Malah, setiap hari akhbar arus perdana termasuk eletronik terus menerus membincangkan perihal kabinet baru Najib yang mengekalkan 'ciri lama' ala pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menyentuh kabnet Najib, pemerhati politik rata-ratanya melihat tidak ada apa yang istimewa kecuali usaha beliau untuk kembali menarik golongan agama dengan melantik Mej-Jen (B) Dato' Jamil Khir Baharom bekas Pengarah Kagat sebagai Menteri Hal Ehwal Agama Islam.
Selainnya, sama wayang lama yang dipamerkan semula untuk tatapan rakyat yang semakin boleh menilai sejauh mana kabinet 'ikan busuk' ini mampu melakukan kerja untuk rakyat.
Malangnya, berdasarkan pengalaman kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini perihal melantik golongan agamawan tidak mampu menggugat Pakatan Rakyat terutamanya PAS.
Untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada Umno dilihat semakin sukar kerana telah terbukti penolakan rakyat kepada Umno adalah penolakan total yang berkait rapat dengan dasar dan idealis Umno yang semakin menyimpang jauh.
Biarpun konsep 'one Malaysia' dicanangkan, namun ramai yang melihat ia sekadar satu propaganda yang tak akan menjadi kenyataan jika Umno sendiri tidak berubah.
Malah telah terbukti kemasukan tokoh-tokoh agama dalam Umno sebelum ini seperti bekas Imam Masjid Negara, Dato' Pirdaus Ismail dan Dr. Mashitah Ibrahim tidak mampu mengubah dasar dan perjuangan Umno yang terus diragui rakyat.
Dalam pemilihan Umno di peringkat bahagian dan pusat tokoh-tokoh agama tersingkir seorang demi seorang atau mula menjauhkan diri daripada Umno apabila Pak Lah 'bersara' sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.
Apa-apapun pembentukan kabinet baru Najib membibitkan lagi perpecahan yang berlaku dalam Umno hari ini, bukan sekadar retak menanti belah tetapi hanya menunggu masa untuk bersepai.
Paling menjolok mata, Najib menuruti kemahuan Tun Mahathir supaya tidak melantik Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membarisi kabinet, sebaliknya melantik Mukhriz yang tewas ditangga ketiga.
Perihal pelantikan Mukriz ini ibarat halilintar yang bakal menggoncang Umno, dan Khairy walau dalam nada kononnya redha, dihati kecilnya siapalah yang tahu.
Mengikut kelazimannya, Ketua Pemuda akan memegang jawatan dalam kabinet, namun kali ini nyata permusuhan Tun Mahathir dengan Khairy mengatasi segala pertimbangan.
Ramai kalangan penyokong Khairy melihat, tidak melantik Khairy tidak mengapa jika Mukhriz pun tidak dilantik sama, tetapi dengan melantik Mukhriz jelas secara terang-terang Najib ingin menunjukkan kuasa dan pengaruhnya.
Ini juga satu penghinaan kepada Khairy dan secara tidak langsung kepada Abdullah dan penyokong-penyokongnya yang masih 'wujud' dalam Umno.
Beberapa sumber dalaman Pemuda Umno menyebut,selepas Najib mengumumkan kabinetnya, Khairy Jamaludin mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam bertempat di kediaman rasmi di Melaka.
Kata sumber, apa yang menarik pertemuan itu melibatkan dua tokoh yang tersingkir dan terbuang daripada 'projek pembaharuan' yang dilakukan oleh Dato' Seri Najib sama ada di dalam Umno atau dalam kerajaan.
Pertemuaan ini dikatakan berkait rapat sebagai perancangan dan perbincangaan survival politik mereka dalam Umno.
Terbaru, berdasarkan situasi itu kini wujud keyakinan di kalangan pemimpin Umno sendiri bahawa Khairy bakal berhadapan tindakan lebih tegas daripada Lembaga Disiplin Umno berdasarkan penemuaan 'bukti baru' oleh lembaga itu.
Walaupun Khairy menjelaskan ia lebih kepada perbincangan untuk menentu dan melantik Ketua Pemuda Umno Negeri yang baru, namun pastinya ada strategi yang sedang diusahakan Khairy untuk survival politiknya.
Ada yang menyatakan Khairy akan menyerang melalui beberapa menteri kanan yang masih ada 'kaitan' dengan kem Abdullah.
Sementara rakyat Melaka pula hari ini semakin mempercayai bahawa tempoh jawatan Ali Rustam sebagai Ketua Menteri agak goyah ketika ini.
Malah ada yang menyatakan, Ali hanya menanti keputusan Najib untuk menyingkirkan beliau, bersekali dengan rakan sejawatnya di Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Mohammad Hassan (teman rapat Kahiry).
Dan tidak terkejut jika dalam beberapa hari lagi, Ali mungkin akan melepaskan jawatan sebagai ketua Menteri untuk memberi 'laluan' kepada muka baru.
Maka semakin tepatlah ramalan banyak pihak akan ada sesuatu tindakan bakal dilakukan oleh Najib untuk membersihkan saki baki pengaruh Abdullah dalam Umno dan juga kerajaan.
Seperti kata Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar bahawa tindakan ini penting bagi Najib dalam memiliki kuasa dan cukup pengaruh agar semua pemimpin Umno dan kerajaan berada di bawah telunjuk beliau.
Nah kini kewujudan kabilah-kabilah dalam Umno berterusan, malah kabilah ini akan saling menyerang antara satu sama lain berdasarkan kepentingan perut mereka.
Untuk menghentikan perihal kabilah ini, pastinya suatu yang sukar dan hakikatnya rakyat lah yang akan terus menderita angkara pertelingkahan kabilah ini.
Namun perlu Najib intai bahawa pentadbirannya juga kini mula diserang dengan pelbagai tekanan yang mungkin datang dari watak-watak Abdullah yang masih ada dalam kabinet beliau hari ini.
Perihal krisis di Terengganu mungkin sebagai satu 'permulaan' pentadbiran Najib akan menerima buah-buah tangan Abdullah yang bakal menggoncang.
Hari ini mungkin krisis sepuluh wakil rakyat BN Terengganu yang dikatakan tidak menghadiri hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri akan menjadi titik permulaan serangan Abdullah terhadap Najib melalui watak-watak yang masih ada dalam kepimpinan Umno versi Najib.
Kemelut Umno di negeri Perlis sebagai tambahan kepada corat-coret adegan yang akan berkesinambungan dalam pemerintahan Najib yang bakal menyaksikan tekanan yang berlaku kepada Abdulah sebelum ini akan berlaku juga kepada Najib.
Mungkin ada benarnya kata Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar bahawa hayat politik Najib mungkin lebih singkat dalam melengkapi teori RAHMAN.
Apakah krisis ini jalan permulaan kepada kehancuran politik Najib, sama-sama kiota saksikan.
No comments:
Post a Comment