Kalau Tuanku Sultan perkenankan makluman MB untuk bubar DUN maka terciptalah satu sejarah. Sejarah tempoh paling pendek sebuah kerajaan di negeri Perak kerana hanya sempat berumur 10 bulan. Sejarah keprihatinan Sultan pada 'denyut nadi' rakyat seperti yang diungkap oleh Raja Dr. Nazrin Shah ketika upacara sambutan 25 tahun pemerintahan Sultan Azlan. Mungkin tercatat juga sebagai sejarah sebuah 'perkenan' yang punyai roh kasih sayang istana kepada rakyat demi hasrat dan hajat jelata.
Kalau BN berjaya dapat perkenan membentuk kerajaan baru negeri Perak maka tercipta juga satu sejarah. Sejarah kelahiran sebuah kerajaan yang tidak mendapat undi majoriti rakyat melalui pilihanraya. Sejarah pertukaran kerajaan tanpa pilihanraya dan tidak pula melalui 'undi tidak percaya' di sidang DUN sebagaimana termaktub dalam perlembagaan. Sejarah pembentukan kerajaan yang salah satu sebabnya ialah seorang ADUN melompat parti dua kali dalam seminggu. Sejarah lompat pergi dan balik.
Kalau Tuanku Sultan tidak memberikan perkenan kepada kedua-dua permintaan - DUN tidak dibubar dan BN pun tak membentuk kerajaan - maka ia juga menjadi sejarah. Pertama, sejarah sembah-maklum seorang MB untuk membubarkan DUN tetapi ditolak oleh istana. Ia menjadi sejarah kerana belum pernah berlaku sebelum ini. Kedua, sejarah gabungan ADUN yang mendakwa mempunyai majoriti dalam DUN namun tidak diperkenan untuk membentuk kerajaan. Sultan memang tak perlu perkenankan kerana bukti 'punyai majoriti' mestilah melalui undi tak percaya dalam sidang DUN. Namun ia jadi sejarah juga kerana yang memohon nak membentuk kerajaan baru itu tak mau peduli kepada perlembagaan. Akhirnya satu lagi sejarah tercipta kerana kerajaan yang ada perlu terus berkhidmat dalam keadaan kelebihan kerusi yang tak jelas dalam DUN.
Seminggu dua ini dah terlalu banyak sejarah tercipta.
SPR menolak perakuan dan makluman Speaker DUN tentang kekosongan kerusi DUN. Ia bukan sejarah kecil tetapi sejarah salah guna kuasa yang terang lagi bersuluh. Sejarah kesanggupan SPR merogol perlembagaan sebuah negeri yang dipayungi seorang Sultan berlatarbelakang undang-undang. Sejarah kesanggupan UMNO memaksa SPR dan kesediaan SPR diperbodohkan oleh UMNO.
Nasarudin juga mencipta sejarah tersendiri yang pasti dikenang lebih dari tujuh keturunan. Melompat keluar UMNO masuk PKR dan melompat semula keluar PKR masuk UMNO. Memang sejarah. Ibrahim Ali akan hilang dari catatan sejarah lompat parti yang sinonim dengan namanya selama ini. Nasarudin telah menggantikannya dengan rekod baru yang pasti sukar dipecahkan.
Jamaludin dan Osman juga mencipta nama dalam sejarah negeri Perak. Jamaludin adalah posmen pertama yang pernah dicalonkan untuk jadi MB. Kemudian kedua-duanya jadi Exco kerajaan negeri yang paling tak reti buat kerja dalam sejarah Perak. Mereka juga mencipta sejarah sebagai Exco kerajaan negeri Perak yang pertama didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Episod rasuah itu adalah rancangan jahat UMNO dengan perangkap yang lapok tapi masih mengena. Akhirnya Jamaludin dan Osman masuk UMNO. Memang sejarah!
Hee Yit Foong mencipta sejarah sebagai wanita dan OKU pertama menjadi Timbalan Speaker DUN Perak. Dia juga cipta sejarah sebagai YB pertama yang 'off'kan telefon bimbitnya selama lebih dari satu hari. Lucu tapi bersejarah.
Sejarah apa lagi selepas ini?
No comments:
Post a Comment