Saturday, March 21, 2009

Najib tidak akan jadi PM?

LEBIH kurang dua bulan lalu, penulis ke Kota Bharu bersama seorang rakan. Singgah di sebuah kedai makan, kami bersembang dengan seorang lelaki yang duduk di meja sebelah. Daripada sapaan biasa, perbualan kami akhirnya menjalar ke cerita politik. Lelaki berkenaan yang mendakwa dirinya pesara kerajaan nyata banyak tahu mengenai hal-ehwal politik semasa.

Agak mengejutkan apabila lelaki berkenaan yang berumur 60-an tiba-tiba bercakap dengan penuh keyakinan bahawa ``Datuk (Seri) Najib tidak akan jadi Perdana Menteri.''

Rakan penulis yang tercengang lalu bertanya, kenapa?

Jawab lelaki itu:`` Saya tidak boleh cerita panjang...tapi saya berani bertaruh...berapa banyak taruhan pun saya berani.''

Oleh kerana teman saya itu adalah Cina, beliau secara berjenaka menyebut angka pertaruhan RM2 juta. Katanya, ada sindiket judi yang sanggup membuat taruahn sebanyak itu. Lelaki berkenaan menjawab, berapa banyak pun boleh.

Memendekkan cerita, selepas beredar, penulis dan teman meneruskan bualan mengenai dakwaan lelaki berkenaan. Tentu ada sesuatu yang dia tahu, tapi kami tidak tahu.

Najib tidak akan jadi Perdana Menteri? Ketika itu semua orang sudah tahu bahawa seluruh bahagian UMNO telah mencalonkan Najib menjadi Presiden UMNO, kecuali Bahagian Gua Musang yang mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah. Pak Lah juga sudah mengisytiharkan Najib akan mengambilalih tempatnya. Mana mungkin Najib tidak akan jadi Perdana Menteri.

Dalam masa yang sama, seorang teman penulis yang rapat dengan Tengku Razaleigh mendakwa bahawa anak raja itu baru sahaja menemui Pak Lah. Beliau tidak tahu apa yang dibincangkan, tetapi berkaitan dengan peralihan pucuk pimpinan dalam UMNO.

Teman itu juga memberitahu penulis, ada kira-kira 900 aduan berhubung rasuah politik dalam UMNO yang telah dibuat kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO dan Badan Pencegah Rasuah (sekarang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Katanya, jika aduan-aduan itu tidak diselesaikan segera akan menjadi `masalah besar' yang boleh menyekat peralihan kuasa dalam UMNO.

Menurut pemberi maklumat itu, Razaleigh juga ada menghubungi Anwar Ibrahim mengenai perkara yang sama.

Perkembangan tersebut mengingatkan penulis kepada cakap lelaki di Kota Bharu yang begitu yakin meramalkan bahawa Najib tidak akan jadi Perdana Menteri. Oleh kerana beliau senegeri dengan Tengku Razaleigh, penulis mengandaikan kemungkinan beliau juga tahu sesuatu yang sedang tersebar luas di kalangan orang-orang UMNO di Kelantan. Persoalannya, adakah Tengku Razaleigh sebagai faktor dalam perkara ini?

Kemudian, tidak semena-mena dua orang ahli UMNO telah memfailkan permohonan injunksi ke mahkamah bagi menyekat Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 27 Mac ini.

Mereka ialah Dato' Kadar Shah Tun Sulaiman Ninam Shah dan bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia, Dato' Mazlan Harun (anak Allahyarham Datuk Harun Idris) memohon injunksi mahkamah sekiranya semua kes politik wang dalam UMNO gagal diselesaikan sebelum perhimpunan agung.

"Kita menggesa supaya Perhimpunan Agung Umno ditangguh supaya tindakan dapat diambil untuk menyelesaikan laporan yang dikemukakan berhubung politik wang sama ada kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pun kepada Lembaga Disiplin," tegas Mazlan.

Jika perhimpunan itu dapat disekat, tentulah peralihan kuasa melalui pemilihan dalam UMNO juga tersekat. Najib yang menang tanpa bertanding juga tidak disahkan jawatan Persiden UMNO. Maka Presiden UMNO lama akan terus kekal di tangan Pak Lah. Sudah tentulah beliau akan terus kekal di jawatan Perdana Menteri.

Itulah andaian politik mengenai tindakan dua ahli UMNO tersebut. Siapa di belakang mereka? Siasatlah dengan kumpulan mana mereka rapat. Sudah tentu bukan dengan kem Najib.

Dalam masa yang sama, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz telah mengeluarkan kenyataan bahawa Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri sehingga telah selesai `masalah peribadinya.'

Dan yang menjadi bualan hangat sekarang ialah pertemuan antara Pak Lah dan Anwar dengan kehadiran pengasas Madrasah Nurul Iman, Sheikh Mahmud al-Majzub selama 20 minit. Mereka hadir atas jemputan Syeikh Mahmud bagi majlis sambutan Maulidur Rasul madrasah itu.

Dalam pertemuan itu, Anwar dikatakan membangkitkan kemampuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggantikan Abdullah.

Pak Lah telah memberikan penjelasan kepada media mengenai perkara ini.

Menurut Utusan Malaysia hari ini, perbincangan empat mata hanyalah rekaan semata-mata. Seterusnya akhbar tersebut melaporkan:

Perdana Menteri berkata, beliau mengenali tokoh agama, Sheikh Mahmud Al-Mazjub dan menerima jemputan makan tengah hari sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran madrasah itu.

Katanya, selain Mulidur Rasul, majlis tersebut turut diadakan sempena sambutan tamat latihan kerohanian 40 tahun tokoh agama tersebut.

``Semasa saya sedang makan, Anwar tiba sebab dia pun dijemput. Itu sahaja.

``Semasa saya sedang bercakap dengan Sheikh Mahmud, dia bagi pandangan macam-macam tentang masalah yang dihadapi dunia. Mengenai pentingnya kepimpinan negara. Kita mesti adil dan kita mesti mengawal keamanan. Itu yang ditekankan,'' katanya.

Menurut Perdana Menteri, beliau hanya bercakap dengan Sheikh Mahmud dan bukannya dengan Anwar.

``Dia (Sheikh Mahmud) bercakap dengan saya, bukannya dengan Anwar dan saya pun tidak bercakap dengan dia (Anwar) sebab dia sedang dengar tok guru bercakap. Tidak ada yang lebih selain itu,'' jelas Abdullah.


Namun persoalan sama ada Najib akan menjadi Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agung UMNO terus menjadi perbualan dan bahan teka-teki, sekalipun Pak Lah menegaskan peralihan kuasa akan tetap berlaku.

Siapa yang beria-ia sangat mahu menyekat Najib daripada menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam? Dalam UMNO atau luar UMNO? Pelbagai andaian dilontarkan, tetapi semuanya andaian.

Yang paling jelas, Anwar memang tidak suka Najib menjadi Perdana Menteri kerana peluangnya sendiri semakin tertutup. Dulu Anwar begitu yakin bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri kelima selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad. Itu tidak berlaku atas sebab-sebab yang semua orang tahu.

Seterusnya Anwar merancang dan mengatur muslihat politik untuk ke Putrajaya kononnya pada 16 September 2008. Sekali lagi ia tidak berlaku.

Namun hajat Anwar untuk jadi PM terus membara. Semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh dulu, Anwar telah memberitahu sebuah akhbar Cina teori perkataan RAHMAN yang mengaitkan dengan nama-nama orang yang menjadi Perdana Menteri Malaysia. R bagi Tunku Abdul Rahman, A bagi Tun Abdul Razak, H bagi Tun Hussein Onn, M bagi Mahathir, A bagi Abdullah Ahmad Badawi dan N....(logiknya Najib).

Menurut Anwar kepada akhbar Kwong Wah Yit Poh, Perdana Menteri selepas Abdullah ialah Anwar, bukannya Najib. Katanya, perkataan RAHMAN itu sepatutnya dieja sebagai RAHMAAN (dua A) kerana mengikut sebutan tulisan jawi MAN adalah lebih panjang dan patut dieja sebagai MAAN.

Selain Anwar, Tengku Razaleigh juga masih bercita-cita untuk jadi PM. Sebab itulah beliau menawarkan diri untuk jadi Presiden UMNO selepas Pak Lah, tapi hanya mendapat satu pencalonan daripada Bahagian Gua Musang.

Berdasarkan senario ini, jelas bahawa laluan Najib untuk menggantikan Pak Lah bukannya mudah walaupun UMNO telah memberikan kemenangan tidak bertanding kepadanya. Usaha untuk menyekatnya akan diteruskan hingga ke saat-saat terakhir. Pelbagai cerita buruk telah dan akan dilemparkan terhadapnya walaupun tanpa bukti.

Sebab itulah ramai juga yang termakan kempen menentang Najib dengan mempercayai bahawa peluang anak sulung Allahyarham Tun Abdul Razak itu untuk mengikuti jejak langkah bapanya tidak akan tercapai.

Bagi penulis mudah sahaja jawapannya. Yang menentukannya ialah Allah s.w.t. Bukan Anwar, Tengku Razaleigh, Nik Aziz atau Pak Lah. Sama-samalah tunggu perkembangan selanjutnya-

No comments:

Search This Blog