Friday, April 17, 2009

Dilema BN terhadap pengundi bukan Melayu


PDF Print E-mail

By Dr. Alias Mohamed

APRIL 16 — Satu perubahan yang agak besar di dua pilihan raya kecil Bukit Selambau, Kedah dan Bukit Gantang, Perak sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008 ialah peningkatan undi Melayu kepada calon-calon Barisan Nasional. Namun beberapa kelemahan jentera pilihan raya BN perlu dinyatakan dengan jelas untuk difikir dan diperbaiki serta-merta.

Pertama, pengundi-pengundi bukan Melayu masih terpedaya dengan dakyah-dakyah parti pembangkang yang yakin boleh merealisasikan Malaysian Malaysia. Kemenangan DAP di Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum 2008 memperkukuhkan azam dan keyakinan ini.

Oleh itu, mereka cuba menterjemahkan kejayaan DAP di Pulau Pinang menerusi undi orang bukan Melayu di Selambau dan Bukit Gantang.

Dengan kata lain, semangat kecinaan dan keindiaan pengundi-pengundi bukan Melayu ini adalah tebal. Mereka menolak dasar-dasar arus perdana yang diterajui oleh Umno.

Kedua, sikap ini secara umumnya mendorong para pengundi bukan Melayu supaya tidak mengundi BN walaupun segala permintaan yang dikehendaki oleh pengundi bukan Melayu telah dipenuhi oleh BN dengan pemberian pelbagai peruntukan di kawasan-kawasan berkenaan.

Mereka mengambil sikap: ambil kemudahan kerajaan tetapi tolak pentadbirannya, walaupun tidak ada kemudahan yang serupa diberi oleh pembangkang kepada pengundi-pengundi bukan Melayu. Sekali gus, ini bermakna mereka menyatakan hasrat perkauman par excellence.

Trend yang serupa dipamerkan dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu. Penolakan pengundi Cina terhadap BN boleh dilihat, sungguhpun mereka mendapat bantuan kerajaan dan tidak mendapat bantuan pembangkang.

Di sini, sokongan mereka kepada calon PAS bukan bermakna mereka menyokong parti itu, tetapi sebenarnya menolak kerajaan — untuk menunjukkan sokongan kepada parti pembangkang lain.

Ketiga, parti-parti komponen BN — MCA dan Gerakan — perlu dipertanggungjawabkan terhadap senario ini, terutama amalan dalam MCA yang mendesak kerajaan memberi itu dan ini kepada mereka melalui akhbar-akhbar Cina.

Beberapa bulan kebelakangan ini, sebelum pilihan raya kecil Selambau dan Bukit Gantang, pemimpin-pemimpin mereka mempersoalkan ketuanan Melayu dan kontrak sosial — dua isu sensitif yang menarik imaginasi orang Cina dan India.

Keempat, tindakan-tindakan pembangkang di mahkamah yang melibatkan Perlembagaan negara juga satu lagi punca yang menghakis keyakinan pentadbiran negara yang dipimpin oleh Umno.

Di samping itu, tindakan-tindakan berani pemimpin-pemimpin DAP yang meletakkan papan-papan tanda jalan dalam bahasa Cina di Pulau Pinang dan Selangor sebenarnya manifestasi politik yang berasaskan aspirasi orang Cina, bukan berdasarkan asas-asas pemerintahan di Malaysia.

Kelima, pengundi-pengundi bukan Melayu teruja dengan rentak kempen dan propaganda anti Umno dan BN. Sikap dan tindakan mereka disokong oleh PAS dan PKR yang hanya ingin menang dalam pilihan raya dan tidak mempedulikan ground rules dalam politik di Malaysia.

Kepada mereka ini, tidak mengapa kalau kuasa orang Melayu diambil alih orang lain asalkan mereka menjadi sebahagian kecil daripada pasukan yang menang.

Hakikat ini sehingga hari ini masih gagal dicanang oleh pemimpin-pemimpin Umno untuk menyedarkan orang Melayu.

Akhir sekali, pemimpin-pemimpin BN, terutama Umno, perlu memahami trend pemikiran parti-parti politik Cina hari ini. Apakah yang harus mereka buat dalam keadaan seperti ini?

Adakah perlu mereka mengambil risiko dalam Pilihan Raya Umum Ke-13?

No comments:

Search This Blog