PUTRAJAYA 13 April - Keputusan sama ada Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exco kerajaan negeri menggunakan pendekatan undang-undang yang betul bagi mencabar keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V. Sivakumar melarang mereka menghadiri sidang Dewan, akan diputuskan esok.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff menetapkan demikian setelah mendengar bantahan awal peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Sivakumar.
Beliau bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab. Rahman, Datuk Seri S. Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.
Sebelum itu, panel tersebut menolak bantahan awal pertama yang dikemukakan oleh Sulaiman agar tafsiran isu perlembagaan melibatkan Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak 1957 dalam saman pemula itu didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.
Pada peringkat itu, Sulaiman sekali lagi mengemukakan bantahan awal dengan menyatakan, pemohon-pemohon melakukan prosedur yang salah ketika memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi tersebut.
Beliau menyatakan, saman pemula itu jelas merupakan tindakan memintas dan penyalahgunaan kuasa mahkamah kerana mereka sepatutnya mengemukakan permohonan melalui semakan kehakiman mengikut Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.
Bagaimanapun, peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaludin yang mewakili ketujuh-tujuh pemohon berhujah, Aturan 53 tidak boleh diguna pakai pada peringkat ini kerana ia tidak melibatkan semakan terhadap mana-mana keputusan mahkamah.
Menurut beliau, anak guamnya hanya memohon perisytiharan agar keputusan menggantung dan melarang mereka itu adalah tidak sah dan terbatal kerana ia bertentangan dengan undang-undang.
Pada 18 Februari lalu, Sivakumar mengambil tindakan mengejut menggantung dan melarang Menteri Besar bersama enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN berkuat kuasa serta-merta selama 18 bulan.
Berikutan itu, pada 2 Mac lalu, Zambry dan enam Exco itu memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi membatalkan keputusan Speaker DUN menggantung dan melarang mereka menghadiri sidang Dewan kerana tindakan itu bertentangan dengan undang-undang.
Zambry dan enam Exco terbabit juga memohon satu pengisytiharan bahawa mereka berhak mengambil bahagian dalam sidang Dewan dan menjalankan fungsi serta kewajipan masing-masing.
Keenam-enam Exco itu ialah Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk Ramly Zahari, Hamidah Osman, Datuk Saarani Mohamad, Mohd. Zahir Abdul Khalid dan Dr. Mah Hang Soon.
No comments:
Post a Comment