Tuesday, April 14, 2009

Masanya Bagi Nik Aziz Melangkah Ke Hadapan Untuk Rakyat Malaysia



Oleh kickdefella

Muktamar PAS Yang akan datang adalah muktamar yang akan menentukan barisan saf  PAS bagi PRU13 dan berkemunkinan besar,jika saf itu betul pilihannya,ia akan menjadi pemilihan terakhir sebelum PAS bersama PAKATAN menubuhkan Kerajaan di peringkat pusat


PAS akan berhadapan dengan pemilihan jawatan-jawatan tertinggi partinya menjelang Jun 2009 kelak. Memandangkan isu Muqabalah dan isu Kerajaan Campuran sudah mula lesu, tibalah masanya PAS menyusun semula saf kepimpinannya sesuai dengan kemelut dan peluang yang bakal dihadapinya di dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang akan menjelang dalam tempoh 12 ke 24 bulan akan datang.

Jaguh setiakawan PAS-UMNO, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dilaporkan memberitahu orang kanan media bahawa era penyatuan antara PAS-UMNO sudah lesu kerana ianya dahulu perpanjikan keikhlasan Pak Lah selaku pemimpin negara dan teraju UMNO. Bagaimanapun, menurut Ustaz Nasha, dia tidak nampak keikhlasan yang sama pada Najib Razak.

Walaupun masih ada mencurigai kegagalan Ustaz Nasha melihat keikhlasan Najib, ramai tidak mencurigai bahawa masa hadapan PAS bukan bersama Si Luncai yang akan terjun dengan Labunya.

Setelah berhadapan dan menang cemerlang dalam 3 pilihanraya kecil Parlimen dan 1 pilihanraya kecil DUN, ternyata gandingan kerjasama PAS-DAP sudah melepasi detik-detik percubaan yang getir. Setelah satu tahun berhadapan dengan tekanan dakyah media pro kerajaan pusat, gandingan PAS-DAP dalam bentuk kerjasama di peringkat negeri-negeri dan gandingan DAP-PAS diperingkat pusat dalam bentuk kesatuan isu dan perjuangan telah berjaya menampakkan kesan positif.

Walaupun di dalam 4 pilihanraya kecil itu tidak melibatkan sebarang pertandingan dari calon DAP, tetapi ia membuktikan bahawa, hubungan itu tidak menamatkan sokongan setia pengundi PAS kepada PAS dan masyarakat Cina yang kini menerima DAP sebagai parti arus perdana mereka juga tidak langsung gentar memberi undi mereka kepada PAS.

Pilihanraya kecil Bukit Gantang adalah satu ujian paling getir. PAS walaupun kehilangan sehingga hampir 5% undi Melayu tetapi kalau kita kaji keputusan pilihanraya 2004, PAS masih mengekalkan dan mendapat peningkatan undi padu penyokongnya. Dalam pilihanraya 2004, PAS mencabar calon BN-Gerakan di Bukit Gantang. PAS memperolehi lebih 10,000 undi iaitu undi padu Melayu. Undi tersebut termasuklah undi protes Melayu dan ahli UMNO yang marah kerana kerusi tradisi UMNO itu diberi kepada Gerakan.

Kita tolak ketepi fenomena luarbiasa PRU 13 tetapi kita lihat keputusan 7 April 2009 dan kita akan dapati, walaupun terdapat pengundi Melayu yang terbabit dengan fenomena luarbiasa PRU 13 sudah kembali kepada UMNO, tetapi PAS masih mengekalkan undi-undi padu Melayu pada kadar yang sama dengan biasa diterimanya seperti PRU 2004.

Kesimpulan daripada 7 April 2009, pengundi Melayu yang setia menyokong PAS tidak lari dari terus menyokong PAS walaupun UMNO mendakyahkan segala bentuk kedurjanaan kepada PAS. Lebih baik lagi pengundi dari saluran muda semakin terus cekal memberi undi kepada PAS. Dan dalam apa yang dianggap sebagai undian di luar aturan tabii, masyarakat Cina pula kini semakin padu mengundi PAS.

Selepas persempadanan semula Pasca PRU 1999 yang banyak berjasa kepada UMNO, kini persempadanan semula itu yang meletakkan orang-orang bukan Melayu sebagai ‘king maker’ ternyata hampir melenyapkan MCA, MIC dan Gerakan dan melumpuhkan UMNO.

Oleh yang demikian, PRU 13 tenyata memberi peluang cerah kepada PAS untuk meraih kemenangan lebih besar dan seterusnya bersama rakan mereka PKR dan DAP akan mungkin memikul tanggungjawab sebagai pentadbir di peringkat pusat.

Perubahan teraju di dalam UMNO dan MCA ternyata tidak membuahkan sebarang hasil sehingga kini. Sebaliknya, kedua-duanya dilihat telah mula berhadapan dengan polemik baru hasil dari perubahan teraju itu.

Keasyikan rakyat terhadap aura kepimpinan Najib juga tidak berlaku seperti diharapkan. Walau pada mulanya, rakyat hampir teruja tetapi setelah Tun Dr. Mahathir dilihat memainkan peranan agresif dalam kepimpinan Najib, rakyat yang bukan penyokong setia TDM terus meminggirkan Najib sebagai boneka. TDM adalah negarawan ulung dan beliau punyai eranya. Tetapi eranya sudah berlalu dan kebanyakan rakyat mahukan era baru dan keluar dari kepompongnya.

Bukan kacang lupakan kulit, tapi kacang-kacang pun mahu juga kulit yang baru sesuai dengan era perubahan global. Rakyat Amerika cintakan Kennedy, tapi kalau JFK masih hidup sekarang, cinta mereka pada JFK pasti pudar dan mereka tentu sekali mahukan era Obama tanpa campurtangan JFK.

Persoalannya sekarang, haruskah PAS ketinggalan keretapi yang sekian lama dikejarnya?

Tetapi, jika PAS mahu merasai nikmat menaiki keretapi itu, PAS harus menyediakan dirinya untuk tidak lain tetapi satu, iaitu naik keretapi itu!

PAS boleh cemerlang dalam PRU akan datang jika mereka dapat terus mengekalkan keyakinan masyarakat bukan Melayu kepada mereka. Untuk itu, PAS harus terus setia dengan identiti perjuangan Islamnya dan terus tolak perjuangan assabiyah atau nasionalistik.

Namun dalam mengekalkan identiti perjuangan Islam itu, ia perlu ditonggak dengan pemimpin yang dilihat fundamentalis tetapi bukan ekstremis. Ia juga harus diterajui oleh saf pimpinan yang bukan sahaja berilmu tetapi berakal.

Di dalam erti kata lain, PAS harus lekangkan diri mereka dari imej kampung tetapi tidak boleh menyarung imej elitis. PAS kini perlu beralih dari parti pondok kepada parti rumah pangsapuri dan jangan jadi parti rumah banglow.

Kemenangan-kemenangan bermakna PAS dalam PRU12 lalu ialah disekitar kawasan sub bandar dan urban tetapi yang memberi sokongan padu kepada PAS baru-baru ini ialah golongan pekerja atau proletar bukan golongan bangsawan.

Tiada tokoh lain yang lebih sesuai untuk meneruskan agenda PAS ke pusat selain daripada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Untuk tujuan itu, sudah tiba masanya Tuan Guru meninggalkan tahta empuknya di Kelantan dan berkampung di pusat. Tuan Guru perlu meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan dan menjamin satu peralihan kuasa yang sempurna supaya penggantinya mempunyai masa yang cukup untuk memperkemaskan diri berhadapan dengan jentera baru UMNO di Kelantan yang sudah pasti akan diambil alih oleh Mustapha Mohamed.

Dan dalam PRU ke 13 kelak, Tuan Guru perlu bertanding kerusi Parlimen begitu juga teraju-teraju PAS lainnya termasuk Husam Musa, Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin dan Mohamad Sabu yang jelas berpengaruh luas dikalangan bukan Melayu.

Jika PAS benar-benar serius dan mahu rakyat mengetahui ketegasannya bersama Pakatan Rakyat ke pusat, PAS perlu pertaruhkan segala kekuatannya di Pusat.

Tidak ada lebih baik, di dalam pilihanraya umum akan datang selain PAS mampu meletakkan poster Nik Aziz bersama Poster Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang selaku pemimpin parti-parti politik Pakatan.

Muktamar PAS yang akan datang adalah muktamar yang akan menentukan barisan saf PAS bagi PRU13 dan berkemungkinan besar, jika saf itu betul pilihannya, ia akan menjadi pemilihan terakhir sebelum PAS bersama PAKATAN menubuhkan kerajaan di peringkat pusat.

1 comment:

Unknown said...

The time in now, please extend my word to those PAS people, they should be prepared now...this day, because come PRU13, do not create a fumble when the people choose them to lead the new beginning.

Peace.

Search This Blog