Wednesday, March 25, 2009

Umno dicabar letak Zambry lawan Nizar di Bukit Gantang


Umno-BN dicabar agar menamakan Dr Zambry Abdul Kadir sebagai calon bagi menentang calon PAS, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin di pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang 7 April ini.

"Masih ada masa untuk Umno ubah nama calon sebab penamaan hujung minggu ini.Saya cabar Umno namakan Zambry, kita nak tengok siapa pilihan sebenar rakyat sebab sebelum ini Umno kata Nizar ditolak rakyat, buktikan dengan calonkan Zambry, kita tengok siapasebenarnya yang dipilih rakyat," ujar Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar kepada Harakah hari ini.

PAS mengambil tindakan berani untuk menamakan Nizar yang sebelum ini ditohmah Umno dengan pelbagai lemparan tuduhan ketika penggulingan kerajaan Pakatan Rakyat secara 'kontroversi', kata Mahfuz.

Mahfuz berkata, cabaran itu realistik agar rakyat diberi peluang menjadi hakim menentukan sama ada Nizar atau Zambry sebenarnya menjadi pilihan.

Ujarnya kegagalan Umno menamakan Zambry selaku calon mereka di Bukit Gantang menggambarkan mereka tidak yakin dengan kempen mereka sebelum ini.

Kegagalan ini juga katanya, adalah tanda atau 'signal' kepada rakyat yang perlu menghukum Umno di Bukit Gantang dan dua PRK lain yang berjalan serentak, katanya.

"Jika Nizar menang, Dun Perak perlu dibubarkan bagi memberi peluang kepada rakyat pula untuk memilih kerajaan mereka sendiri," katanya.

Pada 23 Mac lalu, PAS mengumumkan Nizar sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Pengumuman tersebut dibuat Presiden PAS,Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Menteri Besar Pakatan Rakyat itu akan berdepan dengan calon BN, Ismail Saffian, 49.

Ismail yang juga bekas Ketua Penerangan Umno bahagian, berasal dari Kampung Kubu, Bukit Gantang.

Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandang Allahyarham Roslan Shahrom daripada PAS pada 9 Februari lalu.

Penamaan calon akan berlangsung pada 29 Mac dan pengundian 7 April depan.

Nizar adalah antara beberapa nama disebut-sebut akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti tersebut bertanding dalam pilihan raya kecil berkenaan.

PAS yakin akan mengekalkan kerusi tersebut, terutama di tengah-tengah krisis politik yang melanda Perak selepas kerajaan BN mengambil alih pentadbiran negeri tersebut.

Dalam pilihan raya umum lalu, Roslan merampas kubu kuat BN itu dengan menewaskan Bendahari Umno, Dato' Seri Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M Morgan, dengan majoriti 1,566 undi.

Parlimen itu mempunyai 55,471 pengundi yang terdiri daripada 63.48 peratus pengundi Melayu, 26.77 peratus pengundi Cina, 9.71 peratus pengundi India dan lain-lain pengundi 0.4 peratus.

Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang. Dalam pilihan raya umum lalu, BN menang di Trong manakala dua lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat

3 comments:

Anonymous said...

Boleh ke seorang wakil rakyat mewakili 2 dun ?? kalau tak boleh, zambree kena letak jawatan kat PPangkor, kalau nak bertanding di BG . PRK lagi!!!!

pemerhati sepi said...

Untuk pengetahuan Jahil Undang.. yang dipertandingkan di Bukit Gantang ialah Parlimen (perseketuan) bukan DUN (Negeri).. jadi tidak kisah jika seseorang calon bertanding dua kawasan yang berbeza kategorinya seperti MB Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang.. jadi tak perlu letak jawatan..jadi Zambry tuh boleh bertanding sebagai MP atau ahli parlimen..

Anonymous said...

Maaf, diharap tidak di nampak besar kepala, tapi pada pandangan saya kalau di letak najib pun umno bimbang apatah lagi zambry. Untuk calon depa sekarang ini saya bimbang wang deposit pun hilang.
Saya cuma mengharapkan kebenaran untuk rakyat Perak dan Malaysia secara keseluruhan.Dan ya, saya sebagai rakyat biasa akan turun ke Bkt Gantang untuk membantu dan memastikan kemenangan untuk rakyat.

Search This Blog