Sunday, March 15, 2009

Tanggungjawab Raja atau Sultan: Apa Pandangan Tunku Abd Rahman Putra Al-Haj?

Analisis Isu Oleh Zalipaka

" Dalam mengadapi isu dan krisis perlembagaan di Perak baru-baru ini, penulis sempat mengutip beberapa pandangan pakar-pakar perundangan dan orang-orang ternama serta mereka yang mempunyai wibawa di dalam lapangan masing-masing.

Yang menarik perhatian penulis ialah pandangan yang diberikan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia Yang Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tentang apakah sebenarnya TANGGUNGJAWAB SESEORANG RAJA ATAU SULTAN di sesebuah negeri?

Di dalam bukunya, "Pandang Balik" yang diterbitkan pada tahun 1980 dulu, beliau ada membayangkan kemungkinan-kemungkinan seseorang raja atau sultan itu TIDAK LAGI DIPERCAYAI oleh rakyatnya serta bagaimanakah sebenarnya SIFAT KESALAHAN mereka yang dapat menyebabkan kepercayaan itu hilang???

Penulis perturunkan di bawah ini beberapa petikan kata-kata atau pandangan beliau yang begitu bernas untuk dikongsikan bersama:

"Menurut Perlembagaan kita, baik Perlembagaan Persekutuan mahupun Perlembagaan Negeri, Raja-raja merupakan tunjang kewibawaan, dan oleh kerana itu merupakan pemelihara Perlembagaan; Kalau Perlembagaan menjamin agar jawatannya itu dihormati, maka Raja-raja pula haruslah menghormati Perlembagaan!"

"Pada hemat saya, adat Beraja sesuai bagi rakyat kita, tetapi adat itu haruslah dipelihara dengan hormat dan mulia; Sama seperti dengan semua benda-benda yang bagus, rakyat boleh menjadi jemu dan ingin mengubahnya jika mereka merasa segala-galanya tidak baik dengan adat Beraja itu..."

"Selagi Raja-raja itu menikmati hak dan Hak-Hak Istimewa mereka, maka mereka haruslah hidup dalam lingkungan hak-hak itu; Raja-raja diharap tidak melakukan sesuatu yang mungkin bertentangan dengan hukum (Perlembagaan); Selagi mereka tetap si dalam lingkungan dan batasan hak-hak itu, maka tidaklah mereka itu dapat dipersalahkan! Tetapi, jaminan apakah yang ada agar mereka tidak melampaui kuasanya???"

"Menteri Besar dan Anggota EXCO negeri bolehlah dikatakan sebagai 'Pengawas' kepada Raja-raja; Tugas mereka ialah untuk memerhati Raja-raja agar mereka tidak melakukan sesuatu yang berlebihan!"

"Saya pernah memberitahu Raja bahawa Menteri Besar adalah wakil yang dipilih oleh rakyat; Jika DYMM dapat membuktikan dia tidak melaksanakan tugasnya, maka dia boleh diganti. Kalau tidak, dia akan terus memegang jawatannya hingga rakyat memutuskan untuk menyingkirkannya..."

"Pada pandangan saya, seseorang Perdana Menteri atau Menteri Besar itu hanya boleh ditumbangkan melalui 'Usul Tidak Percaya' yang disampaikan secara rasmi di dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri!"

Kesimpulan yang dapat dibuat oleh penulis ialah:

1. Sekiranya kita mahu rakyat menghormati institusi Beraja, maka institusi Beraja juga perlu menghormati rakyatnya; Raja atau Sultan sesebuah negeri WAJIB mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan-kesalahan yang boleh menghilangkan keyakinan rakyat terhadap mereka!

2. MB dan EXCO wajar menjadi pengawas yang baik kepada Raja-raja; dan

3. Seseorang PM atau MB yang hendak diganti perlulah dibuat secara rasmi dan mengikut Perlembagaan, iaitu melalui Usul Tidak Percaya; Bukannya dengan cara memecat yang lama dan digantikan dengan perlantikan baru!!!


" TANPA RAKYAT, TIADALAH RAJA "

No comments:

Search This Blog