FEB 4 – Sepuluh hari selepas Ahli Dewan Undangan Negeri Umno dari Bota di Perak Datuk Nasarudin Hashim mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Keadilan Rakyat, segala-galanya berubah dalam sekelip mata sahaja.
Kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat sudah tumbang; sekurang-kurangnya di atas kertas.
Apa yang dianggap sebagai tamparan hebat kepada Umno tidak sampai dua minggu lalu kini menempeleng kepimpinan Pakatan Rakyat.
Nasarudin melompat semula kepada Umno manakala dua exco kerajaan negeri Jamaluddin Mohd Radzi dan Osman Jailu, kedua-duanya dari PKR, dan timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Hee Yit Foong dari DAP mengisytiharkan diri wakil rakyat bebas yang menyokong BN.
Dengan itu, “kejayaan” melompat ini meletakkan BN sebagai parti dengan kelebihan majoriti tiga kerusi iaitu 31 berbanding 28 milik bersama PKR, DAP dan Pas. Sama ada BN menubuhkan kerajaan negeri Perak akan ditentukan dalam masa sehari dua ini.
Yang pasti, pemimpin dan ahli parti-parti Pakatan Rakyat marah dan melenting dengan tindakan tiga wakil rakyat mereka melompat parti.
Yang pasti, penyokong-penyokong Pakatan Rakyat semakin membenci Umno dan Barisan Nasional kerana didakwa menggunakan umpan wang dan pangkat serta ugutan untuk menarik wakil-wakil rakyat Pakatan.
Dan yang paling pasti, politik lompat-melompat akan dibudayakan sebagai jalan pintas untuk wakil-wakil rakyat membakulsampahkan mandat rakyat kepada mereka.
Kepimpinan Pakatan pula dijangka terus berpegang dengan pendirian bahawa tidak salah bagi wakil rakyat BN menyertai mereka kerana ia berlandaskan prinsip perjuangan untuk rakyat dan keadilan untuk semua, dan bukan kerana tawaran kuasa dan pangkat.
Kepimpinan BN juga akan menggunakan alasan yang sama walaupun menghadapi tuduhan rasuah dan ugutan. Malah, suara-suara dalam BN sebelum ini yang mahu kepada undang-undang anti-lompat kerana bimbang dengan kemungkinan wakil rakyat mereka berhijrah ke kubu Pakatan Rakyat semakin lesu.
Pengalaman pahit di Perak ini akan menghantui pimpinan Pakatan sebagaimana keluarnya Nasarudin akhir bulan lalu yang meranapkan masa depan politik bekas Pengerusi Umno dan BN Perak Datuk Seri Tajol Rosli sehingga beliau terpaksa melepaskan semua jawatan utama itu.
Kini Tajol Rosli mungkin boleh kembali tersenyum. Malah beliau mungkin tertawa jika membandingkan kata-kata Nasarudin sewaktu menyertai PKR pada 25 Januari lalu:
“Saya amat yakin dengan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak-hak dan kepentingan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum di negara ini. Saya yakin Parti Keadilan Rakyat akan tetap menjunjung dan menghormati hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Saya percaya Parti Keadilan Rakyat dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat mampu untuk menjadi sebuah permuafakatan komponen parti-parti yang lebih baik demi kepentingan rakyat seluruhnya.”
Hari ini Nasarudin menyatakan bahawa keputusannya menyertai Umno semula adalah kerana ingin melihat sebuah kerajaan negeri yang kuat dan stabil; walaupun majoriti tipis yang ada sekarang adalah sama dengan yang dibawa oleh kerajaan negeri Pakatan sejak 8 Mac tahun lalu.
“Maka saya dengan perasaan penuh kesedaran dan tanggungjawab kembali semula menyertai Umno dan Barisan Nasional mulai hari ini,” katanya di ibu kota petang ini.
Masalahnya ialah tamparan hebat, sama ada kepada Pakatan atau BN, tidak sedahsyat tempeleng yang terlekap pada pipi rakyat Malaysia di Perak.
Setelah membuat keputusan pada 8 Mac tahun lalu yang memberi kemenangan tipis kepada Pakatan dengan 31 wakil rakyat pelbagai kaum dan agama, rakyat Malaysia di Perak akan menerima kerajaan baru yang bukan pilihan mereka. Kerajaan baru ini pula dikuasai sepenuhnya oleh Umno dengan kehadiran satu wakil MCA dan satu bebas bekas DAP. Hampir separuh penduduk Perak adalah dari kalangan kaum bukan Melayu.
Namun masalah ini mungkin bukan persoalan besar bagi Umno kerana kuasa yang dicita-citakan sudah pun tercapai. Segala nasihat selama ini supaya Umno membuka mata dan telinga terhadap desakan rakyat untuk berubah menjadi parti yang lebih bersifat terbuka, tidak mengamalkan politik wang, tidak menyalahgunakan kuasa dan tidak perkauman, nampaknya sudah tidak diperlukan lagi.
Mungkin Umno tidak perlu lagi bimbang dengan usaha untuk membawa pembaharuan walaupun ia dihujani tuduhan amalan politik wang dan rasuah kerana ia dengan begitu mudah dapat “membeli” wakil-wakil rakyat Pakatan.
Dua exco PKR Jamaludin dan Osman yang keluar parti sedang menghadapi tuduhan rasuah berhubung kelulusan projek bernilai RM180 juta di Seri Iskandar yang akan didengar di Mahkamah Sesyen pada Selasa depan.
Sehinggakan bekas pemimpin agung Umno Tun Dr Mahathir Mohamad mencatatkan dalam blognya hari ini:
“Apakah Umno begitu terdesak sehingga tidak dapat tunggu keputusan mahkamah berkenaan tuduhan terhadap mereka sebelum menerima mereka? Jika diterima sekarang dan kemudian mereka didapati tidak bersalah maka kerajaan pimpinan Umno (lebih kurang) akan dituduh mempengaruhi mahkamah. Benar tidak benar bukan soalnya. Pada pandangan masyarakat tuduhan ini tetap akan dipercayai. Ia akan punyai kesan dalam (pilihan raya umum ke-13).
“Umno sudah dianggap bergelumang dengan rasuah, selalu mungkir janji, mengutamakan kroni Perdana Menteri di Terengganu. Jika kepada semua ini ditambah pula dengan penerimaan orang yang dituduh melakukan rasuah seks, imej Umno akan jadi lebih buruk.”
Senyuman para pemimpin Umno dan BN yang dilihat di kaca TV sewaktu mengumumkan sokongan wakil-wakil rakyat daripada Pakatan kepada BN di Putrajaya hari ini mempunyai makna yang tersendiri.
Dua kali BN ditolak rakyat dan tersungkur dalam pilihan raya kecil sejak Mac 8 tahun lalu; dengan mudah sahaja ia menumbangkan sebuah kerajaan negeri melalui lompatan dalam sekelip mata.
Sekarang semua wakil rakyat boleh melompat.
Yang mengetap bibir menahan pilu adalah rakyat Malaysia yang bergelar pengundi. Igauan Sabah di mana fenomena “YBs For Sale” berleluasa sepanjang tahun-tahun 1990-an kini sudah merebak di Semenanjung.
Dan sekarang rakyat Malaysia di Semenanjung tidak boleh lagi mendabik dada kononnya hanya di Sabah ahli-ahli politik mudah dijual beli. Tepuk dada tanya selera.
No comments:
Post a Comment