GEORGETOWN: Polis mula menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berhubung kenyataannya mengenai kes penyalahgunaan kuasa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata siasatan ke atas Ahmad Said dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.
Katanya, kertas siasatan terhadap Ahmad Said dibuka selepas laporan polis dibuat terhadapnya dan setakat ini keterangan beberapa pihak termasuk wartawan menemuramah beliau sudah diambil.
"Jika perlu, kami akan memanggil Ahmad Said dalam masa terdekat. Tetapi perkara itu belum dapat dipastikan kerana siasatan masih di peringkat awal," katanya ketika dihubungi semalam.
Setakat ini, polis menerima 12 laporan terhadap Ahmad Said di seluruh negara termasuk dibuat Angkatan Muda Keadilan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada 23 Februari lalu
Ahmad Said pada sidang media di sini, pada 20 Februari lalu, dilaporkan berkata SPRM mempunyai keterangan dan bukti kukuh untuk mendakwa Abdul Khalid atas salah guna kuasa berhubung penyelenggaraan kereta peribadi serta pembelian 46 lembu korban.
No comments:
Post a Comment