Oleh WFAUZDIN NS
Dewan Merdeka di PWTC telah bergema dengan ucapan oleh Bakal Presiden Umno dan bakal PM yang `kontroversi' dan paling glamour ketika ini, Najib Tun Razak ketika merasmikan Persidangan 3 sayap Umno yang suatu ketika pernah disyorkan untuk di`patah'kan. Apa yang boleh dilihat secara jelas ketika ucapan Najib sewaktu merasmikan persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno itu adalah riak muka yang kurang keyakinan, penuh kegusaran, ketakutan dan dengan suara yang cuba bersemangat tetapi `gementar'.
Pelik dan menghairankan, perwakilan dan pemerhati di dewan tersebut seolah-olah merasakan juga apa yang saya perkatakan kerana sepanjang ucapan melebihi satu jam itu kurangnya tepukan atau sorakan semangat dari perwakilan seperti kebiasaannya. Mungkin, mereka semua keliru atau sedang memikirkan benar atau tepatkah pilihan Umno untuk menabalkan Najib sebagai Presiden Umno atau PM.
Imej Najib sebenarnya bukan sahaja rosak di mata rakyat di negara ini bahkan semakin banyak negara luar mula memperkatakan tentang bakal PM kita ini. Dunia luar tidak memperkatakan tentang wawasan atau hala tuju yang akan dibawa oleh Najib, tetapi kebanyakannya lebih memperkatakan tentang isu moral beliau. Malangnya kita, belum pun beliau mengambil alih teraju kepimpinan negara, awal-awal lagi nama beliau dipandang serong oleh dunia luar. Bagaimana mungkin satu hari nanti jika beliau menjadi PM, beliau ingin dipilih sebagai Presiden OIC iaitu gabungan bagi negara-negara Islam ini? Alangkah malunya kita sebagai rakyat Malaysia jika benar berlaku apa yang digambarkan ini.
Saya menjangkakan Najib sewaktu memberi ucapan di Dewan Merdeka tersebut sudah pasti akan menjawab segala isu dan tuduhan yang dilemparkan kepadanya termasuk di dalam isu Altantuya, rampasan kuasa di Perak dan `penculikan' Adun-Adun di Perak. Malangnya, Najib tiada kekuatan dan hujah untuk berbuat demikian. Sejak awal lagi Najib telah mempamerkan sikap penakut beliau sebelum belau ditabalkan oleh Umno sebagai Presiden dan bakal PM. Apa yang berlaku, Najib penuh retorik menyampaikan ucapan dan menyeru agar Umno dan kerajaan mesti telus, adil dan penyayang. Kata-kata beliau itu dipandang sinis oleh perwakilan dan pemerhati kerana tidak sampai 24 jam sebelum ucapan tersebut, rakyat di Bukit Selambau yang hadir dalam ceramah DS Anwar telah dianiayai dengan gas pemedih mata dan `water canon'. Begitu jua yang terjadi sewaktu ceramah PAS di Bukit Gantang ketika Presiden PAS mengumumkan nama calon PAS bagi Parlimen Bukit Gantang baru-baru ini di mana program itu terganggu dengan tindakan pihak keselamatan. Di dalam masa yang sama, sejajar dengan kehendak `ketelusan dan perubahan serta Islah' yang ingin dibawa oleh Najib, permit akhbar Suara KeAdilan dan Harakah pula digantung 3 bulan menjelang tiga pilihanraya kecil nanti.
Siapa yang mula memperkenalkan `Reform dan Islah' itu dalam politik di negara ini ? Kalimah `Reformasi' atau Islah amat popular di era reformasi yang dicetuskan oleh DS Anwar ketika berhadapan dengan kuasa diktator Tun Mahathir. Kalimah keramat itu terus didendangkan oleh pembangkang dan ianya benar-benar menjadi suntikan kepada rakyat untuk bangun dari lena di dalam kelambu Umno dan BN. Pilihanraya Umum ke 12 pada Mac 2008, menyaksikan suntikan itu benar-benar berkesan di mana Umno/BN kehilangan hampir separuh dari negeri-negeri di Semenanjung dan hilang kuasa 2/3 majoriti di Parlimen. Belajar dari ini semua, maka Najib mengguna pakai perkataan Reform dan Islah tersebut kononnya untuk menyuntik kembali semangat ahli-ahli Umno atau orang-orang Melayu yang semakin `Me-layu' itu.
Ucapan penuh gementar dan seperti dalam ketakutan, Najib cuba berlagak seolah-olah beliau telah pun secara rasminya menjadi Presiden Umno atau PM. Berbagai-bagai kehendak beliau diperkatakan, dan tanpa bertangguh-tangguh lagi Najib mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pak Lah atas khidmat baktinya sebagai PM. Apakah ketika itu Pak Lah telah menyerahkan jawatan PM kepadanya? Begitulah rakusnya Najib sehinggakan mendatangkan perasaan kecil hati dan tersinggung di kalangan penyokong-penyokong Pak Lah. Mangsa pertama Najib di dalam ucapan beliau semalam, sudah tentunya ialah calon Ketua Pemuda Umno iaitu Khairy menantu Pak Lah. Najib dengan lantang meminta Umno menolak pemimpin yang rasuah. Melucukan, mungkin beliau lupa Ali Rustam masih lagi menjadi Ketua Menteri Melaka kini. Perwakilan yang hadir tahu siapakah di antara ketiga-tiga calon Ketua Pemuda Umno itu yang telah disabitkan oleh Lembaga Disiplin Umno sebagai bersalah di dalam rasuah politik wang tetapi diberi peluang untuk bertanding. Tidakkah Khairy terasa apakah ucapan Najib itu sebagai `hadiah' bermakna buat beliau ? Apakan daya, kuasa atau `power' Khairy kini sudah lemah. Beliau kini menjadi sasaran sehinggakan terpaksa membuat laporan Polis ke atas penerbitan sebuah buku oleh seorang `pelacur upahan' yang terkenal itu. Soalnya apakah ada tindakan selepas itu ? Adakah masih ada yang bersimpati dengan menantu Pak Lah ini disaat beliau kehilangan `power' sebegini? Tetapi, tidak mustahil Khairy mungkin dipilih oleh perwakilan Pemuda Umno bagi menggambarkan betapa pengaruh Pak Lah masih ada di dalam Umno.
Apa yang telah terjadi di dalam Umno sekarang benar-benar menjadi bukti betapa doa dari kita sebagai pejuang-pejuang Islam dan keadilan termakbul. Umno kini semakin parah dan pecah belah yang berlaku sesama mereka adalah sebahagian dari doa-doa kita. Percayalah, selepas perhimpunan Umno ini nanti, perpecahan di antara mereka akan bertambah parah kerana sudah pasti di dalam `peperangan' sesama mereka itu akan mengorbankan banyak jiwa. Pakatan Rakyat sudah semestinya bersiap sedia merawat mereka yang terluka ini untuk dibersih dan disucikan agar kembali menjadi pejuang rakyat yang tulen. PR perlu buktikan di dalam tiga Pilihanraya Kecil ini nanti bahawa PR bersedia untuk menjadi pengganti kepada Umno memimpin negara ini. Kemenangan `hatrick' perlu dicapai bagi menutup mulut Najib dan Hishamuddin yang sering merepek ketika ini.
No comments:
Post a Comment