Wednesday, February 4, 2009

'Badut-badut politik jangan 'sarkaskan' amanah rakyat'

Azamin Amin
Wed | Feb 04, 09 | 2:55:14 am MYT

TAIPING, 4 Feb (Hrkh) - "Siasat segera kematian Kugan.Ini soal hak seorang manusia.Sama ada orang Cina ataupun India, Islam suruh pemimpinnya berlaku adil kepada mereka."

Iklan

Demikian antara petikan mukadimah Ustaz Halim Naser, 45 sewaktu menyampaikan kuliah agama di Masjid Telekom, Taiping malam tadi dan Harakahdaily mendapati adalah sesuatu yang mengagumkan bilamana isu bangsa lain yang teraniaya dan perlukan pembelaan disuarakan di mimbar masjid.

Halim yang lantang dan jelas hujahnya itu memberitahu bahawa amanah merupakan satu tanggungajawab agama dan suruhan Allah yang tidak boleh dikesampingkan atau dipermainkan sama sekali malah akan dipersoalkan di akhirat kelak.

"Macam mana M.C (Cuti sakit) sehingga orang tak dapat hubungi ni? Orang kampung dan penduduk setempat nak bantu dan melawat jika pemimpinnya sakit. Ini tidak, hilang begitu sahaja," terangnya di hadapan 700 jemaah yang hadir mendengar kuliahnya.

"Badut-badut politik jangan 'sarkaskan' amanah rakyat. Jangan menyusahkan rakyat. Kalau tak perform, buatlah pilihan raya supaya rakyat boleh pilih sekali lagi yang terbaik dan tolak yang sebaliknya. Jangan buat orang tak ketahuan dan tak tentu hala macam ni," terangnya yang juga merupakan bekas seorang pegawai Tentera Laut DiRaja Malaysia.

Sebelum itu, beliau turut mengutarakan isu Kugan yang diseksa, seolah-olah dibakar dengan api yang mana perlu satu suruhanjaya siasatan untuk mengembalikan intergriti Polis DiRaja Malaysia yang terjejas imej sejak sekian lama.

"Ingat! Agama melarang kita membakar kerana api itu hak Allah. Dan apa yang berlaku ke atas Kugan mesti disiasat segera. ini bukan soal politik atau perkauman tetapi hak seorang manusia untuk hidup.

"Begitu juga jika bangsa lain sama ada Cina atau India berhak mendapat hak milik tanah atau geran, itu hak mereka dan mereka layak. ini contoh pemimpin Islam. Sejarah telah membuktikan zaman khalifah dan para sahabat yang berlaku adil kepada yang bukan Islam seperti Yahudi.

Katanya memberi contoh insiden seorang buta Yahudi sambil mengemis, mencerca Khalifah Umar al- Khattab kerana dikatakan tidak ambil tahu hal rakyat yang kebetulan ada di depannya dan Umar akhirnya menangis dan membantu Yahudi itu tanpa memberi sebarang hukuman keras.

Beliau juga memetik surah al-Quran yang membicarakan kisah kepimpinan Nabi Daud a.s berhubung hal amanah yang sepatutnya dicontohi oleh pemimpin yang ada sekarang.

"Pemimpin mesti menunjukkan jalan yang lurus kepada rakyat. Sebelum itu dia kena lurus dirinya dahulu. Kena tunjukkan tauladan.

"Bagaimana pemimpin yang isteriya bergesel pipi dengan artis bollywood? Akhirnya mereka ini akan merosakkan rakyat," katanya yang menyampaikan kuliahnya sejam lebih.

Dalam pada itu, beliau juga menyelar tindakan sesetengah pemimpin yang sinis mempermainkan ganjaran Allah dalam hal berbuat kebaikan.

"Kita kata pemimpin yang suruh rakyat buat baik akan diberi balasan syurga. Mereka dengan biadap kata inilah rasuah politik pihak tertentu. Syurga rasuah politik?

"Maka siap sedialah orang-orang ini di akhirat kelak sebab mempermainkan ganjaran Allah swt," katanya dan mahu rakyat khususnya penduduk Perak mendoakan kestabilan kerajaan negeri agar terus memiliki pemimpin contoh seperti Dato' Seri Ir nizar Jamaluudin dan sentiasa memberi sokongan dan taat setia kepada Menteri Besar itu.

Kuliah yang bermula jam 8 berakhir sejam kemudian. Difahamkan, angka kehadiran jemaah untuk mendengar kuliah agama yang disampaikan beliau mencecah ratusan sehingga memenuhi ruang masjid seperti malam tadi dan tidak kurang juga para pendakwah bebas lain. - azm _

No comments:

Search This Blog