Thursday, March 5, 2009

Kes liwat Anwar dipindah ke Mahkamah Tinggi

[DIKEMAS KINI, 12 TENGAH HARI] KUALA LUMPUR: Selepas tujuh bulan menjadi perhatian, kes liwat Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan perkara tersebut kira-kira pukul 9.50 pagi tadi.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan Selasa ini untuk sebutan semula kes itu di Mahkamah Sesyen, sekali gus menetapkan tarikh perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Dalam penghakimannya, Mohamad Zabidin berkata, Hakim Mahkamah Sesyen S.M Komathy Suppiah telah terkhilaf dalam memutuskan sijil pemindahan kes yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai tidak sah.

Anwar sebelum ini mempertikaikan kesahihan sijil pemindahan kes itu dengan alasan Abdul Gani tidak sepatutnya menandatanganinya kerana beliau sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaannya yang Abdul Gani memalsukan keterangan dalam insiden "mata hitam" yang dialami Anwar 10 tahun lalu.

Sementara itu, salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan tersebut, namun terpaksa menerimanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan esok bagi semakan semula keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

No comments:

Search This Blog