Tuesday, March 17, 2009

Ali Rustam digantung?

KUALA LUMPUR 16 Mac – Calon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam disebut-sebut antara pemimpin kanan UMNO yang bakal dikenakan tindakan atas kesalahan politik wang pada mesyuarat Lembaga Disiplin UMNO, esok.

Difahamkan Lembaga Disiplin mungkin akan mencadangkan agar Mohd. Ali, yang juga Ketua Menteri Melaka dan Naib Presiden UMNO digantung keahlian setahun atau tiga tahun.

Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dijadual mengumumkan perkara itu pada sidang akhbar pukul 4 petang esok di ibu pejabat UMNO di sini selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Bagaimanapun Mohd. Ali yang ditemui pemberita pada majlis pertemuan calon Majlis Tertinggi (MT) dan perwakilan di Hotel Bluewave, Shah Alam malam ini, tetap enggan mengulas perkara tersebut.

“Tanyalah Lembaga Disiplin,” katanya sambil menjelaskan pertemuannya dengan ketua-ketua UMNO bahagian di Melaka esok tiada kaitan dengan desas-desus tindakan Lembaga Disiplin itu.

Menurut beliau, pertemuan itu bagi membincangkan persiapan ke Perhimpunan Agung UMNO dari 24 hingga 28 Mac ini.

Ditanya pula jika salah seorang calon Timbalan Presiden yang bakal dikenakan tindakan itu adalah dirinya, Mohd. Ali berkata: “Tak ada... tak ada, kerana itu saya datang (ke majlis bertemu perwakilan malam ini).”

Selain Mohd. Ali, turut bertanding merebut jawatan yang sama ialah Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, sumber dalaman mengesahkan bahawa ahli-ahli Lembaga Disiplin telah membuat siasatan dan memanggil beberapa pemimpin kanan UMNO untuk memberi penjelasan terhadap pembabitan mereka dalam politik wang dan pelbagai kesalahan minggu lalu.

‘‘Ahli-ahli Lembaga Disiplin telah membuat cadangan agar beberapa pemimpin kanan parti yang akan bertanding jawatan tertinggi sama ada digantung ataupun dilarang bertanding dalam pemilihan UMNO pada 25 dan 26 Mac ini,’’ katanya ketika dihubungi.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan mengenai beberapa pemimpin kanan UMNO dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti berhubung kesalahan politik wang.

Desas-desus mengaitkan beberapa calon jawatan tertinggi UMNO diarah berbuat demikian mula tersebar luas sejak seminggu lalu.

Bagaimanapun beberapa pemimpin parti termasuk calon Timbalan Presiden mengambil sikap ‘membisu’ ketika ditanya kesahihan desas-desus tersebut.

Tengku Ahmad Rithauddeen pula ketika diminta mengesahkan tentang adanya calon jawatan tertinggi dipanggil memberi keterangan bertegas, walau apa pun keadaan, beliau tetap tidak akan membuat sebarang ulasan.

Beberapa lagi anggota Lembaga Disiplin yang cuba dihubungi turut mengelak daripada berbuat demikian.

Pada mesyuaratnya esok, Lembaga Disiplin turut dijangka mencadangkan pemimpin yang telah didakwa di mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenakan tindakan hilang hak bertanding.

Sumber dalaman itu menambah, Lembaga Disiplin juga telah memutuskan untuk menarik hak bertanding pemimpin-pemimpin yang disiasat oleh SPRM kerana terlibat dalam politik wang.

Dalam pada itu, di Shah Alam, calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo tidak mengiya atau menidakkan desas-desus beliau menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin.

Beliau yang dihubungi Utusan Malaysia, enggan mengulas perkara itu, sebaliknya menyerahkan kepada Lembaga Disiplin untuk mengumumkannya.


No comments:

Search This Blog