Friday, April 17, 2009

DAP anggap mahkamah campuri urusan perundangan

IPOH: DAP menganggap keputusan Mahkamah Persekutuan menarik semula penggantungan terhadap Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya sebagai badan kehakiman mencampuri urusan badan perundangan.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, berkata dengan keputusan itu, semua percakapan atau perbuatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen kini boleh disemak oleh mahkamah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sitiawan berkata, keputusan itu juga memberi nama buruk kepada badan kehakiman dan mewujudkan duluan yang berbahaya.

"Dengan memulakan campur tangan dalam badan perundangan dan menjejaskan reputasi badan kehakiman, keputusan mahkamah pagi ini (semalam) boleh diabaikan oleh DUN.

"Keputusan mahkamah ini juga hanya deklarasi, bukannya kuasa menghalang.

"Deklarasi hanya satu luahan pendapat. Hakim memberi pendapat mereka mengenai kuasa Speaker DUN," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat kepemimpinan Pakatan Rakyat Perak di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Osman Abdul Rahman; Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sementara itu, Mohammad Nizar berkata, semua 28 Adun Pakatan Rakyat akan menghadiri Sidang DUN yang dijangka akan dipanggil oleh Barisan Nasional (BN) tidak lama lagi, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam.

Katanya, Adun Pakatan Rakyat menunggu notis dua minggu yang akan dikeluarkan Setiausaha Dewan yang baru, Mohd Misbahul Munir Masduki.

Beliau berkata, Speaker DUN Perak, V Sivakumar menggantung tugas Setiausaha Dewan sebelum ini, Abdullah Antong Sabri, bulan lalu.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Nizar berkata, Ipoh akan menjadi tuan rumah kepada konvensyen Pakatan Rakyat peringkat kebangsaan yang dijadualkan pada 8 dan 9 Mei ini.

No comments:

Search This Blog