Di penghujung riwayat Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri kelima, reformasi yang dijanjikannya sejak berkempen pada pilihanraya 2004 cuba dilaksanakan dengan begitu tergesa-gesa. Antaranya, reformasi terhadap Badan Pencegah Rasuah (BPR) agar penguatkuasaan antirasuah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Maka timbul idea untuk melaksanakan sebuah suruhanjaya bebas dan diletakkan bawah kuasa Parlimen. BPR dikecam kerana dilihat hanya menangkap “ikan-ikan bilis” atau kes-kes kecil yang melibatkan kakitangan rendah. Contohnya, kes-kes polis yang diseret ke mahkamah kerana meminta suapan RM200. Sementara banyak laporan rasuah yang dibuat melibatkan pemimpin kanan kerajaan yang berpangkat menteri dan melibatkan jutaan ringgit tidak pula diambil sebarang tindakan. Pada ketika itu, ramai yang berpendapat BPR tidak dapat menjalankan tugas dengan bebas dan berkesan kerana badan tersebut terletak bawah Jabatan Perdana Menteri. Atas dasar sebuah badan antirasuah perlu bebas daripada cengkaman pemerintah untuk memastikan keberkesanannya, maka tertubuhlah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hujung tahun lepas. Pembentangan rang undang-undang suruhanjaya tersebut disokong oleh majoriti ahli parlimen BN dan Pakatan Rakyat dengan harapan rasuah dapat dibanteras dengan lebih agresif. Pada hari pertama BPR menjelma sebagai SPRM yakni pada 2 Januari lalu, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR Badrul Hisham Shaharin menyerahkan dokumen setebal 60 mukasurat yang mengandungi pelbagai laporan rasuah lama dan baru sempena dengan permulaan siasatan baru SPRM. Menurutnya, yang mesra dpanggil Chegubard, dokumen berkenaan diserahkan bagi menguji peranan SPRM yang baru ditubuhkan. “(Dokumen) ini adalah laporan pertama kepada SPRM. Sekiranya SPRM gagal bertindak terhadapnya (dokumen itu), maka rakyat akan terus kecewa kerana wang yang dibayar melalui cukai terbazir untuk memenuhi retorik politik perang rasuah yang hanya menangkap ikan bilis atau pendakwaan berdasarkan politik,” katanya di luar ibu pejabat SPRM. Dalam dokumen berkenaan, antaranya, termuat laporan rasuah bekas ketua menteri Melaka, Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz yang pernah disediakan oleh peguam negara kira-kira 10 tahun dulu. Selain dua kes berprofil tinggi ini, dokumen berkenaan turut mengandungi laporan dakwaan korupsi mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, ahli keluarga serta kroninya dalam Perwaja dan isu-isu pelantikan hakim dalam skandal video membabitkan peguam VK Lingam. Skandal korupsi Abdullah, keluarga dan kroninya dalam beberapa organisasi di dalam dan luar negara turut disertakan dalam laporan Chegubard. Laporan tentang Najib Razak serta kroninya yang terlibat dalam isu pembelian kapal selam serta pembunuhan warga Mongolia turut diserahkan. Begitu banyak sekali laporan rasuah yang melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan termasuklah perdana menteri dan timbalannya dihantar pada hari pertama SPRM beroperasi. Selepas 20 hari pemimpin PKR itu menyerahkan laporan rasuah pemimpin tertinggi negara, Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak) yang kini dipimpin oleh Mohd Nazree Yunus membuat aduan kepada SPRM mendakwa menteri besar Selangor menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu bagi bahagian Bandar Tun Razak pada 21 Januari. Selain mengepalai negeri itu, Abdul Khalid Ibrahim juga merupakan ahli parlimen kawasan tersebut, yang terletak di Wilayah Persekutuan. Gerak mendakwa menteri besar membeli lembu-lembu korban itu pada harga RM110,400 sempena sambutan Aidil Adha tahun lalu bagi diagihkan di bahagian parlimennya sendiri. Bayaran bagi pembelian lembu berkenaan dilunaskan oleh Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kerajaan negeri. Lima hari selepas itu, Gerak sekali lagi membuat laporan kepada SPRM, mendakwa Abdul Khalid menyalahguna wang kerajaan negeri sebanyak RM7,779 untuk kegunaan peribadi. Nazree mengadu kepada SPRM, mendakwa pemimpin PKR itu menyalahguna wang tersebut untuk menyelenggara kereta Lexus milik peribadinya. Dalam laporan yang diserahkan kira-kira jam 4.45 petang itu, Gerak mendakwa mempunyai bukti bahawa wang kerajaan negeri digunakan untuk membiayai kos penyelenggaraan kereta peribadi menteri besar itu secara berkala. Menteri besar Selangor menafikan kedua-dua dakwaan berkenaan. Menurutnya, lembu-lembu itu didermakan oleh anak syarikat kerajaan negeri sebagai satu tanggungjawab sosial syarikat tersebut. Manakala Lexus milik peribadinya itu telah diisytiharkan sebagai kenderaan rasmi menteri besar. Tidak berapa lama selepas aduan Gerak itu, pada 20 Febuari lepas, SPRM membuat kenyataan bahawa ia mempunyai bukti-bukti yang mencukupi untuk mendakwa Abdul Khalid atas tuduhan rasuah. Pengumuman tersebut dibuat sendiri oleh ketua pesuruhjayanya Ahmad Said Hamdan. Pengumuman itu menimbulkan kemarahan banyak pihak. Menurut peguam menteri besar Selangor, Sankara Nair, menjadi amalan suruhanjaya tersebut selama ini untuk tidak mendedahkan pada umum hasil siasatan yang dijalankannya. Sehubungan itu, Sankaran bertanya mengapa Ahmad Said tidak membuat perkara yang sama apabila siasatan terhadap Ketua Polis Negara, Musa Hassan dan Peguam Negara, Abdul Gani Patail selesai? Tindakan SPRM itu, kata Sankara lagi, harus dipandang berat kerana anak guamnya - seorang ahli politik pembangkang - telah ditonjolkan agar kelihatan bersalah "di mata umum sebelum beliau didakwa dan didapati bersalah oleh mahkamah". Isu yang dipertikaikan itu, mengapa SPRM hanya bertindak terhadap laporan rasuah yang dikemukakan oleh Gerak dan tidak bertindak terhadap puluhan laporan rasuah seperti yang dikemukakan oleh Badrul Hisham pada 2 Januari? Mengapa pula ketua pesuruhjaya SPRM mengumumkan mengenai kes menteri besar Selangor kepada media tetapi hanya mendiamkan diri dalam isu siasatan terhadap Musa dan Abdul Gani yang telah selesai disiasat? Apakah SPRM hanya akan bertindak kepada pimpinan Pakatan Rakyat? Kita juga boleh lihat contoh yang sama berlaku di Perak bagaimana Speaker DUN V Sivakumar dipanggil oleh SPRM negeri tersebut sehari selepas Umno membuat laporan terhadapnya berkaitan dengan isu penggantungnya Zambry Abdul Kadir dan exco-exconya? Apakah perkaitan di antara SPRM, Umno dan Gerak? Apakah ketiga-tiga organisasi ini mempunyai perkaitan kerja? Berdasarkan tindakan-tindakan SPRM tersebut, yang dilihat sebagai berat sebelah dan seringkali membuat pendakwaan memilih-milih, dua peristiwa besar telah berlaku yang boleh dilihat sebagai manifestasi hilangnya kredibiliti SPRM di mata rakyat. Sehari selepas SPRM dilancarkan oleh perdana menteri, dua peristiwa besar telah menggemparkan SPRM. Pada 25 Febuari lepas, Sekretariat Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) - sebuah organisasi yang menghimpunkan anak muda dari pelbagai latar belakang - membuat lawatan mengejut di pejabat SPRM di Putrajaya. Selain melawat, SAMM membakar dokumen-dokumen rasuah yang pernah dihantar kepada suruhanjaya itu sebagai tanda mereka telah hilang keyakinan terhadap badan pencegahan rasuah yang dilihat berat sebelah dan membuat pendakwaan memilih-milih. Acara tersebut menjadi bertambah lucu apabila pengawal keselamatan yang bertugas di pejabat SPRM gagal untuk memadamkan dokumen-dokumen yang sedang terbakar. Pada sebelah petang hari yang sama, Angkatan Muda Keadilan (AMK) menghadiahkan seekor lembu ke pejabat SPRM Selangor sebagai simbol bahawa SPRM telah menjadi lembu kepada parti politik tertentu. Kedua-dua peristiwa ini harus dipandang serius oleh SPRM untuk memperbetulkan arah dan hala tuju organisasi tersebut. Oleh kerana suruhanjaya itu masih baru, masih belum terlambat untuk organisasi itu kembali ke landasan yang betul. Peristiwa membakar dokumen dan menghantar lembu bukanlah petanda yang baik bagi organisasi yang baru sehari dilancarkan. Jika tidak berubah, SPRM akan gagal untuk melaksanakan wawasan Abdullah untuk mereformasikan badan tersebut. Oleh kerana wang gaji pesuruhjaya, pegawai dan pekerja SPRM dibayar oleh rakyat, maka badan ini haruslah mempunyai tanggungjawab kepada rakyat. Jangan sampai rakyat hilang keyakinan, buruk padahnya! |
Wednesday, April 1, 2009
Apa sudah jadi pada SPRM?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment