Monday, March 2, 2009

Sidang tergempar DUN Perak sah? Speaker-Setiausaha bertikai


[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Krisis politik Perak semakin bercelaru - kali ini membabitkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar dan Setiausahanya, Abdullah Antong Sabri yang "bertikai" tentang kesahihan diadakan sidang tergempar Selasa ini.

Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri mengeluarkan kenyataan bahawa Speaker tidak boleh memanggil satu sidang tergempar dewan itu Selasa ini kerana tindakan itu tidak sah dan tidak boleh diadakan tanpa mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Bagaimanapun beberapa jam selepas kenyataan itu, Sivakumar pula sambil melahirkan rasa terkejut menegaskan, Setiausaha DUN tiada kuasa untuk mentafsir Perintah Tetap Dewan Negeri.

Pada sidang media diadakan kira-kira 7 petang tadi, Sivakumar menegaskan, tugasa Setiausaha ialah mematuhi arahan dikeluarkan oleh Speaker.

Dengan merujuk kepada Perkara 89 Perintah Tetap Dewan Negeri (PT), tertakluk kepada usul khas yang dikemukakan, tafsiran Speaker adalah muktamad.

"Bukankah Speaker mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar Dewan?

"Jika hak itu dirampas daripada Speaker, apakah bentuk demokrasi yang kita akan mewarisi pada masa depan.

"Saya merasakan dunia akan gelak terhadap kita jika mana-mana pihak mencampuri atau menghalang kami daripada mengadakan sidang DUN," katanya.

Sivakumar juga berkata, Abdullah tidak mempunyai kuasa untuk menafsir PT dan sebaliknya kewajipan beliau adalah hanya untuk mematuhi perintah dan arahan Speaker serta menjalankan tugas seperti yang termaktub dalam PT.

Speaker DUN Perak itu berkata Abdullah telah membuat tafsiran yang salah ke atas PT kerana PT 8 (1) jelas menyatakan notis bertulis menarik perhatian kepada pemasyhuran memanggil Dewan adalah tidak diperlukan, sebaliknya hanya memerlukan notis memanggil Dewan bersidang dikeluarkan dengan seberapa segera.

"Artikel 36 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak pula hanya diguna pakai untuk permulaan sesuatu sesi Dewan ataupun apabila Dewan bermula selepas sesi itu tamat.

"Artikel ini tidak boleh diguna pakai dalam keadaan setelah Dewan ditangguhkan dan dipanggil semula untuk bermesyuarat dalam sesi yang sama," katanya.

No comments:

Search This Blog