Tuesday, April 14, 2009

10 ADUN boikot: Ahmad nafi SMS dari Pejabat MB

PUTRAJAYA: Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tidak terkejut dengan tindakan 10 ADUN BN Terengganu termasuk bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Idris Jusoh, 'memboikot' sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi tadi manakala Perdana Menteri mahu kesemua wakil berkenaan kembali sertai sidang seperti biasa mulai esok.

Malah beliau juga menafikan SMS ugutan yang dimaksudkan oleh 10 ADUN berkenaan berpunca dari pejabat beliau.

Ia dinyatakan oleh beliau kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

"Saya minta semua ADUN hadir persidangan DUN.

"Setakat ini mereka (ADUN) hanya dapat SMS tapi ia tidak berpunca dari Pejabat Menteri Besar," kata Najib di sini sebentar tadi.

Sesi hari ketiga sidang DUN Terengganu - juga hari terakhir, akan berlangsung esok.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan 10 ADUN BN yang enggan menghadiri hari kedua sidang DUN hari ini kerana mendakwa keselamatan diri mereka terancam.

Sepuluh wakil rakyat yang tidak menghadiri sidang Dewan itu ialah ADUN Tepuh, Muhammad Ramli Nuh, Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).

Tindakan kesemua ADUN BN itu dipercayai mempunyai kaitan dengan SMS berbentuk ugutan yang diterima oleh tiga wakil rakyat BN iaitu Permaisuri, Paka dan Ajil malam semalam berhubung kemelut politik di negeri ini.

Malah Najib juga berkata, Ahmad juga ada memaklumkan beliau bahawa SMS yang dimaksudkan itu tidak berpunca dari pejabat beliau.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan pula berkata, polis sedang mengenal pasti individu yang menghantar SMS ugutan kepada tiga ADUN BN terbabit.

Beliau berkata, kes itu akan diberi keutamaan dan pihaknya akan menyelesaikannya secepat mungkin kerana ia melibatkan pucuk pimpinan negeri dan orang kenamaan.

"Perkara ini terlalu awal untuk diulas. Saya tidak boleh komen lagi kerana kes ini masih dalam siasatan," katanya di Kuala Terengganu.

Terdahulu juga di Kuala Terengganu, Ahmad memberitahu, beliau tidak terkejut dengan tindakan wakil rakyat BN itu dan tidak akan menghubungi mereka bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

"Tidak hadir Dewan perkara biasalah bagi orang politik... saya tidak akan memujuk mereka supaya datang (esok)," katanya yang banyak mengelak soalan daripada wartawan.

Malah Ahmad juga berkata, beliau tidak tahu punca 10 ADUN BN negeri itu tidak menghadiri sidang DUN hari ini.

Katanya, beliau juga tidak mengetahui bahawa tiga ADUN BN telah menerima SMS ugutan yang mengancam nyawa mereka, malam semalam.

"Saya baru balik dari Kemaman kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.

"Saya tidak tahu perkara sebenar berhubung SMS dan tindakan 10 ADUN yang tidak menghadiri sidang Dewan hari ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang DUN berhenti rehat tengah hari ini.

Ditanya mengenai pegawai kanan kerajaan negeri yang dikaitkan dengan penghantaran SMS itu, Ahmad menyerahkan perkara itu kepada polis untuk mengambil tindakan selanjutnya kerana tiga ADUN berkenaan telah membuat laporan mengenai perkara itu.

No comments:

Search This Blog