Oleh Wan Faizal Ismayatim
KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sependapat dengan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Kamaruddin Jaafar, bahawa rakyat Perak mungkin melakukan rusuhan seperti di Thailand, jika Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu tidak dibubarkan segera.
Beliau berkata, krisis politik di Perak hanya dapat diselesaikan melalui pembubaran DUN bagi membolehkan kuasa penentu dikembalikan kepada rakyat menerusi pilihan raya negeri.
"Kemungkinan (perkara sama seperti di Thailand berlaku di Perak), memang kemungkinan... mana ada orang boleh terima cara macam tu, Malaysia ni bergerak dengan cara demokrasi, orang yang hilang dan tak ada di rumah, tiba-tiba muncul bersama Perdana Menteri sekarang.
Nak ambil negeri guna pilihan raya, jangan rampas kuasa macam tu... kemungkinan berlaku (seperti di Thailand)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Penambahbaikan Masjid Al-Mukhlisin di sini, semalam.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, turut menolak sebarang usaha perundingan antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat dalam menyelesaikan krisis politik di Perak kerana menurutnya biar rakyat membuat keputusan menerusi pilihan raya.
"Perundingan ialah pilihan raya, itu perundinganlah. Krisis yang berlaku di Perak tidak akan selesai kecuali bubar DUN dan diadakan pilihan raya," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Kamaruddin dalam laman web Harakah Daily, beberapa hari lalu yang mendakwa tidak mustahil rakyat Perak akan melakukan tunjuk perasaan seperti di Thailand jika DUN Perak tidak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz, menyambut baik konsep Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, konsep berkenaan perlu ditonjolkan bagi menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini dan pada masa sama mendesak Umno tidak lagi mengamalkan prinsip ketuanan Melayu yang dakwanya tidak lagi diterima rakyat.
"Konsep Satu Malaysia perlu ditonjolkan, boleh. Saya nasihatkan pada orang Melayu dalam Umno, tinggal Ketuanan Melayu dan ambil Ketuanan Islam kerana ini bukan masalah Pas, tetapi untuk dunia akhirat," katanya.
No comments:
Post a Comment