Monday, March 30, 2009

Sebelum duduki kerusi PM, Najib perlu bersihkan imej


KOTA BHARU, 30 Mac (Hrkh) - Dato' Seri Najib Razak perlu terlebih dahulu membersihkan imejnya yang banyak tercalar dengan kisah peribadi, sebelum mengangkat sumpah sebagai ketua negara.

Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata, rakyat berhak menuntut bakal perdana menteri itu membersihkan dirinya sebelum menduduki kerusi ketua kerajaan Barisan Nasional.

"Kita ada hak menuntut pemimpin terbabit membersihkan dirinya sebelum menjadi Perdana Menteri. Sebab apabila sudah menjadi Perdana Menteri beliau bukan sahaja jadi ketua untuk Umno atau Barisan Nasional sahaja.

"Tetapi beliau juga Perdana Menteri kepada seluruh rakyat Malaysia. Bagaimana seorang pemimpin negara boleh diyakini jika tuduhan terhadapnya gagal dibersihkan sehingga menimbul keraguan rakyat," katanya pada ceramah di Padang Majlis Daerah Ketereh di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini akhbar Perancis, Liberation melaporkan Najib ada hubungan dengan wanita Mongolia, Altantuya Shariibu yang mati dibunuh dengan kejam di negara ini.

Selain itu akhbar The Nation, The New York Times, 9News, The Australian, Times Of India dan Timeonline juga melaporkan secara ekslusif mengenai kematian Altantuya di Malaysia.

Mohamad berkata, sehingga sekarang Timbalan Perdana Menteri tidak menafikan segala laporan yang disiarkan akhbar terbabit sehingga menimbulkan keraguan di kalangan rakyat.

"Oleh itu kerajaan disaran menubuh suruhanjaya menyiasat mengenai segala tuduhan yang dilemparkan akhbar berkenaan bagi mengelak spekulasi buruk terhadap seorang bakal Perdana Menteri dari pandangan pemimpin dunia.

"Kegagalan pemimpin berkenaan menjelaskan mengenai perkara sebenar menyebabkan bakal Perdana Menteri Malaysia dilemparkan dengan bermacam-macam tomahan di peringkat antarabangssa," ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohamad juga menyelar tindakan pemimpin tertentu memperalatkan Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan.

Katanya, tindakan pemimpin terbabit tanpa disedari telah mencalar imej demokrasi dan hak kebabasan rakyat bersuara di negara ini.

"Di mana ciri-ciri demokrasi dalam negara jika suara rakyat dinafikan sedemikian rupa. Ini sebenarnya menggambarkan mukadimah pemerintahan bakal Perdana Menteri yang dilihat bukan seorang pemimpin yang berjiwa besar," katanya.

Menurutnya perbuatan itu yang jarang dilakukan pemimpin negara sebelum ini menjunamkan lagi indeks kebebasan bersuara di negara ini.

Kata beliau apa yang jelas tindakan tersebut menggambarkan kerajaan BN begitu takut menghadapi kritikan pembangkang yang kini bangkit bersama rakyat.

"Rakyat tidak lagi dibenarkan mendapat maklumat melainkan melalui media-media dikuasainya Umno dan BN sahaja.

"Barangkali inilah wajah sebenar bakal pemimpin negara yang takut kepada bayang-bayang sendiri," ujarnya

No comments:

Search This Blog