Wednesday, April 1, 2009

Mahkamah dengar permohonan Nizar esok

Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di sini hari ini menetapkan esok bagi mendengar permohonan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung usaha mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding mencabar perlantikan Datuk Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim berkata dalam kes permohonan semakan kehakiman itu, isu pertama yang perlu diputuskan ialah sama ada kebenaran untuk memulakan prosiding tersebut boleh diberikan kepada pihak pemohon, Mohammad Nizar.

Beliau kemudian memerintahkan peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah, dan Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said, bagi pihak Peguam Negara, untuk berhujah mengenai isu itu pada pukul 2.30 petang esok.

Permohonan semakan kehakiman itu telah didengar semula di Mahkamah Tinggi setelah Mahkamah Persekutuan pada 23 Mac lalu menetapkan bahawa isu mengenai takrif Perkara 16 (6) Undang-undang tubuh Negeri Perak perlu didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan perkara itu hanya boleh dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan menerusi rayuan.

Panel lima hakim itu mengarahkan agar kes tersebut dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk didengar oleh Hakim Lau Bee Lan, selain turut mengetepikan semua perintah Mahkamah Rayuan pada 20 Mac.

Abdul Aziz, yang baru bertukar hari ini ke mahkamah itu dari Mahkamah Tinggi di Sarawak, merupakan hakim (Mahkamah Tinggi) ketiga yang mendengar kes itu, sebelum Pesuruhjaya Mohamad Ariff Md Yusof, yang telah memutuskan untuk menarik diri, dan Hakim Lau Bee Lan, yang telah mengarahkan supaya kes itu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam prosiding pagi tadi, Kamaluddin memberitahu mahkamah, pihak Peguam Negara akan membantah permohonan Mohammad Nizar untuk mendapatkan kebenaran itu.

"Mahkamah Persekutuan telah meletakkan status quo dalam kes ini, oleh itu jika permohonan ini diteruskan, kami perlu membantah supaya kebenaran (untuk memulakan prosiding) tidak diberikan," katanya.

"Saya mohon satu penangguhan kerana notis bantahan belum diserahkan lagi, saya perlu masa untuk meneliti alasan (bantahan) pihak Peguam Negara," balas Sulaiman.

"Saya bercadang supaya perbicaraan kes ini dibuat selewat-lewatnya minggu depan. Kalau esok kita boleh mendengar hujahan permohonan mendapatkan kebenaran, hari Jumaat saya boleh berikan keputusan. Jika kebenaran diberikan, perbicaraan boleh dibuat minggu hadapan.

"Saya yakin Datuk Kamaluddin dan tuan Haji Sulaiman mempunyai banyak pengalaman, dan dengan dibantu rakanrakan lain, boleh menjalankan hujahan ini dalam masa satu hari (esok)," kata Abdul Aziz, yang mengarahkan supaya Kamaluddin menyerahkan hujahan bantahan bertulis mereka ke mahkamah dan satu salinan kepada pemohon hari ini.

Pada 13 Feb, Mohammad Nizar, 52, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, memohon diadakan semakan kehakiman bagi mengisytihar dirinya sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan untuk mendapatkan injunksi melarang Zambry daripada melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar.

Beliau juga memohon mendapatkan takrif mengenai Perkara 16 (6) Undang undang Tubuh Negeri Perak sama ada jawatan Menteri Besar boleh dikosongkan jika:

i) Menteri Besar telah memberi nasihat kepada Sultan supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri;ii) Tidak berlaku pembubaran dewan;iii) Tidak ada undi tidak percaya terhadapnya di dewan undangan negeri;iv) Tidak berlaku peletakan jawatan oleh beliau.

Mohammad Nizar juga mahu supaya Zambry membuktikan kesahihannya sebagai Menteri Besar.

No comments:

Search This Blog