Sunday, February 1, 2009

Selangor mahu kontrak Syabas ditamatkan


SHAH ALAM – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan bahawa kerajaan negeri kini menunggu maklum balas daripada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi berhubung cadangan menamatkan kontrak konsesi 30 tahun Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Beliau memberitahu, kerajaan negeri meminta kementerian itu membuat keputusan segera selepas mendapati Syabas sengaja melanggar beberapa terma perjanjian konsesi berdasarkan laporan Jabatan Audit Negara baru-baru ini.

“Kita memandang serius pelanggaran terma konsesi oleh Syabas berdasarkan laporan audit itu yang antara lainnya ialah sebahagian besar kontrak yang ditawarkan syarikat utiliti itu yang bernilai lebih RM500 juta adalah secara perbincangan terus bukan secara tender terbuka.

“Sepatutnya semua kontrak perlu ditawarkan secara tender terbuka dan saya telah menulis kepada Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor mengenai perkara itu dan beberapa hal lain,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik sumber bahawa kerajaan negeri meminta kementerian terbabit menamatkan konsesi Syabas kerana dikatakan melanggar syarat-syarat kontrak selama 30 tahun itu.

Syabas kini dimiliki Puncak Niaga dengan 70 peratus pemilikan saham manakala selebihnya oleh sayap pelaburan kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Bhd.

No comments:

Search This Blog