Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta diberikan tempoh sehingga setahun akan datang untuk membanteras gejala rasuah di negara ini, kata Timbalan Pesuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed.
Beliau berkata, semua pihak terutama masyarakat perlu menghapuskan persepsi negatif terhadap SPRM sebaliknya memberikan peluang kepada suruhanjaya itu untuk membuktikan keupayaannya membanteras rasuah.
"Beri kami setahun dan kami akan buktikan usaha kami akan berjaya. Kami sedia dikritik jika gagal melaksanakan tugas diamanahkan," katanya membentangkan kertas kerja pada Persidangan Anti Rasuah anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asean (Asli) dan Transparency International di sini, semalam.
Pembentang kertas kerja yang lain ialah Ahli Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; dan Pengarah Urusan Intel Malaysia, Atul Bhargava manakala persidangan dikendalikan Naib Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee..
Sementara itu ketika ditemui media, Abu Kassim berkata, masyarakat perlu sedar bahawa usaha memerangi rasuah akan mengambil sedikit masa dan tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa.
Katanya, mengikut pengalaman di Hong Kong, agensi pencegahan rasuah di negara itu juga mengambil masa antara satu hingga tiga tahun sebelum berjaya memerangi rasuah.
"Jadi dalam konteks ini, saya meminta supaya masyarakat jangan awal-awal lagi buat tohmahan atau tafsiran negatif terhadap komitmen kita membanteras rasuah," katanya.
No comments:
Post a Comment