, namun beliau tidak terlepas dari persepsi buruk terhadap stail kepimpinannya.

"Dulu kita ada kerajaan tiga beranak, sekarang kita dipimpin oleh kerajaan suami isteri," getus seorang blogger orang kuat Umno.

Ia bukannya persepsi rakyat atau Pakatan Rakyat. Malah orang dalam Umno sendiri mengakui kalau hendak 'selamat' dalam Umno, mesti baik dengan Rosmah.

Ada sumber mengatakan, orang yang terbabit dalam urusan perniagaan pula mendakwa, jika hendak mendapat rezeki sama ada kontrak atau tender, juga mesti melalui Rosmah.

Malah pada peringkat awal Najib menjadi PM, ada dakwaan bahawa diarahkan kepada pihak tertentu, menyediakan bilik untuk Rosmah (di pejabat kerajaan), juga menyediakan tiga orang pegawai untuk beliau. Hal ini tidak pernah berlaku kepada PM-PM sebelum ini.

Situasi yang sebegini mencetuskan persepsi bahawa kemungkinan ada campur tangan Rosmah dalam pentadbiran Najib.

Barangkali keadaannya tidak begitu. Barangkali Rosmah tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran Najib. Tetapi jika ditanya rata-rata rakyat Malaysia, mereka akan mengatakan bahawa, persepsi mereka ialah, Rosmah yang dictate Najib.

Begitu juga yang dialami oleh Tun Abdullah Badawi. Semasa pemerintahannya dikaitkan dengan campur tangan isteri, anak dan menantunya dalam pentadbiran negara dan parti.

Dalam keadaan sekarang, jika persepsi terhadap Najib terus kekal begitu, ia amat membahayakan masa depan politik beliau. Selagi persepsi ini tidak dapat dihapuskan, selagi itulah Najib tidak akan dianggap pemimpin yang berjaya membawa perubahan.

Isu-isu kempen Hulu Selangor


Najib memasuki tahun kedua pemerintahannya dengan cabaran Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor. Hulu Selangor dianggap sebagai penentu 'hidup mati' karier politik beliau, dan juga penentu masa depan BN.

Terdapat banyak isu yang tidak dapat dihuraikan secara terperinci dalam kolum yang terhad ini. Barangkali cukup sekadar catatan ringkas, untuk dikaji lebih teliti buat kempen Pakatan Rakyat di Hulu Selangor nanti.

Antaranya ialah isu pesawat pejuang Sukhoi bernilai RM3.2 bilion, yang didakwa membabitkan pembayaran komisyen yang besar juga belum selesai.

Isu GST (cukai barangan dan perkhidmatan) yang menekan dan menindas rakyat terpaksa ditangguhkan pembentangannya di Parlimen kerana bantahan Pakatan Rakyat, juga merupakan satu rekod buruk.

Dua isu besar yang membahayakan keselamatan negara secara khusus iaitu, isu kehilangan enjin jet F5E bernilai 50 juta dan pengakuan kerajaan bahawa maklumat pertahanan negara bocor kepada kedutaan asing juga memalukan negara. Malah yang lebih buruknya ialah, kedua-dua kes ini berlaku semasa Najib menjadi Menteri Pertahanan.

Isu royalti Kelantan juga harus diketengahkan. Ia bukan soal Najib semata-mata, ianya adalah merupakan salah laku pemimpin Umno, bermula pada Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghalang Terengganu yang diperintah PAS menerima royalti. Mereka tidak peduli walaupun penduduk Terengganu lebih 90 peratus orang Melayu.

Dasar ini diteruskan oleh Abdullah, sehingga wang ihsan digunakan oleh Umno sewenang-wenangnya, melakukan projek yang membazirkan wang rakyat. Penyelewengan wang ihsan terbukti dengan runtuhnya beberapa buah bangunan di Terengganu walaupun hanya baru beberapa tahun dibina.

Kepincangan dasar terhadap orang Melayu juga harus dibangkitkan. Isu PPSMI misalnya. Walaupun kerajaan sudah mengumumkan ia akan dihapuskan pada tahun 2012, namun kesan buruknya terhadap rakyat, sudah dan sedang berlaku pada waktu ini.

Isu ini sebenarnya membuktikan betapa rakusnya pemimpin Umno, untuk mempertahankan kuasa, orang-orang Melayu dimangsakan.

Antara lain yang diboleh dibangkitkan ialah isu Model Ekonomi Baru (MEB), isu Felda dan sebagainya.

Kesimpulan


Daripada rentetan skandal, penyelewengan dan isu yang dipaparkan dalam catatan ini, amat jelas, banyak persoalan yang masih kabur menghantui kepimpinan Najib.

Sehingga kini, Najib ternyata gagal mengurus persepsi bahawa pemerintahannya tiada beza dengan Abdullah.

Data dari skala politik, ekonomi dan sosial menunjukkan dengan jelas bahawa usaha Najib untuk membawa reform, bagi menarik sokongan rakyat pelbagai kaum kepadanya masih gagal

Setakat ini, dalam tempoh setahun, report cardnya dipenuhi dengan dakwat merah. Sekiranya dakwat merah ini berterusan sehingga PRU ke-13, maka beliau berkemungkinan besar menjadi PM terakhir daripada Umno-BN

No comments:

Search This Blog